:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Friday, July 22, 2011

Kisah Cinta Salman al-Farisi

Assalamualaikum buat para pembaca,
Pernah baca kisah cinta Salman al-Farisi? Jika belum, sila baca kisah di bawah ini...

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama, dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi, penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah...alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“Silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua. Sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

(kisah ini dipetik dari buku Jalan Cinta Para Pejuang - Salim A. Fillah)

* * *
Sedih kan kisah cinta Salman al-Farisi ini? Namun, akhlak yang beliau tunjukkan subhanallah...sangat hebat. Bayangkan jika kita yang berada pada posisi Salman, mampukah kita memberikan reaksi seperti beliau?

Salman mengajar kita, bahawa cinta tak harus memiliki. Dan hakikatnya, kita memang tak pernah memiliki apapun dalam kehidupan ini. Semuanya milik Allah.

Salman juga mengajar kita, akhlak seorang lelaki yang soleh. Itulah bukti akhlak Islamiyyah yang terbaik kerana akhlak itu adalah reaksi pertama kita terhadap sesuatu perkara tanpa berfikir panjang. Jika kita sedikit terkilan atau rasa hendak marah pada mulanya, dan kemudian barulah kita bersabar, itu bukanlah akhlak yang terbaik lagi. Salman benar-benar membuktikan ketinggian akhlaknya.

Salman juga mengajar kita, erti hidup pada memberi. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimiliki. Salman memberi dengan penuh keikhlasan. Subhanallah...

~Ya Allah, berikanlah aku ketinggian akhlak sebagaimana Engkau berikan kepada Salman al-Farisi...~

Thursday, July 14, 2011

Surat Sayyid Qutb dari Penjara

Surat Sayyid Qutb dari penjara kepada adiknya, Hamidah Qutb...
Ambillah pengajaran~

* * *

Adikku,
Di saat kita hanya berfikir untuk hidup bagi diri sendiri,
Terasalah oleh kita bahawa kehidupan ini begitu sempit dan pendek.
Hanya bermula dengan kelahiran kita, dan berakhir dengan kematian.
Berangkat dari pertama kali kita digelarkan di atas bumi, dan kemudian kembali ke bumi lagi.

Tetapi adikku,
Jika hidup kita untuk aqidah dan untuk orang lain,
Maka terasalah hidup ini begitu luas dan panjang.
Ia lahir bersama kemanusiaan, dan tidak akan mati.
Walau setelah ruh terlepas dari jasad ini, walau berpisah dengan bumi.

Kita akan merasa bahagia dan puas!
Hakikat umur kita berlipat ganda jauh melebihi jumlah angkanya.
Walaupun pada hitungan tahun, usia kita kecil sahaja.
Itulah kebahagiaan hakiki.
Bukan kebahagiaan fantasi.

Dalam kehidupan seperti itu,
Tergambarlah keuntungan yang kita peroleh sejak awal kelahiran kita.
Dari hari ke hari.
Dari masa ke masa.
Dan seluruh umur kita.
Keuntungan itu terasa dalam perasaan kita, pada setiap langkah kita.

Terasa betul bahawa hidup ini,
Bukan sekadar berapa lama nafas ini keluar masuk dari tubuh kita.
Bukan sekadar berapa banyak jumlah angka umur kita.
Tapi hidup ini diukur dan dinilai dari kepuasan rohani yang dapat kita rasakan!

Inilah kenyataan yang dinamakan Realiti.
Bukan seperti imaginasinya kaum yang materialistik itu.
Dan inilah hakikat hidup di atas segala hakikat yang mereka perkatakan.

Sumber : http://halwahati.wordpress.com/2011/03/25/nilai-kehidupan-2/

Thursday, February 25, 2010

Doa Simpati dan Kasih Nabi Kepada Umatnya

Artikel ini saya petik dari laman Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Semoga dapat menambahkan kecintaan kita kepada kekasih Allah, dengan sebenar-benar kecintaan yang tidak berbelah bahagi, amiinn...


DOA SIMPATI DAN KASIH NABI KEPADA UMATNYA : TAFSIR SURAH AL MAIDAH:118

* * *
Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa pada satu malam, Rasulullah s.a.w bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud ,

"Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hambaMu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118).

Sepanjang malam itu Rasulullah s.a.w hanya membaca ayat ini sahaja pada setiap rakaat sembahyangnya.

Diriwayatkan Nabi s.a.w membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca ayat ini dan setelah selesai sembahyang baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis,

"Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku..."

Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh NabiNya, bersimpati dengan umatnya sekaligus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.

Ibu bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini sahaja.

Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi s.a.w sentiasa mengingati kepada umatnya sampai ke wafatnya dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.

Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam, dan berdoa sambil mengadu tentang apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibril, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad."

Bagaimanapun Allah Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam diri Nabi s.a.w tetapi Allah tetap mengutuskan malaikat Jibrail untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.

Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya bahawa baginda s.a.w mengadu kepada Allah berkenaan dengan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami redha kepadamu dan ummatmu dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudharatkan umatmu."

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:

"Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70 000 di kalangan umatku masuk syurga dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70 000 ini diikuti oleh 70 000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab."

Yakni diberi syafaat oleh 70 000 orang ini disamping syafaat Nabi s.a.w yang diberikan kepada ummatnnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir di dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.

Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud, "Peganglah dengan gigi geraham kamu."

Yakni ajaran Rasulullah saw itu bukan sahaja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.

Tidak undur walaupun sedikit dari ajaran Nabi s.a.w. Jika seseorang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah s.a.w serta mendapat rahmat yang diberi oleh Allah kepada umat Muhammad saw.

* * *

Marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat kita kepada Baginda...

Salam Maulidurrasul...

Tuesday, October 27, 2009

Gambar-gambar Wacana Ilmiah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Atas permintaan seorang pengunjung blog saya, di sini saya uploadkan beberapa gambar Wacana Ilmiah 22 Oktober yang lepas yang bertajuk, "Sebat Kerana Arak: Adilkah?".

Untuk pengetahuan semua, panelis daripada SIS ( Dr Hamidah Marican) dan juga Exco Agama Pahang (Dato' Sahfri) tidak hadir pada malam tersebut. Mungkin mereka mempunyai sebab tersendiri. Namun begitu, wacana ilmiah tersebut tetap meriah dengan penampilan panelis-panelis yang ada. Auditorium Kuliyyah Perubatan sangat penuh sehingga lantai-lantai juga dipenuhi. Tahniah buat semua panelis kerana telah berjaya merungkai segala kekeliruan yang berada di minda para audien.

Pengunjung yang terlalu ramai. Saya sendiri hanya mampu mendengar di luar auditorium sahaja.


Wacana ilmiah telah beraksi


Prof Fauzi (Dekan Kulliyyah Perubatan) selaku moderator


Ustaz Nasrudin mempersembahkan penyampaiannya yang mantap


En Najid (Peguam Syar'ie Pahang) menyampaikan ilmunya


Audien-audien memang bersemangat pada malam itu


Pengarah Kampus kami, Prof Kamaruzzaman (2 dari kanan) yang turut bersama pada malam itu


Jamuan VIP di akhir program

Anda boleh baca respon wacana ini daripada salah seorang panelis, Ustaz Nasrudin di sini.

Terima kasih.

Tuesday, October 13, 2009

Ibnu Sina dan Saya

Suatu ketika dahulu saya pernah bercita-cita untuk menjadi seperti Ibnu Sina, seorang tokoh Muslim yang ulung dalam bidang perubatan. Beliau dilahirkan pada tahun 980M dan meninggal dunia pada tahun 1037M. Sudah 972 tahun Ibnu Sina meninggalkan alam dunia, namun kerana warisan ilmu dan jasa yang bermanfaat kepada ummat, nama beliau tetap mengharum dalam sejarah kegemilangan Islam.

Ibnu Sina

Ibnu Sina menjadi seorang hafiz ketika usia beliau 10 tahun lagi. Beliau juga fasih berbahasa Arab. Selain ilmu beliau yang sangat hebat dalam bidang perubatan, beliau juga turut mendalami ilmu mantik, falsafah, matematik dan astronomi.

Pada usia 17 tahun, beliau berjaya menyembuhkan Raja Bukhara daripada penyakitnya, sedangkan telah ramai tabib dan ahli perubatan sebelum itu telah mencubanya tetapi tidak berjaya. Apabila Raja ingin memberikannya hadiah, beliau hanya meminta untuk diberi keizinan menggunakan perpustakaan istana yang begitu unik dan lengkap ketika itu. Begitu tingginya kecintaan Ibnu Sina kepada ilmu.

Selama 12 tahun Ibnu Sina menghabiskan masa untuk membaca dan mempelajari buku- buku di dalam perpustakaan. Kemudian beliau menjadi seorang penulis. Suatu sumber menyatakan bahawa beliau telah berjaya menghasilkan 99 buah buku iaitu 16 berkenaan perubatan, 68 mengenai theologi dan metafizik, 11 berkaitan astronomi dan 4 mengenai kesusasteraan. Karya Ibnu Sina yang paling terkenal dalam bidang perubatan ialah kitab al Qanun fi al Tibb.

Al Qanun fi al Tibb

Bangganya melihat tokoh-tokoh saintis Islam sebegini. Subhanallah, kecintaan mereka kepada ilmu amat mengkagumkan. Kata Ibnu Sina,

"...amatlah penting untuk mencari ilmu pengetahuan. Hanya pencapaian ilmu yang menentukan nasib kehidupan akan datang dan semestinya mencorak kehidupan kita kini."

Membandingkan diri dengan Ibnu Sina, jauhnya terasa. Umur sudah tua, namun entah apalah ilmu yang ada di dalam dada. Walaubagaimanapun, doa sahaja mampu dipanjatkan agar Allah terus memberi kekuatan dan kemudahan dalam menuntut ilmu. Serta dijauhkan juga daripada sifat malas dan suka membuang masa.

Buku-buku ini pun belum habis dibaca...Masih terlalu jauh dengan Ibnu Sina

Ya Allah, hadirkanlah rasa kecintaan kami terhadap ilmu...Jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang belajar, mengajar, mencintai dan mendengar ilmu.

Amiinn Ya Rabbal 'Alaminn...

Friday, July 3, 2009

Peranan Wanita Hari Ini (Dr.Danial Zainal Abidin)

Dipetik daripada tulisan Dr. Danial Zainal Abidin
M.B.Ch.B. Universiti Alexandria
[Saya cuma upload gambar]

Secara dasarnya peranan lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah, iaitu mengabdikan diri kepada Allah, membentuk keluarga berasaskan takwa dan mengajak kepada makruf serta mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, dalam bidang-bidang tertentu, fokus wanita berbeza dengan lelaki. Perbezaan ini bukan melambangkan penghinaan sebaliknya melambangkan kemuliaan dalam kelainan. Dalam surah Ali-Imran ayat 195, Allah berfirman, “Maka Allah memperkenankan permohonan mereka (dengan berfirman), sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.”

1.MENGUASAI ILMU:

Seperti lelaki, wanita wajib menguasai ilmu, terutamanya ilmu agama. Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap orang Muslim (lelaki ataupun perempuan).” (Riwayat Ibn Majah). Ramai wanita Islam di zaman dahulu bergelar cendekiawan kerana kehebatan ilmu mereka. Aisyah r.a. sendiri merupakan seorang pakar hadis yang menjadi rujukan kepada orang lain. Beliau meriwayatkan ribuan hadis. Imam Syafie pernah berguru tentang hadis kepada Sayyidah Nafisah di al-Fustat. (rujuk Muslimah dalam Pembentukan Ummah, Mustafa Ramadhan, AS Noordeen, KL)

2.MELAKSANAKAN IBADAH SERTA BERAMAL SOLEH

Dalam surah an-Nahl ayat 97 Allah berfirman, “Barangsiapa yang melaksanakan amal soleh sama ada lelaki ataupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik...” Dalam melaksanakan amal, dua kriteria perlu dijaga, iaitu keikhlasan hati dan cara yang mengikut syariat.



3.BERSAMA SUAMI MEMBINA RUMAHTANGGA ISLAMIK

Mengikut Imam Bukhari, nabi bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang meyahudi, menasrani atau memajusikannya.” Antara peranan ibu ialah memberikan susuan ketika anaknya kecil dan menggunakan kelembutannya untuk mendidik anak agar mencintai Allah, Rasul dan Islam. Pendidikan ke atas anak-anak bermula dengan pendidikan ke atas diri sendiri. Hadis yang boleh dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak ialah sabda nabi, “Beramallah untuk mentaati Allah dan menjauhi maksiat. Suruhlah anak-anak kamu supaya menuruti perintah Allah dan menjauhi yang dilarangNya. Inilah pemeliharaan diri mereka dan kamu dari neraka.” (Riwayat Ibn Jarir & Ibn Munzir)

4.BERPERANAN DALAM MASYARAKAT DAN NEGARA

Islam tidak melarang wanita berperanan di dalam masyarakat mengikut kemampuan masing-masing, asalkan tugas-tugas asas kepada Allah dan keluarga tidak diabaikan. Berpandukan hadis Muslim, nabi Muhammad pernah mendoakan agar Ummu Haram, iaitu isteri sahabat Ubadah bin Shamit, dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain. Ini menunjukkan Nabi mengiktiraf sumbangan wanita Islam di luar rumah. Malah wanita diizinkan memimpin masyarakat jika mereka berkemampuan. Di zaman khalifah Omar, beliau melantik seorang wanita bernama Ummul Syifa binti Abdullah menjadi penyelia pasar di Madinah. Jika dibandingkan jawatannya dengan suasana hari ini, tugas ini boleh disamakan dengan tugas seorang Ketua Pengarah di Kementerian Hal Ehwal Pengguna.

Di tempat kerja, wanita Islam perlu berdakwah dengan menunjukkan contoh yang baik sama ada di sudut akhlak ataupun komitmen kepada pekerjaan. Mereka seharusnya bersikap proaktif (bukannya pasif) dengan menganjurkan program-program kesedaran di tempat kerja mereka mengikut saluran yang ada. Mereka juga perlu berani menyuarakan pandangan secara yang makruf untuk kebaikan bersama di tempat kerja. Contohilah wanita di zaman khalifah Omar ini. Pada suatu ketika, khalifah Omar menyampaikan khutbah di atas mimbar dan beliau menjelaskan tentang penetapan kadar mahar agar ia tidak begitu tinggi. Seorang wanita bangun untuk menegur khalifah Omar kerana pada pandangan wanita itu, tindakan untuk hadkan kadar mahar bercanggah dengan ketetapan Al-Quran. Selepas mendengar hujah wanita itu, khalifah Omar terus berkata, “Wanita itu betul dan lelaki ini (iaitu Omar) salah.” Riwayat ini menunjukkan suara kaum wanita adalah penting dalam konteks pembangunan negara.

Contoh Wanita Cemerlang

Contoh itu ialah Siti Khadijah bt Khuwaylid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusay radhiyallahuanha, isteri Nabi yang pertama. Beliau merupakan wanita unggul 6 dalam 1.

1. Beliau seorang hamba Allah yang tinggi takwanya. Beliau sentiasa bersama Nabi mengabdikan diri kepada Allah serta tinggi pengorbanannya untuk Islam.

2. Beliau seorang isteri yang setia. Ketika Nabi bertahannuth di Gua Hirak, beliaulah menyediakan persiapan. Ketika Nabi mendapat wahyu yang pertama, dan ini mengejutkan Baginda, beliaulah yang menenangkan Nabi.

3. Beliau merupakan seorang ibu yang berjaya dan dikurniakan dengan enam orang cahaya mata. Antara yang menonjol ialah Fatimah az-Zahra ra.

4. Beliau ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Mengikut Ibn Saad dalam Tabaqat, apabila peniaga-peniaga Quraisy bersiap sedia untuk memulakan musafir, jumlah barang-barang perniagaan Khadijah sahaja menyamai jumlah kesemua barangan yang dibawa oleh peniaga yang lain.

5. Beliau seorang ahli masyarakat yang dihormati. Beliau di gelar 'Thahirah' atau 'Yang Suci' oleh arab Mekah.

6. Beliau pemimpin dan contoh bagi kesemua umat Islam. Beliau bergelar Ummul Mukminin.

Wednesday, June 17, 2009

Perginya Seorang Ulama

Syeikh Dr. Fathi Yakan (Fathi Yakan) telah kembali ke Rahmatullah pada hari Sabtu 13 Jun 2009 bersamaan, 19 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu. Sepanjang hayatnya, Fathi Yakan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai terutama sekali kepada gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menerusi karya-karyanya seperti Apa Ertinya Aku Menganut Islam, Bahtera Penyelamat Umat Dalam Kehidupan Pendakwah, Permasalahan Dakwah dan Pendakwah, Ke Arah Kesatuan Gerakan Islam, dan buku-buku lain yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama di kalangan aktivis-aktivis gerakan Islam di seluruh dunia.

Di samping itu, beliau turut memberikan sumbangan yang sangat besar kepada perkembangan politik di Timur Tengah terutama sekali di tanah kelahirannya Lubnan dan dalam gerakan menentang kezaliman Israel terhadap umat Islam di Palestin dan kawasan sekitarnya.Semoga rohnya dirahmati oleh Allah s.w.t serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

p.s: Saya teringat suatu hadis ketika belajar di sekolah dahulu yang berbunyi:

Dari Abdullah bin Amr bin Ash ra, katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda: “Allah tidak menarik kembali ilmu dengan jalan mencabutnya dari qalb manusia, tetapi dengan jalan mematikan ulama. Apabila ulama telah mati, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu; mereka itu sesat dan menyesatkan.”

Ulama wajib dihormati

Suasana hari ini mendapati golongan-golongan ulama dihina dengan teruknya. Di manakah adab-adab kita sesama muslim, lebih-lebih lagi dengan mereka yang sangat tinggi ilmunya. Jangan mudah menghukum, jangan mudah menghina, sesungguhnya mereka itu lebih mulia kedudukan di sisi Allah. Saya mencadangkan agar pembaca membaca lebih lanjut di sini dan di sini...

ULAMA PEWARIS NABI...

Tuesday, March 3, 2009

Mampukah Jadi Sepertimu Khadijah…

Sempena kedatangan hari bersejarah 12 Rabi’ul Awwal ini, saya ingin mengajak semua untuk menghayati kisah hidup insan mulia yang setia bersama baginda yang kita cintai... Mampukah kita jadi sepertinya... Saidatina Khadijah Radiallahu ‘Anha.

* * *

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku mendapatkan keturunan."


Begitulah Rasulullah saw berkata tentang kepribadian Khadijah, isterinya. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan.

Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW.

KESETIAAN YANG BERSEJARAH


Mari kita singkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan jantung Rasulullah SAW. Peristiwa itu ialah penerimaan wahyu yang pertama di Gua Hira. Sekembalinya ke rumah, baginda berkata kepada isterinya yang tercinta, "Aku berasa khuatir terhadap diriku."

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata,"Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?

Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan beliau merupakan wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada Rasulullah SAW sepanjang kehidupan mereka bersama. Oleh itu, kita perlu berdoa semoga Allah memberi kita kekuatan untuk membantu menguatkan semangat jihad golongan lelaki yang seangkatan dengan kita.

KESETIAAN YANG MENDORONG KEGIGIHAN



Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu' bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)


Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Wahai muslimah, sekarang adalah masa untuk kita hidupkan kembali hakikat ini dalam kehidupan kita. Semoga kekuatan Islam akan kembali mentadbir kehidupan insan.

Thursday, December 4, 2008

SALAM EIDUL ADHA

Salam Eidul Adha buat semua.

Buat sahabat-sahabat di Malaysia, selamat meraikan eid bersama keluarga. Saya pun akan pulang esok,insya Allah.

Buat sahabat-sahabat di perantauan pula, selamat meraikan eid bersama sahabat-sahabat seperjuangan di sana. Jangan sedih ye. Suatu hari nanti kalian pasti akan pulang ke tanah air,meneruskan kehidupan dan perjuangan di sini. Sesungguhnya kalian lagi beruntung kerana mendapat pengalaman bermakna di rantau orang…

Eidul Adha sering dikaitkan dengan pengorbanan…memang pun sebab maksud Eidul Adha pun Hari Raya Korban.

Kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim A.S dan anaknya Ismail A.S memang sangat-sangat menyuntik semangat pengorbanan dalam diri kita. Semua orang pasti sudah arif akan kisah ini. Sungguh tinggi tadhiyyah mereka semata-mata kerana mematuhi perintah Allah yang Maha Berkuasa.

Saya berhajat untuk berkongsi di sini,kisah pengorbanan tokoh-tokoh negara dalam memperjuangkan kemerdekaan yang saya dapati dalam satu program ceramah.

Sebelum itu, jika ditanya kepada anda, siapakah tokoh kemerdekaan negara?

Tentu ramai sekali yang akan menjawab Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan sebagainya…

Ya,betul.Tetapi hakikatnya tahukah anda bahawa sebenarnya anda insan-insan lain yang bermati-matian memperjuangkan kemerdekaan negara daripada belenggu penjajah?

Sama ada anda perasan atau tidak, kita sebenarnya DIGELAPKAN DARI FAKTA SEJARAH NEGARA SEBAGAI SATU KONSPIRASI LICIK DENGAN MENJULANG TOKOH UMNO SEBAGAI PEJUANG KEMERDEKAAN...

Sebenarnya,tokoh-tokoh di bawah inilah yang seharusnya lebih layak untuk disanjung!


Mat Kilau(10 Ogos 1970,meninggal ketika berumur 122 tahun.)


Tok Gajah (Imam Rasul bin Shahrum )
Meninggal dunia pada tahun 1901 di Kg Pasir Nering, terletak kira-kira 8km dari Bandar Kuala Berang.


Dato Bahaman (Abdul Rahman bin Tunku Imam Nuh)

Tok Ku Paloh

AMIR BURHANUDDIN B. UNGKU MOHD NOR (Burhanuddin Helmi)

1935 Ditahan di Penjara Palestin kerana menentang penjajahahan British ke atas Baitul Maqdis

1940 Bersama menggerakkan KMM

1943 Menghimpunkan ulama nusantara menuntut kemerdekaan dari Jepun

1945 Memimpin PKMM

1950 Dipenjara kerana peristiwa Natrah (3 thn)

1956 Memimpin PAS

1965 Di tahan di bawah ISA

1969 Meninggal dunia

UST ABU BAKAR AL-BAQIR

Mac 1948 Menubuhkan Hizbul Muslimin

Julai 1948 ditahan dibawah undang-undang darurat

6 bulan dipenjara Taiping

18 bulan di Pulau Jerjak

Kemudian di Tanjung Beruas Melaka,akhirnya di Penjara Ipoh

Dibebaskan pada oktober 1952

PROF. ZULKIFLI MUHAMMAD

Kembali ke tanah air 1952

Menolak tawaran sebagai Mufti Perak

1955 Bertanding pilihanraya atas Tiket PAS

1956 dipilih sebagai Tim YDP

Mei 1964 terkorban dalam kemalangan jalan raya

AHMAD BOESTAMAM

Parti Rakyat Malaysia

Dipenjara 1948-1955

PAK SAKO

Parti Buruh

Dipenjara 1948-1953

Tahun 1948, lebih 300 orang ulama dan pejuang Melayu ditangkap di bawah undang-undang darurat.

Dan…



MEREKA MUNCUL KETIKA BERLAKUNYA LOMPANG AKIBAT TOKOH-TOKOH BESAR DITANGKAP!

Hmm…Boleh percaya atau tidak fakta ini?
Saya tinggalkan kepada pembaca untuk menilainya.Menurut penceramah tersebut,rujukan tentang kebenaran fakta ini boleh didapati dalam buku Modern Egypt, Lord Cromer.
Wallahu a’lam, wassalam.

Wednesday, November 26, 2008

CATATAN PERJUANGAN ZAINAB AL GHAZALI

Kenalkah anda dengan ikon mujahidah, Zainab al Ghazali ,yang subhanallah, sangat tinggi semangat perjuangannya untuk Islam. Seharusnya beliau menjadi role model kepada semua muslimah. Muslimah adalah sayap kiri perjuangan. Muslimah harus faham bahawa taklifan dan kefardhuan jihad adalah terpikul di bahu kaum lelaki dan perempuan. Pepatah Melayu ada mengatakan : “Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.”. Baki lagi pada jihad seorang muslimah itu ada pra-syaratnya yang bertujuan memelihara maruah dan aurah mereka sendiri:

1. Memastikan bahawa bidang jihad yang diceburi di bawah redha Allah iaitu tidak bertembung dengan perkara yang menyanggahi syariah secara soreh dan apatah lagi menghampiri perkara-perkara kemaksiatan.
2. Mendapat keizinan daripada wali dan jika telah berumahtangga, tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak.
3. Bidang jihad yang sesuai dengan fitrahnya sebagai muslimah.
4. Penampilannya tetap terpelihara.
5. Tidak menimbulkan fitnah.

Mari kita hayati catatan perjuangan Zainab al Ghazali…

PENGASAS JAMAAH SAIDATINA MUSLIMAH


Nama penuh beliau ialah Zainab Al Ghazali Al-Zubaili.Beliau dilahirkan pada tahun 2 Januari 1917. Zainab al Ghazali bersuami dengan seorang 'ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada beliau untuk meneruskan dakwah di tengah-tengah masyarakat Mesir. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jamaah Saidatina Muslimah, satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin dari segi method dan matlamatnya. Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dalam menyebarkan panji-panji Islam.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap dapat ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T, dengan syarat melalui satu jalan iaitu jalan ISLAM.

Semasa memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat menarik ramai wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat dengan Zainab Al-Ghazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb, Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati, Al-Waliyah, Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sifatkan sebagai anak-anaknya, adik-adiknya, kakak-kakaknya,dan ibu-ibunya.

KISAH ZAINAB AL GHAZALI DI DALAM TAHANAN

Kisah Zainab Al-Ghazali di dalam tahanan sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat daripada penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan sebelum beliau ditahan, Jamal Nasser memerintahkan agar Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan dia akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak. Kemudian beliau ditawarkan pula menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, tetapi beliau menjawab: "Dalam perjuanganku, aku tidak bercadang untuk menjadi menteri. Aku hanya mahu berdakwah."

Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, maka dia memerintahkan untuk menangkap Zainab. Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya, satu pembunuhan telah dirancang di mana sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab ditahan. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin. Namun Zainab Al-Ghazali hanya berdoa:

"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai".

Kemudian beliau terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Kuasa eletrik dihidupkan untuk menyeksa beliau. Bilik itu juga dipenuhi anjing- anjing dan dilepaskan kepada beliau. Pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Beliau merasai seluruh tubuh beliau dikerumuni dan digigit oleh anjing-anjing itu.Ketika itu beliau hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati beliau:

"Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!"

Kemudian beliau mendengar pintu dibuka dan beliau dibawa keluar. Beliau menyangka bahawa pakaiannya berlumuran darah tetapi alangkah terkejutnya beliau kerana tiada apa- apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pegawai-pegawai tahanan itu pun pelik dengan keadaannya, Kemudian beliau terus diseksa lagi. Satu ketika beliau direndam dalam air sejuk dan dilepaskan pula udara sejuk, sedangkan ketika itu musim sejuk

Pernah juga suatu ketika, beliau dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb dan bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka juga ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, untuk mencari kiranya ada sisa-sisa makanan.Mujurlah ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan. Mereka mengambilnya dan memakan kulit-kulit pisang itu kerana tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.

Menurut beliau, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempuhinya adalah benar.

Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Ogos 2005.Semoga Allah merahmati beliau.Takbir!
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template