:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Sunday, August 30, 2009

Cerpen Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Cepat sungguh masa berlalu. Sepertiga Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Fasa Rahmah. Bakal mendatang dua pertiga lagi untuk dimanfaatkan oleh hamba-hamba Allah yang menghargai kehadirannya. Esok adalah cuti umum seluruh Malaysia sempena Hari Kemerdekaan yang ke-52. Saya mengharapkan agar sambutannya tidak melampau-lampau sehingga melupai keberadaan kita di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya ingin kongsikan sebuah cerpen tentang Ramadhan di dalam koleksi tazkirah saya. Penulis asalnya tidak dapat dikenalpasti. Walaubagaimanapun terima kasih diucapkan kepada beliau.

* * *

Najwa melangkah longlai menuju ke kampus. Bukan kerana penat tubuhnya, tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena. Najwa terasakan dirinya ibarat belon yang tak cukup udara, tekanan atmosfera luar yang lebih tinggi memenyekkan belon itu. Ramadhan telah berlalu, separuh daripadanya. Najwa mengkontemplasi saat-saat lepas di dalam Ramadhannya kali ini, apakah yang telah dicapainya. Ditakdirkan Allah, assignment di universiti sangatlah banyak, yang kadang-kadang dia tidak mampu untuk iltizam dengan tilawah Al Quran 1 juzuk sehari. Mahu ingin berlama-lama di atas sejadah, tetapi discussion di sana sini. MP3 player berisi bacaan ayat-ayat Al Quran oleh Sheikh Mishari al Efasy menjadi peneman jiwanya yang terasa kosong.

“Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang mensia-siakan bulan barakah ini...” Najwa mengeluh sendirian.

Penat juga dia mengenangkan, kenapa pula kelopak matanya tersangat kering. Dia juga letih mengenangkan, kenapa apabila dia membaca kalamullah tidak tersentuh jiwanya. Najwa teringat surah Al Anfal ayat 2:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah apabila disebut nama Allah, bergementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal.”

Najwa mengulangi doa yang diajarkan Rasulullah SAW.

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain engkau)” Riwayat Abu Dawud, Ahmad.

Najwa singgah duduk di satu “bench” di bawah pokok. Musim bunga kali ini dirasakan tidak membunga-bungakan iman di dalam hatinya.

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan”. Dalam Najwa mengulangi doanya itu, tiba-tiba terdetik di dalam hatinya:

Benar-benarkah hanya rahmat Allah yang dia harapkan?

Benarkah hanya kepada Allah dia berharap, benarkah dia berharap Allah mengiringinya di dalam setiap urusannya?

Najwa teringat suatu peristiwa, semasa Najwa mengajak beberapa juniornya untuk mengikuti halaqah mingguan. Dia terasa sangat “excited” kerana nampak wajah-wajah baru yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Pada hari tersebut, Najwa dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan tazkirah. Usai tazkirah tersebut, Siti, salah seorang juniornya berkata kepadanya, “Best la tazkirah kak Najwa…”

Najwa terasakan dadanya kembang keseronokan.

Najwa tersentak… Kelopak bunga spesis Rhododendron berterbangan ditiup angin.

“Oh...di situlah silapnya...Benarkah aku hanya mengharapkan rahmat Allah dari amal yang aku perbuatkan? Rupa-rupanya, aku masih seronok dengan pujian. Sedangkan aku tak tahu, sama ada amal itu masih diterima Allah atau tidak...Ya Allah, benar-benar kali ini...Hanya rahmat Engkau sahaja yang aku harapkan...Lebih baik sekiranya manusia benci aku atas usaha aku, asalkan Engkau tidak marah kepadaku.”

Najwa mengenangkan, rahmat Allah sudah semestinya tersangat besar. Allah, Dialah Tuhan yang telah menyelamatkan Najwa daripada lemas di dalam paya busuk jahiliyah. Allah, Dialah Tuhan yang telah melahirkan perasaan malu dalam dirinya, lalu perasaan malu itu menyelamatkan Najwa dari ikhtilat (percampuran bebas lelaki dan perempuan), lalu dengan perasaan malu itu, pakaiannya semakin sopan menepati ciri-ciri muslimah. Allah, Dialah Tuhan yang telah memilihkan teman-teman seperjuangan yang saling memperingatkan kepada kesabaran, keimanan dan mengajak kepada amalan soleh.

Najwa teringat lagi, apabila dia sibuk mengendalikan program-program islami semasa cuti musim bunga. Masya-Allah, Allah telah beri dia keizinan untuk berlari ke sana ke mari, kelam kabut, berpenat-penatan untuk memikul tugasan dakwah. Allah telah beri peluang untuk dia mujahadah. Tapi, dia kelam kabut dalam solatnya kerana ingin mengejar urusan “dakwah”nya. Dia tidak dapat iltizam dengan tilawah Al Qurannya. Dia tidak sempat berhenti seketika untuk muhasabah amalan-amalannya. Tiba-tiba Najwa tersentak lagi...

“Mengapakah kamu suruh orang lain mengerjakan amal kebaikan, sedang kamu melupakan diri sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?”

Najwa teringat Surah Al Baqarah ayat 44, ya benar...Dia telah melupakan dirinya sendiri. “Ya Allah, benar-benar kali ini.. aku mengharapkan Mu jangan tinggalkan aku bersendirian bersama urusan-urusanku... walau pada kadar sekelip mata.” Najwa berharap.

Sesungguhnya manusia itu pelupa sifatnya. Manusia zalim terhadap dirinya. Hanya atas rahmat Tuhan Yang Maha Penyayang yang mampu menghindarkan manusia daripada menzalimi diri mereka sendiri.

Manusia jua mudah terasa dirinya serba cukup. Mudah sahaja terasa bahawa dia tidak perlukan sesiapa untuk membantu urusannya. Kerana dia mempunyai kepandaian, kekuatan fizikal dan kelebihan untuk mengendalikan urusan hariannya. Tetapi, manusia lupa...Di belakang sesuatu urusan, Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui sedang memerhatikan apa yang manusia perlakukan. Malah, Dia mengetahui apa yang berada di benak fikiran dan lubuk jiwa insan.

Najwa terkedu.

“Hah! Termenung apa tu!” Najwa disentakkan oleh temannya, Hayati.

“Awak ni, terkejut saya tau!” Najwa mencebik.

“Alah... maaflah... Assalamualaikum” Hayati tersengih sambil beri salam.

“Awak dah sampai ke negeri China ke tadi Najwa? Maaflah ganggu kembara angan-angan awak.”

Hayati memang terkenal dengan sifat suka menyakat. Walaupun begitu Hayati memang seorang yang sangat tajam pemerhatiannya.

Najwa sengih sahaja. Najwa bertanya kepada Hayati, “Kaifa imanuki? (Apa khabar iman kamu?)

Hayati senyum, “Alhamdulillah. . Alhamdulillah… I hope to stay in Ramadhan all the time!”

Najwa sambung lagi, “Kongsi la tips. How to benefit this Ramadhan!”

Hayati melarikan anak matanya ke kiri dan ke kanan. “Err…Saya tak pandai la bab-bab kasi tips ni. Tapi, saya nak share something. Tazkirah yang saya dengar from Sheikh masa solat tarawih kat musolla.”

“Surah Al Ma’un ayat 4-5.”

“Dalam ayat 4...Allah cela orang yang bersolat. Pelik ye, kenapa pula bila kita bersolat, yakni beribadah tetapi kita masih dicela oleh Tuhan kita. Awak rasa-rasanya kenapa, Najwa?” Hayati buat soalan KBKK pula.

“Alah, mana la saya tau… Awak citer je la” Najwa malas nak fikir.

“Okey lah, kalau kita tengok ayat 5, Allah cakap “iaitu orang-orang yang lalai di sekitar solat mereka”...Kalau tengok perkataan Arab ‘an solaatihim, bukannya fi solaatihim. Maksudnya, Allah cela orang-orang yang lalai di sekitar solatnya, iaitu di luar solatnya dia lalai. Bukan referring to orang yang lalai within his/her solat. As if, orang tu dah defeat the purpose of solatnya kerana solatnya masih tidak dapat melindungi dirinya daripada berbuat maksiat apabila dia selesai solatnya. Itu sebab Allah cela.”

“Macam kita lah, kalau dok dalam halaqah, kita asyik cerita pasal kena amar ma’ruf nahi mungkar...Tapi kalau di luar halaqah, kita tak buat pun apa yang kita perkatakan tu...What is the purpose of the halaqah to begin with?” Hayati berkata.

Najwa tertunduk. “Jazakillah ukhti…”

Hayati berkata, “Awak ni cam ade problem je……”

Najwa melarikan pandangannya, “Hmm... Biasalah, hati kurang sihat.”

Hayati berkata lagi, “Alhamdulillah...Awak masih dapat rasakan sama ada hati awak baik ke tidak. Rasulallah pernah cakap, sapa yang dalam saat imannya rendah, tapi masih berpegang kepad Sunnah baginda, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk.”

“Iman kita memang ada up-s and –down-s. Tapi di saat down ni, sebenarnya Allah nak kasi clue kepada kita. Betapa sebenarnya seronok dan indah apabila iman kita baik. Allah nak beritahu kita bila kita tengah down ni, bahawa Allah rindu dengar kita merintih dan mengadu kepadanya.Sepertimana ada satu Hadith Qudsi, Allah berfirman, “Wahai malaikat, turunkanlah musibah ke atas hambaKu, kerana aku rindu mendengar dia merintih kepadaKu.”

You know what, Najwa...Asalnya , kita tak perlu pun mengadu kat Allah dosa-dosa yang kita buat atau kejahilan yang kita buat... Sebab Allah memang dah tau pun. Tapi Allah suruh kita doa dan mengharap kepadaNya, supaya kita lebih akrab kepada Allah” Hayati mengusap-usap kepala Najwa.

Najwa menyeka air mata. Ah! Akhirnya basah juga kelopak matanya!

Benarlah, bertafakur lebih baik daripada solat 1000 rakaat. Kini, Najwa terasa qalbunya lebih ringan. Mudah-mudahan langkahnya selepas ini mengharungi saat-saat terakhir Ramadhan, diterima oleh Allah.

* * *
p.s. Cerpen ini banyak memberi pengajaran kan? Selamat memanfaatkan Ramadhan... Jangan sia-siakan Ramadhan ini.

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam telah bersabda yang ertinya :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

-Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Friday, August 28, 2009

Selamat Hari Lahir Buat Adik Bongsuku

Entri buat adik bongsu saya yang menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-2 pada hari ini. Adik bongsu saya ni, satu-satunya anak lelaki kepada emak dan ayah. Selamat Hari Lahir, Arif...

Inilah adik bongsu saya...Selalu pakai selipar tertukar kanan dan kiri...Hehe.

Along harap, one day, bila Adik dah pandai membaca, Adik baca entri ni yang Along tuliskan untuk Adik...

Semoga Adik menjadi anak yang soleh. Alangkah bangganya Along jika Adik membesar sebagai lelaki acuan al Quran.

LELAKI ACUAN AL-QURAN

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga dengan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut berkata benar
Yang tidak gentar melawan nafsu.

Lelaki acuan al-Quran ialah yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya penyayang
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh bersifat jembalang.

Lelaki acuan al-Quran ialah yang menghormati ibu bapanya
Yang sentiasa berbakti pada orang tua dan keluarganya
Yang bakal menjaga keharmonian rumah tangga
Yang mendidik isteri dan anak-anaknya mendalami ilmu agama
Yang mengamalkan hidup dengan kesederhanaan kerana dunia baginya rumah sementara menunggu akhirat.

Lelaki acuan al- Quran sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup di bawah naungan al-Quran
Dan mencontohi sifat Sayyidina Ali KWJ
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya dengan penuh kesyukuran dengan rahmat Allah SWT.

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masanya
Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengalunkan ayat al-Quran dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Yang bangun subuh dengan penuh kecerdasan kerana sehari lagi bertambah usianya penuh kebimbangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati
Yang baginya di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan ini perlu dibaja dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah impiannya
Dialah lelaki acuan al-Quran…

p.s.Maaf ya para pembaca, entri yang hanya berkaitan seorang kakak sulung dengan adik bongsunya :)

Friday, August 21, 2009

Kenapa Gusi Berdarah Semasa Memberus Gigi?

Gusi berdarah ketika memberus gigi

Saya menerima banyak pertanyaan daripada kawan dan kenalan tentang kenapa terjadinya gusi berdarah ketika memberus gigi. Insya Allah saya akan cuba menuliskannya mengikut sedikit ilmu yang telah dirujuk daripada beberapa sumber.

Sebenarnya ada beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya gusi berdarah ketika memberus:

1. Berus gigi

Adakah anda telah memilih berus gigi yang sesuai?

Berus gigi yang keras boleh menyebabkan gusi anda cedera dan berdarah. Jadi, gunakanlah berus gigi yang dilabelkan dengan 'soft'. Selain itu, tukarlah berus gigi anda setiap 3 bulan, kerana berus gigi yang baru akan memberikan kesan yang lebih efektif dalam menanggalkan plak berbanding yang telah lama dipakai. Tulisan saya yang lepas tentang pemilihan berus gigi ini boleh dibaca di sini.

2. Cara menggosok gigi

Aplikasikan teknik yang betul ketika memberus gigi

Ada masalah gusi berdarah yang berpunca daripada teknik memberus gigi yang salah. Anda harus menggunakan teknik yang betul ketika memberus gigi. Anda boleh membaca entri saya yang lepas tentangnya di sini. Pastikan anda menggosok dari bahagian pangkal gigi ke bahagian luar (dari gusi ke gigi).

3. Gingivitis@ Gusi bengkak

Jika anda telah memilih berus gigi yang betul dan telah mengaplikasikan teknik menggosok gigi yang betul, tetapi gusi anda masih berdarah ketika memberus gigi, gigi anda mungkin mengalami gingivitis. Gingivitis adalah suatu masalah keradangan pada gusi yang boleh menyebabkan gusi berwarna kemerahan, bengkak dan berdarah ketika menggosok gigi.

Plak yang boleh menyebabkan gingivitis

Ia terjadi akibat jangkitan bakteria yang terkandung di dalam plak yang terkumpul pada gigi. Bakteria-bakteria ini menghasilkan asid dan toksin yang boleh menjejaskan kesihatan gusi. Cara untuk mengatasinya, anda harus lebih meningkatkan prosedur menjaga kebersihan gigi anda. Anda sangat-sangat digalakkan untuk menggunakan floss dan cecair kumur di samping menggosok gigi (sekurang-kurangnya 2 kali sehari).

Jika plak telah bertukar menjadi tartar @ karang gigi, masalah akan menjadi lebih teruk kerana plak akan lebih mudah terkumpul di kawasan tersebut. Jadi, anda disarankan untuk membuat rawatan 'scaling'@ cuci gigi bagi membuang tartar@karang gigi (2 kali setahun). Selepas itu, insya Allah, gusi anda akan menjadi lebih sihat dan tidak berdarah.

Tartar@karang gigi yang boleh menjejaskan kesihatan gusi

p.s. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, dialu-alukan untuk bertanya di sini. Saya akan bertanya kepada pensyarah-pensyarah saya jika saya tidak mengetahui jawapan untuk persoalan anda.

Rujukan saya:

1. Dr Widowati, BDS, MSc Periodontics (Lecturer, Kulliyyah of Dentistry IIUM).
2. D.A.Mitchell (2005), Oxford Handbook of Clinical Dentistry Fourth Edition.

Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadhan!

Tetamu yang dinanti hampir-hampir-hampir tiba! Ahlan ya Ramadhan kareem...

Buat semua pengunjung blog ini, saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa. Sama-sama kita memaksimumkan ibadah kita di dalam bulan ini, kerana Allah menjanjikan padanya pahala yang berlipat ganda!

Ramadhan, suatu madrasah tarbiyyah bagi kita. Manfaatkan sebaik-baiknya. Jika kita berjaya, kita akan mendapati hasilnya di pagi 1 Syawal dengan merasai bahawa kita telah tergolong di dalam golongan al-'aidin wal faizin. Semoga Allah menerima segala amalan kita di sisiNya.

Saya tidak pandai menulis panjang. Saya yakin, pembaca semua lebih bagus dalam menyiapkan diri untuk Ramadhan ini. Anda boleh baca tulisan Ustaz Zuridan dari Universiti Malaysia Pahang tentangnya di sini. Bersempena dengan kedatangan Ramadhan ini juga, saya ingin meminta maaf di atas segala salah silap saya...

Salam Ramadhan!


Sunday, August 16, 2009

Terimalah Aku Sebagai Kekasihmu Kembali

Suatu ketika dahulu
Engkau pernah menjadi kekasihku
Aku bersamamu setiap waktu
Meninggalkanmu sekejap membuatku rindu

Pernah aku menangis sendu
Lantaran susahnya mengingat isimu
Kucatatkan di dalam diari hidupku
Betapa sukar mujahadahku untukmu

Itu kisah-kisahku yang dulu
Sewaktu aku berada di bumi barakah DQ
Namun kini aku semakin malu
Denganmu serta dengan Penciptaku
Di mana kau sekarang di dalam hatiku?

Layakkah aku bergelar hamalatul Quran?
Aku malu ya Allah...

Puisi ini kutitipkan buat diriku
Agar aku menghargai kekasihku
Kerana kehilangannya susah diburu

Dari Ibnu Umar r.a.,bahawa Nabi Muhammad Sollallahu alaihi wasallam bersabda:

“Perumpamaan orang yang hafaz Al Quran adalah seperti pemilik unta yang terikat, jika dia terus menjaganya maka dia dapat terus memegangnya, dan jika dia lepaskan maka ia akan segera hilang.”

[Hadits diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

Ibnu Mas'ud r.a. berkata:

Penghafaz Al Quran harus dikenal dengan malamnya saat manusia tidur, dan dengan siangnya saat manusia sedang tertawa, dengan diamnya saat manusia berbicara, dan dengan khusyu'nya saat manusia gelisah. Penghafaz Al Quran harus tenang dan lembut, tidak keras, tidak sombong, tidak bersuara kasar dan tidak cepat marah.

Al Quran, terimalah aku sebagai kekasihmu kembali...

Sunday, August 9, 2009

Karnival Amal ' 09

Semalam saya diajak oleh seorang kawan untuk menyertai team Medical Check-up @ Pemeriksaan Kesihatan anjuran PAPISMA yang diadakan pada hari ini di Dataran Putra Balok. Memandangkan hari ini saya agak berkelapangan, saya menyetujuinya. Alhamdulillah, ia memberi pengalaman baru kepada saya dalam usaha memberi khidmat kepada masyarakat.

Pemeriksaan kesihatan ini diberikan secara percuma kepada para hadirin yang hadir ke sini. Saya bersama 2 orang sahabat lagi iaitu Husna (pelajar perubatan) dan Hajar(pelajar kejururawatan) ditugaskan untuk membuat sedikit 'history taking', pemeriksaan tekanan darah dan kandungan glukosa dalam darah. Kami juga ditemani oleh Dr. Mas Ayu dan Kak Niza (dietitian) sebagai perunding cara.

Di bawah ini adalah gambar-gambar yang sempat diambil sebagai kenangan:

Hajar dan Husna sedang mendengar keterangan daripada pengunjung Muslimat

Di bahagian pemeriksaan kesihatan lelaki

Si cilik yang menyertai pertandingan nasyid. Seorang bernama Zafran dan seorang lagi bernama Irfan

Antara pengunjung yang sedang menunggu

Antara gerai-gerai yang ada

Kenangan daripada unit Amal

Akhir kata, syabas kepada unit Amal kerana sentiasa berkhidmat untuk ummat!

p.s: Esok kelas akan bermula kembali. Siapkan mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan di medan ilmu yang masih panjang! Ya Allah, permudahkanlah buatku...

Saturday, August 8, 2009

Rahsia Penyembuhan Di Sebalik Sebutan "Allah"

(Saya terjemahkan daripada sebuah email)

Vander Hoven, seorang psikologis dari Netherlands mengumumkan penemuannya tentang kesan membaca al Quran dan mengulangi sebutan "Allah" ke atas pesakit. Ini adalah berdasarkan kajiannya selama 3 tahun. Kesimpulan yang didapatinya, sebutan "Allah" benar-benar memberi kesan yang memberangsangkan terhadap penyembuhan pesakit-pesakit yang mengalami tekanan mental.

Psikologis itu menerangkan bagaimana setiap huruf dalam kalimah ALLAH dapat memberi kesan penyembuhan kepada penyakitnya. Beliau menyatakan bahawa:

-Huruf A, yang keluar melalui sistem pernafasan, akan mengawal pernafasan.

-Huruf L yang 'bersabdu', apabila disebut akan menyebabkan lidah sedikit terangkat ke lelangit, dan akan menghasilkan satu 'pause' yang merehatkan pernafasan.

-Huruf H yang terakhir akan membuatkan satu 'contact' antara paru-paru dan jantung, dan ini akan mengawal degupan jantung.

Sebenarnya, professor ini seorang non-Muslim tetapi beliau sangat berminat dengan kajian Islam dan suka mencari rahsia-rahsia agung yang terkandung di dalam kitab suci al Quran.

Subhanallah! Banyakkan berzikir menyebut namaNya...

Tuesday, August 4, 2009

Kulliyyah Ditutup Sementara Kerana H1N1

Hari ini kulliyyah saya telah pun diisytiharkan tutup kerana H1N1. Beberapa hari yang lepas Kulliyyah Kejururawatan juga diisytiharkan sedemikian. Nampaknya bahaya H1N1 telah sampai kepada kami di sini. Jangkaan saya, tidak lama lagi Kulliyyah Perubatan, Farmasi, Sains dan Sains Kesihatan Bersekutu juga akan ditutup.

Sejak kebelakangan ini juga saya sering berasa letih. Keletihan yang menyebabkan saya hilang semangat untuk melaksanakan beberapa taklifan yang diamanahkan kepada saya. Mesyuarat untuk program Ihya' Ramadhan masih belum terlaksana. Kertas kerja yang telah diubahsuai setelah diperiksa oleh Dekan belum dihantar kembali. Saya harap ini bukanlah berpunca daripada virus H1N1, cuma keletihan akibat kurang bersenam. Sekarang masa kurang mengizinkan untuk saya beriadhah berbanding dahulu. Tetapi walaubagaimanapun, saya akan mencari waktu untuk ke taman, dan saya akan melaksanakan segala kerja yang terbengkalai itu. Saya tidak mahu keletihan dan kepenatan ini menyebabkan saya mengabaikan tugasan- tugasan saya.

Nampaknya kanak-kanak ini lebih letih daripada saya

Semakin hari, kes jangkitan virus ini semakin bertambah. Berita kawan-kawan yang demam semakin kerap didengari. Menurut kawan saya, Health Centre IIUM penuh dengan pelajar-pelajar yang sakit. Menunggu giliran pun lama. Ramai pelajar yang disyaki mengidap demam yang berpunca daripada virus H1N1 berdasarkan simptom-simptom yang ada, tetapi ia masih lagi belum dapat dipastikan dengan sahih. Namun, untuk langkah berjaga-jaga, beberapa kulliyyah termasuk kuliyyah saya telah menangguhkan sesi pengajian. Kata Dekan kami:

" This is a matter of life and death..."

Pesan Dekan kami lagi, virus ini telah berada di mana-mana kerana penyebarannya sangat mudah, secara 'air-borne'. Oksigen yang kita sedut mungkin tidak begitu selamat lagi. Jadi, berusahalah setakat mampu untuk memelihara diri. Tingkatkan sistem imuniti badan dengan banyak memakan buah- buahan dan makanan berkhasiat yang lain serta banyakkan bersenam. Basuh tangan dengan sebersih-bersihnya.


Jika anda mendapati simptom-simptom di atas segeralah berjumpa doktor

Saya harap virus H1N1 tidak menggunakan slogan 'Satu Malaysia'. Tidak perlulah mengaplikasikan itu untuk kami ya, virus H1N1. Dek keranamu, kami terpaksa berhenti belajar buat seketika. Selepas ini, tentunya hujung minggu akan menjadi mangsa untuk mengisi kelas-kelas tertangguh ini.

Virus ini juga adalah makhluk Allah yang patuh pada kekuasaanNya. Oleh itu, pohonlah perlindungan daripada Allah agar diberi kesihatan dan keafiatan yang berterusan. Sama-samalah juga kita mendoakan mereka yang telah dijangkiti agar kembali sembuh seperti sediakala. Ada doa yang boleh dibaca untuk mengelakkan penyakit ini. Juga boleh mengamalkan qunut nazilah di dalam solat kita.

Doa untuk memohon perlindungan daripada wabak

Wallahu a'lam.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template