
:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::
Wednesday, April 15, 2009
Tentang Immunology

Tuesday, April 14, 2009
Entri Study: Pharmacology 2
Monday, April 13, 2009
Entri Study : Pharmacology
Sunday, April 12, 2009
Panduan Untuk Muslimah

1. Bersungguh- sungguh melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
2. Sentiasa memelihara adab dan akhlak dengan ibu bapa.
3. Berusaha menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji seperti lemah-lembut, berkasih sayang, syukur, pemurah dan sebagainya.
4. Berusaha membuang sifat- sifat keji seperti sombong, mengumpat, hasad dengki, berdendam dan sebagainya.
5. Melatih diri dengan urusan rumahtangga seperti memasak, menjahit dan mengemas rumah.
6. Sentiasa menjalin persaudaraan dan pergaulan dengan rakan, jiran dan masyarakat sekeliling.
7. Hindarkan daripada berbual dengan lelaki yang bukan mahram tanpa keperluan.
8. Sentiasa memelihara aurat dalam ertikata sebenarnya berdasarkan syariat.
9. Sentiasa menundukkan pandangan dan elakkan dari memandang ke sana ke mari terutamanya sewaktu berada di luar rumah.
10. Cuba mempelajari dan mencontohi watak- watak wanita salafussoleh sama ada dari segi sifat, pengorbanan, dan perjuangan.
Thursday, April 9, 2009
Kebesaran Allah dalam Penciptaan Buah-buahan dan Sayur-sayuran

Avocadoes and pears target the health and function of the womb and cervix of the female - they look just like these organs. Today's research shows that when a woman eats 1 avocado a week, it balances hormones, sheds unwanted birth weight and prevents cervical cancers. Sunday, April 5, 2009
Sifat-sifat Hamba Allah yang Mendapat Kemuliaan

Thursday, April 2, 2009
Walimah dan Exam
Banyak sungguh perkhabaran tentang perkahwinan yang diterima sejak akhir-akhir ini. Kad-kad undangan ke walimah juga banyak yang diterima. Cantik- cantik dan wangi- wangi pula semuanya.Ramai kakak-kakak, kawan- kawan dan adik- adik yang akan mendirikan mahligai bahagia mereka pada cuti akhir semester ini yang bertepatan juga dengan musim cuti sekolah.Malangnya bagi pelajar- pelajar pergigian yang mengikuti sistem blok ini, kami akan menghadapi Peperiksaan Professional pada 28 Mei- 3 Jun. Kebanyakan tarikh walimah pula adalah dalam tempoh tersebut. 3 Jun itu pun belum tentu dapat pulang ke rumah lagi. Biasanya selepas peperiksaan, kami tidak akan dibenarkan pulang sehinggalah keputusan diumumkan. Jika pasti bahawa telah lulus dengan selamatnya, barulah dibenarkan bercuti. Sedih juga tidak dapat memeriahkan walimah kalian (ye ke memeriahkan?? hehe).
Walaubagaimanapun saya tetap mendoakan kalian agar dipermudahkan segala urusan oleh Allah. Doa saya, "Barakallahu lakuma, wabaraka 'alaikuma wajama'a bainakuma fi khayr" untuk setiap bakal pasangan pengantin. Semoga terus istiqamah dalam perjuangan Islam walaupun sudah berada di 'alam' lain. Bahkan diharapkan supaya menjadi lebih hebat dan bersemangat lagi dengan kehadiran mujahid atau mujahidah di sisi. Sebenarnya saya berasa kagum dengan insan-insan yang telah mampu menyempurnakan sebahagian daripada agama mereka ini. Maka bertakwalah kepada Allah untuk menyempurnakan sebahagian lagi. Sabda Nabi Muhammad Sollalahu alaihi wasallam:
"Sesiapa yg berkahwin maka telah sempurna setengah imannya, maka bertakwalah untuk menyempurnakan setengah iman lagi." (HR Ibnu Majah)
Semoga baitul muslim yang terbina melahirkan pula usrah muslimah yang seterusnya membentuk mujtama' muslim, demi mencapai matlamat akhir kita untuk mewujudkan daulah dan khilafah islamiyyah, insya Allah.
Baru- baru ini saya menerima satu sms daripada sahabat blog yang baru dikenali di alam siber ini iaitu adik Siti Khadijah a.k.a Momo, yang berbunyi:
" Wahai wanita solehah, jangan risau akan jodohmu kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya pada kecantikan atau lirikan senyuman, pada bicara manja yang menggoda atau pada pujuk rayu seorang wanita yang meruntuhkan imannya. Sesungguhnya lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita. Andai belum sampai jodohmu, anggaplah bahawa lelaki yang kau nantikan itu sedang membina sahsiah kepimpinannya bagi memimpin dirimu. Kerana pada wanita itu pasti ada kekurangannya dan lelaki yang benar- benar layak pasti akan hadir untuk melengkapkan kekuranganmu..."
Suatu kata-kata yang sangat menarik. Terima kasih adik Momo. Renungan buat kaum wanita yang masih belum berkahwin. Semoga suatu hari nanti masanya akan tiba untuk kita pula, insya Allah. Berdoalah selalu, " Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrata a'yun, waja'alna lilmuttaqina imama..."
Wassalam. Setakat ini dahulu saya menulis. Saya harus menyiapkan full denture ini pula.
Friday, March 27, 2009
Jadilah Penuntut Ilmu dan Daie
Akademik dan dakwah adalah dua perkara yang perlu diambil berat oleh semua yang bergelar mahasiswa Islam. Kedua-duanya sama penting dan menjadi tanggungjawab yang harus ditunaikan. Suatu pepatah yang biasa disebut-sebut ialah "Akademik nombor satu, tetapi dakwah bukan nombor dua.” Kadang-kadang pula disebut “Dakwah nombor satu tetapi akademik bukan nombor dua”. Ini membuktikan bahawa mahasiswa Islam tidak boleh mengkesampingkan salah satu daripadanya.Namun terdapat juga golongan yang tidak melaksanakan tugas berdakwah dengan pelbagai alasan. Mungkinkah disebabkan kejahilan, atau salah tanggapan tentang kefardhuannya, ataupun sengaja mencari alasan untuk tidak berdakwah kerana takut, cinta kepada dunia dan tidak yakin kepada janji Allah? Mari kita bincangkan di sini.
1. Berdakwah hanya fardhu kifayah ?
Sebahagian mereka membisu dan tidak berdakwah atau tidak membantu usaha dakwah kerana ia hanya fardhu kifayah iaitu apabila telah dilakukan oleh sebahagian muslimin, sebahagian yang lain terlepas dari tanggungjawab ini.
Jawapan:
-Para ulama’ menyatakan bahawa berdakwah hukumnya fardhu kifayah bagi sesuatu tempat yang sudah ada daie yang melaksanakan tugas ini dan ma’ruf masih dominan dalam masyarakat.
-Apabila dakwah sudah dilaksanakan oleh segolongan muslimin dan terbukti kesannya maka muslimin lain tetap digalakkan melaksanakannya.
-Apabila melihat realiti semasa, masih belum wujud bukti-bukti nyata terlaksananya ajaran Islam. Mungkar begitu banyak, ma’ruf amat sedikit dan mungkar yang paling besar pula iaitu kehidupan dan sistem kenegaraan tidak terurus secara Islam masih menjadi kebanggaan. Oleh itu, “kifayah” ini belum dicapai yang menyebabkan dakwah kini bukan lagi fardhu kifayah. Setiap muslimin mesti terlibat dengan usaha dakwah berdasarkan kebolehan dan kemampuan masing-masing.
2. Berdakwah khas untuk ulama’ sahaja ? Mereka beranggapan dakwah ini khusus buat ulama’ kerana mereka memiliki ilmu Islam yang mendalam.
Jawapan:
- Sebenarnya ada salah faham tentang perkara ini kerana tabiat ilmu itu berjuzu’-juzu’. Sesiapa yang tahu sesuatu perkara maka berkewajipan berdakwah kepadanya dan tidak berkewajipan berdakwah kepada perkara yang tidak diketahuinya. Sesiapa yang tahu kewujudan Allah berkewajipan berdakwah ke arah itu.
3. Salah Faham Terhadap firman Allah:
“Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu. Tidaklah akan membahayakan kamu orang yang sesat itu jika kamu menurut jalan yang benar.” (Al-Maidah:105)
Jawapan:
a. Mereka menggangap bahawa kewajipan mereka hanya menjaga diri (عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ). Tidak perlu berdakwah. Imam Ibnu Qaiyim menganggap kefahaman ini merupakan tipu daya syaitan yang terbesar.
b. Ibnu Taimiyah pula menjelaskan: Bahawasanya ayat ini tidak bermaksud menafikan kewajipan berdakwah kerana ayat ini ditafsirkan oleh hadith dari Abu Bakar yang terkenal:
Suatu hari Abu Bakar berkhutbah di atas mimbar Rasulullah. Wahai manusia, sesungguhnya kamu membaca ayat ini tetapi kamu meletakkannya tidak pada tempat yang betul (tidak perlu berdakwah). Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bila manusia melihat kemungkaran berlaku tetapi tidak berusaha mengubahnya maka hampirlah mereka ini ditimpakan azab yang menyeluruh.”
Sebuah nasyid bertajuk 'Persada Perjuangan' dendangan kumpulan Zulfan ini didedikasikan buat sahabat- sahabat para daie yang sekaligus bergelar penuntut ilmu. Sesungguhnya kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan Nabi dan Rasul untuk menegakkan Islam di muka bumi.Masih mekar kenangan indah
Zaman gemilang Islam menjulang
Ketika Rasul ada bersama
Para sahabat mentadbir dunia
Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam umpama api membara
Menerangi ummah dan juga sahabat
Bahangnya panas membakar lawan
Di celah itulah kami mengatur langkah
Membina sebuah tamadun
Satu barisan satu perjuangan
Bersama kita segera tunaikan
Amanah Rasul itu yang utama
Ayuh semua para mujahid
Ayuh semua mujahidah
Mari kita semua nyalakan bara perjuangan di dalam diri
Agar tertegak kalimah Ilahi
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar." (al Hujurat: 15)
“Manusia yang hidup untuk diri sendiri,maka usianya adalah teramat pendek. Bermula dari hari kelahirannya dan akan berakhir ketika disapa Sakaratul Maut.Akan tetapi bagi mereka yang hidupnya untuk perjuangan Islam, usianya terlalu panjang. Bermula sejak Allah menciptakan Adam dan akan berakhir ketika Allah memusnahkan alam... "- Sayyid Qutub
Semoga kita istiqamah dalam perjuangan Islam...
p.s: Kalau nak lagu ini boleh download di www.gempaq.com (tetapi mesti sign up dahulu).
Tuesday, March 24, 2009
Bilakah Suara Wanita Menjadi Aurat?
"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik." (Al-Ahzab: 32)
Dalam ayat ini, Allah memerintahkan wanita berkata dengan ma'ruf. Ini membuktikan suara mereka bukan aurat. Demikianlah pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya “Soal Jawab Wanita Islam.” – (Yadim Kuala Lumpur, 1997).
Imam al-Ghazali juga berkata: “Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi - maka pada saat itu suaranya aurat."
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatwa Muasirah memetik dalil, suara wanita bukan aurat. Kata beliau, al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad.Pada zaman dahulu ramai kaum wanita di kalangan sahabat yang datang menemui Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam untuk bertanya dan berdialog bersama baginda. Mereka menanyakan pelbagai perkara, termasuk hukum dan didengar oleh kalangan sahabat lelaki. Mereka tidak dilarang bersuara ketika itu.
Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram).Tiada khilaf dalam hal ini.(Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137;)
Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)
Walaupun begitu, wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki, tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja. Mereka juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan sembahyang.
Kesimpulan
Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :
1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam
Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ; Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )
2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan.
Ia adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)
Rujukan:
1. Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nasyid, tulisan Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman.
2. Ruangan Rencana dan Pendapat sebuah majalah on-line.
p.s: Diharap artikel ini dapat membantu adik Siti Khadijah. Nasyid wanita tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Tetapi jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita, ia adalah harus.
Wallahua' lam.
Monday, March 23, 2009
PPSMI:Pandangan Saya
Melihatkan isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia, saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan, berdasarkan pemerhatian dan perbincangan dengan rakan-rakan.Secara peribadinya saya membantah PPSMI. Lihatlah kepada kenyataan ini:
Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kerugian berganda kepada murid dan tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid.
Kajian yang diusahakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan melibatkan 53 pakar bahasa itu mendapati, pelaksanaan PPSMI hanya memberikan kesan minimum – kurang daripada 4 peratus – kepada pencapaian bahasa Inggeris secara menyeluruh.
Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang,amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.
Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan. "Ia juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri," laporan itu dipetik.
Laporan sepuluh halaman itu turut mendedahkan pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terlibat – bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
(malaysiakini)
KENAPA SAYA MEMBANTAH PPSMI?
1. PPSMI hanya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar bandar yang kebanyakannya telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di rumah. Tetapi bagaimana dengan pelajar luar bandar yang jarang sekali mempraktikkan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian? Sedangkan pasti di kalangan mereka ada yang mempunyai potensi tinggi untuk menguasai kedua-dua subjek ini.
2. Tujuan utama kerajaan mewujudkan PPSMI adalah untuk memantapkan penguasaan sains dan teknologi pada masa akan datang. Tetapi sistem ini telah menjejaskan pemahaman terhadap ilmu itu sendiri. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
3. Terlalu awal untuk diwujudkan PPSMI di peringkat sekolah rendah. Boleh memberikan psikologi negatif kepada mereka untuk belajar Sains dan Matematik. Sedangkan di peringkat sekolah rendah inilah segala konsep asas diperkenalkan. Jika semua ini gagal dikuasai sebaiknya, bagaimana pula dengan pembelajaran di peringkat lebih tinggi?
4. Tika ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa International dan kerajaan menjalankan PPSMI. Suatu hari nanti jika bahasa Mandarin atau Korea pula menjadi bahasa International, anda sanggup untuk menjalankan PPSMM @ PPSMK?
5. Memberi kesukaran kepada para guru yang dihantar untuk mengajar di pedalaman. Berdasarkan beberapa kisah yang saya baca, guru- guru yang terlatih sekalipun tidak mampu untuk mengaplikasikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris apabila berhadapan dengan para pelajar yang baru sahaja ingin mengenali perkataan Inggeris yang mudah.
6. Lambat-laun, bahasa Melayu sebagai mothertongue akan terhapus. Setiap ibu bapa akan mendidik anak mereka untuk berbahasa Inggeris sedari kecil demi kepentingan PPSMI.

Cadangan kepada kerajaan:
1. Perbaiki sistem pengajaran Bahasa Inggeris. Saya mencadangkan agar dibuat kelas berasingan untuk subjek bahasa Inggeris seperti Listening, Speaking, Writing and Reading sebagaimana subjek Bahasa Melayu yang terdiri daripada Penulisan dan Pemahaman.
2. Hapuskan PPSMI.
Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin menceritakan sedikit pengalaman pembelajaran sains dan matematik saya bermula di sekolah rendah hingga sekarang.
Saya memulakan sesi pendidikan sekolah rendah pada tahun 1993 dan berakhir pada tahun 1998. Matematik dan Sains ( Sains ketika tahun 4) diajar dalam bahasa Melayu. Sesi persekolahan menengah saya pula adalah pada tahun 1998-2003. Matematik dan Sains masih diajar dalam bahasa Melayu. Setelah berada di Tingkatan 4, saya mengambil aliran Sains dan mempelajari subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Matematik juga dalam bahasa Melayu. Kemudian saya meneruskan pelajaran ke Pusat Matrikulasi. Di sini segala-segalanya di 'bahasa Inggeris' kan. Buku- buku rujukan adalah di peringkat international. Pensyarah juga ada di kalangan foreigner. Jadi bermulalah proses penterjemahan segala konsep yang dipelajari di sekolah dahulu kepada bahasa Inggeris. Dan sekarang saya berada di universiti. Seratus-peratus dalam bahasa Inggeris. Majoriti pensyarah kami dari Myanmar dan Iraq. Namun alhamdulillah, saya berasa gembira dengan sistem pembelajaran yang telah saya lalui dan juga gembira kerana tidak merasai PPSMI.
Sebenarnya masih tidak terlalu lewat jika segala pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimulakan di peringkat matrikulasi atau peringkat persediaan sebelum ke universiti. Ketika itu, para pelajar telah bersedia mental dan fizikal. Bahasa Inggeris juga telah berada di tahap yang stabil. Segala konsep-konsep penting telahpun difahami dengan baik, cuma perlu dialihkan bahasa sahaja. Jangan bantutkan potensi pelajar-pelajar yang lemah bahasa Inggeris untuk memahami Sains dan Matematik. Cukuplah jika kita memantapkan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Ramai yang telah berjaya sedangkan mereka tidak pernah melalui PPSMI suatu ketika dahulu.
Anda ada sebarang komen atau pandangan? Sila kongsikan.












