:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Thursday, February 26, 2009

Sesekali…

Dalam mengharungi kehidupan di dunia, tidak selalunya kita mendapat yang indah-indah dan apa yang kita idamkan. Kadang- kadang kita diuji dengan mehnah serta dugaan daripadaNya. Akan tetapi, percayalah bahawa Allah tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu untuk menanggungnya. Walau seberat mana ujian yang Allah beri kepada kita, yakinlah bahawa Allah tahu kita kuat untuk menghadapinya. Oleh yang demikian, kita mestilah sabar dan tabah dengan ujian- ujian ke atas kita dalam hidup ini. Jangan terasa lemah.

Boleh jadi apa yang kita idam-idamkan adalah tidak baik untuk kita. Dan boleh jadi juga apa yang kita benci itu pula baik untuk kita. Allah telas menjelaskan tentang hal ini di dalam al Quran dalam surah al Baqarah ayat 216:

" ...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kita sebagai manusia yang lemah, ilmu kita adalah terbatas. Kita tidak mengetahui hakikat yang terbaik untuk kita. Oleh itu, yakinlah bahawa ketetapan daripadaNya adalah yang terbaik serta mengandungi hikmah. Wajib untuk kita meredhai atas setiap mehnah dan musibah. Berfikirlah secara positif.

Adakalanya kita berjaya, dan adakalanya kita gagal.Itu adalah lumrah. Kita harus redha menerima kegagalan. Tidak bermakna kejayaan itu selama-lamanya baik untuk kita, dan tidak bermakna kegagalan itu buruk untuk kita.


Saya suka menghayati lagu- lagu nasyid sebagai hiburan di waktu lapang, dan di sini saya ingin kongsikan nasyid 'Sesekali' yang dinyanyikan oleh kumpulan Wildan. Amat sesuai untuk dihayati terutama diri sendiri ini. Inilah bait- baitnya...

Sesekali kita perlu derita
Sesekali kita perlu kecewa
Untuk kita mengenangi erti bahagia
Untuk kita mengenangi erti berjaya

Sesekali kita perlu menangis
Sesekali kita perlu terhiris
Untuk kita mensyukuri nikmat yang diberi
Untuk kita mengenali diri sendiri

Ujian yang datang menguji kesabaran
Mengukur keimanan dan ketaqwaan
Sebagai hamba kepada Tuhan
Kita harus bertahan

Jalan ke syurga penuh dengan likuannya
Penuh dugaan dan rintangannya
Hanya yang cekal dan yang tabah
Pasti kan menemuinya

Masihkah lagi mahu menghitung setitis mehnahNya
Jika dibanding dengan selaut rahmat dan nikmatNya
Seharusnya kita rasa bersyukur dan berlapang dada
Itulah tanda kasih sayang Allah kerana kita sering terlupa
Pohonkan doa kepada Tuhan agar beroleh keredhaan...


" Ya Allah, aku bermohon agar sentiasa dikuatkan hati menempuh kehidupan di dunia ini. Tiada apa yang aku harapkan melainkan keredhaanMu. Jadikan aku hamba yang sentiasa sabar dan bersyukur dengan nikmatMu yang tak mampu kuhitung. Amiinn..."

Wednesday, February 25, 2009

Peristiwa Bulan Rabiul Awwal

Pengertian Bulan Rabiul Awwal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiul Awwal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiul Awwal ini sehinggalah sekarang.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awwal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiul Awwal ini dan di antaranya ialah;

- Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.

Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah.

- Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Di bulan Rabiul Awwal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

- Hijrah

Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yathrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awwal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

- Peperangan.

Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw antara tentera Islam dan tentera kuffar. Di antara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awwal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan),Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

- Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.

Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

Ya Rasulullah, sesungguhnya kami amat merinduimu...

- Abu Bakar ra. menjadi khalifah

Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra dan Ahli Bait Rasulullah saw.

- Pembukaan Iraq
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

- Pembukaan Baitul Muqaddis

Salahuddin al-Ayyubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

- Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Sumber : http://www.al-azim.com/

Sunday, February 22, 2009

Kenali Bakteria di dalam Mulut

Sudah agak lama saya tidak menulis tentang pergigian, jadi untuk entri ini saya ingin menulis tentangnya. Mudah- mudahan dapat membantu saya supaya lebih faham dan ingat dengan apa yang telah dipelajari. Jika pembaca juga turut mendapat istifadahnya, itu lebih bermakna.

Kali ini saya ingin bercerita tentang bakteria yang terdapat di dalam mulut kita. Ini berdasarkan apa yang diajarkan oleh pensyarah kami, Dr Lina al-Bayati yang berasal dari Iraq dalam subjek periodontology.

Terdapat lebih kurang 350 spesies bakteria di dalam mulut kita. Saya akan memperkenalkan sebahagian yang utama daripada bakteria tersebut kepada anda.


1) Streptococcus mutans. Bakteria ini terdapat di permukaan gigi. Ia memainkan peranan penting dalam pembentukan gigi berlubang (karies).

2) Streptococcus salivarius. Bakteria ini terdapat di atas permukaan lidah dan di dalam air liur.

3) Streptococcus angionosus. Bakteria ini terdapat di dalam poket gusi.

4) Streptococcus sanguis. Bakteria ini terdapat di dalam plak,di permukaan lidah dan bahagian dalam pipi.

5) Peptostreptococcus spp. Bakteria ini terdapat pada permukaan gigi, terutama pada bahagian dentin yang mengalami karies.


6) Staphylococcus aureus. Bakteria ini berbahaya kerana ia bukan sahaja menyebabkan penyakit di dalam rongga mulut, malah boleh mengakibatkan penyakit pneumonia, meningitis, jangkitan pada sistem perkumuhan,dan macam-macam lagi. Ia terdapat dengan jumlah yang sangat tinggi di dalam air liur golongan yang berusia melebihi 70 tahun.

7) Actinomyces israelli. Namanya pun macam Israel, tentunya bakteria ini jahat seperti Israel. Boleh menyebabkan penyakit actinomycosis.Ia terdapat di antara kawasan gigi dan gusi.

8) Lactobacillus casei. Bakteria ini terdapat di dalam plak.

9) Fusobacterium nucleatum. Ia terdapat di dalam poket gusi,dan boleh meyebabkan jangkitan tonsil dan gusi.

10) Treponema denticola. Terdapat di dalam poket gusi dan juga boleh menyebabkan penyakit gusi.

Cukuplah dahulu sekadar 10 jenis ini.Tetapi kita tidak perlu bimbang dengan kehadiran bakteria- bakteria di dalam mulut kita, kerana mereka adalah 'normal flora'. 'Normal flora' ini bererti bakteria ini tidak akan menyebabkan apa-apa penyakit kecuali jika ia wujud dalam jumlah yang sangat banyak. Oleh itu, jagalah kebersihan mulut agar bilangan mereka sentiasa di tahap yang terkawal.

Tuesday, February 17, 2009

Wanita Diciptakan Daripada Tulang Rusuk Yang Bengkok

Saya ingin kongsikan sesuatu tentang tajuk ini daripada sebuah artikel yang pernah saya baca di www.iluvislam.com.

Sebuah hadis Nabi Sollallahu alaihi wasallam menyebut:


"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik."
(Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)


Sesetengah orang berpandangan bahawa bengkok yang disebut di dalam hadis tersebut bermakna wanita itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik, suka buat perangai, leceh dan sebagainya. Akan tetapi, apakah maksud hadis tersebut sebenarnya?

Menurut apa yang dinyatakan oleh penulis artikel tersebut...

Wanita yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu 'penyempurnaan' . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat 'pelindung'. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu.

Tulang rusuk yang bengkok inilah yang melindungi vital organs di dalamnya...

Selain itu, maksud 'tulang rusuk yang bengkok' itu ialah sifat 'rahmah'. Wanita itu sifat semulajadinya bersifat penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, wanita boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. Begitu jugalah di dalam masyarakat, wanita sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat 'bengkok' ini daripada wanita dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat.

Buat kaum wanita, artikel ini pasti membuatkan anda berasa bangga kerana dilahirkan sebagai seorang wanita :) (termasuk saya juga). Teruskan pemburuan menjadi wanita solehah!

Buat kaum lelaki, semoga kalian menjadi seorang suami, abang, adik, ayah dan wali yang mampu melindungi dan menjaga wanita-wanita di dalam keluarga kalian...

Sunday, February 15, 2009

Kata-kata Hikmah

Assalamualaikum dan salam mujahadah...

Saya ingin kongsikan beberapa kata-kata hikmah untuk manfaat diri saya dan semua.

*Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan.

*Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.


*Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.

*Memberi sedikit dengan ikhlas lebih mulia daripada memberi dengan banyak tetapi diiringi riya'.

*Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

*Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras daripada batu. Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.

*Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

*Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

*Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ia wujud tapi amat sukar dilihat.


*Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

*Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong.

*Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

*Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri dilahirkan daripada sebuah kemesraan.

*Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.

*Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.


Thursday, February 12, 2009

Mencari Motivasi Yang Hilang

Luahan Azan Subuh semata- mata untuk ketenangan dirinya. Mungkin tiada manfaat untuk pembaca. Azan Subuh gemar berpuisi walaupun puisinya tidak puitis. Puisi adalah salah satu cara yang baik untuk mengekspresi perasaan...

Motivasiku telah hilang
Hatiku telah gersang
Aku ingin mencarinya pulang
Agar hatiku kembali tenang

Aku ingin hidup secerah mentari
Yang sentiasa menyinari bumi
Tetapi kekadang hatiku disakiti
Dengan perasaanku sendiri

Aku sedar inilah resam kehidupan
Tidak selamanya aku boleh ke depan
Hilang kekuatan dan keyakinan
Sungguh pahit menanggung dugaan

Masa untuk aku bermuhasabah
Memperbaiki silap dan salah
Aku tidak mahu terus rebah
KepadaNya dipohon agar aku tabah

Aku mahu pulang ke pangkuan bonda
Aku mahu pulang ke pangkuan ayahanda
Aku mahu pulang ke pangkuan adinda
Semoga motivasi yang hilang akan kujumpa...

~KADANG-KADANG ALLAH HILANGKAN SEKEJAP MATAHARI, KEMUDIAN ALLAH HADIRKAN KITA GURUH DAN KILAT...PUAS KITA MENCARI DI MANA MATAHARI, RUPA- RUPANYA ALLAH NAK BAGI KITA PELANGI YANG INDAH...~


p.s.

Nampaknya setelah sekian lama tak balik rumah (family je yang datang sini), Azan Subuh kena pulang juga hujung minggu ni walaupun sekejap…Harap dapat jumpa balik motivasi yang hilang. Mungkin ada di rumah =). Mujurlah rumah tak jauh.

Motivasi ni macam biskut Chipsmore pulak, sekejap ada sekejap hilang (pesanan penaja: boikot Chipsmore dan Danone). Ya Allah, kuatkanlah Azan Subuh ni...

Jangan putus asa daripada rahmat Allah!

Monday, February 9, 2009

Jangan Berputus Asa Daripada Rahmat Allah

Sesungguhnya Allah sangat kaya dengan sifat pengasih dan pengampun kepada hamba- hambaNya, oleh itu janganlah sesekali kita berputus asa daripada rahmatNya.

“Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu BERPUTUS ASA daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [AZ- ZUMAR:53]

“Mereka menjawab: "Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang BERPUTUS ASA." [AL HIJR:55]

“Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang BERPUTUS ASA dari rahmat TuhanNya, kecuali orang-orang yang sesat.” [AL HIJR:56]

“Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu BERPUTUS ASA daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada BERPUTUS ASA dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." [YUSUF:87]

* * *

Anas bin Malik melaporkan, beliau sendiri pernah mendengar Nabi Muhammad SAW berkata,

“Allah berkata, “Wahai manusia, selagi kamu berdoa dan berharap kepadaku, selagi itu aku ampunkan dosa-dosamu dan aku tidak peduli betapa banyak dosa itu. Wahai manusia, sekalipun banyaknya dosa- dosamu itu sampai mencecah awan, apabila kamu meminta ampun, aku akan ampunkan. Wahai manusia, apabila kamu datang dengan dosa- dosa yang menutupi seluruh muka bumi banyaknya, tetapi apabila kamu datang kepadaku dengan tidak menyekutukan aku walau sedikitpun, aku berikan kepadamu keampunan sepenuh muka bumi.”


[HADIS KE-42 DARIPADA HADIS 40 IMAM NAWAWI]

Saturday, February 7, 2009

MB Baru Perak Bekas Pelajar UIAM

[ Bukan dia yang menjadi kebanggaanku, tetapi aku lebih berbangga dengan pejuang-pejuang Parti Islam...Semoga kuasa Menteri Besar akan kembali semula kepada DATUK SERI MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN ]

Info


Datuk Dr Zambry Abdul Kadir

TARIKH LAHIR: 22 Mac 1962

TEMPAT LAHIR: Pulau Pangkor, Perak

ISTERI: Datin Saripah Zulkifli

ANAK: Lima (Tiga perempuan, dua lelaki)

KELULUSAN AKADEMIK:

# PhD (Pemikiran Politik) Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995)
# MA, Universiti Temple (1992) Falsafah politik dan Perbandingan Agama
# MA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1991) Pemikiran Islam
# B Econs (Kepujian) UIAM (1987)

PENCAPAIAN:

# Anugerah Kepujian (PhD) 1995
# Geran Penyelidikan Universiti Temple (1993)
# Anugerah WAMY Konvokesyen Pertama UIAM (1987)

JAWATAN:

# Ketua Pemuda Umno Bahagian Pangkor (1992)
# Ketua Umno Bahagian Lumut
# Adun Pangkor (sejak 2004)
# Exco Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Perak (2004-2008)

Friday, February 6, 2009

Hari Kembali Stabil

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi,sedikit lega rasanya kerana peperiksaan telah pun selesai. Saya berharap agar kehidupan kembali stabil seperti sediakala. Lima hari berturut-turut di dewan peperiksaan menjadikan diri sangat penat dan kurang stabil terutama dari segi biological clock. Segala aktiviti harian yang biasa terpaksa di'cut' sedikit sepanjang tempoh peperiksaan demi memberi perhatian kepada study. Di musim peperiksaan ini, sememangnya tidak mampu untuk tidur di waktu yang biasa.

Agak sukar exam Pharmacology, kertas yang terakhir pada pagi tadi. Saya menghadapi sedikit kesukaran dalam mengingat drugs yang sangat banyak dengan mechanism masing-masing. Apabila menjawab soalan peperiksaan,selalulah tertukar-tukar. Selepas ini perlu lebih banyak membuat latihan menjawab soalan.

Keseluruhannya, tentang performance untuk peperiksaaan kali ini, saya tidaklah merasakan terlalu puas hati. Rasanya masih banyak lagi teknik belajar yang perlu diperbaiki. Ada sesetengah subjek yang saya pandang remeh dan bertangguh-tangguh untuk study, hinggakan tidak sempat untuk menghabiskan semuanya dengan baik dan betul- betul faham. Muhasabah untuk diri sendiri. Harapnya masih ada waktu. Insya Allah, peperiksaan yang lebih penting iaitu Professional Exam akan diadakan Jun ini.

Sebenarnya tidak ada apa-apa untuk ditulis. Sekadar berkongsi rasa. Apa-apapun, apa khabar anda semua? Didoakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk semua...Semoga anda memperolehi hari-hari yang gembira dan ceria.

“Temanku...

Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah...

Jika ku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiyyah Pencipta...

Jika ku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga...

Jika antara kita ada tembok yang memisahkan, ajaklah aku meleraikan segera...

Jika pernah hatimu terluka, luahkanlah agar aku berubah...

Dan jika esok aku lena tanpa terjaga, iringilah lenaku dengan kalungan doa...”


~ SALAM UKHUWWAH FILLAH SELAMANYA ~
p.s. Agak berduka dengan kisah Perak...:(

Monday, February 2, 2009

Doa Yang Indah

*pembetulan: tukarkan BAATILUN kepada BAATILAN.

* * *
Tuhan
Lama aku gelintar
Cari arah cahaya
Menerangi gelita

Tuhan
Indahnya hidayahMu
Sinari ruang qalbu
Luruh air mataku
Mensyukuri nikmatMu

Oh Tuhan
Pimpinlah hati ini
Untukku menghayati
Oh petunjukMu

Walau diuji kesabaranku juga keimananku
Tidak tercabar keyakinanku pada janji-janjiMu
Tetap bersujud di hadapanMu
Merayu cintaMu
Seluruh jiwa aku serahkan hanyalah untukMu

Betapa ku bersyukur
Dengan hidayah yang Engkau berikan
Semoga selamanya aku kekal di jalanMu


[by Hijjaz]

Lagu yang menyentuh qalbu...

" Ya Allah, berikanlah kepadaku hidayahMu...tunjukkanlah padaku segala sesuatu yang terbaik untuk agamaku, kehidupan duniaku serta akhiratku...amiinn..."
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template