:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Sunday, December 27, 2009

Apabila Monyet Menyerang Kembali...

Setelah sekian lama membisu, hari ini monyet-monyet kembali menyerang blok asrama yang saya duduki. Mungkin stok bekalan makanan mereka di dalam hutan telah habis. Di bawah adalah gambar-gambar kenangan yang sempat diambil sempena kehadiran mereka :)

Tersenyum puas selepas menyelongkar tong sampah :)


Sedang menjalankan operasi mengotorkan kain di ampaian...


"Buah apa ni ek?" Mungkin itulah yang sedang difikirkan olehnya...


Yang ini macam singa je...Gerunnya.

Buat apa tu? Tingginya duduk...


Sedang menikmati keindahan alam dari atas atap :)



"Gayatnya saya!" Kata monyet ini di dalam hatinya.


Mengenakan posing yang paling menawan kepada jurukamera :)
Mungkin inilah bapa monyet yang pernah mempunyai sejarah hitam dengan saya suatu masa dahulu...huhu

Sekian.

Friday, December 25, 2009

Mabruk!


Mabruk buat Nur Aishah bt Wahab atas kejayaannya mendapat 9A dalam peperiksaan PMR yang diumumkan baru-baru ini.

Mabruk juga buat Nur Rashidah bt Wahab atas kejayaan menjadi pelajar terbaik Tahun 2 di sekolah dalam peperiksaan akhir tahun.

Kejayaan adalah milik Allah. Semoga Aishah dan Rashidah terus berjaya dalam perjalanan yang seterusnya. Doakan buat kakak sulung kalian ini juga :)

Sunday, December 20, 2009

Rebranding Dakwah Workshop


Buat semua warga UIAM Kuantan dan sekitarnya, suatu program motivasi dakwah yang dinamakan sebagai "REBRANDING DAKWAH WORKSHOP" disediakan untuk anda pada 2-3 Januari 2010 ini. Program ini menampilkan dua tokoh hebat dakwah iaitu Saudara Amin Idris dan Saudara Shah Kirit Kalkulal Govindji.

Saudara Amin Idris yang mengambil sesi pada hari Sabtu akan berkongsi tips bagaimana untuk menjadi pendakwah yang berjaya, manakala Saudara Shah Kirit akan berkongsi tentang persepsi bukan Islam terhadap Islam serta perbandingan agama.

Yuran penyertaan hanya sebanyak RM 8.00 yang merangkumi 1 makan tengahari, 3 minum pagi dan petang, fail dan sijil.

Tempat terhad kepada 150 penyertaan. Kepada sesiapa yang berminat, sila daftarkan nama anda dengan segera kepada:

HILMI-0136280179 (Programme Manager)
AFZAN-0139156950 (Assistant Programme Manager)

Monday, December 14, 2009

Impian Tahun Baru

Bismillahi wal hamdulillah...

Hari ini saya berkesempatan lagi untuk mencoret di ruang maya ini untuk berbicara tentang tahun baru yang bakal tiba. Ya Allah, sekejap sahaja masa berlalu. Bumi ini amat pantas berputar. Umur saya bakal menginjak ke 24 tahun. Mudah-mudahan di umur 24 dan seterusnya, kematangan saya dalam berfikir akan bertambah. Berbekalkan pengalaman-pengalaman hidup yang berharga yang telah dilalui. Pahit, manis, masam, masin, dan kelat, semuanya ada. Pengalaman adalah guru terbaik. Semoga ia menjadikan saya lebih dewasa.

Insya Allah, 1 Muharram 1431 Hijrah ini menjanjikan kehidupan baru yang bahagia dan berkekalan buat sahabat saya, Asiyah@ Khairul Bariyyah yang akan mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Muhammad Haziq. Selamat melangkah ke alam baru. Asiyah yang saya kenali sejak di Darul Quran sudah saya rasakan seperti adik-beradik. Ya, memang kami dahulu adik beradik seusrah. Saya memanggilnya Anjang dan dia pula memanggil saya Angah. Sedih pula apabila Anjang akan berkahwin. Terasa seperti hilang seorang lagi kawan baik saya. Ish, ada-ada sahaja saya ini. Apa-apapun, semoga Anjang berbahagia hingga ke syurga abadi. Amiinn ya Rabb!

Susunan widget-widget di blog ini juga telah saya ubah sempena masuknya tahun baru. Kadang-kadang perabot di dalam rumah atau bilik juga harus diubah untuk memberi kita semangat baru. Azam baru 1431 dan 2010 sudah saya tampal di dinding. Beginilah diri saya sejak dahulu. Tidak lengkap rasanya permulaan tahun baru tanpa saya menampalkan sesuatu pada dinding bilik. Dahulu sewaktu kecil-kecil, di penghujung tahun begini saya akan mengajak adik-adik saya menyemak azam tahun tersebut sama ada telah berjaya dicapai atau tidak. Kemudian kami akan menulis azam baru masing-masing dan ditampal pada dinding bilik tidur. Namun bagi sebahagian orang, mereka berasa segan untuk menampalkan azam masing-masing. Terpulanglah. Tetapi itulah caranya saya memotivasikan diri sendiri.



Saya berharap untuk menjadi lebih serius pada tahun hadapan. Saya juga berharap lebih banyak kemajuan diri yang mampu dicapai. Nilaian kemajuan diri bergantung kepada diri masing-masing. Tetapi nilaian saya, kemajuan diri saya adalah apabila semakin banyak ilmu dan kemahiran yang saya kuasai, semakin meningkat keyakinan diri serta semakin banyak kejayaan yang digapai dalam hidup sama ada kecil atau besar.

Cita-cita saya suatu hari nanti, ingin berjaya menjadi seorang doktor gigi yang dapat menyumbang kepada ummah. Saya ingin berganding bahu bersama golongan ulama dan golongan professional Muslim yang lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Perjuangan menegakkan Islam akan sama-sama kita julang sehingga ke akhir hayat. Juga sebagai seorang anak, saya juga menyimpan impian untuk membawa kedua ibu bapa saya beribadah di Baitullah bersama-sama saya suatu hari nanti. Mudah-mudahan...Engkau kabulkan ya Allah (",)

Friday, December 11, 2009

Muhasabah Cintaku

Saya diserang batuk dan selesema sejak beberapa hari lepas. Menghayati lagu Muhasabah Cinta daripada kumpulan nasyid Edcoustic...

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu.

Wednesday, December 9, 2009

Campus Dakwah Project di UIAM Kuantan


Di UIAM Kuantan akan berlangsung suatu program yang dinamakan sebagai Campus Dakwah Project (CAMPRO), bermula pada 10 Disember 2009 hingga 8 Januari 2010.

Antara program menarik yang disediakan ialah:

Disember 2009:

10hb: Talk & Launching Ceremony
10-20hb: Congregational Prayer Week
20-27hb: Quranic Recitation Campaign
28- 31hb: Infaq

Januari 2010:

1hb: Dakwah Expedition
2&3hb: Rebranding Dakwah Workshop
8hb: Dakwah Forum
1-7hb: Infaq

*di bawah ini adalah poster untuk program terdekat. Dijemput kepada semua warga UIAM Kuantan dan sekitarnya untuk hadir dan memperoleh manfaat daripadanya, insya Allah...


Thursday, December 3, 2009

Teladan Daripada Sebuah Pengorbanan

Hari raya korban telah pun berlalu. Saya telah kembali ke kampus sejak Isnin yang lepas. Kelas dan klinik telah dimulakan kembali dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Alangkah seronoknya jika cuti masih panjang dan berpeluang menghadiri program dan perjumpaan bersama teman-teman yang masih bercuti. Namun, diri ini terpaksa mengorbankan segala perasaan itu.

Saya ingin menulis tentang pengorbanan agar saya sendiri mampu mengambil istifadah daripadanya selain buat renungan rakan pembaca. Apabila berbicara tentang pengorbanan, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menjadi contoh agung buat semua umat Islam. Sehinggakan kisah mereka diabadikan di dalam kitab suci al Quran, surah as Saffaat ayat 102-111.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu." Dia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."
(As-Saffaat: 102)

** Bacalah sendiri terjemahannya sehingga ayat 111.

Gambar hiasan

Sungguh besar dugaan yang Allah hadirkan kepada para anbiya'. Bukannya Nabi Ibrahim tidak sayang kepada puteranya, namun kerana kecintaan dan ketaatan kepada Allah yang melebihi segala-galanya, Nabi Ibrahim sanggup melakukan apa sahaja. Mereka berdua benar-benar sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kita pula bagaimana?

Mereka berdua juga tidak takut dan tidak susah hati. Mereka redha menerima ketentuan Ilahi. Mereka yakin tanpa syak wasangka. Begitulah hakikatnya sebuah pengorbanan. Demi Allah tercinta, sesuatu yang berharga sanggup dilepaskan. Ya, cinta Allahlah yang mendorong sebuah pengorbanan. Marilah muhasabah diri kita. Sejauh manakah kita telah berkorban untuk Allah sepanjang hidup kita di dunia, pengukur sejauh mana kecintaan kita terhadapNya.

Setelah pengorbanan mereka berdua jelas terbukti, akhirnya Allah menebus Nabi Ismail dengan "dzibhin aziim" iaitu seekor sembelihan yang besar. Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkan Qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji @ Eidul Adha. Seterusnya Allah mengabadikan pujian yang baik kepada Nabi Ibrahim. Lihatlah, peristiwa ini benar-benar mengajar kita bahawa barangsiapa yang berjual-beli dengan Allah tidak akan sekali-kali rugi, dan langsung tidak akan dipersia-siakan.

Tidak akan rugi jika 'berbisnes' dengan Allah

Saya juga ingin mengajak kita semua menghayati terjemahan surah al Kauthar yang hanya sebanyak 3 ayat ini:

1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
2. Maka dirikanlah solat kerana TuhanMu dan berkorbanlah.
3. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Sesiapa yang sanggup berkorban menunjukkan tanda kesyukurannya. Sesiapa yang bersyukur pula akan diganda-gandakan nikmat oleh Allah.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadaMu, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu sangat pedih." (Ibrahim:7)

Allah akan membalas kebaikan hamba-hambaNya yang sanggup berkorban. Jika tidak dibalas di dunia, syurgaNya sedang menanti. Firman Allah dalam surah at Taubah ayat 111:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..." (at Taubah:111)

Pengorbanan itu banyak bentuknya. Carilah peluang untuk berkorban, usah takut dan usah berkira. Allah akan mengira setiap kebaikan walau sebesar zarrah. Syaratnya, keikhlasan mestilah hadir seiring di dalam hati.

Ya Allah, jadikanlah kami semua dalam golongan hambaMu yang rela berkorban untukMu dan perjuangan menegakkan agamaMu, serta jadikanlah kami dalam golongan yang mencintai dan dicintaiMu...
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template