:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Sunday, January 1, 2012

Motivasi 2012


Engkau yang telah berketetapan untuk menang tahun ini, dengarlah ini …

Mulai sekarang, janganlah lagi engkau anggap ringan dirimu sendiri.

Orang lain boleh meragukan impian dan kemungkinanmu, tetapi engkau - tidak.

Apa pun yang terjadi, majulah, majukanlah dirimu, melangkahlah maju.

Mundur bukanlah pilihanmu.

Katakanlah, … aku tidak dirancang untuk mundur.

Abaikan semua keraguan orang yang tak akan menanggung kegagalanmu, dan yang hanya akan iri terhadap keberhasilanmu.

Ini tahunmu, ini hidupmu.

Tidak masalah apakah impianmu terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

Semua impian besar yang tadinya tidak masuk akal, dicapai dengan tindakan sederhana yang masuk akal.

Ini tahunmu.

Jadikanlah dirimu penguasa dari perasaan, pikiran, dan tindakanmu.

Semoga Tuhan selalu mendampingi kejujuran dan kerja kerasmu.

Pak Mario Teguh
1/1/2012

Friday, July 22, 2011

Kisah Cinta Salman al-Farisi

Assalamualaikum buat para pembaca,
Pernah baca kisah cinta Salman al-Farisi? Jika belum, sila baca kisah di bawah ini...

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama, dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi, penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah...alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“Silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua. Sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

(kisah ini dipetik dari buku Jalan Cinta Para Pejuang - Salim A. Fillah)

* * *
Sedih kan kisah cinta Salman al-Farisi ini? Namun, akhlak yang beliau tunjukkan subhanallah...sangat hebat. Bayangkan jika kita yang berada pada posisi Salman, mampukah kita memberikan reaksi seperti beliau?

Salman mengajar kita, bahawa cinta tak harus memiliki. Dan hakikatnya, kita memang tak pernah memiliki apapun dalam kehidupan ini. Semuanya milik Allah.

Salman juga mengajar kita, akhlak seorang lelaki yang soleh. Itulah bukti akhlak Islamiyyah yang terbaik kerana akhlak itu adalah reaksi pertama kita terhadap sesuatu perkara tanpa berfikir panjang. Jika kita sedikit terkilan atau rasa hendak marah pada mulanya, dan kemudian barulah kita bersabar, itu bukanlah akhlak yang terbaik lagi. Salman benar-benar membuktikan ketinggian akhlaknya.

Salman juga mengajar kita, erti hidup pada memberi. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimiliki. Salman memberi dengan penuh keikhlasan. Subhanallah...

~Ya Allah, berikanlah aku ketinggian akhlak sebagaimana Engkau berikan kepada Salman al-Farisi...~

Saturday, November 27, 2010

Sajak : Aku Menjadi Lebih Berani


Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu.
Sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu.

Bila begini, sebilah pisau aku tidak gentar
sepatah kata,
bisa, aku merasa.
Hati dan rasa mengajarku
aku menjadi lebih berani.

Latifah Haji Shebli
Anak Laut,
DBP, 2000

Maksud

Penyajak menyatakan dalam persahabatan yang lebih penting ialah kejujuran dan keikhlasan, bukan sifat luaran. Penyajak berani menghadapi cabaran kerana dia lebih memahami hatinya dan sahabatnya. Penyajak juga memahami hati wanita yang berani menghadapi cabaran.

Tema dan Persoalan

Tema sajak ini ialah sifat keberanian seorang wanita. Persoalannya pula sesetengah orang tidak jujur dalam percintaaan dan pengalaman pahit yang dilaluinya menjadikan dia lebih berani.

Nada

Sajak ini bernada kecewa.

Gaya Bahasa

Asonansi : bajuku ungu ( pengulangan vokal u)
Aliterasi : tidak setulus hatiku ( pengulangan konsonan t)

Nilai

1. Peribadi kawan atau kekasih
Memilih sahabat atau kekasih jangan mengikut keadaan fizikal (kecantikan dan ketampanan), tetapi yang penting kejujuran.

2. Kemanusiaan
Wanita walaupun bersifat lemah , tetapi akan bangkit menghadapi cabaran apabila dicabar.

3. Kemasyarakatan
Manusia tidak kira lelaki atau perempuan haruslah berani menghadapi cabaran yang bakal mendatang.


p.s:

Sajak ini adalah salah satu sajak yang saya gemari ketika belajar KOMSAS dahulu. Namun, saya menjadikannya entri blog tanpa mempunyai maksud tersirat. Cuma, saya sukakan tajuknya, "Aku Menjadi Lebih Berani".

Ya, kita mesti menjadi lebih berani untuk menghadapi kehidupan yang semakin mencabar... Betul kan? :)

HasbunAllahu wa ni'mal wakiil...
[Allah (Alone) is Sufficient for us, and He is the Best Disposer of affairs (for us).]'' (3:173).

Sunday, March 21, 2010

Allah Knows Best


ALLAH knows what is best for us
So why should we complain
We always want the sunshine
But He knows there must be rain.

We always want laughter
and the merriment of cheer
but our heart will lose
their tenderness
If we never shed a tear.

ALLAH tests us often
with suffering and sorrow
He tests us not to punish us
but to help us meet tomorrow.

For growing trees are strenghtened
if they can withstand the storm
and the sharpness of the chisel
gave the marble its grace and form.

ALLAH tests us often
and for every pain
He gives us
provided we are patient
Is followed by rich gain
So whenever we feel that
everything is going wrong
It is just ALLAH'S way to make our spirit strong.

~ Author Unknown

Thursday, March 4, 2010

Ciri-ciri Wanita Ahli Syurga

Siapakah wanita yang menjadi ahli syurga?

Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan:

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.
Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain"
(Hadis riwayat at-Tirmizi)


Di samping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita. Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya.

Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyeleweng setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang di antara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah!"

Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka. "
(Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak. Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami.

Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:

"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."

Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya. "
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.

-dipetik daripada laman ustazmelaka.net.

~~Ya Allah, layakkah aku menjadi wanita ahli syurga? Allah...~~

Wednesday, February 24, 2010

Segalanya MilikMu

Lama rasanya tidak berblogging. Sebenarnya saya baru sahaja selesai peperiksaan akhir blok 3 pada pagi tadi. Penat juga sesekali exam ni ya. Tambah-tambah lagi apabila ia melibatkan begitu banyak subjek. Saya ini pula bukanlah seorang pelajar yang pandai. Untuk peperiksaan kali ini, saya diuji dengan 9 subjek pergigian. Ketika menjawab soalan peperiksaan, terasa begitu ceteknya ilmu ini. Begitu banyak lagi ilmu yang belum saya kuasai. Mulalah saya terfikir,"Apa ilmu aku ada yang selama ini berpenat lelah belajar?" Huhu...Keputusannya nanti, saya hanya mampu berserah kepadaMu wahai Allah...kerana sesungguhnya, kejayaan dan kegagalan itu dalah milikNya. Kita sebagai hamba lemah hanya mampu berusaha, selebihnya diserahkan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Gambar hiasan


Kejayaan atau kegagalan...
Itu semua adalah pemberian daripada Tuhan...
Semuanya harus disertai kesyukuran...
Tanpa rasa kekesalan...

Hamba hanya mampu berusaha...
Allah yang menentukan natijahnya...
Baik atau buruk pasti ada hikmahnya...
Harus diterima dengan redha...

Apabila hamba tidak mencapai apa yang dia inginkan...
Sangkaannya doa tidak didengari Tuhan...
Namun renungilah pesanan Allah dalam al Quran...

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran...(al Baqarah: 186)

Oleh itu wahai hamba Tuhan...
Jangan berasa sedih dan bimbang...
Yakinlah bahawa TuhanMu telah mendengari permintaan...
Setelah engkau melakukan suruhan-suruhan Tuhan...

Apa yang Dia tentukan...
Sama ada kesukaan atau kebencian...
Adalah rahmat dan kebaikan...
Maka terimalah dengan hati yang tenang...

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui...(al Baqarah: 216)

Jika tidak diperkenankan sekarang...
Akan dikabulkan pada masa akan datang...
Mungkin juga yang lebih baik Dia gantikan...
Yang pasti, teruskan berusaha tanpa rasa bosan...
Allah melihat usahamu dan Dia membuat perhitungan...

Allah menyukai hamba yang bertawakkal kepadaNya,
Allah mencintai hamba yang mensyukuri akan pemberianNya,
Allah mengasihi hamba yang sabar dengan setiap ujianNya.
Alangkah indah dan berertinya hidup ini,
Jika segala-galanya kerana Dia...

Wahai Allah,
Jadikanlah aku hamba yang redha,
Sebagaimana aku juga mengharapkan redha daripadaMu...
Hidup dan matiku, hanya untukMu...
Dan segala-galanya, adalah milikMu...

Monday, December 14, 2009

Impian Tahun Baru

Bismillahi wal hamdulillah...

Hari ini saya berkesempatan lagi untuk mencoret di ruang maya ini untuk berbicara tentang tahun baru yang bakal tiba. Ya Allah, sekejap sahaja masa berlalu. Bumi ini amat pantas berputar. Umur saya bakal menginjak ke 24 tahun. Mudah-mudahan di umur 24 dan seterusnya, kematangan saya dalam berfikir akan bertambah. Berbekalkan pengalaman-pengalaman hidup yang berharga yang telah dilalui. Pahit, manis, masam, masin, dan kelat, semuanya ada. Pengalaman adalah guru terbaik. Semoga ia menjadikan saya lebih dewasa.

Insya Allah, 1 Muharram 1431 Hijrah ini menjanjikan kehidupan baru yang bahagia dan berkekalan buat sahabat saya, Asiyah@ Khairul Bariyyah yang akan mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Muhammad Haziq. Selamat melangkah ke alam baru. Asiyah yang saya kenali sejak di Darul Quran sudah saya rasakan seperti adik-beradik. Ya, memang kami dahulu adik beradik seusrah. Saya memanggilnya Anjang dan dia pula memanggil saya Angah. Sedih pula apabila Anjang akan berkahwin. Terasa seperti hilang seorang lagi kawan baik saya. Ish, ada-ada sahaja saya ini. Apa-apapun, semoga Anjang berbahagia hingga ke syurga abadi. Amiinn ya Rabb!

Susunan widget-widget di blog ini juga telah saya ubah sempena masuknya tahun baru. Kadang-kadang perabot di dalam rumah atau bilik juga harus diubah untuk memberi kita semangat baru. Azam baru 1431 dan 2010 sudah saya tampal di dinding. Beginilah diri saya sejak dahulu. Tidak lengkap rasanya permulaan tahun baru tanpa saya menampalkan sesuatu pada dinding bilik. Dahulu sewaktu kecil-kecil, di penghujung tahun begini saya akan mengajak adik-adik saya menyemak azam tahun tersebut sama ada telah berjaya dicapai atau tidak. Kemudian kami akan menulis azam baru masing-masing dan ditampal pada dinding bilik tidur. Namun bagi sebahagian orang, mereka berasa segan untuk menampalkan azam masing-masing. Terpulanglah. Tetapi itulah caranya saya memotivasikan diri sendiri.



Saya berharap untuk menjadi lebih serius pada tahun hadapan. Saya juga berharap lebih banyak kemajuan diri yang mampu dicapai. Nilaian kemajuan diri bergantung kepada diri masing-masing. Tetapi nilaian saya, kemajuan diri saya adalah apabila semakin banyak ilmu dan kemahiran yang saya kuasai, semakin meningkat keyakinan diri serta semakin banyak kejayaan yang digapai dalam hidup sama ada kecil atau besar.

Cita-cita saya suatu hari nanti, ingin berjaya menjadi seorang doktor gigi yang dapat menyumbang kepada ummah. Saya ingin berganding bahu bersama golongan ulama dan golongan professional Muslim yang lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Perjuangan menegakkan Islam akan sama-sama kita julang sehingga ke akhir hayat. Juga sebagai seorang anak, saya juga menyimpan impian untuk membawa kedua ibu bapa saya beribadah di Baitullah bersama-sama saya suatu hari nanti. Mudah-mudahan...Engkau kabulkan ya Allah (",)

Thursday, December 3, 2009

Teladan Daripada Sebuah Pengorbanan

Hari raya korban telah pun berlalu. Saya telah kembali ke kampus sejak Isnin yang lepas. Kelas dan klinik telah dimulakan kembali dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Alangkah seronoknya jika cuti masih panjang dan berpeluang menghadiri program dan perjumpaan bersama teman-teman yang masih bercuti. Namun, diri ini terpaksa mengorbankan segala perasaan itu.

Saya ingin menulis tentang pengorbanan agar saya sendiri mampu mengambil istifadah daripadanya selain buat renungan rakan pembaca. Apabila berbicara tentang pengorbanan, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menjadi contoh agung buat semua umat Islam. Sehinggakan kisah mereka diabadikan di dalam kitab suci al Quran, surah as Saffaat ayat 102-111.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu." Dia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."
(As-Saffaat: 102)

** Bacalah sendiri terjemahannya sehingga ayat 111.

Gambar hiasan

Sungguh besar dugaan yang Allah hadirkan kepada para anbiya'. Bukannya Nabi Ibrahim tidak sayang kepada puteranya, namun kerana kecintaan dan ketaatan kepada Allah yang melebihi segala-galanya, Nabi Ibrahim sanggup melakukan apa sahaja. Mereka berdua benar-benar sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kita pula bagaimana?

Mereka berdua juga tidak takut dan tidak susah hati. Mereka redha menerima ketentuan Ilahi. Mereka yakin tanpa syak wasangka. Begitulah hakikatnya sebuah pengorbanan. Demi Allah tercinta, sesuatu yang berharga sanggup dilepaskan. Ya, cinta Allahlah yang mendorong sebuah pengorbanan. Marilah muhasabah diri kita. Sejauh manakah kita telah berkorban untuk Allah sepanjang hidup kita di dunia, pengukur sejauh mana kecintaan kita terhadapNya.

Setelah pengorbanan mereka berdua jelas terbukti, akhirnya Allah menebus Nabi Ismail dengan "dzibhin aziim" iaitu seekor sembelihan yang besar. Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkan Qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji @ Eidul Adha. Seterusnya Allah mengabadikan pujian yang baik kepada Nabi Ibrahim. Lihatlah, peristiwa ini benar-benar mengajar kita bahawa barangsiapa yang berjual-beli dengan Allah tidak akan sekali-kali rugi, dan langsung tidak akan dipersia-siakan.

Tidak akan rugi jika 'berbisnes' dengan Allah

Saya juga ingin mengajak kita semua menghayati terjemahan surah al Kauthar yang hanya sebanyak 3 ayat ini:

1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
2. Maka dirikanlah solat kerana TuhanMu dan berkorbanlah.
3. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Sesiapa yang sanggup berkorban menunjukkan tanda kesyukurannya. Sesiapa yang bersyukur pula akan diganda-gandakan nikmat oleh Allah.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadaMu, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu sangat pedih." (Ibrahim:7)

Allah akan membalas kebaikan hamba-hambaNya yang sanggup berkorban. Jika tidak dibalas di dunia, syurgaNya sedang menanti. Firman Allah dalam surah at Taubah ayat 111:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..." (at Taubah:111)

Pengorbanan itu banyak bentuknya. Carilah peluang untuk berkorban, usah takut dan usah berkira. Allah akan mengira setiap kebaikan walau sebesar zarrah. Syaratnya, keikhlasan mestilah hadir seiring di dalam hati.

Ya Allah, jadikanlah kami semua dalam golongan hambaMu yang rela berkorban untukMu dan perjuangan menegakkan agamaMu, serta jadikanlah kami dalam golongan yang mencintai dan dicintaiMu...

Monday, November 2, 2009

Cerita Pendek Saya

Hari ini adalah hari pertama posting saya di Wad Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Dua bulan yang lepas, di Wad Pembedahan. Disebabkan hari pertama ini masih tidak terlalu sibuk, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bercerita pendek. Beberapa hari lepas, saya agak sibuk. Baru-baru ini, kami pelajar-pelajar pergigian di sini menganjurkan program bakti siswa kepada penduduk Kampung Bukit Goh, Kuantan. Di dalam program bakti siswa tersebut, kami menjalankan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi dan juga aktiviti gotong-royong.

Sebelumnya, kami berkejar-kejar untuk menyiapkan gigi palsu untuk patient. Sehinggakan pada waktu malam pun kami harus ke lab prostetik untuk menyiapkan kerja-kerja ini. Membuat gigi palsu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah terlalu payah. Segala ukuran dan dimensi haruslah tepat supaya gigi tersebut dapat berfungsi dengan baik ketika berada di dalam mulut seperti gigi yang asal. Namun begitu, seindah mana pun gigi palsu yang terhasil, ia masih terlalu jauh untuk menandingi ciptaan gigi asal oleh Allah. Sesungguhnya Dia telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.

Sudahkah kita bersyukur kepadaNya hari ini atas kesempurnaan kejadian kita?

Gigi palsu untuk patient yang saya hasilkan bersama partner saya. Menunggu untuk dicuba oleh Makcik dahulu sebelum menukarkannya kepada acrylic.

Melihat kalendar, hari ini adalah 2 November 2009 bersamaan 14 Dzulkaedah 1430H. Nampaknya kita telah berada di pengakhiran tahun. Dua bulan sahaja lagi umur kita bakal menginjak ke tahun seterusnya. Bagaimana dengan kemajuan diri kita setakat ini? Adakah azam-azam yang kita cipta pada awal tahun lalu telah terpenuhi? Jika belum, kita masih punya 2 bulan lagi untuk berusaha merealisasikannya. Masanya masih ada. Saya cuma mengingatkan andai ada yang terlupa.

Bertambahnya usia haruslah diiringi dengan bertambahnya kematangan diri, bertambahnya ilmu di dalam dada dan bertambahnya amalan-amalan soleh. Usia yang panjang namun tiada apa-apa perkembangan dalam diri adalah tidak berguna. Kata orang bijak pandai, "It is not the length of life, but the depth of life." Maksudnya, "Bukanlah penting panjang sesebuah kehidupan, tetapi kedalamannya." Ingatlah bahawa kita adalah khalifah di muka bumi Allah. Tugas sekecil-kecil khalifah adalah mentadbir diri kita sendiri. Tugas sebesar-besar khalifah adalah mentadbir umat sejagat. Persiapkanlah diri kita sebaik-baiknya. Dan tadbirlah diri kita dan umat ini, juga dengan sebaik-baiknya.

Sekian sahaja, sekarang masanya untuk saya mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menghadapi hari-hari posting seterusnya. Mempelajari pelbagai penyakit dalam tempoh sesingkat sebulan ini adalah cukup menyakitkan. Kemudian, peperiksaan pula menjelma. Semoga Allah menghadirkan kekuatan dan keberkatan dalam ilmu yang bakal dipelajari. Doakan saya. Salam :)

Friday, October 23, 2009

Mujahidah Sejati

Munsyid: Nahwan Nur

Didedikasikan buat sahabat-sahabat muslimahku yang tersayang, walau di mana jua anda berada, serta buat 5 adik perempuanku (Fazilah Jamiah, Nurhaniza, Nur Aishah, Nur Rashidah dan Izzah Shahirah) . Semoga kita semua menjadi mujahidah sejati yang diredhai Allah...

Mujahidah sejati
Intan permata mutiara mahkota
Seindah pelangi di cakerawala
Menghiasi taman indah nan permai

Mujahidah sejati
Engkaulah serikandi pembela agama
Peribadi solehah hiasan diri
Subur dengan iman dan ketaqwaan

Mujahidah sejati, akhirat utama
Kerana dunia bukan pilihannya
Mujahidah sejati, hatinya berbeza
Kerana diasuh iman dan taqwa

Mujahidah sejati
Berbekal al-quran dan as-sunnah
Bersulam pengorbanan
Bisa menggegarkan isi dunia

Mujahidah sejati
Terus subur mekar mewangi
Seindah suria menerangi bumi
Harapan ummah yang abadi

Mujahidah sejati
Menyoroti langkah Khadijah, Aisyah, Fatimah
menjadi muqarrabin, bermujahadah
menuju cinta dan kasih Allah

Paras rupa bukannya ukuran
Nilainya sama di sisi Tuhan
Cuma ibadah yang membezakan
Wanita solehah di sisi Tuhan

Berhati-hatilah hasutan dunia
Kerana ia merbahaya
Jangan dibiarkan ia bertakhta
Dalam diri dengan dosa-dosa

Tuesday, October 13, 2009

Ibnu Sina dan Saya

Suatu ketika dahulu saya pernah bercita-cita untuk menjadi seperti Ibnu Sina, seorang tokoh Muslim yang ulung dalam bidang perubatan. Beliau dilahirkan pada tahun 980M dan meninggal dunia pada tahun 1037M. Sudah 972 tahun Ibnu Sina meninggalkan alam dunia, namun kerana warisan ilmu dan jasa yang bermanfaat kepada ummat, nama beliau tetap mengharum dalam sejarah kegemilangan Islam.

Ibnu Sina

Ibnu Sina menjadi seorang hafiz ketika usia beliau 10 tahun lagi. Beliau juga fasih berbahasa Arab. Selain ilmu beliau yang sangat hebat dalam bidang perubatan, beliau juga turut mendalami ilmu mantik, falsafah, matematik dan astronomi.

Pada usia 17 tahun, beliau berjaya menyembuhkan Raja Bukhara daripada penyakitnya, sedangkan telah ramai tabib dan ahli perubatan sebelum itu telah mencubanya tetapi tidak berjaya. Apabila Raja ingin memberikannya hadiah, beliau hanya meminta untuk diberi keizinan menggunakan perpustakaan istana yang begitu unik dan lengkap ketika itu. Begitu tingginya kecintaan Ibnu Sina kepada ilmu.

Selama 12 tahun Ibnu Sina menghabiskan masa untuk membaca dan mempelajari buku- buku di dalam perpustakaan. Kemudian beliau menjadi seorang penulis. Suatu sumber menyatakan bahawa beliau telah berjaya menghasilkan 99 buah buku iaitu 16 berkenaan perubatan, 68 mengenai theologi dan metafizik, 11 berkaitan astronomi dan 4 mengenai kesusasteraan. Karya Ibnu Sina yang paling terkenal dalam bidang perubatan ialah kitab al Qanun fi al Tibb.

Al Qanun fi al Tibb

Bangganya melihat tokoh-tokoh saintis Islam sebegini. Subhanallah, kecintaan mereka kepada ilmu amat mengkagumkan. Kata Ibnu Sina,

"...amatlah penting untuk mencari ilmu pengetahuan. Hanya pencapaian ilmu yang menentukan nasib kehidupan akan datang dan semestinya mencorak kehidupan kita kini."

Membandingkan diri dengan Ibnu Sina, jauhnya terasa. Umur sudah tua, namun entah apalah ilmu yang ada di dalam dada. Walaubagaimanapun, doa sahaja mampu dipanjatkan agar Allah terus memberi kekuatan dan kemudahan dalam menuntut ilmu. Serta dijauhkan juga daripada sifat malas dan suka membuang masa.

Buku-buku ini pun belum habis dibaca...Masih terlalu jauh dengan Ibnu Sina

Ya Allah, hadirkanlah rasa kecintaan kami terhadap ilmu...Jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang belajar, mengajar, mencintai dan mendengar ilmu.

Amiinn Ya Rabbal 'Alaminn...

Sunday, September 6, 2009

Petua Supaya Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullah dan salam Ramadhan.

Alangkah bahagianya hidup ini jika kita disayangi dan dicintai, apatah lagi jika yang menyayangi dan mencintai kita itu adalah Tuhan yang menciptakan kita, Raja segala Raja. Pastinya Allah akan sentiasa dekat dengan hamba yang menjadi kekasihNya dan sentiasa menolong dan membimbingnya ke arah keselamatan dan kebahagiaan, di dunia dan di akhirat.

Sebenarnya petua-petua untuk disayangi dan dicintai Allah ada di dalam al Quran. Saya akan membawakannya di sini untuk kita renungkan bersama.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri."
[al Baqarah:222]

" Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[ali Imran:31]

"Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar."
[ali Imran :146]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya."
[ali Imran: 159]

"Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan."
[al Maidah: 93]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa."
[at Taubah:7]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."
[al Mumtahanah:8]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh." [as Saff :4]

Daripada ayat-ayat al Quran di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa untuk menjadi hamba Allah yang dicintaiNya, kita haruslah:

1. Sentiasa bertaubat dan mensucikan diri (zahir dan batin).

2. Sentiasa melakukan segala apa yang diperintahNya (melalui RasulNya) dan meninggalkan segala laranganNya.

3. Sentiasa bersabar.

4. Sentiasa bertawakkal.

5. Sentiasa berbuat kebajikan.

6. Bertaqwa.

7. Sentiasa berlaku adil.

8. Berjuang di jalan Allah dalam satu barisan.

Mudah-mudahan dalam kesempatan Ramadhan ini memberi kita lebih ruang dan peluang bagi meraih cintaNya. Sesungguhnya cinta Allah itu tiada tandingan.

Ya Allah, kami mencintaiMu...

Sunday, August 30, 2009

Cerpen Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Cepat sungguh masa berlalu. Sepertiga Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Fasa Rahmah. Bakal mendatang dua pertiga lagi untuk dimanfaatkan oleh hamba-hamba Allah yang menghargai kehadirannya. Esok adalah cuti umum seluruh Malaysia sempena Hari Kemerdekaan yang ke-52. Saya mengharapkan agar sambutannya tidak melampau-lampau sehingga melupai keberadaan kita di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya ingin kongsikan sebuah cerpen tentang Ramadhan di dalam koleksi tazkirah saya. Penulis asalnya tidak dapat dikenalpasti. Walaubagaimanapun terima kasih diucapkan kepada beliau.

* * *

Najwa melangkah longlai menuju ke kampus. Bukan kerana penat tubuhnya, tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena. Najwa terasakan dirinya ibarat belon yang tak cukup udara, tekanan atmosfera luar yang lebih tinggi memenyekkan belon itu. Ramadhan telah berlalu, separuh daripadanya. Najwa mengkontemplasi saat-saat lepas di dalam Ramadhannya kali ini, apakah yang telah dicapainya. Ditakdirkan Allah, assignment di universiti sangatlah banyak, yang kadang-kadang dia tidak mampu untuk iltizam dengan tilawah Al Quran 1 juzuk sehari. Mahu ingin berlama-lama di atas sejadah, tetapi discussion di sana sini. MP3 player berisi bacaan ayat-ayat Al Quran oleh Sheikh Mishari al Efasy menjadi peneman jiwanya yang terasa kosong.

“Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang mensia-siakan bulan barakah ini...” Najwa mengeluh sendirian.

Penat juga dia mengenangkan, kenapa pula kelopak matanya tersangat kering. Dia juga letih mengenangkan, kenapa apabila dia membaca kalamullah tidak tersentuh jiwanya. Najwa teringat surah Al Anfal ayat 2:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah apabila disebut nama Allah, bergementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal.”

Najwa mengulangi doa yang diajarkan Rasulullah SAW.

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain engkau)” Riwayat Abu Dawud, Ahmad.

Najwa singgah duduk di satu “bench” di bawah pokok. Musim bunga kali ini dirasakan tidak membunga-bungakan iman di dalam hatinya.

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan”. Dalam Najwa mengulangi doanya itu, tiba-tiba terdetik di dalam hatinya:

Benar-benarkah hanya rahmat Allah yang dia harapkan?

Benarkah hanya kepada Allah dia berharap, benarkah dia berharap Allah mengiringinya di dalam setiap urusannya?

Najwa teringat suatu peristiwa, semasa Najwa mengajak beberapa juniornya untuk mengikuti halaqah mingguan. Dia terasa sangat “excited” kerana nampak wajah-wajah baru yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Pada hari tersebut, Najwa dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan tazkirah. Usai tazkirah tersebut, Siti, salah seorang juniornya berkata kepadanya, “Best la tazkirah kak Najwa…”

Najwa terasakan dadanya kembang keseronokan.

Najwa tersentak… Kelopak bunga spesis Rhododendron berterbangan ditiup angin.

“Oh...di situlah silapnya...Benarkah aku hanya mengharapkan rahmat Allah dari amal yang aku perbuatkan? Rupa-rupanya, aku masih seronok dengan pujian. Sedangkan aku tak tahu, sama ada amal itu masih diterima Allah atau tidak...Ya Allah, benar-benar kali ini...Hanya rahmat Engkau sahaja yang aku harapkan...Lebih baik sekiranya manusia benci aku atas usaha aku, asalkan Engkau tidak marah kepadaku.”

Najwa mengenangkan, rahmat Allah sudah semestinya tersangat besar. Allah, Dialah Tuhan yang telah menyelamatkan Najwa daripada lemas di dalam paya busuk jahiliyah. Allah, Dialah Tuhan yang telah melahirkan perasaan malu dalam dirinya, lalu perasaan malu itu menyelamatkan Najwa dari ikhtilat (percampuran bebas lelaki dan perempuan), lalu dengan perasaan malu itu, pakaiannya semakin sopan menepati ciri-ciri muslimah. Allah, Dialah Tuhan yang telah memilihkan teman-teman seperjuangan yang saling memperingatkan kepada kesabaran, keimanan dan mengajak kepada amalan soleh.

Najwa teringat lagi, apabila dia sibuk mengendalikan program-program islami semasa cuti musim bunga. Masya-Allah, Allah telah beri dia keizinan untuk berlari ke sana ke mari, kelam kabut, berpenat-penatan untuk memikul tugasan dakwah. Allah telah beri peluang untuk dia mujahadah. Tapi, dia kelam kabut dalam solatnya kerana ingin mengejar urusan “dakwah”nya. Dia tidak dapat iltizam dengan tilawah Al Qurannya. Dia tidak sempat berhenti seketika untuk muhasabah amalan-amalannya. Tiba-tiba Najwa tersentak lagi...

“Mengapakah kamu suruh orang lain mengerjakan amal kebaikan, sedang kamu melupakan diri sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?”

Najwa teringat Surah Al Baqarah ayat 44, ya benar...Dia telah melupakan dirinya sendiri. “Ya Allah, benar-benar kali ini.. aku mengharapkan Mu jangan tinggalkan aku bersendirian bersama urusan-urusanku... walau pada kadar sekelip mata.” Najwa berharap.

Sesungguhnya manusia itu pelupa sifatnya. Manusia zalim terhadap dirinya. Hanya atas rahmat Tuhan Yang Maha Penyayang yang mampu menghindarkan manusia daripada menzalimi diri mereka sendiri.

Manusia jua mudah terasa dirinya serba cukup. Mudah sahaja terasa bahawa dia tidak perlukan sesiapa untuk membantu urusannya. Kerana dia mempunyai kepandaian, kekuatan fizikal dan kelebihan untuk mengendalikan urusan hariannya. Tetapi, manusia lupa...Di belakang sesuatu urusan, Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui sedang memerhatikan apa yang manusia perlakukan. Malah, Dia mengetahui apa yang berada di benak fikiran dan lubuk jiwa insan.

Najwa terkedu.

“Hah! Termenung apa tu!” Najwa disentakkan oleh temannya, Hayati.

“Awak ni, terkejut saya tau!” Najwa mencebik.

“Alah... maaflah... Assalamualaikum” Hayati tersengih sambil beri salam.

“Awak dah sampai ke negeri China ke tadi Najwa? Maaflah ganggu kembara angan-angan awak.”

Hayati memang terkenal dengan sifat suka menyakat. Walaupun begitu Hayati memang seorang yang sangat tajam pemerhatiannya.

Najwa sengih sahaja. Najwa bertanya kepada Hayati, “Kaifa imanuki? (Apa khabar iman kamu?)

Hayati senyum, “Alhamdulillah. . Alhamdulillah… I hope to stay in Ramadhan all the time!”

Najwa sambung lagi, “Kongsi la tips. How to benefit this Ramadhan!”

Hayati melarikan anak matanya ke kiri dan ke kanan. “Err…Saya tak pandai la bab-bab kasi tips ni. Tapi, saya nak share something. Tazkirah yang saya dengar from Sheikh masa solat tarawih kat musolla.”

“Surah Al Ma’un ayat 4-5.”

“Dalam ayat 4...Allah cela orang yang bersolat. Pelik ye, kenapa pula bila kita bersolat, yakni beribadah tetapi kita masih dicela oleh Tuhan kita. Awak rasa-rasanya kenapa, Najwa?” Hayati buat soalan KBKK pula.

“Alah, mana la saya tau… Awak citer je la” Najwa malas nak fikir.

“Okey lah, kalau kita tengok ayat 5, Allah cakap “iaitu orang-orang yang lalai di sekitar solat mereka”...Kalau tengok perkataan Arab ‘an solaatihim, bukannya fi solaatihim. Maksudnya, Allah cela orang-orang yang lalai di sekitar solatnya, iaitu di luar solatnya dia lalai. Bukan referring to orang yang lalai within his/her solat. As if, orang tu dah defeat the purpose of solatnya kerana solatnya masih tidak dapat melindungi dirinya daripada berbuat maksiat apabila dia selesai solatnya. Itu sebab Allah cela.”

“Macam kita lah, kalau dok dalam halaqah, kita asyik cerita pasal kena amar ma’ruf nahi mungkar...Tapi kalau di luar halaqah, kita tak buat pun apa yang kita perkatakan tu...What is the purpose of the halaqah to begin with?” Hayati berkata.

Najwa tertunduk. “Jazakillah ukhti…”

Hayati berkata, “Awak ni cam ade problem je……”

Najwa melarikan pandangannya, “Hmm... Biasalah, hati kurang sihat.”

Hayati berkata lagi, “Alhamdulillah...Awak masih dapat rasakan sama ada hati awak baik ke tidak. Rasulallah pernah cakap, sapa yang dalam saat imannya rendah, tapi masih berpegang kepad Sunnah baginda, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk.”

“Iman kita memang ada up-s and –down-s. Tapi di saat down ni, sebenarnya Allah nak kasi clue kepada kita. Betapa sebenarnya seronok dan indah apabila iman kita baik. Allah nak beritahu kita bila kita tengah down ni, bahawa Allah rindu dengar kita merintih dan mengadu kepadanya.Sepertimana ada satu Hadith Qudsi, Allah berfirman, “Wahai malaikat, turunkanlah musibah ke atas hambaKu, kerana aku rindu mendengar dia merintih kepadaKu.”

You know what, Najwa...Asalnya , kita tak perlu pun mengadu kat Allah dosa-dosa yang kita buat atau kejahilan yang kita buat... Sebab Allah memang dah tau pun. Tapi Allah suruh kita doa dan mengharap kepadaNya, supaya kita lebih akrab kepada Allah” Hayati mengusap-usap kepala Najwa.

Najwa menyeka air mata. Ah! Akhirnya basah juga kelopak matanya!

Benarlah, bertafakur lebih baik daripada solat 1000 rakaat. Kini, Najwa terasa qalbunya lebih ringan. Mudah-mudahan langkahnya selepas ini mengharungi saat-saat terakhir Ramadhan, diterima oleh Allah.

* * *
p.s. Cerpen ini banyak memberi pengajaran kan? Selamat memanfaatkan Ramadhan... Jangan sia-siakan Ramadhan ini.

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam telah bersabda yang ertinya :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

-Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Friday, June 12, 2009

Bagaimana Memperbaiki Diri

"I want to be a better person...but how?"

Di sini ada beberapa panduan.

1.Sentiasa berusaha mensucikan diri dengan meningkatkan amalan-amalan soleh dalam kehidupan seharian.

**Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa. [Asy Syams 91: 9]
**Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman). [al A'la 87:14]

2.Berusaha mengikhlaskan diri kita kepada Allah.

Pastikan segala amalan kita diniatkan ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, dan bukannya kerana manusia atau sesuatu yang lain.

**Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. [an-Nisaa' 4:146]

**Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya [An-Nisaa' 4:125]

3.Lakukan secara berperingkat. Cuba untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

**Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. [As Syarh 94:7]

4.Selalulah berdoa kepada Allah supaya ditetapkan hati dan istiqamah dengan amalan soleh.

Doa yang dianjurkan ialah, “ya muqallibal quluub, thabbit qalbi ‘ala diinika wa ‘ala tha’atik…”

5.Yakinlah bahawa Allah akan menolong hambaNya yang berusaha untuk memperbaiki dirinya kepada lebih baik.

**Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.[al-Ankabut 29:69]

6. Perbanyakkan mujahadah melawan nafsu dan syaitan, dan segera bertaubat jika kita melakukan dosa-dosa.

**Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maaidah 5:39)

**Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sollallahu alaihi wasallam bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah Subhanahu wa taala:

Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa.

Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa.

Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu.

Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Hadis ini bukanlah menunjukkan kita boleh melakukan apa sahaja dosa dan kemudian meminta ampun, tetapi menunjukkan betapa sayangnya Allah kepada kita, Dia memberikan seberapa banyak peluang kepada kita untuk memperbaiki diri. Alangkah indahnya hati ini jika sentiasa merasai kemanisan iman...

Wednesday, May 20, 2009

Solat: The Best 'Sedative'

Penyakit resah dan gelisah kerana peperiksaan semakin terasa. Bahaya sungguh penyakit ini, sekali-sekala ia datang, sampai tidak boleh study dibuatnya. Saya memerlukan ubat penenang. 

Ubat penenang, di dalam pharmacology disebut sebagai sedative. Terdiri daripada drugs seperti benzodiazepines dan barbiturates. Contoh benzodiazepines adalah seperti alprazolam, clonazepam, diazepam, lorazepam dan midazolam. Manakala contoh barbiturates pula adalah seperti pentobarbital, phenobarbital dan secobarbital.

Namun begitu, ada satu lagi ubat penenang yang cukup berkesan. Suatu tip daripada al Quran buat hati mereka yang sedang resah dan bimbang. Tadabbur ayat ini:

إِنَّ الإِنسَـنَ خُلِقَ هَلُوعاً  

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah lagi kikir.

 إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعاً 

Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah.

 وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعاً 

Dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat bakhil dan kedekut.

   إِلاَّ الْمُصَلِّينَ  

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang.

  الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاَتِهِمْ دَآئِمُونَ     

Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.

(al Ma'arij:19-22)

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template