:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Tuesday, December 21, 2010

Misteri Golden Ratio

Pernahkah anda mendengar tentang 'Golden Ratio'?

Saya baru pertama kali mendengarnya dari Dr Kais Raad yang mengajar kami subjek Fixed Prosthodontics. Setelah melakukan sedikit pembacaan, saya dapati bahawa 'Golden Ratio' ini sesuatu yang sangat menarik.

Mari saya kongsikan.

Golden Ratio ini adalah suatu ratio di mana nilai ratio jumlah 2 kuantiti kepada kuantiti yang lebih besar adalah sama dengan nilai ratio kuantiti yang lebih besar itu kepada kuantiti yang lebih kecil. Rajah di bawah ini mungkin membantu untuk senang difahami.

Ratio ini menghasilkan satu nilai konstan iaitu 1:1.6180339887.

Golden Ratio ini juga dikenali juga dengan nama lain seperti extreme and mean ratio, medial section, divine proportion, divine section (Latin: sectio divina), golden proportion, golden cut, golden number, dan mean of Phidias. Ia diwakilkan dengan simbol Greek phi, iaitu (φ).

Nombor Fibonacci

0, 1, 1, 2, 3, 5, 8, 13, 21, 34, 55, 89, 144, 233, 377, 610, 987, 1597, 2584, …

Golden Ratio ini juga dapat diperhatikan dalam nombor Fibonacci seperti yang tertera di atas.

233 / 144 = 1.618
377 / 233 = 1.618
610 / 377 = 1.618
987 / 610 = 1.618
1597 / 987 = 1.618
2584 / 1597 = 1.618

Apabila kita membahagikan sesuatu nombor dengan nombor sebelumnya, maka kita akan mendapat hasil 1.618.

Golden Ratio dan Kita

Sama ada kita perasan atau tidak, Allah sebenarnya menjadikan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain dalam Golden Ratio ini. Lihatlah gambar-gambar ini semua.


Golden Ratio dapat diperhatikan dalam anggota badan


Golden Ratio pada muka


Golden Ratio pada telinga

Golden Ratio pada gigi.



Pada burung, semut, bunga, ECG dan lain-lain...

Pada DNA


Pada broccoli

Pada pine cones

Lihatlah, Allah menjadikan banyak makhluknya dalam Golden Ratio, di mana di sana letaknya nilai kecantikan. Sesungguhnya Allah sangat suka pada kecantikan. Maka bersyukurlah kepada Allah kerana kita dijadikan cantik sekali.

Dan berdasarkan kecantikan Golden Ratio inilah Leonardo Da Vinci menghasilkan potret Mona Lisa...


Serta seni bina juga dihasilkan mengikut Golden Ratio...

Piramid...


Golden Parthenon...

Golden Ratio dan Makkah

Paling menarik, Kota Suci umat Islam, Makkah berada pada titik Golden Ratio dunia! Lihat gambar di bawah.

Dan yang bertambah menarik ialah terdapat suatu ayat al Quran dalam surah Ali Imran yang berbunyi;

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

‎"Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangun untuk manusia, ialah (Baitullah) di Mekkah yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam" (3:96)

Jika kita mengira jumlah huruf dalam ayat ini ialah sebanyak 47 huruf (huruf syaddah dikira sebagai 2). Apabila kita mengira nilai Golden Ratio daripada nilai 47, ia jatuh pada kalimah Makkah.

47/ 1.618= 29.0

Ini bertepatan dengan jumlah huruf dari awal hingga perkataan بِبَكَّةَ adalah sebanyak 29.

Subhanallah!!

Tuesday, December 14, 2010

Coretan: Hari Yang Sedih

Antara perkara yang paling menggembirakan dalam kehidupan seorang pelajar Pergigian ialah apabila gigi palsu yang dihasilkannya dapat dipakai dengan selesa oleh patientnya. Manakala, antara perkara yang mengecewakan pula adalah apabila berlaku sebaliknya.

Dan hari ini, saya terpaksa merasakan kekecewaan itu. Terasa lemah tidak terkira, putus asa datang menerpa, hatta sewaktu menulis entri ini pun kesedihan masih ada di jiwa. Namun apakan daya, segalanya harus dilalui dengan redha, kerana itulah hakikat kehidupan yang penuh pancaroba. Waduh waduh, macam berpuisi pula. Hehe. Bila tengah sedih ni senang pula ayat-ayat menjadi ayat puisi.

Ini cuma gambar hiasan. Saya tidak dapat mengambil gambar gigi palsu yang saya buat kerana kamera saya yang dibaiki di kedai masih lagi tak siap-siap.

Jika hendak diceritakan apa yang terjadi, agak panjang ceritanya. Jadi terpaksa pendekkan ia. Gigi palsu tidak dapat diserahkan kepada patient saya yang sangat eager untuk memakainya pada hari ini, lantaran beberapa masalah teknikal. Dan berita 'baik' yang saya terima daripada pensyarah yang supervise saya ialah kena repeat balik proses buat gigi palsu dari mula...huhu. Tahniah Shahibul Afzan. :)

Sedih patient tidak terkira,
Sedih lagi hamba merasa,
Penat lelah lebih sepurnama,
Hanya menjadi sia-sia.

Bersyair pula jadinya. Sebelum ini Allah sentiasa beri kegembiraan kepada saya, tatkala patient-patient yang lain dapat pulang dengan gigi palsu baru mereka. Ujian Allah yang baru saya rasakan kali ini walaupun agak pahit untuk ditelan tentu sekali penuh hikmah, serta membuktikan kasih sayangnya. Teringat kata-kata seorang Dr,

"Repeat ni sinonim dengan kehidupan dental student..."

Maafkan saya patient. Harap anda masih dapat bersabar dan masih sudi jumpa saya.

p.s: Saya perlu siapkan gigi palsu untuk 12 orang patient sebelum saya grad. Doakan saya berjaya menyiapkannya ya, wahai pembaca yang budiman. Selamat Hari Asyura dan Selamat Berpuasa :)

Wednesday, December 8, 2010

Jalan-jalan di Melaka

Hujung minggu yang lepas saya berpeluang untuk jalan-jalan di Melaka, ditemani oleh seorang adik merangkap kawan saya, Rohilah yang mengajak saya pulang ke rumahnya di Melaka. Saya kongsikan gambar-gambar kenangan yang diambil.

Selat Melaka yang tenang...tidak begitu berombak jika dibanding dengan Laut China Selatan

Destinasi pertama kami ialah menuju ke perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong. Perigi ini dikatakan digali sendiri oleh Hang Tuah.



Perigi Hang Tuah


Jarak dekat

Seterusnya kami menuju ke Dataran Pahlawan. Tempat pertama yang dituju ialah Istana Kesultanan Melaka. Para pembaca semua dah pernah sampai ke sini? Kepada yang belum, mari saya ceritakan...


Inilah dia Istana Kesultanan Melaka

Masuk je dalam istana ini, saya terus jumpa pedagang (pedagang tipu-tipu je...hehe). Antaranya...

Pedagang dari China


Pedagang dari Arab


Pedagang dari Jawa


Pedagang dari Gujerat


Pedagang juga...tapi terlupa dari mana... :)
(edited: mereka ni dari Siam. Thanks to Ust Rais yang bagitau di shoutbox )

Di suatu sudut, ada cerita bagaimana Melaka mendapat nama...

Parameswara yang sedang bersandar


Gagah betul kancil ni...

Di suatu sudut yang lain pula, ada cerita tentang Hang Tuah dan orang-orang yang hidup sezaman dengannya.

Ukiran potret Hang Tuah..." Ta' Melayu Hilang di Dunia"


Tuah dan Jebat bertarung


Ini pula gambar Tun Perak

Banyak lagi yang terdapat di Istana Kesultanan Melaka, tapi agak banyak untuk diceritakan kesemuanya...Sempat juga saya snap Ketua Menteri Melaka ini sewaktu dalam istana.

Ketua Menteri Melaka yang mengalu-alukan kedatangan saya ke Melaka...hee~
(hakikatnya, ini hanyalah multimedia presentation yg dipasang di sana)

Kemudian, kami beralih ke Kota A Famosa. Disebabkan belum pernah melihat A Famosa, dalam bayangan saya sebelum ini, gerbangnya sangatlah besar. Rupanya ia tidaklah sebesar yang saya bayangkan. Huhu.

Di hadapan kota A Famosa


Di atas kota A Famosa


Ini tempat 'buang duit' atas Kota A Famosa...bayar nazar kot?


Dari dekat...malangnya duit dah tak masuk dalam perigi sebab ada alas plastik.

Sampai di sini dahulu coretan saya. Banyak lagi gambar yang ingin dikongsikan. Tapi disebabkan sudah mengantuk dan esok pula ada kelas, saya kongsikan ini sahaja ya. :)

Sebelum terlupa, terima kasih saya rakamkan buat Rohilah kerana sudi bawa saya jalan-jalan di Melaka. Salam.

Friday, December 3, 2010

Inikah Keajaiban Arah Lawan Jam?

Bagaimanakah anda mengacau makanan atau minuman? Menggunakan arah jam atau arah lawan jam?

Berpandukan sunnah Rasulullah, baginda sentiasa mengacau dengan menggunakan arah lawan jam. Tentu ada hikmah tersirat di sebalik perbuatan Rasulullah yang mulia. Mari kita soroti, mudah-mudahan Allah memberi kita petunjuk.

Lihat semua pergerakan ini:

Pada struktur atom, terdapat electrons yg merupakan satu-satunya objek yang bergerak dalam atom. Ia mengandungi cas negatif dan berputar mengelingi nucleus dlm kedudukan arah lawan jam.


Pergerakan cytoplasm di dalam sel adalah mengikut arah lawan jam.

Bumi dan bulan berputar pada paksinya juga mengikut arah lawan jam.
Begitu juga peredaran bulan beredar mengelilingi bumi, dan bumi beredar mengelilingi matahari, mengikut arah lawan jam.


Planet-planet di angkasa juga mengelilingi Matahari dalam gerakan arah lawan jam.


Matahari berputar pada paksinya juga mengikut arah lawan jam.


Tidak dilupakan, galaksi juga bergerak mengikut arah lawan jam.

Lihat pula syarat tawaf dalam ibadah haji, harus mengikut arah lawan jam.


Tawaf dalam ibadah haji, dilakukan mengikut arah lawan jam.

Mengikut artikel "Rahsia Kaabah" yang saya baca di sini, dijelaskan bahawa antara faktor-faktor yang menyebabkan pusaran tenaga sangat besar di Kaabah dan mengapa berdoa di Multazam sangat mustajab ialah kerana arah tawaf mengikut arah lawan jam. Bagaimana?

Hukum Tangan Kanan (Right Hand Rule)

Hukum Tangan Kanan


Dalam fizik, Hukum Tangan Kanan (Right Hand Rule) menerangkan bahawa jika ada sebatang konduktor yang di kelililingi oleh arus yang mengalir mengikut arah lawan jam, maka akan terhasil suatu daya elektromagnetik yang menghala ke atas.

Ketika jutaan orang sedang bertawaf mengelilingi Kaabah, hal ini seperti ada suatu arus elektrik yang besar, terjana daripada bio electrons dalam tubuh manusia, bergerak mengikut arah lawan jam yang mengelilingi Kaabah. Hasilnya ialah gelombang elektromagnetik yang keluar dari Kaabah.

Jadi dari situlah rahsia mengapa apabila kita berdoa di Multazam sangat mustajab. Ini kerana tenaga dari doa kita menumpang gelombang elektromagnetik yang keluar dari Kaabah. Maka kekuatan doa kita menjadi berlipat kali ganda.

Dalam persoalan mengacau makanan dan minuman mengikut arah lawan jam, saya pernah terbaca bahawa pakar metafizik mengatakan bahawa cara kacau air mengikut arah lawan jam dapat menghasilkan tenaga positif. Mungkin ia menggunakan prinsip yang sama, berpandukan Hukum Tangan Kanan. Sebab itulah banyak terapi melalui minuman selalunya mempunyai arahan supaya dikacau minuman tersebut melalui lawan arah jam. Wallahu a'lam.

Jika ini benar, maka terbuktilah keajaiban sunnah!

Saya amat mengalu-alukan anda untuk sebarang komen, pandangan atau fakta lain yang anda ketahui. Terima kasih.

Rujukan:

Thursday, December 2, 2010

Cukup Bagiku Pengetahuan Tuhanku

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap kita pasti mempunyai impian dan harapan masing-masing...
Ada antara impian dan harapan itu tidak mampu kita kongsi dengan sesiapa melainkan dengan Allah semata-mata...

Hakikatnya, Allah sudah tahu segala keinginan yang tersembunyi dalam hati kita...
Walaupun tanpa kita memberitahuNya...

Namun, rintihan, permintaan, pengaduan dan doa kepadaNya...
Sebagai bukti kefakiran dan kekerdilan seorang hamba...

Hayatilah mutiara qasidah al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad yang indah ini...


قد كفاني علم ربي

قَدْ كَفَانِي عِلْمُ رَبِّي
Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku

مِنْ سُؤَالِي وَاخْتِيَارِي
Daripada permintaan dan usahaku

فَدُعَـائِي وابْتِهـَالِي
Doa serta permohonanku

شَـاهِدٌ لِي بِافْتِقَارِي
Sebagai bukti pada kefakiranku


فَلِهَذَا السِّرِّ أَدْعُـو
Oleh kerana rahsia itu aku berdoa

فِي يَسَارِيْ وَعَسَارِي
Pada saat aku senang dan susah

أَنَا عَبْدٌ صَارَ فَخْرِي
Aku adalah hamba, menjadi kebanggaanku

ضِمْنَ فَقْرِي وَاضْطِرَارِي
Dalam kefakiran dan keperluanku


يَا إِلَـهِي وَمَلِيْـكِي
Wahai tuhanku yang memiliki aku

أنْتَ تَعْلَمُ كَيْفَ حَالِي
Kau Maha tahu akan keadaanku

وَبِمَا قَدْ حَـلَّ قَلْبِـي
Dan apa yang berada dalam hatiku

مِنْ هُمُوْمٍ وَاشْتِغَالِـي
Dari kesedihan dan kesibukanku


فَتَـدَارَكْنِي بِلُطْفٍ
Maka tolonglah aku dengan kelembutan

مِنْكَ يَا مَوْلَى الْمَوَالِي
Dari-Mu Wahai Tuhan seluruh hamba

يَا كَرِيْمَ الْوًَجْهِ غِثْنِي
Wahai yang Maha Pemurah tolonglah hamba

قَبْلَ أنْ يَفْنَى اصْطِبَارِي
Sebelum lenyap kesabaran hamba


يَا سَرِيْعَ الْغَوْثِ غَوْثًا
Wahai pemberi pertolongan dengan segera

مِنْكَ يُدْرِكْنَا سَرِيْعًا
Berilah kami dengan segera pertolongan-Mu

يَهْزِمُ الْعُسْرَ وَيَأْتِي
Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan

بِالَّذِي نَرْجُو جَمِيْـعًا
Dengan apa-apa yang kami harapkan semua


يا قَرِيْـبًا يا مُجِيْـبًا
Wahai yang Maha dekat, dan menjawab

يا عَلِيْمًا يا سَمِيْـعًا
Wahai yang Maha mengetahui dan mendengar

قَدْ تَحَقَّقْتُ بِعَجْزِي
Aku mengaku akan kelemahanku

وخُضُوْعِي وانْكِسَارِي
Dan ketaatan serta kesedihanku


لَمْ أَزَلْ بِالْبَابِ وَاقِفْ
Aku sentiasa menunggu di hadapan pintu rahmat-Mu

فَارْحَمَنْ ربِّي وُقُوْفِي
Wahai Tuhanku berikanlah rahmat padaku

وبِوَادِي الْفَضْلِ عَاكِفْ
Pada lembah kurnia-Mu aku berada

فَأَدِمْ ربِّي عُكُـوْفِي
Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku di sana


ولِحُسْنِ الظَّنِّ لاَزِم
Aku sentiasa mempunyai prasangka baik

فَهُوَ خِلِّي وحَلِيْفِي
Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku

وأَنِيْسِي وجَلِيْسِي
Juga penyenang bagiku dan yang setia bersamaku

طُوْلَ لَيْلِي ونَهَارِي
Sepanjang malam dan siangku


حَاجَةً فِي النَّفْسِ يَا ربّ
Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat

فَاقْضِهَا يا خَيْرَ قَاضِي
Tunaikanlah Wahai yang Maha Menunaikan

وأَرِحْ سِرِّي وقَلْبِي
Tenteramkanlah rahsia dan hatiku

مِنْ لَظاَهَا والشُّوَاظِ
Dari kebimbangan dan pergolakannya


فَالْهَنَا والْبَسْطُ حَالِي
Sungguh aku akan berada dalam ketenteraman dan ketenangan

وشِعَارِي ودِثَارِي
Dan juga (ketenteraman dan ketenangan) menjadi pakaianku


p.s: Jika ingin download qasidah ini, boleh ke pautan ini.

Wednesday, December 1, 2010

Ini Cerita Tentang Adik

Malam semakin larut. Tetapi saya rasa masih 'malas' untuk tidur. Jadi ada baiknya jika saya mencipta entri. Hehe. Alang-alang tengah rindu kepada adik, jadi nak tulis pasal adik bongsu saya, Arif namanya. Satu-satunya adik lelaki yang saya ada. Dah 3 tahun umurnya, tahun depan masuk 4 tahun.

Arif

Baru-baru ini semasa pulang bercuti di rumah, ayah membawa kami sekeluarga makan di luar. Usai makan menuju ke kereta, Arif tiba-tiba berlari dan mengambil sesuatu di atas tanah. Rupa-rupanya Arif ambil tin minuman kosong. Emak memberitahu Arif sedang kumpul tin minuman untuk dijual. Hehehe. Saya terkedu sebentar. Rasa sedih dan sebak pun ada. Adikku oh adikku. Kecil-kecil dah belajar cari rezeki. Kemudian bila sampai sahaja di rumah, kong-kang-kong-kang bunyinya. Arif penyekkan pula tin tadi. Bila saya dekati, dah dapat tin 1/4 plastik besar rupanya.

Bila saya post status di facebook, nampaknya ramai menyokong penuh usaha Arif. Hehe.

Maka, teruskan usahamu Arif. Kak Long bangga dengan adik seperti Arif. Jangan lupa besar nanti jadi ustaz.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template