Usai membaca surah ar-Ra'du yang bermaksud 'Guruh', saya mendapat ilham untuk menulis tentangnya. Teringat pada malam Sabtu, 18 Jun yang lalu di mana guruh berdentam-dentum di dada langit disertai kilat dan hujan lebat. Keesokan harinya, rumah saya blackout selama 26 jam akibat dahan pokok yang patah lalu menghempap wayar elektrik.
Kejadian guruh menunjukkan kekuasaan Allah. Mendengar bunyi guruh memberi suatu harapan atau ancaman kepada manusia. Dikatakan suatu harapan kerana guruh adalah petanda akan hujan setelah melalui kemarau yang panjang. Dikatakan suatu ancaman pula kerana mungkin ia membawa ribut yang menakutkan.
Hakikatnya, guruh sebagaimana makhluk-makhluk Allah yang lain bertasbih memujiNya. Sedangkan guruh pun bertasbih, bagaimana pula kita selaku sebaik-baik makhluk ciptaanNya. Sama-sama renungkan. Sudahkah kita bertasbih memuji Allah hari ini?
Atap rumah nenek saya yang telah diterbangkan angin pada malam 18 Jun lepas
(gambar diambil oleh ayah saya)
(gambar diambil oleh ayah saya)
Ketika mendengar bunyi guruh di langit, janganlah hanya sekadar tidak mencurahkan air di dalam tempayan sebagaimana disebutkan peribahasa Melayu, tetapi amalkanlah membaca doa ini:
سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
Doa ini berasal dari potongan ayat 13 surah ar-Ra'du:
وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
"Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya".
Dan doa ini tsabit dari Sahabat Nabi r.a, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatto' dan Imam Bukhari dalam Adab Mufrad dari Abdullah bin az-Zubair yang membaca doa ini ketika mendengar guruh:
أَنَّهُ كَانَ إِذَا سَمِعَ الرَّعْدَ تَرَكَ الْحَدِيثَ وَقَالَ سُبْحَانَ الَّذِي يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ ثُمَّ يَقُولُ إِنَّ هَذَا لَوَعِيدٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ شَدِيدٌ
"Bahawa apabila beliau mendengar guruh, beliau akan meninggalkan percakapan dan menyebut: Subhana allazi yusabbihu ar-ro'du bihamdihi wal malaikatu min khifatih" (Maha Suci bagi yang guruh bertasbih memujiNya dan para malaikat kerana takut kepadaNya). Kemudian beliau berkata: Ini adalah peringatan yang dahsyat kepada ahli bumi".
Antara doa lain ialah,
"Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah bunuh kami dengan kemurkaanMu, dan janganlah membinasakan kami dengan azabMu, tetapi sejahterakanlah kami sebelum itu."
Semoga dengan mengamalkan doa-doa tersebut, kita mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah. Insya Allah.
p.s: Bulan Rejab semakin meninggalkan kita untuk memasuki fasa Sya'ban. Teruskanlah dengan doa kita, "Allahumma barik lana fi rajab wa sya'ban wa ballighna ramadhan..." dan teruskanlah persiapan kita untuk menyambut tetamu yang mulia ini.
Doa guruh di atas dirujuk di sini: http://qazikirdandoa.blogspot.com
Doa guruh di atas dirujuk di sini: http://qazikirdandoa.blogspot.com