:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Monday, September 5, 2011

Salam Eid Mubarak 1432

Bismillah wal hamdulillah...Alhamdulillah ala kulli haal.
Moga belum terlambat untuk saya mengucapkan salam eid buat semua pembaca yang dikasihi...
Maaf zahir dan batin andai ada tulisan-tulisan saya yang melukakan.

Hari ini secara rasminya menjadi pelajar Tahun 5. Semoga Allah memudahkan untuk saya ilmu-ilmuNya pada tahun terakhir ini (insyaAllah), sebelum keluar ke lapangan masyarakat sebagai seorang doktor gigi. Impian saya hanya satu, ingin menjadi seorang insan yang dapat memberi manfaat dan membahagiakan insan-insan di sekeliling saya. Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu yang dhaif ini.

Maaf zahir batin daripada keluarga besar saya

Wednesday, December 1, 2010

Ini Cerita Tentang Adik

Malam semakin larut. Tetapi saya rasa masih 'malas' untuk tidur. Jadi ada baiknya jika saya mencipta entri. Hehe. Alang-alang tengah rindu kepada adik, jadi nak tulis pasal adik bongsu saya, Arif namanya. Satu-satunya adik lelaki yang saya ada. Dah 3 tahun umurnya, tahun depan masuk 4 tahun.

Arif

Baru-baru ini semasa pulang bercuti di rumah, ayah membawa kami sekeluarga makan di luar. Usai makan menuju ke kereta, Arif tiba-tiba berlari dan mengambil sesuatu di atas tanah. Rupa-rupanya Arif ambil tin minuman kosong. Emak memberitahu Arif sedang kumpul tin minuman untuk dijual. Hehehe. Saya terkedu sebentar. Rasa sedih dan sebak pun ada. Adikku oh adikku. Kecil-kecil dah belajar cari rezeki. Kemudian bila sampai sahaja di rumah, kong-kang-kong-kang bunyinya. Arif penyekkan pula tin tadi. Bila saya dekati, dah dapat tin 1/4 plastik besar rupanya.

Bila saya post status di facebook, nampaknya ramai menyokong penuh usaha Arif. Hehe.

Maka, teruskan usahamu Arif. Kak Long bangga dengan adik seperti Arif. Jangan lupa besar nanti jadi ustaz.

Saturday, January 30, 2010

Selamat Hari Lahir Emak

Hari ini adalah hari lahir emak yang ke-46. Ucapan Selamat Hari Lahir ditujukan buatmu emak dari anakmu di sini. Sesungguhnya emak telah banyak berjasa. Jasa emak tentunya tidak terbalas oleh diriku. Semoga Allah akan menempatkan dirimu di syurgaNya...

Friday, December 25, 2009

Mabruk!


Mabruk buat Nur Aishah bt Wahab atas kejayaannya mendapat 9A dalam peperiksaan PMR yang diumumkan baru-baru ini.

Mabruk juga buat Nur Rashidah bt Wahab atas kejayaan menjadi pelajar terbaik Tahun 2 di sekolah dalam peperiksaan akhir tahun.

Kejayaan adalah milik Allah. Semoga Aishah dan Rashidah terus berjaya dalam perjalanan yang seterusnya. Doakan buat kakak sulung kalian ini juga :)

Monday, December 14, 2009

Impian Tahun Baru

Bismillahi wal hamdulillah...

Hari ini saya berkesempatan lagi untuk mencoret di ruang maya ini untuk berbicara tentang tahun baru yang bakal tiba. Ya Allah, sekejap sahaja masa berlalu. Bumi ini amat pantas berputar. Umur saya bakal menginjak ke 24 tahun. Mudah-mudahan di umur 24 dan seterusnya, kematangan saya dalam berfikir akan bertambah. Berbekalkan pengalaman-pengalaman hidup yang berharga yang telah dilalui. Pahit, manis, masam, masin, dan kelat, semuanya ada. Pengalaman adalah guru terbaik. Semoga ia menjadikan saya lebih dewasa.

Insya Allah, 1 Muharram 1431 Hijrah ini menjanjikan kehidupan baru yang bahagia dan berkekalan buat sahabat saya, Asiyah@ Khairul Bariyyah yang akan mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Muhammad Haziq. Selamat melangkah ke alam baru. Asiyah yang saya kenali sejak di Darul Quran sudah saya rasakan seperti adik-beradik. Ya, memang kami dahulu adik beradik seusrah. Saya memanggilnya Anjang dan dia pula memanggil saya Angah. Sedih pula apabila Anjang akan berkahwin. Terasa seperti hilang seorang lagi kawan baik saya. Ish, ada-ada sahaja saya ini. Apa-apapun, semoga Anjang berbahagia hingga ke syurga abadi. Amiinn ya Rabb!

Susunan widget-widget di blog ini juga telah saya ubah sempena masuknya tahun baru. Kadang-kadang perabot di dalam rumah atau bilik juga harus diubah untuk memberi kita semangat baru. Azam baru 1431 dan 2010 sudah saya tampal di dinding. Beginilah diri saya sejak dahulu. Tidak lengkap rasanya permulaan tahun baru tanpa saya menampalkan sesuatu pada dinding bilik. Dahulu sewaktu kecil-kecil, di penghujung tahun begini saya akan mengajak adik-adik saya menyemak azam tahun tersebut sama ada telah berjaya dicapai atau tidak. Kemudian kami akan menulis azam baru masing-masing dan ditampal pada dinding bilik tidur. Namun bagi sebahagian orang, mereka berasa segan untuk menampalkan azam masing-masing. Terpulanglah. Tetapi itulah caranya saya memotivasikan diri sendiri.



Saya berharap untuk menjadi lebih serius pada tahun hadapan. Saya juga berharap lebih banyak kemajuan diri yang mampu dicapai. Nilaian kemajuan diri bergantung kepada diri masing-masing. Tetapi nilaian saya, kemajuan diri saya adalah apabila semakin banyak ilmu dan kemahiran yang saya kuasai, semakin meningkat keyakinan diri serta semakin banyak kejayaan yang digapai dalam hidup sama ada kecil atau besar.

Cita-cita saya suatu hari nanti, ingin berjaya menjadi seorang doktor gigi yang dapat menyumbang kepada ummah. Saya ingin berganding bahu bersama golongan ulama dan golongan professional Muslim yang lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Perjuangan menegakkan Islam akan sama-sama kita julang sehingga ke akhir hayat. Juga sebagai seorang anak, saya juga menyimpan impian untuk membawa kedua ibu bapa saya beribadah di Baitullah bersama-sama saya suatu hari nanti. Mudah-mudahan...Engkau kabulkan ya Allah (",)

Friday, November 20, 2009

Tengkujuh Yang Sedang Melanda

Tengkujuh sedang melanda beberapa negeri di Malaysia terutama negeri-negeri di pantai Timur. Bumi Kuantan yang sedang saya diami juga tidak terlepas daripada tengkujuh ini. Boleh dikatakan setiap hari hujan. Ini agak menyukarkan pergerakan saya untuk berulang-alik ke hospital kerana saya hanya mempunyai kenderaan yang tidak berbumbung. Mujurlah ini minggu terakhir posting saya di sana.


Tengkujuh debaran juga sedang bergelora di dalam lautan hati saya. Awal minggu hadapan adalah musim peperiksaan untuk posting perubatan ini. Saya berharap agar Allah Taala akan memberi kemudahan buat hambaNya yang dhaif ini di dalam peperiksaan yang bakal tiba.

Saya juga ditimpa tengkujuh rindu kepada adik-adik saya (walaupun mungkin mereka tidak merindui saya). Patutlah, sudah hampir 2 bulan saya tidak pulang ke rumah. Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu. Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan mempunyai tanggungjawab untuk diselesaikan di sini. Esok juga merupakan walimah kawan sekolah saya, Rabiatul al Adawiah. Maafkan saya Aton kerana tidak dapat menghadiri jemputan ini. Saya doakan semoga beliau berbahagia bersama suaminya yang tercinta, hingga ke syurga, insya Allah.

Rindunya pada 3 budak kecil ini

Insya Allah, 2 tengkujuh terakhir ini akan reda dengan ketibaan cuti 'Idil Adha kelak.Tengkujuh alam, bergantung kepada Allah yang Maha Berkuasa. Semoga Dia memberi perlindungan kepada seluruh Muslimin dan Muslimat.

Sebelum mengakhiri coretan ringkas saya sempena musim tengkujuh ini, saya ada 3 pesanan:

1. Sediakan payung sebelum hujan.
2. Sediakan ilmu sebelum peperiksaan (khas utk saya)
3. Jangan lupa berpuasa sunat 9 Dzulhijjah (hari Arafah)

Sekian sahaja. Salam Tengkujuh.

Sunday, November 8, 2009

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan ke-25

Esok, 9 November 2009 merupakan hari ulang tahun perkahwinan ke-25 buat dua insan yang paling berjasa dalam hidup saya. Emak dan ayah saya telah disatukan Allah dengan ikatan perkahwinan yang suci pada tanggal 9 November 1984.

Semoga emak dan ayah saya sentiasa berbahagia hingga ke syurga. Terima kasih di atas jasa kalian membesarkan dan mendidik diri ini dari kecil hingga kini. Semoga Allah menempatkan emak dan ayah saya di syurgaNya kelak.

Anakmu akan sentiasa mendoakan

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahkanlah ucapanku di hadapan mereka,
Lunakkanlah watakku terhadap mereka,
Dan lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
Atas didikan mereka padaku,
Dan pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja ujian yang telah mereka rasai,
Atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku,
Atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
Jadikanlah itu semua penyebab terhapusnya dosa-dosa mereka,
Dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenanMu ya Allah.
Hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Apabila magfirahMu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya,
Maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
Sehingga kami semua berkumpul,
Bersama dengan santunanMu di tempat kediaman yang dinaungi kemulianMu,
AmpunanMu serta rahmatMu,
Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
Serta anugerah yang tak berakhir.

Amiinn Ya Rabbal 'Alamin...

Friday, October 23, 2009

Mujahidah Sejati

Munsyid: Nahwan Nur

Didedikasikan buat sahabat-sahabat muslimahku yang tersayang, walau di mana jua anda berada, serta buat 5 adik perempuanku (Fazilah Jamiah, Nurhaniza, Nur Aishah, Nur Rashidah dan Izzah Shahirah) . Semoga kita semua menjadi mujahidah sejati yang diredhai Allah...

Mujahidah sejati
Intan permata mutiara mahkota
Seindah pelangi di cakerawala
Menghiasi taman indah nan permai

Mujahidah sejati
Engkaulah serikandi pembela agama
Peribadi solehah hiasan diri
Subur dengan iman dan ketaqwaan

Mujahidah sejati, akhirat utama
Kerana dunia bukan pilihannya
Mujahidah sejati, hatinya berbeza
Kerana diasuh iman dan taqwa

Mujahidah sejati
Berbekal al-quran dan as-sunnah
Bersulam pengorbanan
Bisa menggegarkan isi dunia

Mujahidah sejati
Terus subur mekar mewangi
Seindah suria menerangi bumi
Harapan ummah yang abadi

Mujahidah sejati
Menyoroti langkah Khadijah, Aisyah, Fatimah
menjadi muqarrabin, bermujahadah
menuju cinta dan kasih Allah

Paras rupa bukannya ukuran
Nilainya sama di sisi Tuhan
Cuma ibadah yang membezakan
Wanita solehah di sisi Tuhan

Berhati-hatilah hasutan dunia
Kerana ia merbahaya
Jangan dibiarkan ia bertakhta
Dalam diri dengan dosa-dosa

Sunday, October 18, 2009

Selamat Jalan Nenekku

Saya ingin mengucapkan selamat jalan buat nenek saya (Tok) yang bakal meninggalkan tanah air pada 22 Oktober ini bagi menunaikan ibadah haji.

Alhamdulillah, Allah terus melimpahkan rezeki buat Tok untuk melaksanakan tuntutan rukun Islam kelima. Maafkan saya kerana tidak dapat menghantar Tok di lapangan terbang pada hari itu nanti. Hanya telefon sahaja yang menjadi medium sebelum Tok berlepas.

Nenek bersama ayah

Tok adalah nenek saya di sebelah ayah. Nenek di sebelah ibu telah pergi ketika saya berada di Tingkatan 1. Saya sangat menyayangi satu-satunya nenek yang saya ada ini. Apabila berjumpa dan bersalam dengan Tok setiap kali pulang dari kampus, Tok pasti akan memeluk saya erat-erat. Saya doakan agar Tok selamat pergi dan selamat pulang. Doakan untuk saya juga Tok, ketika berada di tanah suci kelak.

Ya Allah, lindungilah nenekku dan para jemaah haji di sepanjang permusafiran mereka. Berikanlah kekuatan dan perlindungan kepada mereka untuk menyempurnakan ibadah haji kepadaMu serta kurniakanlah kepada mereka haji yang mabrur.

Ya Allah, sampaikanlah juga aku dan keluargaku ke sana suatu hari nanti.

Amiinn ya Rabbal 'Alamin.

Friday, August 28, 2009

Selamat Hari Lahir Buat Adik Bongsuku

Entri buat adik bongsu saya yang menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-2 pada hari ini. Adik bongsu saya ni, satu-satunya anak lelaki kepada emak dan ayah. Selamat Hari Lahir, Arif...

Inilah adik bongsu saya...Selalu pakai selipar tertukar kanan dan kiri...Hehe.

Along harap, one day, bila Adik dah pandai membaca, Adik baca entri ni yang Along tuliskan untuk Adik...

Semoga Adik menjadi anak yang soleh. Alangkah bangganya Along jika Adik membesar sebagai lelaki acuan al Quran.

LELAKI ACUAN AL-QURAN

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga dengan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut berkata benar
Yang tidak gentar melawan nafsu.

Lelaki acuan al-Quran ialah yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya penyayang
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh bersifat jembalang.

Lelaki acuan al-Quran ialah yang menghormati ibu bapanya
Yang sentiasa berbakti pada orang tua dan keluarganya
Yang bakal menjaga keharmonian rumah tangga
Yang mendidik isteri dan anak-anaknya mendalami ilmu agama
Yang mengamalkan hidup dengan kesederhanaan kerana dunia baginya rumah sementara menunggu akhirat.

Lelaki acuan al- Quran sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup di bawah naungan al-Quran
Dan mencontohi sifat Sayyidina Ali KWJ
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya dengan penuh kesyukuran dengan rahmat Allah SWT.

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masanya
Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengalunkan ayat al-Quran dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Yang bangun subuh dengan penuh kecerdasan kerana sehari lagi bertambah usianya penuh kebimbangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati
Yang baginya di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan ini perlu dibaja dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah impiannya
Dialah lelaki acuan al-Quran…

p.s.Maaf ya para pembaca, entri yang hanya berkaitan seorang kakak sulung dengan adik bongsunya :)

Friday, January 23, 2009

Azan Subuh Khamis Itu...


Hari ini
Genaplah 23 tahun berlalu
Azan subuh Khamis itu
Suatu nostalgia buat dua insan yang menyatu
Menyambut zuriat pertama yang ditunggu

Azan subuh Khamis itu
Mengingatkan aku kepada ibu
Betapa tabah ibu mengandungkanku
Penat dan lemah sudahlah tentu
Sampai masanya kulahir ke dunia
Ibu sakit tidak terkira

Azan subuh Khamis itu
Mengenangkanku kepada ayahku
Bekerja keras tanpa mengira waktu
Demi mencukupkan keperluanku dan ibu
Namun ayah tetap gembira
Asalkan aku dan ibu bahagia

Azan subuh Khamis itu
Menginsafkan aku akan diriku
Sungguh banyak dosa-dosaku
Namun sedikit amalan solehku
Sedang kematian hanya menunggu
Wahai Tuhan ampunkanlah aku...

Terima kasih Allah kerana menganugerahkan aku dua insan istimewa untuk menyayangi dan disayangi...

Terima kasih ayah dan ibuku...


*************************************************************************************

Menurut kajian Yang Berbahagia Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, terdapat 16 karakter mereka yang dilahirkan dalam bulan Januari...

1. Bercita-cita tinggi dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik.
2. Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan.
3. Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.
4. Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam.
5. Pandai mengambil hati orang lain.
6. Pendiam kecuali setelah dirangsang.
7. Agak pemalu dan mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi.
8. Mudah mendisiplinkan diri sendiri.
9. Badannya sihat tetapi mudah diserang selesema.
10.Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya.
11.Cukup sayang pada kanak-kanak.
12.Suka duduk di rumah.
13.Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik.
14.Setia pada segala-galanya.
15.Perlu belajar kemahiran bersosial.
16.Sifat cemburu yang sangat tinggi.

Boleh dikatakan semuanya kena dengan peribadi saya, walaupun sebahagiannya tidaklah berapa tepat. Diharap kawan-kawan dapat menerima diri ini seadanya. Saya sangat bersyukur dengan kehadiran kalian dalam hidup saya...

p.s.

1. Terima kasih kepada roommate-roommate saya; Raihan, Ramizah dan Syaza atas sambutan hari lahir di bilik malam tadi. Also thanks for the birthday present.I love you all...

2. Terima kasih kepada kawan-kawan sekelas yang telah menyediakan multimedia presentation untuk kami yang lahir pada bulan Januari dan nyanyikan lagu 'Happy Birthday' untuk saya pagi tadi...

3. Terima kasih kepada semua yang wish melalui sms dan Friendster...

4. Terima kasih juga kepada yang wish di blog ini...

Thursday, November 20, 2008

ADIK...

Tiga hari lepas,keluarga datang melawat saya di kampus. Ya Allah gembiranya hati saya apabila diziarahi oleh orang-orang yang paling disayangi dalam hidup. Anda pun mesti paling sayang keluarga anda,bukan?Kalau anda insan yang masih bujang seperti saya,tentu sekali jawapannya ‘ya!’

Keluarga saya sebenarnya menghadiri majlis perkahwinan ex- jiran kami di Dungun. Sewaktu emak dan ayah di awal perkahwinan dulu sehingga mendapat anak kedua iaitu adik di bawah saya (Fazilah Jamiah),kami semua tinggal di Dungun. Alang-alang datang ke Dungun, baik terus melawat Along,kata ayah.

Semenjak berada di UIA Kuantan sudah kali keempat keluarga datang menjenguk saya di sini tanpa diminta. Hehe… Ini yang membuat saya sentiasa rasa bahagia jika hendak dibandingkan ketika belajar di Pusat Matrikulasi PJ dahulu. Keluarga memang tidak pernah melawat. Namun saya faham,bukannya dekat Terengganu dengan Selangor.

Adik bongsu saya semakin membesar. Arif Fitrie, satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Gigi ‘lateral incisors’ adik sudah mulai tumbuh. Sebagai dentist-to-be,insya Allah,saya memang suka memeriksa ‘oral cavity’ adik. Hehe… Sudah lama emak dan ayah menanti-nanti anak lelaki, namun 6 kali emak bersalin semuanya perempuan.Mujurlah yang ketujuh ini tercapai juga hasrat ayah. Pengubat hatinya. Ayah memang sangat sayang pada Arif.

Kehadirannya ke dunia juga membuatkan saya rasa sedikit ‘ringan’. Sebelum adik lahir, saya sering dihantui perasaan ‘beratnya menjadi anak sulung’. Bukan badan yang berat , tetapi beratnya tanggungjawab. Betulkah? Entahlah, tetapi itulah perasaan yang mengganggu jiwa saya sehingga kadang-kadang tidak dapat melelapkan mata. Mungkin kerana saya harus menjadi ‘ketua’ kepada adik-beradik yang semuanya perempuan. Ataupun mungkin itu cuma mainan perasaan saya sendiri. Saya pernah meluahkan kepada emak. Apabila emak menenangkan saya bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan, saya berasa lega. Namun selepas itu, perasaan tersebut datang kembali.


Kelahiran adik pada 28 Ogos 2007 membuatkan saya sekarang senang untuk melelapkan mata. Hehe…Terima kasih Allah, atas pemberianMu. Sekarang adik pulak yang perlu jadi ketua. Tidak mengapa, Along memang hendak mengalah.Sesungguhnya ‘ar rijalu qawwamuna ‘alan nisa’…Walaupun adik masih kecil, berbeza umur 21 tahun dengan Along, namun Along tetap mengiktiraf adik menjadi ketua kepada kita adik-beradik. Walaupun hakikatnya Along pun banyak keistimewaan sebagai anak sulung di mata emak dan ayah. Hehe…

Tetapi adik janganlah hanya menjadi permata dalam keluarga. Along juga mengharap adik dapat menjadi permata dalam agama. Menjadi mujahid,mati sebagai as-syahid. Atau sekurang-kurangnya adik dapat menjadi pendokong dalam perjuangan menegakkan Islam ini, menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah. Semoga Allah kabulkan doa Along ini…amin ya rabbal ‘alamin.

Penulis: Mungkin coretan ini kurang memberi manfaat kepada pembaca sekalian kerana ia bersifat luahan semata-mata.Semenjak mempunyai blog ini,penulis cenderung untuk menulis di blog berbanding di dalam diarinya. Hehe… Kemaafan dipohon.

Wednesday, October 8, 2008

RAYA DI HOSPITAL


Pada hari kedua yang lalu,alhamdulillah, saya berpeluang beraya di hospital kerana menemani adik saya yang berumur 4 tahun.Dia mengalami kecederaan pada elbow jointnya akibat jatuh dari kerusi ketika bermain-main . Tapi sekarang adik saya sudah semakin pulih selepas menjalani suatu pembedahan kecil pada hari raya kelima. Syukur kepada Allah,walaupun pada tahun ini saya tidak dapat bertandang ke rumah sanak saudara dan sahabat handai semeriah tahun-tahun yang lepas, namun saya telah memperoleh suatu pengalaman yang berharga.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kehidupan jururawat dan doktor-doktor. Saya kagum melihat mereka. Mungkin pada hari raya pertama pun mereka terpaksa bertugas di hospital. Kalau saya berada di tempat mereka, tidak sanggup rasanya untuk menyambut hari kemenangan tanpa bersama-sama keluarga tersayang ,menziarahi saudara-mara dan jiran tetangga.

Kawan-kawan saya di sini ramai juga yang mengambil bidang kejururawatan dan perubatan.Antara sahabat saya bakal jururawat ialah Rubiah,Khairani,Syeril,Salasiah,Hajar dan Asyikin.Sahabat yang memang rapat. Sahabat karib.Sahabat seperjuangan.Yang mengambil bidang perubatan pun ramai juga termasuk adik-adik usrah saya yang dikasihi, Nurul dan Ilyani. Juga sahabat-sahabat di Timur Tengah. Saya harap mereka tabah walau terpaksa bertugas di hari perayaan ketika bekerja nanti.

Saya?Entahlah. Saya tidak pasti bagaimana pula dengan dentist. Saya harap tidak.

Dari pagi hingga malam saya di wad, saya dapat memerhatikan gelagat para doktor dan jururawat. Para jururawat biasanya setia di wad sehingga tamat shif mereka yang lebih kurang 12 jam. Datang pagi,balik maghrib. Datang maghrib,balik pagi.Doktor pula datang jika mereka hendak memberikan rawatan kepada pesakit sahaja. Tetapi saya perhatikan doktor-doktor ini tetap berada di hospital dari pagi sampai malam.

Memang mencabar rupanya kerjaya sebagai doktor dan jururawat ini. Tetapi pasti akan mendapat pahala yang besar jika keletihan tersebut diiringi dengan keikhlasan. Menghilangkan kesusahan dan kesakitan orang lain sangat mulia di sisi manusia dan di sisi Tuhan. Tahniah dan selamat berjuang buat sahabat-sahabat saya yang bakal menjadi doktor dan jururawat. Juga untuk yang bakal menjadi dentist. Manalah tahu, mungkin juga akan mengalami nasib yang sama.

Dahulu sewaktu di Matrikulasi, saya juga asalnya seorang pelajar pre-medical. Tetapi saya tidak mengetahui apa yang terjadi kepada diri saya sehingga saya merasakan diri dan jiwa saya tidak mampu lagi untuk terus dalam bidang ini. Tidak serasi. Tidak larat. Tertekan. Akhirnya selepas saya melakukan istikharah, saya yakin untuk menukar ke bidang pergigian. Ada juga sedikit kekesalan bertapak di jiwa kerana emak dan ayah memang mengharap puteri sulungnya ini menjadi doktor perubatan, namun dipasrahkan hati jua. Borang penukaran course diisi dan alhamdulillah,approved.

Walaupun bidang pergigian juga merangkumi subjek-subjek perubatan yang basic, namun bagi saya bidang ini lebih menenangkan jiwa saya. Dengan gabungan sains dan seni tangan, saya masih berasa seronok mendalami bidang pergigian hingga saat ini. Tidak tertekan. Tahun depan,insya Allah kami akan mula praktikal dan berjumpa dengan patient.Alhamdulillah, takdir Allah sememangnya terbaik untuk manusia. Jangan kita persoalkannya. Redhalah dengan ketentuan Allah sebagaimana kita mengharap redha daripadaNya. Kesyukuran selalu padaMu ya Allah…
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template