Tulisan ini saya dedikasikan buat adik-adik puteri yang disayangi, khususnya buat mereka yang bakal melangkah ke alam IPT tidak lama lagi...
Duhai adik,
Pesanan ini kakak tuliskan kerana kakak menyayangimu. Kakak ingin berkongsi sedikit nasihat dan panduan, buat bekalan dirimu sebelum memasuki alam IPT yang penuh cabaran. Cabarannya kuat sekali, dan jika adik tidak punya prinsip hidup yang kuat, adik akan mudah hanyut. Maka dengarilah adik, peringatan dari kakakmu. Sesungguhnya, peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman...
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
bagi orang-orang yang beriman." (az Zaariyaat:55)
Ikhlaskan Niat
.
Bersyukurlah jika adik mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke IPT. Maka, ikhlaskanlah niat, bahawa adik menuntut ilmu ini kerana Allah. Ya, kerana Allah dan Rasul menyuruh kita untuk menuntut ilmu. Tidak kiralah apa jua bidang yang bakal adik ambil, semuanya adalah bidang-bidang ilmu kurniaan Allah. Apabila adik ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, adik tidak akan main-main. Adik akan jadi rajin belajar dan bersungguh-sungguh. Adik tidak akan mudah putus asa, insyaAllah. Dan ingatlah, bahawa Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu di sisiNya.
"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (al Mujaadilah:11 )
Istiqamah
Istiqamah itu payah, tapi sedarilah wahai adik, bahawa istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah. Ramai orang tidak mampu istiqamah dengan amalan yang dilakukan sewaktu alam persekolahan setelah memasuki alam IPT. Contohnya, pelajar yang dahulunya bertudung labuh, setelah ke IPT tidak bertudung labuh lagi. Kenapa harus berubah sedangkan adik telah mengenakan pakaian yang terbaik sebagai muslimah. Ketahuilah wahai adik, bertudung labuh itu indah. Sangat indah. Dan dengan bertudung labuh, adik akan dilindungi Allah di mana sahaja adik berada, insyaAllah. Jangan singkatkan tudungmu kerana malu dengan orang sekeliling dan sebagainya. Tiada kekuatan? InsyaAllah, jika niat adik ikhlas, Allah akan menghadirkan kekuatan itu. Percayalah.
Apabila adik ke IPT kelak, carilah teman-teman yang baik di sana, iaitu teman-teman yang saling mengingatkan antara satu sama lain ke jalan Allah. Dan teman-teman yang baik ini biasanya akan ditemui dalam usrah. Maka, jika ada yang mengajak adik ke usrah, janganlah memberi alasan. Usrah itu sangat bermanfaat untuk diri adik. Di dalamnya adik akan dapat menambah ilmu, menambah kawan dan menambah iman. Melalui usrah, adik akan membina diri adik menjadi seorang individu yang sejahtera aqidahnya, ibadahnya dan akhlaknya, insyaAllah.
Kita bukan Mahasiswa 3K
Mahasiswa 3K ialah mahasiswa yang hidupnya hanya di Kolej, Katil dan Kafe. Adikku, hidup kita bukan begitu, hanya tahu belajar, makan dan tidur. Dan mungkin di zaman ini, boleh ditambah satu lagi iaitu facebooking. Adik juga perlu melibatkan diri dalam kerja-kerja amar ma'ruf nahi mungkar di kampus dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kita sebaik-baik ummat bukan? Firman Allah,
Peranan kita besar kepada ummah. Akademik nombor 1, tapi dakwah bukan nombor 2. Begitu juga sebaliknya. Jadilah seorang penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama seorang pejuang agama.
"Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu pula beriman kepada Allah..." (ali Imran: 110)
Peranan kita besar kepada ummah. Akademik nombor 1, tapi dakwah bukan nombor 2. Begitu juga sebaliknya. Jadilah seorang penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama seorang pejuang agama.
Jangan Sibuk Mencari
Adikku, berakhirnya zaman persekolahan bukanlah bermaksud adik harus mula mencari pasangan hidupmu. Usiamu yang masih mentah belum cukup matang untuk soal ini. Mudharatnya lebih besar dari manfaat. Adik akan mudah melayan perasaan, melupakan pelajaran dan lalai dari tanggungjawab. Adik akan terdedah dengan dosa dan noda. Sibukkan dirimu 'menjadi' sebelum sibuk 'mencari'. Cari potensi diri dan majukanlah dirimu. Bersabarlah, kamu akan dipetik jua setelah tiba masanya, oleh jodoh yang telah Allah tetapkan buat dirimu sejak azali.
Rasanya cukuplah perkongsian ini dari kakakmu. Semoga dirimu tegar hadapi cabaran yang mendatang. Paling penting, siapkan mental dan fizikalmu untuk hadapi apa jua keadaan. Jadi seorang yang berprinsip. Moga redha Allah sentiasa mengiringi langkahmu. Amiinn..
Salam sayang.
Ya Allah, saksikanlah bahawa sesungguhnya aku telah menyampaikan...