:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Showing posts with label pergigian. Show all posts
Showing posts with label pergigian. Show all posts

Sunday, September 18, 2011

Rahsia Kayu Sugi dan Bersiwak

Bersiwak atau lebih dikenali dengan bersugi kini jarang-jarang sekali dilakukan oleh kita sebagai seorang Islam. Ia merupakan amalan Rasulullah SAW yang sering dilakukannya sebelum menyempurnakan setiap pengambilan wuduk bagi menunaikan solat. Pernahkah kita terfikir apakah kelebihan bersiwak?

Kenapa Rasullullah SAW begitu mementingkan amalan siwak, serta menggalakkan umatnya sentiasa mengamalkannya sehingga pernah bersabda di dalam beberapa hadisnya:

Dari riwayat Abu Hurairah ra daripada Rasulullah SAW:

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل الصلاة

“Seandainya tidak memberatkan ummatku, maka aku perintahkan mereka untuk bersiwak setiap akan wudhu” (Muttafaq ‘alaihi). Al-Bukhari 1/ 283 nombor hadis (13458) dan dari Muslim 1/220 hadis 42 / 252.

Daripada Aisyah ra bahawasanya Rasullullah SAW bersabda:

السواك مطهرة للفم مرضاة للرب
( An-Nasaie 1/10, Ibnu Khuzaimah 1/70 nombor hadis 135.)

Malah kini telah wujud berbagai penemuan ilmiah dari sudut sains berkaitan dengan kayu siwak serta hikmahnya kepada kesihatan mulut dan gigi.

Daripada beberapa kajian yang telah dikaji dan direkodkan kajiannya oleh Profesor Doktor Abdullah Abdul Ar-Razak Mas’ud As-Sa’id di dalam bukunya yang bertajuk “Siwak, Perhatian Berat Dalam Pengamalannya Untuk Kesihatan Gigi” antaranya adalah:

1) Kayu siwak terdiri daripada beberapa ciri yang boleh kita dapati daripada “gall tree” yang dipercayai sebahagian daripada bahagian tumbuhan atau pokok yang secara saintifiknya mempunyai bahan anti-kulat juga sebagai bahan lawas untuk penghadaman. Malah kini terkenal di dalam penggunaan anti pengaliran darah (pembekuan darah). Namun Doktor Abdullah Abdul Razak menegaskan bahawa kayu siwak adalah bersih serta ciri-ciri yang terkandung di dalamnya boleh membersihkan gusi serta gigi manusia serta merawat luka kecil yang terdapat pada gigi kita serta menghalang pengaliran darah daripadanya.

2) Bahan yang terdapat di dalam siwak mempunyai perkaitan dengan sejenis minyak yang dinamakan “Sinigrin”(minyak biji sawi atau mustard). “Sinigrin” ini juga digunakan di dalam pembuatan sejenis agar-agar yang digabungkan dengan gula yang boleh kita dapati daripada buah anggur. Namun dengan penggunaan sejenis enzim “Myrosinaze enzymes” dapat memisahkan agar-agar itu kepada dua komponen semula, iaitu minyak “Sinigrin” dan gula anggur. Hasil minyak ini baunya cukup kuat malah rasanya pahit dan hangat, seperti apa yang dirasai oleh sesiapa yang baru pertama kali menggunakan kayu siwak. Kajian turut membuktikan bahawa bahan ini boleh membantu dalam membunuh beberapa jenis kuman.

Begitu juga kajian oleh seorang ketua bagi Institut Kajian Kuman dan Wabak di salah sebuah universiti di Jerman (Rostod University) bahawa kesan daripada bahan yang terdapat di dalam kayu siwak sama seperti kesan “Penisillin” (sejenis anti-biotik) yang membantu malah boleh membunuh pertumbuhan kuman dan diantara salah satu contoh kumannya adalah “Staphylococcus”.

Perkara ini juga yang dipersetujui oleh salah seorang hakim syari’e di Universiti Karachi Pakistan, Profesor Abdul Hamid yang mengatakan bersiwak boleh membunuh sebanyak lima jenis kuman yang terdapat pada mulut kita. Malah disokong kenyataannya oleh teman seperjuangannya Profesor Mohamad Walid Hamud yang mengatakan kayu siwak yang biasanya digunakan untuk bersugi adalah daripada sejenis kayu “Ud Al-Arak” di antara tumbuhan perubatan yang mengandungi bahan perekat gam (adhesive), bahan penyuci, bahan pengawet (masam), bahan pewangi, bahan hablur silika, dan bahan yang mengandungi garam mineral.

Kajian yang lain mengatakan tumbuhan perubatan ini “Ud Al-Arak” adalah sejenis tumbuhan yang strukturnya terdiri daripada bahan fiber yang mengandungi sodium karbonat, dan ia merupakan bahan kimia yang banyak kelebihannya di dalam penghasilan ubat gigi malah kini setelah kajian lebih meluas daripada kayu siwak dilakukan, terdapat penghasilan sejenis bahan kimia pada strukutur kayunya dikenali dengan nama saintifiknya sebagai “Tannic Acid” yang boleh menghalang jangkitan kepada gusi dan menghalang pembentukan karies gigi.

Tahukah anda bahwa bersiwak itu penting dalam Islam?

Ibn Umar r.a. berkata:

Rasulullah SAW. bersabda,

“Jadikan bersiwak itu satu amalan, kerana yang demikian (bersiwak) itu menyihatkan mulut dan merupakan sesuatu yang disukai Yang Maha Pencipta” ( Hadis Riwayat Al-Bukhari ).

“Empat perkara yang menambahkan kecerdasan iaitu meninggalkan percakapan sia-sia, menggunakan miswak, duduk di dalam majlis orang-orang soleh, dan duduk di dalam majlis para ulama”. (Thibbi Nabawi)

Bersiwak daripada segi saintifik

Dalam tubuh badan manusia terdapat pengaliran caj yang berperanan memastikan sel-sel tubuh terus bertenaga dan menjalankan fungsi seperti normal. Secara umumnya kaum lelaki dewasa mempunyai caj elektron dominan. Manakala kaum wanita dan kanak-kanak mempunyai caj proton dominan. Antara kedua-dua jenis caj ini, elektron yang penting kerana ia mempertenagakan sel.

Elektron ini sentiasa digunakan dan akibatnya akan hadir caj proton. Caj proton yang berlebihan ini perlu dialirkan keluar supaya elektron dapat diperbaharui.

Pengaliran proton keluar perlu melalui panel khas yang digelar “panel pembumi”. Pada tubuh terdapat dua bahan organik yang berfungsi sebagai panel peneutral kehadiran proton berlebihan pada tubuh iaitu rambut (bulu roma), gigi, kuku dan kulit mati (atau mana-mana organik binaan mineral yang menganjur keluar dari tubuh).

Pencemaran Panel

Sebagai Panel Pembumi, ia sentiasa akan menampung kehadiran caj proton. Oleh itu ia sangat berpotensi untuk tercemar. Pada peringkat pencemaran yang rendah, ia boleh dibersihkan melalui cara dibasuh menggunaan air mutlak dengan kerap.

Kawasan yang perlu dibersihkan ialah wajah (bulu roma terdapat banyak di wajah), kepala, anggota tangan dan kaki. Panel Pembumi ini tidak dapat dibersihkan dengan air sekiranya kandungan sel mati terlalu tinggi (atau panjang). Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil:

1. Kuku panjang perlu dibuang. Menyimpan kuku panjang akan menyebabkan caj protein lebih kerap mencemarinya.

2. Rambut yang panjang perlu dilindungi daripada terdedah kepada atmosfera luar rumah supaya tidak mudah tercemar dengan caj proton berlebihan. Memakai tudung apabila keluar rumah bukan sekadar menutup aurat terhadap orang bukan muhrim tetapi mempunyai alasan yang sungguh saintifik.

3. Mandi perlu kerap setiap hari supaya sel kulit mati dapat disingkirkan. Hubungan intim antara suami isteri akan meneutralkan caj elektron dan menjadikan potensi untuk dicemari caj proton lebih tinggi. Oleh itu, mandi junub selain untuk tujuan bersuci dari hadas, ia juga mempunyai alasan yang sungguh saintifik.

Gigi tidak memanjang atau menghasilkan sel mati, sebaliknya ia menghasilkan mineral kalsium semulajadi tubuh. Oleh itu, pencemaran yang berlaku di gigi akan menyebabkan gigi memendam caj proton.

Kesan pencemaran proton pada gigi

Gigi yang tercemar menjadikan ia mudah menarik logam berat dan bahan berasid untuk melekat kepadanya. Bahan ini akan melekat pada dinding gigi dan membentuk plak (plaque). Plak boleh menebal dan menjadi keras. Plak ini tidak boleh boleh dibersihkan secara fizikal seperti mencongkel, menggosok gigi dengan berus gigi bersama ubat gigi dan sebagainya.

Mudarat Berus Gigi Linen

Terdapat pelbagai jenis berus atau pembersih gigi di pasaran. Begitu juga dengan ubat gigi. Mereka membuat pelbagai teknik dan dakwaan. Antara teknik yang digunakan ialah seperti mesen getaran, mesen yang memutarkan berus, pengurut gusi daripada getah, pembersih lidah dan sebagainya.

Berdasarkan kajian saintifik, memberus dengan pelbagai cara menggunakan berus linen atau plastik walaupun berus tersebut dibuat dengan rekabentuk yang canggih, sebenarnya tidak akan membantu membersihkan menanggalkan plak dengan berkesan.

Malah berus itu sendiri sebenarnya penuh dengan bakteria dan boleh memudaratkan gigi.

Berus yang diperbuat daripada linan atau plastik amat mudah memerangkap bakteria. Itu lah sebabnya persatuan doktor-doktor gigi menyarankan agar berus gigi ditukar setiap dua bulan sekali! Mungkin anda lihat berus gigi tersebut masih baru dan belum rosak atau berusnya masih keras, tetapi ia sudah boleh memudaratkan kesihatan gigi.

Lipas amat menyukai berus gigi. Mereka suka “membersihkan” berus gigi anda setiap malam. Sekiranya anda boleh menukar berus gigi setiap bulan atau merawat berus gigi setiap kali digunakan, maka berus itu selamat digunakan.

Di pasaran dunia dan Malaysia khususnya (termasuk Indonesia) terjadi lonjakan barangan keperluan yang dibuat dari sumber yang haram dan beracun. Berdasarkan pada Panduan Halal Haram yang di keluarkan oleh Consumer Association of Penang (2006),“Lazimnya berus yang dibuat dari bulu babi dilabelkan sebagai ‘Pure Bristle’. Selain berus lukisan, berus cat, berus penggosok sajadah dan songkok, berus gigi dan berus cukur dikhuatirkan mengandung bahan haram ini.”

Di saat umat Islam dilanda kebimbangan mengenai status barang halal, khususnya keperluan dalam menjaga kesihatan mulut, Nabi SAW. telah memberikan satu solusi yang terbaik sejak 1430M yang lalu. Pada zaman nabi telah terdapat berbagai jenis alat pembersih mulut seperti powder, tetapi siwak tetap menjadi pilihan Baginda SAW.

Aliran Elektrostatik

Satu satunya cara untuk membersihkan pencemaran pada gigi ialah dengan mengalirkan perturakan caj elektron. Elektrostatik boleh dijana melalui cara gosokan.

Kayu sugi yang biasa digunakan untuk mengosok gigi didapati mempunyai penjanaan elektron yang banyak apabila digosokkan.

Liang kayu sugi mempunyai geometri yang seragam. Ia dipenui dengan elektron apabila digetarkan melalui gosokan. Elektron ini sungguh bertenaga sehingga memustahilkan bakteria boleh berada di dalamnya.

Elektron terhasil melalui ruang jisim yang bergeometri yang digetarkan melalui gosokan atau tekanan.

Kesan Gigi Mendapat Elektron

Gigi yang menerima elektron akan mempunyai getaran asal yang tidak menerima benda asing melekat kepadanya. Ia juga berkeupayaan untuk mengawal aktiviti biotik dan mengelak daripada jangkitan kuman. Oleh itu, gigi yang disosok dengan kayu sugi mempunyai keupayaan untuk menanggalkan plak lebih baik daripada kaedah cungkil atau memberus.

Walaupun anda hanya menggosakkan beberapa batang gigi sahaja, elektron boleh tesebar ke gigi lain yang bersebelahan sekiranya gigi tersebut bersentuhan atau rapat.

Plak di bahagian belakang gigi juga akan tertanggal walaupun tidak dicapai oleh kayu sugi. Dengan hanya menggosok di bahagian hadapan gigi, bahagian belakangnya juga turut mendapat elektron yang membantu menggalkan plak dengan sendiri, insya Allah.

Oleh itu, menggosok tidak perlu sehingga mencapai ke seluruh permukaan gigi termasuk belakang dan garham belakang. Kecuali jika terdapat renggangan gigi, maka gigi yang renggang dan tersebut perlu digosok kerana elektron tidak mengalir dengan sempurna daripada gigi hadapan.

Cara Menggunaan Kayu Sugi atau Siwak

Orang menggunakan siwak dalam bentuk batang atau stick kayu dengan cara:

1. Batang atau cabang siwak dipotong berukuran pensil dengan panjang 15-20 cm. Stick kayu siwak ini dapat dipersiapkan dari akar, tangkai, ranting, atau batang tanamannya. Stick dengan ukuran diameter 1 cm dapat digigit dengan mudah dan dapat memberikan tekanan yang tidak merosak gusi apabila digunakan.

2. Kulit dari stick siwak ini dihilangkan atau di buang hanya pada bahagian hujung stick yang akan dipakai sahaja.

3. Siwak yang kering akan merosak gusi, sebaiknya direndam dalam air segar selama 1 hari sebelum digunakan. Selain itu, air tersebut juga dapat digunakan untuk kumur-kumur.

4. Bahagian hujung stick siwak yang sudah dihilangkan kulit luarnya digigit-gigit atau dikunyah-kunyah sampai berjumbai seperti berus.

5. Bahagian siwak yang sudah seperti berus digosokkan pada gigi, dan boleh digunakan untuk membersihkan lidah.

Kesimpulannya

Berikut merupakan beberapa fakta tentang struktur kimia yang telah dinyatakan oleh seorang pakar farmasi (penyediaan ubat) yang dikenali sebagai Sallahuddin Hanafi setelah beberapa eksperimen dijalankan ke atas ubat gigi yang dihasilkan daripada kayu siwak:

1) Ia mengandungi beberapa sumber garam mineral, sodium klorida (sodium chloride), kalsium, sodium, fosfat (phosphate), zat besi, silica, dan lain-lain lagi. Ternyata sebahagian daripanya mempunyai faedah yang tersendiri pada gigi serta gusi manusia. Di antaranya, bahan klorin yang terdapat di dalam sodium klorida membantu mengekalkan keputihan kepada gigi kita.

2) Ia juga mengandungi minyak yang berbau harum (essences oil), merupakan sejenis minyak yang mempunyai haruman yang menyegarkan yang hampir sama dengan haruman ubat gigi yang berada di pasaran pada hari ini. Kajian mengatakan bahawa minyak ini warnanya perang kemerah-marahan. Boleh dikatakan salah satu daripada faedah bersiwak adalah mengelakkan bau yang tidak menyenangkan hasil tinggalan sisa-sisa makanan di antara celah gigi kita.

Begitulah di antara beberapa faedah daripada kayu siwak, dan beberapa maklumat dari sudut saintifiknya. Malah tidak dinafikan, semakin banyak kajian serta eksperimen telah dilakukan di beberapa buah negara samada di Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan beberapa buah negara lain tentang kelebihan daripada amalan bersiwak. Sehingga kini telah muncul pelbagai produk moden bagi ubat gigi, atau bahan pencuci mulut yang bahan-bahannya adalah daripada pencampuran kayu siwak ini.

Namun begitu, kita sebagai pewaris umat Rasullullah SAW, nabi junjungan yang telah dipilih oleh Allah SWT sepatutnya berasa bersyukur kerana umat Islam adalah populasi yang aslinya telah didedahkan dengan amalan bersiwak ini.

Sesungguhnya, agama Islam merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama dengan “role model” yang begitu sempurna iaitu Rasullullah SAW kepada kita. Tidak dinafikan, segala yang datangnya dari kata-kata serta perbuatan Saiyidina Muhammad SAW adalah datangnya daripada Pencipta agung bagi seluruh makhluk di muka bumi ini, Allah SWT. Bukankah agama Islam merupakan agama yang cukup ideal dan sempurna, merangkumi dari segala aspek kebaikan di dunia dan ganjaran bagi yang bertakwa di akhirat kelak…Subhanallah!

Monday, August 22, 2011

Repost: Soalan-soalan Lazim Tentang Pergigian dan Puasa


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Di sini disertakan beberapa soalan-soalan lazim tentang rawatan pergigian dalam bulan Ramadhan, berserta jawapannya yang telah dirujuk daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Diharap tulisan ini dapat membantu para doktor gigi, pelajar-pelajar pergigian dan sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan rawatan pergigian dalam bulan Ramadhan.

* * *
Soalan 1: Bolehkah kita mendapatkan rawatan gigi dalam bulan Ramadhan? tidakkah terbatal puasa kita?

Jawapan:

Dlm majmuk al-fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, cabut gigi tidak membatalkan puasa, selagi mana air di dalam mulut tidak ditelan. Begitu juga jika melakukan dental filling (tampalan), scaling (cuci gigi) dsb. (rujukan: سبعون مسألة في الصيام , Syaikh Salih Munajjid)

Sebagai langkah berjaga-jaga adalah disarankan supaya benda- benda yang terkumpul ketika menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian seperti air liur, kahak atau darah hendaklah sentiasa dibuang atau disedut dengan alat perubatan yang disediakan seperti suction (penyedut cecair iaitu alat untuk memindahkan cecair yang tidak diperlukan melalui satu tiub untuk dibuang). Rongga mulut juga hendaklah dibersihkan dengan air yang bersih. Ini bertujuan untuk mengelak dari tertelan air liurnya yang bercampur dengan darah kerana ia boleh mengakibatkan puasanya batal.
(rujukan: http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil293.pdf)


* * *
Soalan 2: Apa hukumnya menerima ubat bius (local anaesthesia) semasa berpuasa?

Jawapan:

Dibolehkan. (rujukan: Puasa, Hikmah dan Hukum -Syeikh Dr. Abdul Majid Aziz az-Zindani)

Rujukan lain: "Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa." (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226).

* * *
Soalan 3: Apakah hukum berkumur-kumur dengan cecair kumur ,contohnya Listerine ketika waktu berpuasa?

Jawapan:

Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie adalah harus berkumur membersihkan mulut atau bersugi sebelum masuk waktu Zohor dan selepas waktu Zohor hukumnya adalah makruh. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya :"Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi."

Walaubagaimana pun Imam Nawawi berfatwa dengan tidak makruh membersihkan mulut sekalipun selepas masuk waktu Zohor kerana hadith tersebut bukan melarang membersihkan mulut, tetapi hanya menyatakan kelebihan orang yang berpuasa.

Atas pendapat Imam Nawawi ini tidaklah mengapa membersihkan mulut dengan ubat pencuci mulut atas orang yang sedang berpuasa.(Dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dengan rujukan beliau Kitab Majmuk Imam Nawawi)

* * *
Soalan 4: Jika gigi sakit, adakah dibolehkan berbuka?

Jawapan:

Dalam ayat 185 surah al Baqarah (siapa yg sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka puasa), maka wajiblah diganti pada hari yang lain).Menurut Syaikh al-Qardhawi, sakit yg dimaksudkan oleh ayat itu bukan semua jenis sakit, tetapi sakit yg dimaksudkan ialah sakit yg membawa mudharat dan menjadi bertambah mudharat jika dia terus berpuasa.

Yang boleh menentukan tahap bahayanya tahap kemudharatan puasa ke atas pesakitnya ada dua cara: pertama, disahkan oleh doktor yang merawatnya yang amanah dgn kerjayanya, kedua: berdasarkan pengalaman atau keadaan si pesakit sendiri.Menjadi tugas mereka yang terlibat dengan kerjaya perubatan menasihati pesakit mengenai status puasanya setelah melihat ujikaji dan keadaan pesakit.
(rujukan :http://www.soaljawabpuasa.co.cc/ )

Tuesday, July 19, 2011

Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment)

Rawatan salur akar (rawatan endodontik) merupakan rawatan alternatif bagi gigi yang telah dijangkiti atau rosak atau mati, agar gigi tersebut tidak dicabut dan boleh terus kekal berfungsi di dalam mulut.

Apakah ciri-ciri gigi yang memerlukan rawatan akar?

*Gigi yang rosak teruk atau mempunyai tampalan yang besar hingga melibatkan lapisan pulpa.
*Gigi yang telah mati.

Kenapa rawatan salur akar perlu dilakukan?

Rawatan salur akar dilakukan supaya gigi yang rosak itu tidak dicabut yang mana akan dapat mengekalkan gigitan dan fungsi gigi.

Apakah akibatnya jika rawatan ini tidak dilakukan?

*Ketidakselesaan atau kesakitan akan bertambah teruk.
*Jangkitan atau nanah akan terjadi pada gigi tersebut.
*Gigi itu mungkin terpaksa dicabut.

Prosedur

*Rawatan ini mungkin memerlukan satu hingga dua atau lebih temujanji.
*Salur akar (kanal) gigi akan dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan peralatan dan ubatan sebelum ianya ditutup.

Bagaimana dengan penjagaan gigi?
Amalkan penjagaan kesihatan gigi seperti biasa. Ingat untuk :

*berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan ubat gigi berfluorida.
*kurangkan kekerapan pengambilan makanan manis.
*dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala.

Soalan yang kerap ditanya

Adakah rawatan ini menyakitkan?

J: Kebiasanya rawatan ini tidaklah menyakitkan. Bius setempat kadang-kadang digunakan jika perlu.

Adakah saya memerlukan korona selepas rawatan salur akar?

J: Rawatan salur akar tidak semestinya memerlukan korona. Rawatan korona hanya perlu jika kehilangan struktur asal korona gigi sangat teruk.

Di mana saya boleh mendapatkan rawatan ini?

J: Anda boleh ke klinik pergigian yang berhampiran untuk mendapatkan nasihat, pemeriksaan dan maklumat lanjut mengenai rawatan ini.

Saturday, February 19, 2011

Fractures

"Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kami telah menjadi tulang belulang yang hancur lumat?"
Mereka berkata: "Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan."
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah satu kali tiupan saja, maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi.
(An-Naazi'at : 11-14)

Assalamualaikum buat semua pembaca,

Entri ini saya hasilkan hanya untuk memudahkan rujukan saya tentang sebahagian daripada topik fractures, yang saya copy paste daripada page facebook Dentistry---طب الأسنان .

Midface Fractures
>>le Fort Type 1
  • horizontal maxillary fracture.
  • fracture line passes through the alveolar ridge, lateral nose and inferior wall of maxillary sinus.
>>le Fort Type 2
  • pyramidal fracture
  • fracture arch passes through posterior alveolar ridge, medial orbital rim and nasal bones.
>>le Fort Type 3
  • craniofacial disjunction
  • fracture line passes through nasofrontal suture, maxillo-frontal suture , orbital wall and zygomatic arch.

Mandibular fractures

We can classify the mandibular fractures according to :

1- anatomical distribution of mandibular fractures (figure 1)
figure 1

2- according to extent of injury (figure 2)

A- Simple Fracture. A simple fracture is a break in the bone that does not produce an open wound in the skin. A simple fracture can be complete (complete severance of the bone) or incomplete. Tissue adjacent to the fracture may or may not suffer considerable injury.

B- Greenstick fracture is one in which one side of the bone is broken and the other side is bent.

C- Compound Fracture. A compound fracture is a break in the bone with an external wound extending to the bone. Communication from the bone to the skin or other covering surface is an invitation for contamination.

D- Comminuted Fracture. A comminuted fracture is one in which the bone is splintered into three or more fragments or is crushed.

NOTE: A compound-comminuted fracture is one with both a splintering of the bone and a break in the bone with an opening to the covering surface.


figure 2

3- favorable and unfavorable mandibular fracture

Favorable Fracture.
A favorable fracture is when the line of the fracture occurs in a direction that does not allow the pull of the muscles on the segments to displace the segments.

Unfavorable Fracture. An unfavorable fracture is a fracture with displacement or separation of the fractured segments due to muscle pull on the segments.

Tuesday, December 14, 2010

Coretan: Hari Yang Sedih

Antara perkara yang paling menggembirakan dalam kehidupan seorang pelajar Pergigian ialah apabila gigi palsu yang dihasilkannya dapat dipakai dengan selesa oleh patientnya. Manakala, antara perkara yang mengecewakan pula adalah apabila berlaku sebaliknya.

Dan hari ini, saya terpaksa merasakan kekecewaan itu. Terasa lemah tidak terkira, putus asa datang menerpa, hatta sewaktu menulis entri ini pun kesedihan masih ada di jiwa. Namun apakan daya, segalanya harus dilalui dengan redha, kerana itulah hakikat kehidupan yang penuh pancaroba. Waduh waduh, macam berpuisi pula. Hehe. Bila tengah sedih ni senang pula ayat-ayat menjadi ayat puisi.

Ini cuma gambar hiasan. Saya tidak dapat mengambil gambar gigi palsu yang saya buat kerana kamera saya yang dibaiki di kedai masih lagi tak siap-siap.

Jika hendak diceritakan apa yang terjadi, agak panjang ceritanya. Jadi terpaksa pendekkan ia. Gigi palsu tidak dapat diserahkan kepada patient saya yang sangat eager untuk memakainya pada hari ini, lantaran beberapa masalah teknikal. Dan berita 'baik' yang saya terima daripada pensyarah yang supervise saya ialah kena repeat balik proses buat gigi palsu dari mula...huhu. Tahniah Shahibul Afzan. :)

Sedih patient tidak terkira,
Sedih lagi hamba merasa,
Penat lelah lebih sepurnama,
Hanya menjadi sia-sia.

Bersyair pula jadinya. Sebelum ini Allah sentiasa beri kegembiraan kepada saya, tatkala patient-patient yang lain dapat pulang dengan gigi palsu baru mereka. Ujian Allah yang baru saya rasakan kali ini walaupun agak pahit untuk ditelan tentu sekali penuh hikmah, serta membuktikan kasih sayangnya. Teringat kata-kata seorang Dr,

"Repeat ni sinonim dengan kehidupan dental student..."

Maafkan saya patient. Harap anda masih dapat bersabar dan masih sudi jumpa saya.

p.s: Saya perlu siapkan gigi palsu untuk 12 orang patient sebelum saya grad. Doakan saya berjaya menyiapkannya ya, wahai pembaca yang budiman. Selamat Hari Asyura dan Selamat Berpuasa :)

Tuesday, November 23, 2010

Tanam Gigi / Implan

Saya bawakan artikel berkaitan tanam gigi / implan hasil tulisan Prof. Dr. Kamsiah yang juga merupakan pensyarah jemputan di kulliyyah kami. Beliau boleh dilawati di drkam.wordpress.com.

Implan Pergigian Membina Keyakinan Diri

oleh Dr. Kamsiah

dentalimplants5

Sejak akhir-akhir ini ramai orang yang ingin mengetahui tentang implan pergigian dan bagaimana rawatan itu dijalankan.

Di awal tahun lima puluhan, suatu penemuan baru oleh seorang ahli sains Sweden Professor Per Ingvar Branemark. Beliau mendapati bahawa logam titanium boleh melekat secara langsung dan tidak berbalik kepada tulang hidup. Penemuaannya ini adalah bercanggah daripada teori saintifik kontemporari, yang menyatakan bahawa logam tidak boleh melekat kepada tulang hidup.

Professor Branemark seterusnya membuktikan bahawa di bawah pengawasan yang teliti, titanium dapat berintegrasi dengan tulang hidup dan dapat dipastikan dengan tepat, tempoh hayat yang panjang tanpa menyebabkan keradangan tisu lembut atau tidak diterima oleh tubuh. Beliau menamakan fenomena in sebagai osseointegrasi.

Kes pertama beliau telah dilakukan dengan menanam tiang titanium ke dalam tulang rahang pesakit edentulus (tiada bergigi langsung) pada tahun 1965. Sehingga kini, iaitu telah lebih 40 tahun, implan titanium tersebut masih dapat bertahan di dalam mulut pesakit berkenaan.

Kajian-kajian selanjutnya telah dijalankan. Sehingga kini terdapat berbagai syarikat yang mengeluarkan implan pergigian berdasarkan konsep osseointegrasi tersebut.

Kepentingan Implan Pergigian

dental-implants2

Kepentingan dan masalah mengenai ketiadaan gigi (edentualism) mungkin tidak ketara pada semua orang. Di dalam banyak kes, bukan sahaja gigi dan tulang yang hilang, tetapi keyakinan diri turut terjejas.

Selaluinya pakar gigi bukan sahaja berdepan dengan masalah mekanikal atau biologikal, tetapi individu itu secara keseluruhan. Pesakit mungkin tiada bergigi selama 30-40 tahun. Pengalaman persakit mempunyai satu set gigi yang baru dan menyakinkan, mungkin tidak dapat dilupakan oleh pesakit dan keluarganya.

Untuk mengurangkan potensi kerosakan semasa penyediaan, alat-alat tajam yang direkabentuk khas digunakan. Bahan titanium tulen dan tidak tercemar pada permukaan komponen serta mikroarkiteknya yang unik adalah syarat-syarat penting di dalam pencegahan reaksi yang tidak baik dalam jangka masa pendek dan panjang.

Persoalan di sini bukan setakat mengorek lubang ke dalam tulang dan memasukkan sesuatu ke dalamnya, tetapi untuk membentuk keharmonian di antara komponen-komponen sintetik dan biologi supaya kedua-dua komponen dapat bertahan seumur hidup pesakit.

dental_implants attachment

Selain memberi kestabilan pada prostesis (seperti gigi palsu) yang digunakan, implan gigi dapat membantu gigitan yang berkesan di samping fonetik (pertuturan) dan estetik (rupa paras) yang lebih baik. Implan gigi juga dapat mengekalkan keyakinan diri dan kualiti hidup pada pesakit edentulus.

Rawatan diberikan kepada kes-kes terpilih bergantung kepada riwayat kesihatan am dan kesihatan mulut pesakit. Radiograf digunakan untuk memastikan kualiti dan kuantiti tulang yang hendak digunakan .

Peringkat-Peringkat Rawatan

Terdapat tiga peringkat rawatan pada kebiasaannya. (bergantung kepada jenama dan teknik implan- ada yang boleh siap dalam tempoh satu sesi!) Di dalam rawatan pertama dan kedua, satu pembedahan diperlukan dalam keadaan anestesia (bius), cuma ketidakselasaan kecil dialami oleh pesakit.

Lubang-lubang ditebuk pada rahang di dalam rawatan pertama dengan menggunakan alat-alat dan teknik-teknik khusus untuk mengurangkan kecederaan pada tisu hidup.

pemasangan implant ke tulang rahang pemasangan implant ke tulang rahang

Pemasangan ‘fixture’/ skrew implan

Fixture titanium akan diskru ke dalam lubang yang telah ditebuk. Fixture yang digunakan dikeluarkan oleh pengeluar dalam bentuk dan saiz yang tertentu serta bersih daripada kuman.

Pemasangan Tupang-Tupang/ abutmen

Jangka masa 6 minggu sehingga 6 bulan diperlukan untuk penyembuhan dan tempoh osseointegrasi permulaan sebelum pembedahan kedua diperlukan. Lubang kecil ditebuk pada gusi yang meliputi fixture dan tupang-tupang dipasangkan kepada fixture osseointegrasi.

Peringkat Prostodontik

pemasangan abutmen pada peringkat ke2 dan korona pada peringkat akhir.

Selepas beberapa minggu, prostesis yang berupa korona dan jambatan pergigian (bridge) dibuat dengan melekatkannya kepada abutmen-abutmen yang telah disediakan. Pesakit akan dapat menggunakan gigi-gigi baru ini seolah-olah gigi-gigi asli .

Terdapat sebilangan pesakit yang prostesis tidak dapat dilekatkan terus secara tetap, dentur boleh tanggal dibuat ke atas abutmen. Ini dapat mengurangkan masalah daripada memakai dentur yang longgar.

Kesimpulan

Implan pergigian adalah salah satu cara penyelesaian bagi pesakit pesakit yang kehilangan satu atau kesemua gigi kekal. Ia bergantung kepada keadaan keseluruhan kesihatan pesakit, kualiti dan kuantiti tulang yang masih tinggal selepas cabutan. Pelbagai teknik dan jenis implan berada di pasaran. Ia bergantung kepada kebolehan perawat untuk memahirkan diri dalam teknik-teknik dan bahan bahan yang sentiasa berubah mengikut kajian syarikat syarikat pengeluar implan.

Friday, October 1, 2010

Hukum Memakai Braces

Gambar hiasan semata-mata. Boleh anda kesan apa yang tidak kena dengan gambar kambing ini? Jawapannya ada di penghujung entri...

Soalan:

Apakah hukumnya memakai “braces” utk mencantikkan gigi? Adakah memakai “braces” yg popular hari ini dgn tujuan utk membetulkan kedudukan gigi juga dianggap haram dlm Islam? Adakah itu termasuk mengubah ciptaan Allah?

Jawapan (dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus):

Jikalau alat tersebut dipakai dengan tujuan membetulkan kecacatan gigi seperti gigi yang tidak rata atau terlebih keluar maka setengah ulamak fiqh mengharuskan memakainya dan tidak dinamakan mengubah ciptaan Allah SWT.

Ada pun jika dipakai alat tersebut dengan tujuan menambahkan lagi kecantikan gigi yang telah sedia elok maka hukumnya adalah dilarang sebagaimana yang disebut oleh beberapa orang ulamak muktabar.

Wallahua'lam.

* * *

Jawapan untuk soalan tentang gambar kambing di atas:

Pertama, sebenarnya binatang seperti kambing, biri-biri dan lembu tidak mempunyai gigi kacip atas, sebaliknya mempunyai 'dental pad'. Gigi kacip bawah dan 'dental pad' ini akan digunakan untuk meragut rumput, seterusnya dibawa ke gigi geraham yang terletak di belakang untuk dikunyah.

Kedua, tidak pernah ada lagi binatang yang pakai braces! :)

Jawapan anda betul? 10 markah!!

Wednesday, August 11, 2010

Soalan-soalan Lazim Tentang Puasa dan Pergigian


Soalan: Bolehkah kita mendapatkan rawatan gigi dalam bulan Ramadhan? tidakkah terbatal puasa kita?

Jawapan: Dlm majmuk al-fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, cabut gigi tidak membatalkan puasa, selagi mana air di dalam mulut tidak ditelan. Begitu juga jika melakukan dental filling, scaling dsb. (rujukan: سبعون مسألة في الصيام , Syaikh Salih Munajjid)


Soalan: Apa hukumnya menerima ubat bius (local anaesthesia) semasa berpuasa?

Jawapan: Dibolehkan. (rujukan: Puasa, Hikmah dan Hukum, Syeikh Dr. Abdul Majid Aziz az-Zindani)

Rujukan lain: "Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa." (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226).


Soalan: Apakah hukum berkumur-kumur dengan cecair kumur ,contohnya Listerine ketika waktu berpuasa?

Jawapan: Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie adalah harus berkumur membersihkan mulut atau bersugi sebelum masuk waktu Zohor dan selepas waktu Zohor hukumnya adalah makruh. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya :

"Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi."

Walaubagaimana pun Imam Nawawi berfatwa dengan tidak makruh membersihkan mulut sekalipun selepas masuk waktu Zohor kerana hadith tersebut bukan melarang membersihkan mulut, tetapi hanya menyatakan kelebihan orang yang berpuasa.

Atas pendapat Imam Nawawi ini tidaklah mengapa membersihkan mulut dengan ubat pencuci mulut atas orang yang sedang berpuasa.

(Dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dengan rujukan beliau Kitab Majmuk Imam Nawawi)

Tuesday, July 20, 2010

Menjawab Pertanyaan di Shoutbox

Assalamualaikum buat semua...

Entri ini adalah untuk menjawab pertanyaan Ingin tau dan sahabat saya, mutiara bd yang bertanya di shoutbox. Maafkan saya jika agak terlambat membalasnya, kerana kesibukan menjengah sebentar.

Soalan daripada Ingin tau bertanyakan tentang sehingga umur berapakah gigi akan tumbuh.

Untuk memudahkan penerangan, saya sertakan gambar di bawah.

Gigi-gigi akan tumbuh mengikut masanya (dengan izin Allah!). Namun, ada juga gigi yang tidak tumbuh (semulajadi tiada gigi/terhalang oleh gigi susu dsb). Untuk lebih tepat, kita boleh melihat keadaan gigi kita melalui x-ray.

Secara lazimnya, kita dikurniakan Allah sebanyak 20 batang gigi susu dan 32 batang gigi kekal. Biasanya, waktu untuk gigi susu pertama (gigi kacip) tumbuh adalah sekitar usia 6-7 bulan. Kemudian, gigi-gigi yang lain pula akan menyusul. Ketika kanak-kanak telah berusia 3 tahun, biasanya mereka telah pun mempunyai semua set gigi susu dengan lengkap dan sempurna.

Setelah berusia 6 tahun, gigi kekal pertama (gigi geraham pertama) akan tumbuh. Kemudian, ini diikuti dengan pertumbuhan gigi-gigi kekal yang lain untuk menggantikan tempat gigi-gigi susu. Gigi kekal yang paling akhir tumbuh ialah gigi geraham ketiga, juga dikenali dengan nama Third molar @ gigi geraham bongsu @ wisdom tooth. Biasanya gigi geraham bongsu tumbuh setelah kita berusia 17 tahun dan ke atas (bergantung kepada individu). Ada juga yang tidak akan tumbuh langsung. Tentang gigi geraham bongsu saya ada tuliskan di sini.

Saya berharap penerangan ini menjawab persoalan Ingin tau. Jika tidak menepati, sila maklumkan kembali kepada saya ya.

* * *

Soalan kedua daripada mutiara bd, bertanyakan tentang sebab gusi bengkak ketika stress dan cara-cara mengendalikannya.

Saya akan memberikan jawapan berdasarkan apa yang diajarkan oleh Prof. Dr. Wisam, pensyarah kami, seorang specialist dalam bidang Periodontology.

Acute Necrotizing Ulcerative Gingivitis, penyakit gusi yang biasa terjadi disebabkan stress

Ada 2 sebab kenapa seseorang mudah mengalami gusi bengkak (gingivitis) ketika stress:

1. Ketika seseorang mengalami stress, sesetengahnya mengabaikan penjagaan gigi mereka atau terdorong untuk merokok dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesihatan gusi terganggu.

2. Ketika stress, terdapat perubahan hormon di dalam badan di mana hormon kortisol (cortisol) akan meningkat. Ini akan mengakibatkan sistem imuniti akan menjadi lemah (mengurangkan tindakan neutrophil dan penghasilan antibodi IgG dan IgA), seterusnya akan meningkatkan potensi patogen untuk menyerang gusi anda. Stress juga akan meningkatkan pengeluaran neurotransmitter yang mengakibatkan fungsi sistem imuniti tidak lagi bertindak sebagai pertahanan, sebaliknya mengakibatkan kerosakan pula (from protective response to a destructive one).

Jadi, elakkan diri daripada terlalu stress! Kebersihan gigi juga harus dijaga dengan sebaik-baiknya dan berjumpalah dengan doktor gigi untuk membuat pemeriksaan (nak jumpa dengan pelajar pergigian pun takpe jugak.hehe).

Semoga penerangan ini memuaskan hati ukhti mutiara bd :)

p.s: Jika ada doktor gigi, pelajar-pelajar pergigian atau sesiapa sahaja yang ingin menambah, menegur dan sebagainya, saya persilakan dengan segala hormatnya...

Monday, April 19, 2010

Hargailah Yang Asli

Hargailah yang asli

Jam menunjukkan 12.30 malam. Saya masih lagi dalam proses menyusun gigi palsu untuk kedua-dua orang patient saya, seorang Pakcik dan seorang Auntie. Masa-masa di sepanjang hari minggu ini saya habiskan dengan aktiviti ini sahaja. Apabila bosan, saya menyertai kawan-kawan sebentar di facebook. Kemudian sambung kerja kembali.

Malangnya, setelah hampir siap menyusun, saya rasakan susunan gigi tidak berada di atas residual ridge (tulang rahang). Aduhh...Nampak gayanya, kenalah susun semula. Ok...Sabar ya Afzan! Pesan kepada diri sendiri. Kesilapan menjadikan kita lebih mahir. Ayat-ayat direka untuk memujuk hati.

Tertekan, putus asa dan kecewa selalu menjengah tatkala menghasilkan yang palsu ini tidak menjadi. Allah, bukan senang rupanya hendak menghasilkan sesuatu yang palsu. Maka, peliharalah yang asli yang daripada Allah dengan sebaik-baiknya.

Yang asli tidak terlawan. Secantik mana pun yang palsu, yang asli tetap nombor satu. Maha suci Allah, ciptaanNya tiada tandingan. Bersyukurlah wahai insan dengan segala pemberian, dan zahirkanlah kesyukuran dengan ketaatan.

Sekarang, saya teringatkan Pakcik dan Auntie. Oh, kasihan mereka. Saya harus menyiapkan kerja-kerja ini dengan sebaiknya. Mereka harus dibantu untuk merasai nikmat makan, bercakap dan sebagainya. Mereka memerlukan gigi palsu yang baik. Ya Allah, bantulah hamba untuk membantu hamba-hambaMu.

Saya ingin sambung kerja. Maafkan saya atas entri yang cuma bercerita. Mencari kekuatan agar diri tidak berputus asa :)

Monday, April 12, 2010

Bersama Kanak-kanak Orang Asli

Gambar-gambar kenangan bersama kanak-kanak orang asli yang berada di bawah group saya untuk diajarkan cara memberus gigi...

Setiap orang dapat satu berus gigi, satu ubat gigi dan satu gelas polystyrene.


Okey, semua duduk tepi longkang...


Boleh letakkan ubat gigi...


Sekarang tengok macam mana kakak berus gigi ni...pastu ikut sekali...


Sempat belajar beberapa perkataan bahasa orang asli...sayang=hok, saya=eng


Squad kami

Friday, April 9, 2010

Cerita Gigi Geraham Bongsu

Assalamualaikum warahmatullah saya ucapkan buat pembaca yang dikasihi,

Maafkan saya jika blog ini sentiasa bercerita tentang gigi. Sememangnya saya dan gigi tidak dapat dipisahkan lagi kerana tiap-tiap hari saya akan belajar tentang gigi, praktikal tentang gigi dan sebagainya.Walaubagaimanapun, blog saya ini bukanlah tempat rujukan terbaik tentang apa-apa persoalan mengenai pergigian kerana saya masih pelajar yang baru merangkak. Jika mahukan maklumat yang lebih tepat, silalah ke blog-blog pergigian yang saya linkkan di sebelah kiri blog ini.

Dalam entri kali ini, saya ingin bercerita tentang gigi geraham bongsu.

Gigi geraham bongsu adalah gigi geraham yang paling akhir tumbuh. Di dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil 'wisdom tooth' - mungkin kerana pertumbuhannya sewaktu seseorang telah 'bijaksana', iaitu umur 17 tahun ke atas (ia tumbuh selepas SPM...cara senang saya nak ingat).

Sebenarnya banyak cara gigi geraham bongsu ini tumbuh. Ada yang tumbuh normal. Ada yang tidak tumbuh langsung. Ada juga yang tumbuh tetapi kedudukannya pelbagai: tumbuh separuh, senget, berbaring, dan sebagainya. Ini terjadi apabila ruang rahang tidak mencukupi atau mempunyai halangan daripada gigi bersebelahannya untuk tumbuh secara normal. Kedudukan gigi geraham bongsu kita boleh dipastikan melalui x-ray.


Gigi dalam bulatan merah itulah gigi geraham bongsu.


Pelbagai cara gigi geraham bongsu tumbuh

Apakah kesan pertumbuhan gigi ini yang tidak normal kedudukannya?

Ia mungkin menyebabkan kesakitan, bengkak, penyakit gusi, nafas berbau, kerosakan gigi (karies) pada gigi bersebelahan dan kesukaran membuka mulut.

Adakah gigi ini perlu dicabut?

Jika gigi ini tidak menimbulkan apa-apa masalah, ia tidak perlu dicabut. Tetapi jika ia menyebabkan masalah atau akan menimbulkan masalah di kemudian hari, ia perlu dicabut.

p.s:
  • Gigi geraham bongsu saya di rahang sebelah kiri bawah juga baru memunculkan dirinya dalam keadaan senget. Waa....
  • Esok saya akan ke Sungai Lembing untuk mendidik kanak-kanak orang asli tentang cara-cara memberus gigi yang betul...Kali pertama nak jumpa orang asli ni...Bagaimanakah mereka?.. :)

Friday, March 26, 2010

Puasa dan Rawatan Pergigian


Pertama: Rawatan pergigian tidak membatalkan puasa.

Mantan Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdullah Ben Baz rh dalam majmu' fatawa (Jld 15) menjelaskan tidak ada masalah jika orang yang berpuasa mendapatkan rawatan pergigian, cuma dia perlu berhati-hati supaya tidak tertelan apa-apa semasa rawatan dijalankan. Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dalam Fiqh Siyam juga menyatakan perkara yang sama.

Kedua: Sakit yg macam mana yg boleh berbuka?

Dalam ayat 185 surah al Baqarah (siapa yg sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka puasa), maka wajiblah diganti pada hari yang lain).

Menurut Syaikh al-Qardhawi, sakit yg dimaksudkan oleh ayat itu bukan semua jenis sakit, tetapi sakit yg dimaksudkan ialah sakit yg membawa mudharat dan menjadi bertambah mudharat jika dia terus berpuasa. Yang boleh menentukan tahap bahayanya tahap kemudharatan puasa ke atas pesakitnya ada dua cara: pertama, disahkan oleh doktor yang merawatnya yang amanah dgn kerjayanya, kedua: berdasarkan pengalaman atau keadaan si pesakit sendiri.

Menjadi tugas mereka yang terlibat dengan kerjaya perubatan menasihati pesakit mengenai status puasanya setelah melihat ujikaji dan keadaan pesakit.

Thursday, March 11, 2010

Bila Gigi Saya Tumbuh?

Hari ini, sesi pertama saya memulakan rawatan pergigian kepada kanak-kanak. Alhamdulillah, kanak-kanak yang menjadi patient saya adalah seorang yang sangat cooperative. Senanglah untuk saya melaksanakan segala tugasan yang perlu dilakukan.

Merawat gigi orang dewasa dan kanak-kanak adalah hampir sama. Cuma semasa pemeriksaan gigi kanak-kanak, kita perlu lebih peka dengan anatomi gigi yang ada, kerana gigi kanak-kanak (yang berumur 6 tahun ke atas) lazimnya sudah bercampur antara gigi susu dan gigi kekal.

Di sini ilmu anatomi pergigian perlulah diaplikasikan. Masa gigi tumbuh juga mestilah diingati satu persatu.

Di sini saya sertakan ilustrasi kronologi pertumbuhan gigi susu dan kekal. Mungkin boleh menjadi rujukan kepada ibu-ibu di luar sana yang peka kepada pertumbuhan fizikal anak-anak mereka.

Mixed dentition (Gigi susu+gigi kekal)


Masa tumbuh gigi susu (primary) dan gigi kekal (permanent)

Aturan untuk mudah mengingati (khasnya untuk pelajar pergigian):
  • 6 weeks old in utero: beginning of dental development
  • 6 months old: emergence of the first primary tooth
  • 6 years old: emergence of first permanent tooth

The rules of “Fours” for permanent tooth development (3rd molars not included)
  • At birth, four 1st molars have initiated calcification
  • At 4 years of age, all crowns have initiated calcification
  • At 8 years, all crowns are completed
  • At 12 years, all crowns emerge
  • At 16 years, all roots are complete

The six/four rule for primary tooth emergence
Four teeth emerge for each 6 months of age

1. 6 months: 4 teeth (lower centrals & upper centrals)
2. 12 months: 8 teeth (1. + upper laterals & lower laterals)
3. 18 months: 12 teeth (2. + upper 1st molars & loer 1st molars)
4. 24 months: 16 teeth (3. + upper canines & lower canines)
5. 30 months: 20 teeth (4. + lower 2nd molars & upper 2nd molars)


Summary

  • By 5 months in utero, all crowns started calcification
  • By 1 year old, all crowns completed formation
  • By 2.5 years, all primary teeth erupted
  • By 4 years old, all primary teeth completed root formation

Tuesday, March 2, 2010

Jangan Takut Berjumpa Doktor Gigi

Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir
( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Pernahkah anda berasa takut untuk berjumpa doktor gigi? Jangan bimbang, anda bukan berseorangan. Hampir 75% daripada penduduk negara kita yang pernah mendapat rawatan mempunyai perasaan yang sama. Jadi, tidak hairan jika seseorang itu mendapat rawatan gigi setelah merasa sakit dan kadang kala kerosakan giginya pada tahap yang serius.

Doktor gigi terpaksa mencabut gigi yang rosak walaupun ia dapat diselamatkan jika pesakit mendapat rawatan awal di klinik gigi. Ramai daripada rakan anda beranggapan rawatan gigi amat menggerun dan menyakitkan. Perkara itu tidak terjadi jika mereka mengetahui tugas sebenar seorang doktor gigi.

Doktor gigi tidak akan mencabut gigi anda tanpa alasan yang munasabah melainkan jika gigi anda benar-benar tidak dapat diselamatkan.

Anda boleh berkunjung ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan walaupun gigi anda tidak berasa sakit. Doktor akan memeriksa gigi anda dan memberitahu status kesihatan gigi dan persekitaran mulut anda. Doktor gigi juga memberi khidmat nasihat dan rawatan pencegahan pada masa yang sama.

Jika anda berjumpa doktor gigi pada tahap sakit gigi yang amat sangat, anda akan mengalami rasa sakit dua kali ganda daripada biasa. Ini kerana, selain sakit kerana kerosakan gigi, anda juga terpaksa menanggung kesakitan akibat gigi yang dicabut.

Anda mungkin berasa takut semasa duduk di atas kerusi khas ketika mendapatkan rawatan. Tambahan melihat pelbagai peralatan untuk rawatan yang menggerunkan. Contohnya, apabila alat penggerudi digunakan, bunyinya sahaja sudah cukup membimbangkan.

Doktor gigi tidak akan sesekali menggunakan senjata sebegini

Bagaimanapun rasa takut itu dapat dihilangkan dengan cara memberi keyakinan kepada doktor dan jururawat yang bertugas. Mereka telah dilatih dan mahir menggunakan semua peralatan rawatan dengan cekap. Tugas mereka untuk merawat gigi dan kesihatan mulut anda, bukan untuk menyeksa.

Sebaik-baiknya anda mesti berusaha membayangkan perasaan seronok daripada peristiwa lalu seperti pergi berkelah dengan keluarga. Ini banyak membantu anda meredakan perasaan takut. Anda juga boleh minta penjelasan berkaitan rawatan yang diberikan.

Jika anda mengetahui apa yang dilakukan oleh doktor, ini sekali gus akan mengurangkan perasaan bimbang. Jika anda rasa sakit semasa rawatan dijalankan, beri isyarat kepada doktor yang merawat supaya berhenti seketika dan beritahu doktor tempat yang berasa sakit. Ini dapat membantu doktor gigi mengenal pasti punca penyakit.

Ada jangan sekali-kali merentap alat penggerudi apabila terasa sakit. Ini boleh mengakibatkan mulut anda terkoyak dan berdarah.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template