:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Tuesday, November 8, 2011

Coretan Hati


Sudah agak lama tidak blogging. Bukan tidak mahu tapi tidak mampu. Blogging dan facebooking adalah kegilaan saya pada masa lapang. Namun semenjak berada di tahun 5, kegilaan itu perlu diwaraskan, dek terlalu banyak tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Saya sedar, detik-detik yang masih ada sangat terbatas, jika terbiar maka merugilah, dan tak dapat ditebus lagi. Bagaikan sesak dada memikirkan ilmu yang masih cetek, bagaikan sesak nafas merenungkan skill yang masih belum dikuasai. Wahai Tuhan, permudahkanlah bagiku, bagi kami semua.

Dan tidak lama lagi tahun 2011 bakal melabuhkan tirai, dan bermulalah tahun 2012 yang sudah lama saya tunggu-tunggu, maka dengan itu juga bertambahlah usia saya kepada 26, jika nyawa ini masih dipanjangkan olehNya. Semoga tahun hadapan saya diizinkan Allah untuk menamatkan pengajian ini, seterusnya menabur bakti buat emak dan ayah. Sudah banyak emak dan ayah berkorban selama ini. Moga Allah mengabulkan hasrat untuk membahagiakan mereka, serta membawa mereka mengerjakan haji dan umrah.

Tentang jodoh? Biarlah Allah yang mengaturkan, dengan kudrat dan iradatNya. Andai ada jodoh, pasti Allah akan satukan jua. Bila masanya adalah rahsiaNya. Segalanya terjadi dengan 'kun fayakun'Nya. Saya redha dengan ketentuanNya. Walaupun ramai kawan seperjuangan yang sudah berteman dan melahirkan cahaya mata kesayangan, moga hatiku masih berlimpah kesabaran. Jika adik-adik mahu melangkah bendul yang tidak tinggi ini, maka dipersilakan dan jangan segan-segan, kerana kakakmu ini mengukur baju di badan sendiri. Setelah Allah mengizinkan, akan kusambut dengan hati yang lapang. :)

Buat akhirnya, semoga Allah menjadikan kita semua Muslim yang berjaya di dunia dan di akhirat, serta Muslim yang berjuang untuk kemenangan Islam. Wahai Tuhan, izinkanlah kami mencontohi Ummahatul Mukmineen. Amin ya Rabbal 'Alamin.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template