:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Friday, July 3, 2009

Peranan Wanita Hari Ini (Dr.Danial Zainal Abidin)

Dipetik daripada tulisan Dr. Danial Zainal Abidin
M.B.Ch.B. Universiti Alexandria
[Saya cuma upload gambar]

Secara dasarnya peranan lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah, iaitu mengabdikan diri kepada Allah, membentuk keluarga berasaskan takwa dan mengajak kepada makruf serta mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, dalam bidang-bidang tertentu, fokus wanita berbeza dengan lelaki. Perbezaan ini bukan melambangkan penghinaan sebaliknya melambangkan kemuliaan dalam kelainan. Dalam surah Ali-Imran ayat 195, Allah berfirman, “Maka Allah memperkenankan permohonan mereka (dengan berfirman), sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.”

1.MENGUASAI ILMU:

Seperti lelaki, wanita wajib menguasai ilmu, terutamanya ilmu agama. Berhubung dengan ini nabi bersabda, “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap orang Muslim (lelaki ataupun perempuan).” (Riwayat Ibn Majah). Ramai wanita Islam di zaman dahulu bergelar cendekiawan kerana kehebatan ilmu mereka. Aisyah r.a. sendiri merupakan seorang pakar hadis yang menjadi rujukan kepada orang lain. Beliau meriwayatkan ribuan hadis. Imam Syafie pernah berguru tentang hadis kepada Sayyidah Nafisah di al-Fustat. (rujuk Muslimah dalam Pembentukan Ummah, Mustafa Ramadhan, AS Noordeen, KL)

2.MELAKSANAKAN IBADAH SERTA BERAMAL SOLEH

Dalam surah an-Nahl ayat 97 Allah berfirman, “Barangsiapa yang melaksanakan amal soleh sama ada lelaki ataupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik...” Dalam melaksanakan amal, dua kriteria perlu dijaga, iaitu keikhlasan hati dan cara yang mengikut syariat.



3.BERSAMA SUAMI MEMBINA RUMAHTANGGA ISLAMIK

Mengikut Imam Bukhari, nabi bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang meyahudi, menasrani atau memajusikannya.” Antara peranan ibu ialah memberikan susuan ketika anaknya kecil dan menggunakan kelembutannya untuk mendidik anak agar mencintai Allah, Rasul dan Islam. Pendidikan ke atas anak-anak bermula dengan pendidikan ke atas diri sendiri. Hadis yang boleh dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak ialah sabda nabi, “Beramallah untuk mentaati Allah dan menjauhi maksiat. Suruhlah anak-anak kamu supaya menuruti perintah Allah dan menjauhi yang dilarangNya. Inilah pemeliharaan diri mereka dan kamu dari neraka.” (Riwayat Ibn Jarir & Ibn Munzir)

4.BERPERANAN DALAM MASYARAKAT DAN NEGARA

Islam tidak melarang wanita berperanan di dalam masyarakat mengikut kemampuan masing-masing, asalkan tugas-tugas asas kepada Allah dan keluarga tidak diabaikan. Berpandukan hadis Muslim, nabi Muhammad pernah mendoakan agar Ummu Haram, iaitu isteri sahabat Ubadah bin Shamit, dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain. Ini menunjukkan Nabi mengiktiraf sumbangan wanita Islam di luar rumah. Malah wanita diizinkan memimpin masyarakat jika mereka berkemampuan. Di zaman khalifah Omar, beliau melantik seorang wanita bernama Ummul Syifa binti Abdullah menjadi penyelia pasar di Madinah. Jika dibandingkan jawatannya dengan suasana hari ini, tugas ini boleh disamakan dengan tugas seorang Ketua Pengarah di Kementerian Hal Ehwal Pengguna.

Di tempat kerja, wanita Islam perlu berdakwah dengan menunjukkan contoh yang baik sama ada di sudut akhlak ataupun komitmen kepada pekerjaan. Mereka seharusnya bersikap proaktif (bukannya pasif) dengan menganjurkan program-program kesedaran di tempat kerja mereka mengikut saluran yang ada. Mereka juga perlu berani menyuarakan pandangan secara yang makruf untuk kebaikan bersama di tempat kerja. Contohilah wanita di zaman khalifah Omar ini. Pada suatu ketika, khalifah Omar menyampaikan khutbah di atas mimbar dan beliau menjelaskan tentang penetapan kadar mahar agar ia tidak begitu tinggi. Seorang wanita bangun untuk menegur khalifah Omar kerana pada pandangan wanita itu, tindakan untuk hadkan kadar mahar bercanggah dengan ketetapan Al-Quran. Selepas mendengar hujah wanita itu, khalifah Omar terus berkata, “Wanita itu betul dan lelaki ini (iaitu Omar) salah.” Riwayat ini menunjukkan suara kaum wanita adalah penting dalam konteks pembangunan negara.

Contoh Wanita Cemerlang

Contoh itu ialah Siti Khadijah bt Khuwaylid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusay radhiyallahuanha, isteri Nabi yang pertama. Beliau merupakan wanita unggul 6 dalam 1.

1. Beliau seorang hamba Allah yang tinggi takwanya. Beliau sentiasa bersama Nabi mengabdikan diri kepada Allah serta tinggi pengorbanannya untuk Islam.

2. Beliau seorang isteri yang setia. Ketika Nabi bertahannuth di Gua Hirak, beliaulah menyediakan persiapan. Ketika Nabi mendapat wahyu yang pertama, dan ini mengejutkan Baginda, beliaulah yang menenangkan Nabi.

3. Beliau merupakan seorang ibu yang berjaya dan dikurniakan dengan enam orang cahaya mata. Antara yang menonjol ialah Fatimah az-Zahra ra.

4. Beliau ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Mengikut Ibn Saad dalam Tabaqat, apabila peniaga-peniaga Quraisy bersiap sedia untuk memulakan musafir, jumlah barang-barang perniagaan Khadijah sahaja menyamai jumlah kesemua barangan yang dibawa oleh peniaga yang lain.

5. Beliau seorang ahli masyarakat yang dihormati. Beliau di gelar 'Thahirah' atau 'Yang Suci' oleh arab Mekah.

6. Beliau pemimpin dan contoh bagi kesemua umat Islam. Beliau bergelar Ummul Mukminin.

2 comments:

Ummu Mishkah said...

teringin nak jadi cam wanita cemerlang tu.. masih jauh lagi!!

Shahibul Afzan Wahab said...

saya pun terasa masa jauh lagi ummumishkah.bukan senang nak jadi wanita 6 in 1...walaupun minum kopi 6 in 1.

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template