:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Wednesday, August 11, 2010

Soalan-soalan Lazim Tentang Puasa dan Pergigian


Soalan: Bolehkah kita mendapatkan rawatan gigi dalam bulan Ramadhan? tidakkah terbatal puasa kita?

Jawapan: Dlm majmuk al-fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, cabut gigi tidak membatalkan puasa, selagi mana air di dalam mulut tidak ditelan. Begitu juga jika melakukan dental filling, scaling dsb. (rujukan: سبعون مسألة في الصيام , Syaikh Salih Munajjid)


Soalan: Apa hukumnya menerima ubat bius (local anaesthesia) semasa berpuasa?

Jawapan: Dibolehkan. (rujukan: Puasa, Hikmah dan Hukum, Syeikh Dr. Abdul Majid Aziz az-Zindani)

Rujukan lain: "Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa." (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226).


Soalan: Apakah hukum berkumur-kumur dengan cecair kumur ,contohnya Listerine ketika waktu berpuasa?

Jawapan: Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie adalah harus berkumur membersihkan mulut atau bersugi sebelum masuk waktu Zohor dan selepas waktu Zohor hukumnya adalah makruh. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya :

"Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi."

Walaubagaimana pun Imam Nawawi berfatwa dengan tidak makruh membersihkan mulut sekalipun selepas masuk waktu Zohor kerana hadith tersebut bukan melarang membersihkan mulut, tetapi hanya menyatakan kelebihan orang yang berpuasa.

Atas pendapat Imam Nawawi ini tidaklah mengapa membersihkan mulut dengan ubat pencuci mulut atas orang yang sedang berpuasa.

(Dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dengan rujukan beliau Kitab Majmuk Imam Nawawi)

Friday, August 6, 2010

Tausiyah Menjelang Ramadhan

Ramadhan semakin hampir. Saya terkesan dengan tausiyah Kiyai Haji Abdullah Gymnastiar tentang apakah persiapan yang harus dilakukan menjelang Ramadhan. Saya kongsikan di sini (dengan sedikit terjemahan bahasa Indon kepada bahasa Malaysia), mudah-mudahan dapat juga dijadikan pedoman oleh semua.



* * *

Apa yang harus kita persiapkan menjelang bulan Ramadhan? Nampaknya, mulai saat ini kita harus menjaga diri dari apa pun yang Allah haramkan. Rasanya, tidak perlu kita menonton TV sampai larut malam. Lebih baik kita isi dengan membaca Al-Quran atau berzikir. Bagaimana mungkin kita membiarkan malam-malam kita diisi dengan tidur sedangkan Allah menyiapkan sepertiga malam terakhir menjadi saat yang disukai Allah.

Usahakanlah untuk mulai puasa dari apa pun yang tidak disukai Allah. Allah Maha Melihat perjuangan kita. Kita harus berusaha agar Allah Yang Maha Menyaksikan benar-benar melihat diri kita menjadi orang yang bersiap-siap menyambut jamuan Allah. Kita akan senang jikalau orang yang akan kita jamu datang dalam keadaan siap.

Mulai saat ini, hindari telinga kita dari sesuatu yang tidak layak kita dengar. Usahakan untuk sehemat mungkin berkata-kata yang tidak perlu. Untuk apa menambah-nambah kekotoran diri dengan kata-kata yang tidak berguna. Berkatalah benar atau diam, sehingga tiada terucap dari lisan ini kecuali kata-kata yang disukai Allah.

Di samping itu, siapkan rumah kita menjadi rumah yang penuh berkah di bulan Ramadhan. Kita harus mulai melihat, tidak ada yang haram di rumah kita. Bukalah almari kita, kalau ada yang diragukan segera keluarkan. Lihatlah dapur kita, kalau ada barang yang kita ragukan segera keluarkan. Jangan pernah kita dijamu Allah ketika pada diri kita melekat pakaian yang haram.

Lihat perpustakaan kita, apakah masih ada buku-buku yang bukan milik kita? Kalau ada segera kembalikan. Kerana buat apa kita menyimpan sesuatu yang tidak halal bagi kita. Sehingga semuanya bersih dari yang haram. Bahkan selain bersih dari yang haram, kita bersihkan diri kita dari sesuatu yang berlebihan. Kalau celana, sarung, pakaian, dan tudung kita terlalu banyak, segera keluarkan. Daripada tidak kita pakai, lebih baik dimanfaatkan orang yang memerlukan.

Sebelum Ramadhan tiba, bebaskan rumah kita dari hal yang sia-sia. Kerana siapa lagi yang kita cari keredhaannya selain Allah. Senangkah bila rumah kita dipuji manusia tapi dibenci Allah?

Tidak usah takut kehabisan pakaian kerana Allah-lah pemberi rezeki dan tidak mungkin Allah melalaikan orang yang menafkahkan rezekinya di jalan Allah. Yakinlah, Allah tidak akan pernah lupa membalasnya. Allah tahu bila kita memerlukannya karena Dialah pengatur rezeki yang hakiki.


Ramadhan adalah saat di mana kita menjadi paling dermawan dalam hidup kita sebagaimana Rasulullah menafkahkan rezekinya di bulan Ramadhan. Tidak sulit bagi Allah untuk membalas setiap hamba-hamba-Nya.

Tidak ada salahnya kita berniat sungguh-sungguh di bulan Ramadhan karena menginginkan jodoh, sepanjang kita ingin dijodohkan oleh Allah. Dialah yang menyuruh kita menikah dan Dialah yang menciptakan kita berpasang-pasangan, kepada siapa lagi kita meminta kalau bukan kepada-Nya. Yang pasti, Allah tidak akan mengecewakan kalau kita bersungguh-sungguh kepada-Nya.

Mulai sekarang, selain membersihkan rumah, bersihkan pula fikiran dan hati kita dari fikiran negatif. Jangan pernah berfikir benci kepada seseorang kerana ia boleh mengotori hati kita. Mulai saat ini, jadilah orang yang pemaaf. Tidak ada lagi fikiran-fikiran untuk membalas dendam.

Alangkah bagusnya apabila kita meminta maaf kepada orang tua menjelang bulan Ramadhan. Ziarah ke makam orang tua kita bagi yang sudah meninggal. Minta ampunlah kalau kita belum sungguh-sungguh membahagiakan orang tua kita. Suami-istri juga ada baiknya saling meminta maaf. Tidak ada salahnya minta maaf kepada orang yang lebih muda dari kita, termasuk kepada adik dan anak-anak kita.

Yang sering zalim ke pembantunya segeralah minta maaf. Minta maaflah dengan ikhlas. Insya Allah, dengan meminta maaf terlebih dulu, kita akan lebih ringan memasuki Ramadhan. Sebaliknya, kita juga harus menjadi pemaaf dengan segera memaafkan orang yang minta maaf kepada kita.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan (Q.S. Ali Imran [3]:133-134).

Menjelang Ramadhan, dekatkanlah segala sesuatu yang akan membuat kita akrab dengan Allah. Selalu siapkan Al-Quran di meja kerja dan di kamar tidur agar kita mudah membacanya. Begitu juga dengan buku-buku tentang keutamaan bulan Ramadhan. Sediakan juga anggaran khusus untuk sedekah dan anggaran untuk berbuka bagi orang lain. Satu butir kurma yang kita berikan untuk berbuka, pahalanya sama dengan satu hari puasa.

Buat juga senarai orang yang harus kita kunjungi, seperti nenek, saudara-mara dan keluarga kita yang lainnya. Terutama keluarga kita yang sedang berada di hospital. Tiap detik harus jadi kebaikan. Tiada hari tanpa silaturahim. Termasuk silaturahim kepada ulama. Kunjungi juga orang-orang lemah yang sengsara dan dililit hutang. Mudah-mudahan, Ramadhan kita menjadi penebar rahmat kepada orang-orang yang lemah.

* * *
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA...

Tuesday, July 20, 2010

Menjawab Pertanyaan di Shoutbox

Assalamualaikum buat semua...

Entri ini adalah untuk menjawab pertanyaan Ingin tau dan sahabat saya, mutiara bd yang bertanya di shoutbox. Maafkan saya jika agak terlambat membalasnya, kerana kesibukan menjengah sebentar.

Soalan daripada Ingin tau bertanyakan tentang sehingga umur berapakah gigi akan tumbuh.

Untuk memudahkan penerangan, saya sertakan gambar di bawah.

Gigi-gigi akan tumbuh mengikut masanya (dengan izin Allah!). Namun, ada juga gigi yang tidak tumbuh (semulajadi tiada gigi/terhalang oleh gigi susu dsb). Untuk lebih tepat, kita boleh melihat keadaan gigi kita melalui x-ray.

Secara lazimnya, kita dikurniakan Allah sebanyak 20 batang gigi susu dan 32 batang gigi kekal. Biasanya, waktu untuk gigi susu pertama (gigi kacip) tumbuh adalah sekitar usia 6-7 bulan. Kemudian, gigi-gigi yang lain pula akan menyusul. Ketika kanak-kanak telah berusia 3 tahun, biasanya mereka telah pun mempunyai semua set gigi susu dengan lengkap dan sempurna.

Setelah berusia 6 tahun, gigi kekal pertama (gigi geraham pertama) akan tumbuh. Kemudian, ini diikuti dengan pertumbuhan gigi-gigi kekal yang lain untuk menggantikan tempat gigi-gigi susu. Gigi kekal yang paling akhir tumbuh ialah gigi geraham ketiga, juga dikenali dengan nama Third molar @ gigi geraham bongsu @ wisdom tooth. Biasanya gigi geraham bongsu tumbuh setelah kita berusia 17 tahun dan ke atas (bergantung kepada individu). Ada juga yang tidak akan tumbuh langsung. Tentang gigi geraham bongsu saya ada tuliskan di sini.

Saya berharap penerangan ini menjawab persoalan Ingin tau. Jika tidak menepati, sila maklumkan kembali kepada saya ya.

* * *

Soalan kedua daripada mutiara bd, bertanyakan tentang sebab gusi bengkak ketika stress dan cara-cara mengendalikannya.

Saya akan memberikan jawapan berdasarkan apa yang diajarkan oleh Prof. Dr. Wisam, pensyarah kami, seorang specialist dalam bidang Periodontology.

Acute Necrotizing Ulcerative Gingivitis, penyakit gusi yang biasa terjadi disebabkan stress

Ada 2 sebab kenapa seseorang mudah mengalami gusi bengkak (gingivitis) ketika stress:

1. Ketika seseorang mengalami stress, sesetengahnya mengabaikan penjagaan gigi mereka atau terdorong untuk merokok dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesihatan gusi terganggu.

2. Ketika stress, terdapat perubahan hormon di dalam badan di mana hormon kortisol (cortisol) akan meningkat. Ini akan mengakibatkan sistem imuniti akan menjadi lemah (mengurangkan tindakan neutrophil dan penghasilan antibodi IgG dan IgA), seterusnya akan meningkatkan potensi patogen untuk menyerang gusi anda. Stress juga akan meningkatkan pengeluaran neurotransmitter yang mengakibatkan fungsi sistem imuniti tidak lagi bertindak sebagai pertahanan, sebaliknya mengakibatkan kerosakan pula (from protective response to a destructive one).

Jadi, elakkan diri daripada terlalu stress! Kebersihan gigi juga harus dijaga dengan sebaik-baiknya dan berjumpalah dengan doktor gigi untuk membuat pemeriksaan (nak jumpa dengan pelajar pergigian pun takpe jugak.hehe).

Semoga penerangan ini memuaskan hati ukhti mutiara bd :)

p.s: Jika ada doktor gigi, pelajar-pelajar pergigian atau sesiapa sahaja yang ingin menambah, menegur dan sebagainya, saya persilakan dengan segala hormatnya...

Saturday, July 10, 2010

Tahukah Anda?

Tahukah anda, frekuensi suara lelaki ialah 100 Hz, manakala suara wanita ialah 200 Hz. Maklumat ini saya dapati daripada pengajaran Prof. Dr. Bazirgan dalam subjek Prosthetic Dentistry. Perbezaan ini disebabkan oleh saiz vocal fold/cord yang berbeza. Panjang vocal fold lelaki ialah 17-25 mm manakala bagi wanita pula ialah 12.5-17.5 mm.

Baiklah, mari kita cari hikmahnya. Kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Wanita itu dijadikan lemah fizikalnya. Jadi Allah memberikan wanita frekuensi suara yang tinggi agar mereka boleh menjerit dengan kuat untuk meminta pertolongan andai berada dalam kecemasan. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat ini buat kaum wanita. Tetapi, wanita jangan pula salah menggunakannya. Simpanlah frekuensi tinggi suara anda ketika diperlukan sahaja. Jika digunakan sepanjang masa, tidak manis jadinya. :)

Sebenarnya ada lagi yang ingin saya kongsikan tentang perbezaan lelaki dan wanita, namun masa tidak begitu mengizinkan untuk saya menulis panjang.

Lelaki dan wanita memang dicipta berbeza, bukan untuk saling menyaingi tetapi untuk saling melengkapi...

"dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan..." (ali Imran :36)

"mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka..." (al Baqarah : 187)

p.s : Semasa kecil dahulu, emak pernah cerita bahawa saya kuat menangis. Tentu sekali dengan frekuensi yang tinggi. Maafkan saya emak dan ayah...

Wednesday, July 7, 2010

Hanya Al Quran di Lidahnya


Subhanallah...Subhanallah...Subhanallah. Ya Allah, mahu jadi sepertinya. Kisah yang saya bawakan ini adalah tentang seorang wanita tua, yang hanya melazimi kalimah-kalimah suci al Quran dalam setiap pertuturannya.

* * *

Berkata Abdullah bin Mubarak Rahimahullahu Ta'ala :

"Saya berangkat menunaikan Haji ke Baitullah Al-Haram, lalu berziarah ke makam Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam. Ketika saya berada di suatu sudut jalan, tiba-tiba saya melihat sesusuk tubuh berpakaian yang dibuat dari bulu. Dia adalah seorang ibu yang sudah tua. Saya berhenti sejenak seraya mengucapkan salam untuknya. Terjadilah dialog dengannya beberapa ketika."

Dalam dialog tersebut, wanita tua itu setiap kali menjawab pertanyaan Abdullah bin Mubarak, dijawab dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an. Walaupun jawapannya tidak tepat sekali, akan tetapi cukup memuaskan, kerana tidak terlepas dari konteks pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Abdullah : "Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh."

Wanita tua : "Salaamun qaulan min rabbir rahiim." (QS. Yaasin : 58) ("Salam sebagai ucapan dari Tuhan Maha Pengasih.")

Abdullah : "Semoga Allah merahmati anda, mengapa anda berada di tempat ini?"

Wanita tua :"Man yudhlilillahu fala haadiyalah." (QS : Al-A'raf : 186 ) ("Barangsiapa disesatkan Allah, maka tiada petunjuk baginya.")

Dengan jawapan ini, maka tahulah Abdullah bin Mubarak, bahawa dia tersesat jalan.

Abdullah : "Ke mana anda hendak pergi?"

Wanita tua : "Subhanalladzi asra bi 'abdihi lailan minal masjidil haraami ilal masjidil aqsa." (QS. Al-Isra' : 1) ("Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya di waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.")

Dengan jawapan ini Abdullah bin Mubarak mengerti bahawa dia sedang mengerjakan haji dan hendak menuju ke Masjidil Aqsa.


Abdullah : "Sudah berapa lama anda berada di sini?"

Wanita tua : "Thalatha layaalin sawiyya" (QS. Maryam : 10) ("Selama tiga malam dalam keadaan sihat.")

Abdullah : "Apa yang anda makan selama dalam perjalanan?"

Wanita tua : "Huwa yut'imuni wa yasqiin." (QS. As-syu'ara' : 79) ("Dialah pemberi aku makan dan minum.")

Abdullah : "Dengan apa anda melakukan wudhu'?"

Wanita tua : "Fain lam tajidu maa-an fatayammamu so'iidan thoyyiban" (QS. Al-Maidah : 6) ("Bila tidak ada air bertayammumlah dengan tanah yang bersih.")

Abdullah :"Saya mempunyai sedikit makanan, apakah anda mahu menikmatinya?"

Wanita tua : "Thumma atimmus siyaama ilallaiil." (QS. Al-Baqarah : 187) ("Kemudian sempurnakanlah puasamu sampai malam.")

Abdullah : "Sekarang bukan bulan Ramadhan, mengapa anda berpuasa?"

Wanita tua : "Wa man tathawwa'a khairon fainnallaha syaakirun 'aliim." (QS. Al-Baqarah : 158) ("Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.")

Abdullah : "Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?"

Wanita tua :"Wa an tasuumuu khairun lakum in kuntum ta'lamuun." (QS. Al-Baqarah : 184) ("Dan berpuasa itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.")

Abdullah : "Mengapa anda tidak menjawab sesuai dengan pertanyaan saya?"

Wanita tua : "Maa yalfizu min qaulin illa ladaihi raqiibun 'atiid." (QS. Qaf : 18) ("Tiada satu ucapan yang diucapkan, kecuali padanya ada Raqib 'Atid.")



Abdullah : "Anda termasuk jenis manusia yang manakah, hingga bersikap seperti itu?"

Wanita tua : "Wa la taqfu ma laisa bihi 'ilm. Innas sam'a wal basoro wal fuaada, kullu ulaaika kaana 'anhu mas'ula." (QS. Al-Isra' : 36) ("Jangan kamu ikuti apa yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati, semua akan dipertanggungjawabkan.")

Abdullah : "Saya telah berbuat salah, maafkan saya."

Wanita tua : "La tathriiba 'alaikumul yauum, yaghfirullahu lakum." (QS.Yusuf : 92) ("Pada hari ini tidak ada cercaan untuk kamu, Allah telah mengampuni kamu.")

Abdullah : "Bolehkah saya mengangkatmu untuk naik ke atas untaku ini untuk meneruskan perjalanan, kerana anda akan menjumpai kafilah yang di depan."

Wanita tua : "Wa maa taf'alu min khairin ya'lamhullah." (QS Al-Baqarah : 197) ("Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya.")

Lalu wanita tua itu berpaling daripada unta Abdullah, sambil berkata :

Wanita tua : "Qul lil mu'miniina yaghuddhu min absorihim." (QS. An-Nur : 30) ("Katakanlah pada orang-orang mukminin tundukkanlah pandangan mereka.")

Maka Abdullah pun memejamkan pandangannya, sambil mempersilakan wanita tua mengendarai untanya. Tetapi tiba-tiba terdengar sobekan pakaiannya, kerana unta itu terlalu tinggi baginya. Wanita itu berkata :

Wanita tua : "Wa maa asobakum min musibatin fabimaa kasabat aidiikum." (QS. Asy-Syura' 30) ("Apa sahaja yang menimpa kamu disebabkan perbuatanmu sendiri.")

Abdullah : "Sabarlah sebentar, saya akan mengikatnya terlebih dahulu."

Wanita tua : "Fa fahhamnaaha sulaiman." (QS. Anbiya' 79) ("Maka kami telah memberi pemahaman pada nabi Sulaiman.")


Selesai mengikat unta itu Abdullah bin Mubarak pun mempersilakan wanita tua itu naik.

Abdullah : "Silakan naik sekarang."

Wanita tua : "Subhaanalladzi sakhkhoro lana hadza wa ma kunna lahu muqriniin, wa inna ila robbinaa munqolibuun." (QS. Az-Zukhruf : 13-14) ("Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini pada kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya kami akan kembali pada Tuhan kami.")

Abdullah bin Mubarak pun segera memegang tali unta itu dan melarikannya dengan sangat laju. Wanita itu berkata :

Wanita tua : "Waqsid fi masyika waghdud min soutik" (QS. Lukman : 19) ("Sederhanakanlah jalanmu dan lunakkanlah suaramu.")

Lalu unta itu diperlahankan oleh Abdullah, sambil dia mendendangkan beberapa syair. Wanita tua itu berkata pula :

Wanita tua : "Faqraa-u maa tayassara minal qur'aan" (QS. Al- Muzammil : 20) ("Bacalah apa-apa yang mudah dari Al-Qur'an.")

Abdullah : "Sungguh anda telah diberi kebaikan yang banyak."

Wanita tua : "Wa maa yadzdzakkaru illa uulul albaab." (QS Al-Baqarah : 269) ("Dan tidaklah mengingat Allah itu kecuali orang yang berilmu.")

Dalam perjalanan itu Abdullah bertanya kepadanya.

Abdullah : "Apakah anda mempunyai suami?"

Wanita tua : "La tas-alu 'an asy ya-a in tubda lakum tasu'kum" (QS. Al-Maidah : 101) ("Jangan kamu menanyakan sesuatu, jika itu akan menyusahkanmu")

Ketika berjumpa dengan kafilah di depan mereka, Abdullah bertanya lagi kepadanya.

Abdullah : "Adakah orang anda berada dalam kafilah itu?"

Wanita tua : "Al-maalu wal banuuna zinatul hayatid dunya." (QS. Al-Kahfi : 46) ("Adapun harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia.")

Jadi Abdullah mengerti bahawa dia juga mempunyai anak.

Abdullah : "Bagaimana keadaan mereka dalam perjalanan ini?"

Wanita tua : "Wa alaamaatin wabin najmi hum yahtaduun" (QS. An-Nahl : 16) ("Dengan tanda bintang-bintang mereka mengetahui petunjuk.")

Dari jawapan tersebut Abdullah memahami bahawa mereka datang mengerjakan ibadah haji mengikuti beberapa petunjuk. Kemudian mereka menuju ke khemah.

Abdullah : "Adakah orang yang akan kenal atau keluarga dalam khemah ini?"

Wanita tua : "Wattakhodzallahu ibrohima khalilan" (QS. An-Nisa' : 125) ("Kami jadikan ibrahim itu sebagai yang dikasihi")

"Wakallamahu musa takliima" (QS. An-Nisa' : 146) ("Dan Allah berkata-kata kepada Musa")

"Ya yahya khudil kitaaba biquwwah" (QS. Maryam : 12) ("Wahai Yahya pelajarilah alkitab itu bersungguh-sungguh")

Lalu Abdullah pun memanggil nama-nama, Ibrahim, Musa, Yahya, maka keluarlah anak-anak muda yang bernama tersebut. Wajah mereka tampan dan ceria, seperti bulan yang baru muncul. Setelah tiga pemuda ini datang dan duduk dengan tenang, maka berkatalah wanita itu.

Wanita tua : "Fab'athu ahadakum bi warikikum hadzihi ilal madiinati falyandzur ayyuha azkaa tho'aaman fal ya'tikum bi rizkin minhu." (QS. Al-Kahfi : 19) ("Maka suruhlah salah seorang dari kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan carilah makanan yang lebih baik agar ia membawa makanan itu untukmu.")

Maka salah seorang dari tiga pemuda tersebut pergi membeli makanan, lalu menghidangkan di hadapan Abdullah bin Mubarak, lalu perempuan tua itu berkata :

Wanita tua : "Kuluu wasyrobuu hanii'an bima aslaftum fil ayyamil kholiyah" (QS. Al-Haqqah : 24) ("Makan dan minumlah kamu dengan sedap, sebab amal-amal yang telah kamu kerjakan di hari-hari yang telah lalu.")

Abdullah : "Makanlah kalian semuanya makanan ini. Aku belum akan memakannya sebelum kalian mengatakan padaku siapakah perempuan ini sebenarnya."

Ketiga-tiga anak muda itu berkata :
"Beliau adalah orang tua kami. Selama empat puluh tahun beliau hanya berbicara menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an, kerana bimbang beliau akan tersalah bicara."


Maha Suci Zat yang Maha Kuasa terhadap sesuatu yang dikehendakiNya. Abdullah pun berkata :

"Fadhluhu yu'tihi man yasyaa' Wallaahu dzul fadhlil adhiim." (QS. Al-Hadid : 21) ("Kurnia Allah yang diberikan kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah adalah pemberi kurnia yang besar.")

* * *

Muhasabah diri: Jika al Quran tidak menjadi kekasih di hati, tidak mungkin kita dapat jadi seperti wanita tua itu...

Thursday, June 17, 2010

Jodoh dan Ajal

Kad undangan perkahwinan banyak sekali yang sampai ke rumah. Undangan daripada orang sekampung, saudara-mara dan kawan-kawan. Sebahagiannya dapat dihadiri, sebahagiannya tidak dapat dipenuhi, lantaran sudah terlepas tarikh (ketika saya masih di kampus), jarak yang terlalu jauh, dan beberapa halangan lain. Di cuti akhir sem begini juga poket telah kering untuk bermusafir ke walimah yang jauh lokasinya. Hanya ucapan Selamat Pengantin Baru dan doa yang dikirimkan, semoga kalian semua berbahagia dalam melayari alam baru serta dilimpahkan rezeki yang mencurah-curah.

Satu kad undangan yang diposkan kepada saya daripada seorang kawan lama tertulis,

Dengan segala hormat dan takzimnya mempersilakan Shahibul Afzan & Pasangan & Family ke majlis....

Mungkin sangkanya saya sudah berkahwin. Terkejut juga membacanya.

Jodoh


Ingin saya bawakan satu firman Allah di dalam surah al Hadid ayat 22;

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

Jodoh dan ajal kita telah pun ditentukan oleh Tuhan, tertulis di Lauh MahfuzhNya. Ada orang yang cepat jodohnya, dan ada pula yang lambat. Yang lambat perlu bersabar, insya Allah ada, hanya belum sampai masanya. Perumpamaannya seperti meniti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita berbanding mereka yang pendek jambatannya.

Apa yang telah ditakdirkan Allah itu sudah tentu paling baik dari sisiNya dan paling baik buat hambaNya. Ada orang yang baru berkenalan, setelah itu terus diijabkabulkan. Ada orang mengambil masa yang lama dan mengharungi pelbagai dugaan, kemudian barulah disatukan. Tidak kurang juga yang bertahun-tahun bercinta, tetapi akhirnya diijabkabulkan dengan orang lain. Hakikatnya, jodoh kita hanya Allah yang mengetahui.

Teringat saya kepada filem Ketika Cinta Bertasbih. Saya percaya ramai yang telah menontonnya. Salah satu pengajaran yang dapat diambil daripada filem tersebut ialah, jodoh itu di tangan Allah. Kalau dah jodoh, takkan ke mana. Abdullah Khairul Azzam akhirnya berjodoh juga dengan Anna Althafunnisa walaupun sebelum itu bermacam-macam perkara yang berlaku. "Allahu akbar" (sebagaimana yang diungkapkan oleh Khairul Azzam setelah diberitahu oleh Kiai Lutfi :)

Usah bimbang, jika kita menjadi baik dan soleh/solehah, pasti kita akan dikurniakan pasangan daripada golongan yang baik-baik juga. Allah telah menjanjikannya sebagaimana tercatat dalam surah an Nur ayat 24:

"...Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..."

Nyatakanlah perasaan dan keinginan kita itu dalam doa-doa dan munajat kita. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memahami segala isi hati.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.

Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripadaMu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui jihad dan syahid di jalanMu.

Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurgaMu.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu,janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

(doa yang biasa kita jumpa)

Bagi yang telah selamat menyempurnakan sunnah Nabi ini, alhamdulillah dan tahniah diucapkan. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan mengimpikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan antara ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan RasulNya.

Bagi yang belum sampai jodohnya, jagalah diri sendiri dan bermujahadahlah. Insya Allah, jika dipanjangkan umur, baitul muslim itu akan tiba masanya.

"Dan orang-orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah menjaga kesucian dirinya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurniaNya..." (an Nur: 33)

Semoga Allah memandu kita semua ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Amiinnn...

Ajal


Al-fatihah buat adik Fatimah Zurwanti Zulkifli yang telah kembali ke rahmatullah petang semalam akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang pelajar lepasan Pusat Asasi UIAM yang bakal ke UIAM Kuantan Julai ini.Namun Allah Taala lebih mencintai beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu adik...Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un...

"Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya)." (Yunus:10)

Sesungguhnya jodoh dan ajal maut itu di tangan Allah ~

Friday, June 4, 2010

Keputusan


Bismillahi wal hamdulillah...

Segala puji bagiMu ya Allah, dengan nikmat dan kasih sayang yang Engkau berikan, Engkau masih mengizinkan diri hamba yang dhaif ini untuk mengecapi nikmat iman dan Islam. Semoga dua nikmat ini Engkau kekalkan hingga kembalinya diri ini kepadaMu.

Hari ini keputusan Peperiksaan Professional baru-baru ini telah diumumkan. Segala puji bagiMu ya Allah, kerana masih memberi kesempatan kepada hamba ini untuk lulus dalam semua subjek. Ya Allah, tidak tahu lagi bagaimanakah ingin dizahirkan kesyukuran ini melainkan dengan puji-pujian kepadaMu. Saat-saat getir telah berlalu, namun tentunya ia akan berulang-ulang lagi pada masa akan datang.

Terima kasih wahai Allah. Engkau tahu bahawa hamba ini sangat lemah, maka Engkau tidak menguji hamba dengan ujian yang tidak mampu hamba menanggungnya. Namun buat sebahagian sahabat yang kuat dan tabah, Allah menguji mereka. Bersabarlah sahabat-sahabatku, percayalah bahawa Allah ingin memberikan yang lebih baik buatmu.

"Allah menguji seseorang hamba dengan musibah untuk diselidiki kesabaran hamba itu...

dan Allah menguji seseorang hamba dengan nikmat untuk diselidiki kesyukuran hamba itu kepadaNya..."

Insya Allah, kata-kata ini akan saya ingat sampai bila-bila. Terima kasih semua.

Saturday, May 29, 2010

Anak Sulung Mak Yang Tak Matured

Salam mak,

Malam ni, sebelum buka buku-buku dan nota-nota yang berlambak atas meja ni, anak sulung mak ni nak merepek dengan mak. Saya tak nak telefon mak, tapi nak tulis kat blog ni jugak...

Mak, dulu masa zaman sekolah, mak la tempat saya luah segala perasaan saya. Semua perkara nak cerita kat mak. Tiap- tiap minggu mesti mak datang asrama jenguk saya, so masa tu mak akan jadi mangsa dengar segala cerita saya. Hehe.

Tapi mak...

Bila saya dah umur 24 tahun ni, dah masuk universiti pulak tu, saya rasa dah tak matured kalau nak ngadu-ngadu kat mak lagi. Saya bimbang mak akan fikir,"Anak aku ni tak pandai berdikari lagi ke dah besar panjang macam ni..."

Tapi saya yakin, mak takkan fikir macam tu pun. Tapi saya tetap malu...Bagi saya, biarlah saya simpan segala tekanan, kebimbangan, kegusaran, kesedihan dan apa-apalah yang sewaktu dengannya daripada pengetahuan mak. Saya tak nak mak terbeban dengan mendengar masalah saya. Saya tak nak mak bimbang dengan saya...

Sesekali mak telefon tanya khabar saya, saya akan beritahu mak, "Alhamdulillah, saya ok kat sini...". Bila balik rumah pulak, saya takkan bawa balik segala perasaan yang saya alami. Sebab tu mak akan nampak saya ceria je bila sesekali balik kampung.

Tapi sebenarnya kan mak, anak mak selalu dalam keadaan tak betul kat sini...huhu.

Mak, takut sangat nak hadapi peperiksaan General Medicine dan Surgery lagi dua hari ni...kalau tak lulus, kena repeat tahun...Saya tak dapat bayangkan mak. Saya ni bukan budak pandai, saya rasa ilmu saya sikit sangat. Macam mana saya nak jawab soalan-soalan peperiksaan nanti. Mak doakan saya...

Mak, saya rasa bila saya tulis di blog ni, satu dunia akan tahu betapa tak maturednya saya. Hehe. Biarlah mak, saya memang macam ni pun :)

Baiklah mak, sampai sini dulu ye... Walaupun mak mungkin tak baca entri ni, tapi naluri ibu mak akan dapat faham perasaan saya kan?

p.s: Catatan orang tension nak exam... :)

Friday, May 28, 2010

Ya Allah, Bukakanlah Pintu Khauf dan Raja' Untukku

Oleh KH Abdullah Gymnastiar

Saudaraku, apabila Allah bukakan pintu Raja' (harapan), maka saksikan apa yang Allah berikan untukmu. Apabila kamu ingin Allah bukakan pintu Khauf (khuatir), perhatikanlah apa yang telah engkau amalkan untuk mentaati Allah. Jadi saudaraku yang baik, orang itu boleh termotivasi dengan dua hal:

1. Khauf (Takut)
2. Raja' (Harap).

Yang dimaksud pintu Raja' adalah sifat yang selalu dimiliki oleh seorang hamba. Raja' maksudnya harapan yang selalu dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah SWT. Harapan yang sepenuhnya agar amal ibadahnya diterima, harapan agar terhindar dari perbuatan yang dimurkai Allah, dan selalu mendapat hidayah agar selalu berada di dalam redha Allah.

Khauf, adalah sifat hamba Allah yang selalu khuatir apabila amal ibadahnya tidak diterima atau ditolak oleh Allah Taala. Khauf apabila amal ibadahnya sia-sia, tidak memperoleh pahala dan tidak diredhai oleh Allah.

Wallahu a'lam bis-sowab.

Thursday, May 27, 2010

Rapuhnya Aku

Astaghfirullah al-'azim...
Astaghfirullah al-'azim...
Astaghfirullah al-'azim...

Entah apa yang ingin saya nukilkan...
Namun saat ini dirasakan iman ini terlalu rapuh...
Rapuhnya aku ya Allah...

Ya Allah, ampunilah aku, imanku rapuh seperti sarang labah-labah...

"Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui..." (al 'Ankabut:41 )

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Song by Opick - Rapuh

Ampunilah aku ya Allah...
Kerana diri ini terlalu lemah...
Sering alpa dalam mengharungi hidup yang masih bersisa...

Sahabat-sahabat...
Bagaimana aku bisa membaiki iman yang rapuh?...
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template