:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Wednesday, June 17, 2009

Perginya Seorang Ulama

Syeikh Dr. Fathi Yakan (Fathi Yakan) telah kembali ke Rahmatullah pada hari Sabtu 13 Jun 2009 bersamaan, 19 Jamadil Akhir 1430 Hijrah yang lalu. Sepanjang hayatnya, Fathi Yakan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai terutama sekali kepada gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menerusi karya-karyanya seperti Apa Ertinya Aku Menganut Islam, Bahtera Penyelamat Umat Dalam Kehidupan Pendakwah, Permasalahan Dakwah dan Pendakwah, Ke Arah Kesatuan Gerakan Islam, dan buku-buku lain yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama di kalangan aktivis-aktivis gerakan Islam di seluruh dunia.

Di samping itu, beliau turut memberikan sumbangan yang sangat besar kepada perkembangan politik di Timur Tengah terutama sekali di tanah kelahirannya Lubnan dan dalam gerakan menentang kezaliman Israel terhadap umat Islam di Palestin dan kawasan sekitarnya.Semoga rohnya dirahmati oleh Allah s.w.t serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

p.s: Saya teringat suatu hadis ketika belajar di sekolah dahulu yang berbunyi:

Dari Abdullah bin Amr bin Ash ra, katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda: “Allah tidak menarik kembali ilmu dengan jalan mencabutnya dari qalb manusia, tetapi dengan jalan mematikan ulama. Apabila ulama telah mati, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu; mereka itu sesat dan menyesatkan.”

Ulama wajib dihormati

Suasana hari ini mendapati golongan-golongan ulama dihina dengan teruknya. Di manakah adab-adab kita sesama muslim, lebih-lebih lagi dengan mereka yang sangat tinggi ilmunya. Jangan mudah menghukum, jangan mudah menghina, sesungguhnya mereka itu lebih mulia kedudukan di sisi Allah. Saya mencadangkan agar pembaca membaca lebih lanjut di sini dan di sini...

ULAMA PEWARIS NABI...

Saturday, June 13, 2009

Tiada "Ikhlas" dalam surah al Ikhlas

Jika kita perhatikan surah-surah di dalam al Quran, nama-nama surah tersebut diberikan kerana perkataan@ terbitan perkataan yang terdapat di dalamnya (tidak termasuk al Fatihah). Contohnya:

-al Baqarah: kerana perkataan al Baqarah, iaitu kisah lembu betina di dalamnya.

-yaasin : kerana perkataan 'yaasin' di permulaannya.

-dan lain-lain lagi

Tetapi bagi surah al Ikhlas, tiada perkataan "ikhlas" pun di dalam surah tersebut. Mengikut al Quran Terjemahan yang saya miliki, dinyatakan bahawa ia dinamakan "al Ikhlas" kerana ia menegaskan kemurnian keesaan Allah.


Terjemahan surah al Ikhlas:

[ Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".]

Dari sudut yang lain, hikmah "ikhlas" tiada dalam surah al Ikhlas ialah kerana sifat ikhlas itu tersendiri yang tersembunyi. Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat, sehinggakan di dalam surah al Ikhlas pun tiada perkataan “ikhlas”.

Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mengetahui.

Friday, June 12, 2009

Bagaimana Memperbaiki Diri

"I want to be a better person...but how?"

Di sini ada beberapa panduan.

1.Sentiasa berusaha mensucikan diri dengan meningkatkan amalan-amalan soleh dalam kehidupan seharian.

**Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa. [Asy Syams 91: 9]
**Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman). [al A'la 87:14]

2.Berusaha mengikhlaskan diri kita kepada Allah.

Pastikan segala amalan kita diniatkan ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, dan bukannya kerana manusia atau sesuatu yang lain.

**Kecuali orang-orang yang bertaubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. [an-Nisaa' 4:146]

**Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya [An-Nisaa' 4:125]

3.Lakukan secara berperingkat. Cuba untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

**Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. [As Syarh 94:7]

4.Selalulah berdoa kepada Allah supaya ditetapkan hati dan istiqamah dengan amalan soleh.

Doa yang dianjurkan ialah, “ya muqallibal quluub, thabbit qalbi ‘ala diinika wa ‘ala tha’atik…”

5.Yakinlah bahawa Allah akan menolong hambaNya yang berusaha untuk memperbaiki dirinya kepada lebih baik.

**Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.[al-Ankabut 29:69]

6. Perbanyakkan mujahadah melawan nafsu dan syaitan, dan segera bertaubat jika kita melakukan dosa-dosa.

**Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maaidah 5:39)

**Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sollallahu alaihi wasallam bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah Subhanahu wa taala:

Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa.

Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa.

Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku.

Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu.

Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Hadis ini bukanlah menunjukkan kita boleh melakukan apa sahaja dosa dan kemudian meminta ampun, tetapi menunjukkan betapa sayangnya Allah kepada kita, Dia memberikan seberapa banyak peluang kepada kita untuk memperbaiki diri. Alangkah indahnya hati ini jika sentiasa merasai kemanisan iman...

Friday, June 5, 2009

Terima Kasih Allah

Keputusan Professional Exam telah diumumkan pada hari ini. Syukur kepada Allah, segala puji bagiNya, kerana saya lulus dalam kesemua subjek. Terima kasih buat emak, ayah, adik-beradik dan kawan-kawan yang telah memberikan kata-kata perangsang dan mengirimkan doa untuk saya. Saya yakin, ini adalah berkat doa anda semua. Semoga segala kebaikan akan kembali kepada kalian, insya Allah. Sayang semua :)
Jazakumullahu khairan kathira buat semua yang mendoakan

Kami telah diberikan cuti selama sebulan sebelum bermulanya Elementary Posting di Kampus Jalan Hospital pada 6 Julai ini. Semoga kesempatan yang diberikan ini dapat saya gunakan sebaik-baiknya untuk berkhidmat kepada emak, ayah dan adik-adik di rumah. Banyak juga program di Terengganu yang sedang menanti. Mudah-mudahan ada kesempatan untuk menyumbang sesuatu kepada agama. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini...

p.s: Buat kawan-kawan yang masih dalam tempoh peperiksaan, selamat berjuang!

Thursday, June 4, 2009

Blog Tentang Sains dan al Quran

Assalamualaikum warahmatullah buat semua pembaca,

Saya baru menghasilkan sebuah blog yang mengumpulkan hasil pencarian saya tentang ilmu-ilmu sains yang terkandung di dalam kitab al Quran. Insya Allah akan dikemaskini lagi selepas-selepas ini apabila saya mempunyai kelapangan waktu. Mengkaji tentang al Quran sangat menyeronokkan, terutamanya apabila mendapatinya sangat selari dengan ilmu sains yang sedang dipelajari.Jadi kepada pembaca yang juga berminat tentangnya, dijemput untuk menziarahi:


Mudah-mudahan blog ini akan turut memberi manfaat kepada pembaca, serta mengukuhkan keimanan kita terhadap Allah Rabbul Jalil. Wassalam.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template