* * *
Apakah Kelebihan Sya'ban?
Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:
ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟
ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم
"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban. Aku bertanya kepada baginda "Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa di bulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban?" Baginda saw menjawab: "Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu di antara bulan rejab dan bulan ramadHan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa." (Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)
Di sini Nabi menyebut dua kelebihan bulan sya’ban:-
1. Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.
2. Bulan yang diangkat amalan kepada Allah swt.
* * *
Adakah Nabi saw berpuasa penuh pada bulan sya'ban?
Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh dalam bulan sya'ban sperti hadis:
كان يصوم شعبان كله
"Nabi saw berpuasa penuh didalam bulan sya'ban."
(Hr Bukhari - sahih)
Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa sebahagian besar pada bulan sya'ban dan tidak penuh seperti hadis:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شعبان إلا قليلا
" Rasulullah saw telah berpuasa sebahgian besar dari bulan sya'ban."
(Hr Nasaie)
Sekelompok ulama telah mentarjih pendapat yang mengatakan Nabi saw tidak berpuasa penuh dalam bulan sya'ban. Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan dari 'Aisyah ra:
ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan ramadan."
(Hr Bukhari dan Muslim - sanad sahih)
Oleh itu Ibnu Abbas menganggap makruh orang yang berpuasa penuh selama sebulan melainkan ramadhan.
* * *
Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban
Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban
Haram berpuasa sunat selepas 15 sya'ban. Ini jelas dari hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw:
إذا انتصف شعبان فلا تصوموا
"Apabila telah berlalu 15 sya'ban tidak boleh puasa."
(Hr Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah - sahih)
Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya adatnya pada hari tertentu dia berpuasa sebelum 16 sya'ban atau menyambung dari puasa yang seseorang puasa sebelum 16 sya'ban. Ini berdasarkan hadis berikut:
لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين إلا إذا كان يصوم صوما فليصمه
"Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka dia boleh teruskan puasa."
(Hr Bukhari dan Muslim)
Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya puasa wajib seperti puasa ganti dan puasa nazar.
* * *
Kelebihan hari dan malam nisfu (15) sya'ban
1. Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)
2. Nabi saw bersabda:
إن الله ليطلع ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
"Sesungguhnya Allah taala akan meninjau pada malam nisfu sya'ban, lalu mengampunkan dosa-dosa semua makhluknya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah."
(Hr Ibnu Majah - hasan)
3.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ
رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan ( malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb." -Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
4.
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ
مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah)dan dosa orang yang bermusuhan.” -Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.
5.
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ
شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :“Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.” -Riwayat Ibnu Majah.
* * *
Malam Nisfu Sya’ban adalah antara malam yang dikabulkan doa
Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.
* * *
Cara Salafussoleh menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban :
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :
“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid. Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.”
Imam Ibnu Taymiah juga berkata:
"Apabila seseorang solat seorang diri dimalam nisfu sya'ban atau berjemaah seperti mana yang dilakukan oleh kelompok2 salafus soleh adalah perkara yang baik."
(Majmu'ul Fatawa 131/23)
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersolat, maka lakukanlah solat-solat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq. Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
* * *
Apakah dibenarkan membaca Surah Yasin 3 kali di Malam Nisfu Sya’ban ?
Jawapan yang diberi oleh Mufti Mesir (Dr Ali Jum’ah) :
Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod(menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" -
متفق عليه .
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”
-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.”
-tamat
* * *
Kesimpulan:
Oleh itu digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.
Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Rujukan:
1. Lataiful Maarif oleh Ibnu Rajab, Mu'tamad oleh Dr Muhammad Zuhaily
2. Lailatun Nisfis Sya'ban oleh Syeikh Zaki Ibrahim.
3. Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban 1430, m/s 136.
Disediakan oleh :
1. Ustaz Salman Maskuri
2. Ustaz Syed abdul Kadir al joofre
3. Ustaz Abu Muhammad
4. Ustaz Elman Syud
5. Ustaz Ahmad Fahmi Che Nordin
No comments:
Post a Comment