:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Tuesday, November 18, 2008

PANDUAN UNTUK WANITA YANG BEKERJA


oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi

Pekerjaan wanita pada zatnya itu adalah harus; kadang- kadang ia menjadi harus dan kadang- kadang pula ia menjadi wajib terutamanya jika di dalam keadaan yang benar- benar memerlukan si wanita itu bekerja. Antaranya janda atau wanita- wanita yang diceraikan dalam keadaan tiada berharta dan sebatang kara, akan tetapi ia mampu untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang dapat menahannya daripada meminta- minta.

Kadang- kadang keadaan keluarga itu sendiri yang memerlukan wanita untuk bekerja seperti membantu suaminya memelihara anak-anaknya ataupun saudaranya yang kecil dan membantu bapanya yang telah tua sebagaimana kisah yang disebut di dalam surah al- Qasas mengenai dua orang anak nabi Syuaib yang telah membantu bapanya mereka memelihara kambing. Firman Allah: Maksudnya:

"Mereka menjawab: " Kami tidak memberi minum (kambing- kambing) sehingga penggembala- penggembala itu membawa balik binatang ternakan masing- masing, dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya." (Al- Qasas: 23)

Begitu juga Asma' binti Abu Bakar yang digelar " empunya dua tali pinggang" turut membantu suaminya iaitu Az- Zubair bin al- ' Awwam memelihara kudanya, menyiram tamar malah dia sendiri yang menjujung air di atas kepalanya daripada kota Madinah hinggalah sampai ke kebunnya.

Kadang- kadang masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti menjadi jururawat ataupun doktor kepada kaum sejenisnya, mendidik dan tugas- tugas lain yang khusus bagi wanita. Ketika melaksanakan tugasnya itu, adalah lebih baik jika dia hanya bergaul dengan kaum sejenisnya dan bukan dengan kaum lelaki. Ini kerana lelaki hanya dibenarkan mendapatkan khidmat daripada wanita di dalam keadaan dhorurah sahaja.

Hukum wanita bekerja adalah harus tetapi bersyarat

Kebenaran itupun adalah terhad pada perkara yang berkaitan dengan keperluan sahaja. Sekiranya kami katakan bahawa harus bagi wanita untuk bekerja, maka keharusan itu hendaklah terikat dengan beberapa syarat:

1) Pekerjaan yang halal

Pekerjaan yang hendak dilakukan itu sendiri adalah kerja yang halal. Atau dengan kata lain ia bukanlah kerja yang haram atau yang boleh menjerumuskannya ke jurang maksiat. Antaranya menjadi orang gaji kepada lelaki yang masih bujang, menjadi setiausaha kepada mana- mana Pengarah yang dalam banyak keadaan menuntutnya untuk duduk bersunyi- sunyian dengannya, menjadi penari yang kerjanya adalah membangkitkan nafsu, menjadi pelayan bar yang menghidangkan arak di mana Rasulullah (s.a.w) telah melaknat orang yang menghidang, membawa dan menjualnya, menjadi pramugari yang antara tugasnya ialah menghidangkan arak di samping terpaksa bermusafir dan menginap di negara orang yang terlalu asing tanpa di sertai dengan muhrimnya dan apa sahaja kerja yang diharamkan kepada wanita khususnya dan yang diharamkan kepada kedua- duanya; lelaki ataupun wanita.


2) Memelihara adab sebagai muslimah


Dia hendaklah memelihara adab sebagai seorang wanita Muslimah sama ada di sudut cara berpakaian, berjalan, bercakap dan sebagainya. Firman Allah: Maksudnya:
"Dan katakanlah perempuan- perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka( daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya"... " Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Al- Ahzab: 32)

3) Tidak menjejaskan kewajipan terhadap suami dan anak-anak


Kerjanya itu tidak menjejaskan kewajipan- kewajipannya yang lain. Ini termasuklah kewajipan terhadap suami dan juga anak- anak. Ini kerana tanggungjawab terhadap keduanya merupakan kerja yang utama.

No comments:

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template