:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Tuesday, July 20, 2010

Menjawab Pertanyaan di Shoutbox

Assalamualaikum buat semua...

Entri ini adalah untuk menjawab pertanyaan Ingin tau dan sahabat saya, mutiara bd yang bertanya di shoutbox. Maafkan saya jika agak terlambat membalasnya, kerana kesibukan menjengah sebentar.

Soalan daripada Ingin tau bertanyakan tentang sehingga umur berapakah gigi akan tumbuh.

Untuk memudahkan penerangan, saya sertakan gambar di bawah.

Gigi-gigi akan tumbuh mengikut masanya (dengan izin Allah!). Namun, ada juga gigi yang tidak tumbuh (semulajadi tiada gigi/terhalang oleh gigi susu dsb). Untuk lebih tepat, kita boleh melihat keadaan gigi kita melalui x-ray.

Secara lazimnya, kita dikurniakan Allah sebanyak 20 batang gigi susu dan 32 batang gigi kekal. Biasanya, waktu untuk gigi susu pertama (gigi kacip) tumbuh adalah sekitar usia 6-7 bulan. Kemudian, gigi-gigi yang lain pula akan menyusul. Ketika kanak-kanak telah berusia 3 tahun, biasanya mereka telah pun mempunyai semua set gigi susu dengan lengkap dan sempurna.

Setelah berusia 6 tahun, gigi kekal pertama (gigi geraham pertama) akan tumbuh. Kemudian, ini diikuti dengan pertumbuhan gigi-gigi kekal yang lain untuk menggantikan tempat gigi-gigi susu. Gigi kekal yang paling akhir tumbuh ialah gigi geraham ketiga, juga dikenali dengan nama Third molar @ gigi geraham bongsu @ wisdom tooth. Biasanya gigi geraham bongsu tumbuh setelah kita berusia 17 tahun dan ke atas (bergantung kepada individu). Ada juga yang tidak akan tumbuh langsung. Tentang gigi geraham bongsu saya ada tuliskan di sini.

Saya berharap penerangan ini menjawab persoalan Ingin tau. Jika tidak menepati, sila maklumkan kembali kepada saya ya.

* * *

Soalan kedua daripada mutiara bd, bertanyakan tentang sebab gusi bengkak ketika stress dan cara-cara mengendalikannya.

Saya akan memberikan jawapan berdasarkan apa yang diajarkan oleh Prof. Dr. Wisam, pensyarah kami, seorang specialist dalam bidang Periodontology.

Acute Necrotizing Ulcerative Gingivitis, penyakit gusi yang biasa terjadi disebabkan stress

Ada 2 sebab kenapa seseorang mudah mengalami gusi bengkak (gingivitis) ketika stress:

1. Ketika seseorang mengalami stress, sesetengahnya mengabaikan penjagaan gigi mereka atau terdorong untuk merokok dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesihatan gusi terganggu.

2. Ketika stress, terdapat perubahan hormon di dalam badan di mana hormon kortisol (cortisol) akan meningkat. Ini akan mengakibatkan sistem imuniti akan menjadi lemah (mengurangkan tindakan neutrophil dan penghasilan antibodi IgG dan IgA), seterusnya akan meningkatkan potensi patogen untuk menyerang gusi anda. Stress juga akan meningkatkan pengeluaran neurotransmitter yang mengakibatkan fungsi sistem imuniti tidak lagi bertindak sebagai pertahanan, sebaliknya mengakibatkan kerosakan pula (from protective response to a destructive one).

Jadi, elakkan diri daripada terlalu stress! Kebersihan gigi juga harus dijaga dengan sebaik-baiknya dan berjumpalah dengan doktor gigi untuk membuat pemeriksaan (nak jumpa dengan pelajar pergigian pun takpe jugak.hehe).

Semoga penerangan ini memuaskan hati ukhti mutiara bd :)

p.s: Jika ada doktor gigi, pelajar-pelajar pergigian atau sesiapa sahaja yang ingin menambah, menegur dan sebagainya, saya persilakan dengan segala hormatnya...

Saturday, July 10, 2010

Tahukah Anda?

Tahukah anda, frekuensi suara lelaki ialah 100 Hz, manakala suara wanita ialah 200 Hz. Maklumat ini saya dapati daripada pengajaran Prof. Dr. Bazirgan dalam subjek Prosthetic Dentistry. Perbezaan ini disebabkan oleh saiz vocal fold/cord yang berbeza. Panjang vocal fold lelaki ialah 17-25 mm manakala bagi wanita pula ialah 12.5-17.5 mm.

Baiklah, mari kita cari hikmahnya. Kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Wanita itu dijadikan lemah fizikalnya. Jadi Allah memberikan wanita frekuensi suara yang tinggi agar mereka boleh menjerit dengan kuat untuk meminta pertolongan andai berada dalam kecemasan. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat ini buat kaum wanita. Tetapi, wanita jangan pula salah menggunakannya. Simpanlah frekuensi tinggi suara anda ketika diperlukan sahaja. Jika digunakan sepanjang masa, tidak manis jadinya. :)

Sebenarnya ada lagi yang ingin saya kongsikan tentang perbezaan lelaki dan wanita, namun masa tidak begitu mengizinkan untuk saya menulis panjang.

Lelaki dan wanita memang dicipta berbeza, bukan untuk saling menyaingi tetapi untuk saling melengkapi...

"dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan..." (ali Imran :36)

"mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka..." (al Baqarah : 187)

p.s : Semasa kecil dahulu, emak pernah cerita bahawa saya kuat menangis. Tentu sekali dengan frekuensi yang tinggi. Maafkan saya emak dan ayah...

Wednesday, July 7, 2010

Hanya Al Quran di Lidahnya


Subhanallah...Subhanallah...Subhanallah. Ya Allah, mahu jadi sepertinya. Kisah yang saya bawakan ini adalah tentang seorang wanita tua, yang hanya melazimi kalimah-kalimah suci al Quran dalam setiap pertuturannya.

* * *

Berkata Abdullah bin Mubarak Rahimahullahu Ta'ala :

"Saya berangkat menunaikan Haji ke Baitullah Al-Haram, lalu berziarah ke makam Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam. Ketika saya berada di suatu sudut jalan, tiba-tiba saya melihat sesusuk tubuh berpakaian yang dibuat dari bulu. Dia adalah seorang ibu yang sudah tua. Saya berhenti sejenak seraya mengucapkan salam untuknya. Terjadilah dialog dengannya beberapa ketika."

Dalam dialog tersebut, wanita tua itu setiap kali menjawab pertanyaan Abdullah bin Mubarak, dijawab dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an. Walaupun jawapannya tidak tepat sekali, akan tetapi cukup memuaskan, kerana tidak terlepas dari konteks pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Abdullah : "Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh."

Wanita tua : "Salaamun qaulan min rabbir rahiim." (QS. Yaasin : 58) ("Salam sebagai ucapan dari Tuhan Maha Pengasih.")

Abdullah : "Semoga Allah merahmati anda, mengapa anda berada di tempat ini?"

Wanita tua :"Man yudhlilillahu fala haadiyalah." (QS : Al-A'raf : 186 ) ("Barangsiapa disesatkan Allah, maka tiada petunjuk baginya.")

Dengan jawapan ini, maka tahulah Abdullah bin Mubarak, bahawa dia tersesat jalan.

Abdullah : "Ke mana anda hendak pergi?"

Wanita tua : "Subhanalladzi asra bi 'abdihi lailan minal masjidil haraami ilal masjidil aqsa." (QS. Al-Isra' : 1) ("Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya di waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.")

Dengan jawapan ini Abdullah bin Mubarak mengerti bahawa dia sedang mengerjakan haji dan hendak menuju ke Masjidil Aqsa.


Abdullah : "Sudah berapa lama anda berada di sini?"

Wanita tua : "Thalatha layaalin sawiyya" (QS. Maryam : 10) ("Selama tiga malam dalam keadaan sihat.")

Abdullah : "Apa yang anda makan selama dalam perjalanan?"

Wanita tua : "Huwa yut'imuni wa yasqiin." (QS. As-syu'ara' : 79) ("Dialah pemberi aku makan dan minum.")

Abdullah : "Dengan apa anda melakukan wudhu'?"

Wanita tua : "Fain lam tajidu maa-an fatayammamu so'iidan thoyyiban" (QS. Al-Maidah : 6) ("Bila tidak ada air bertayammumlah dengan tanah yang bersih.")

Abdullah :"Saya mempunyai sedikit makanan, apakah anda mahu menikmatinya?"

Wanita tua : "Thumma atimmus siyaama ilallaiil." (QS. Al-Baqarah : 187) ("Kemudian sempurnakanlah puasamu sampai malam.")

Abdullah : "Sekarang bukan bulan Ramadhan, mengapa anda berpuasa?"

Wanita tua : "Wa man tathawwa'a khairon fainnallaha syaakirun 'aliim." (QS. Al-Baqarah : 158) ("Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.")

Abdullah : "Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?"

Wanita tua :"Wa an tasuumuu khairun lakum in kuntum ta'lamuun." (QS. Al-Baqarah : 184) ("Dan berpuasa itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.")

Abdullah : "Mengapa anda tidak menjawab sesuai dengan pertanyaan saya?"

Wanita tua : "Maa yalfizu min qaulin illa ladaihi raqiibun 'atiid." (QS. Qaf : 18) ("Tiada satu ucapan yang diucapkan, kecuali padanya ada Raqib 'Atid.")



Abdullah : "Anda termasuk jenis manusia yang manakah, hingga bersikap seperti itu?"

Wanita tua : "Wa la taqfu ma laisa bihi 'ilm. Innas sam'a wal basoro wal fuaada, kullu ulaaika kaana 'anhu mas'ula." (QS. Al-Isra' : 36) ("Jangan kamu ikuti apa yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati, semua akan dipertanggungjawabkan.")

Abdullah : "Saya telah berbuat salah, maafkan saya."

Wanita tua : "La tathriiba 'alaikumul yauum, yaghfirullahu lakum." (QS.Yusuf : 92) ("Pada hari ini tidak ada cercaan untuk kamu, Allah telah mengampuni kamu.")

Abdullah : "Bolehkah saya mengangkatmu untuk naik ke atas untaku ini untuk meneruskan perjalanan, kerana anda akan menjumpai kafilah yang di depan."

Wanita tua : "Wa maa taf'alu min khairin ya'lamhullah." (QS Al-Baqarah : 197) ("Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya.")

Lalu wanita tua itu berpaling daripada unta Abdullah, sambil berkata :

Wanita tua : "Qul lil mu'miniina yaghuddhu min absorihim." (QS. An-Nur : 30) ("Katakanlah pada orang-orang mukminin tundukkanlah pandangan mereka.")

Maka Abdullah pun memejamkan pandangannya, sambil mempersilakan wanita tua mengendarai untanya. Tetapi tiba-tiba terdengar sobekan pakaiannya, kerana unta itu terlalu tinggi baginya. Wanita itu berkata :

Wanita tua : "Wa maa asobakum min musibatin fabimaa kasabat aidiikum." (QS. Asy-Syura' 30) ("Apa sahaja yang menimpa kamu disebabkan perbuatanmu sendiri.")

Abdullah : "Sabarlah sebentar, saya akan mengikatnya terlebih dahulu."

Wanita tua : "Fa fahhamnaaha sulaiman." (QS. Anbiya' 79) ("Maka kami telah memberi pemahaman pada nabi Sulaiman.")


Selesai mengikat unta itu Abdullah bin Mubarak pun mempersilakan wanita tua itu naik.

Abdullah : "Silakan naik sekarang."

Wanita tua : "Subhaanalladzi sakhkhoro lana hadza wa ma kunna lahu muqriniin, wa inna ila robbinaa munqolibuun." (QS. Az-Zukhruf : 13-14) ("Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini pada kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya kami akan kembali pada Tuhan kami.")

Abdullah bin Mubarak pun segera memegang tali unta itu dan melarikannya dengan sangat laju. Wanita itu berkata :

Wanita tua : "Waqsid fi masyika waghdud min soutik" (QS. Lukman : 19) ("Sederhanakanlah jalanmu dan lunakkanlah suaramu.")

Lalu unta itu diperlahankan oleh Abdullah, sambil dia mendendangkan beberapa syair. Wanita tua itu berkata pula :

Wanita tua : "Faqraa-u maa tayassara minal qur'aan" (QS. Al- Muzammil : 20) ("Bacalah apa-apa yang mudah dari Al-Qur'an.")

Abdullah : "Sungguh anda telah diberi kebaikan yang banyak."

Wanita tua : "Wa maa yadzdzakkaru illa uulul albaab." (QS Al-Baqarah : 269) ("Dan tidaklah mengingat Allah itu kecuali orang yang berilmu.")

Dalam perjalanan itu Abdullah bertanya kepadanya.

Abdullah : "Apakah anda mempunyai suami?"

Wanita tua : "La tas-alu 'an asy ya-a in tubda lakum tasu'kum" (QS. Al-Maidah : 101) ("Jangan kamu menanyakan sesuatu, jika itu akan menyusahkanmu")

Ketika berjumpa dengan kafilah di depan mereka, Abdullah bertanya lagi kepadanya.

Abdullah : "Adakah orang anda berada dalam kafilah itu?"

Wanita tua : "Al-maalu wal banuuna zinatul hayatid dunya." (QS. Al-Kahfi : 46) ("Adapun harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia.")

Jadi Abdullah mengerti bahawa dia juga mempunyai anak.

Abdullah : "Bagaimana keadaan mereka dalam perjalanan ini?"

Wanita tua : "Wa alaamaatin wabin najmi hum yahtaduun" (QS. An-Nahl : 16) ("Dengan tanda bintang-bintang mereka mengetahui petunjuk.")

Dari jawapan tersebut Abdullah memahami bahawa mereka datang mengerjakan ibadah haji mengikuti beberapa petunjuk. Kemudian mereka menuju ke khemah.

Abdullah : "Adakah orang yang akan kenal atau keluarga dalam khemah ini?"

Wanita tua : "Wattakhodzallahu ibrohima khalilan" (QS. An-Nisa' : 125) ("Kami jadikan ibrahim itu sebagai yang dikasihi")

"Wakallamahu musa takliima" (QS. An-Nisa' : 146) ("Dan Allah berkata-kata kepada Musa")

"Ya yahya khudil kitaaba biquwwah" (QS. Maryam : 12) ("Wahai Yahya pelajarilah alkitab itu bersungguh-sungguh")

Lalu Abdullah pun memanggil nama-nama, Ibrahim, Musa, Yahya, maka keluarlah anak-anak muda yang bernama tersebut. Wajah mereka tampan dan ceria, seperti bulan yang baru muncul. Setelah tiga pemuda ini datang dan duduk dengan tenang, maka berkatalah wanita itu.

Wanita tua : "Fab'athu ahadakum bi warikikum hadzihi ilal madiinati falyandzur ayyuha azkaa tho'aaman fal ya'tikum bi rizkin minhu." (QS. Al-Kahfi : 19) ("Maka suruhlah salah seorang dari kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan carilah makanan yang lebih baik agar ia membawa makanan itu untukmu.")

Maka salah seorang dari tiga pemuda tersebut pergi membeli makanan, lalu menghidangkan di hadapan Abdullah bin Mubarak, lalu perempuan tua itu berkata :

Wanita tua : "Kuluu wasyrobuu hanii'an bima aslaftum fil ayyamil kholiyah" (QS. Al-Haqqah : 24) ("Makan dan minumlah kamu dengan sedap, sebab amal-amal yang telah kamu kerjakan di hari-hari yang telah lalu.")

Abdullah : "Makanlah kalian semuanya makanan ini. Aku belum akan memakannya sebelum kalian mengatakan padaku siapakah perempuan ini sebenarnya."

Ketiga-tiga anak muda itu berkata :
"Beliau adalah orang tua kami. Selama empat puluh tahun beliau hanya berbicara menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an, kerana bimbang beliau akan tersalah bicara."


Maha Suci Zat yang Maha Kuasa terhadap sesuatu yang dikehendakiNya. Abdullah pun berkata :

"Fadhluhu yu'tihi man yasyaa' Wallaahu dzul fadhlil adhiim." (QS. Al-Hadid : 21) ("Kurnia Allah yang diberikan kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah adalah pemberi kurnia yang besar.")

* * *

Muhasabah diri: Jika al Quran tidak menjadi kekasih di hati, tidak mungkin kita dapat jadi seperti wanita tua itu...
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template