:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Thursday, February 25, 2010

Doa Simpati dan Kasih Nabi Kepada Umatnya

Artikel ini saya petik dari laman Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Semoga dapat menambahkan kecintaan kita kepada kekasih Allah, dengan sebenar-benar kecintaan yang tidak berbelah bahagi, amiinn...


DOA SIMPATI DAN KASIH NABI KEPADA UMATNYA : TAFSIR SURAH AL MAIDAH:118

* * *
Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa pada satu malam, Rasulullah s.a.w bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud ,

"Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hambaMu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118).

Sepanjang malam itu Rasulullah s.a.w hanya membaca ayat ini sahaja pada setiap rakaat sembahyangnya.

Diriwayatkan Nabi s.a.w membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca ayat ini dan setelah selesai sembahyang baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis,

"Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku..."

Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh NabiNya, bersimpati dengan umatnya sekaligus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.

Ibu bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini sahaja.

Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi s.a.w sentiasa mengingati kepada umatnya sampai ke wafatnya dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.

Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam, dan berdoa sambil mengadu tentang apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibril, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad."

Bagaimanapun Allah Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam diri Nabi s.a.w tetapi Allah tetap mengutuskan malaikat Jibrail untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.

Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya bahawa baginda s.a.w mengadu kepada Allah berkenaan dengan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami redha kepadamu dan ummatmu dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudharatkan umatmu."

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:

"Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70 000 di kalangan umatku masuk syurga dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70 000 ini diikuti oleh 70 000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab."

Yakni diberi syafaat oleh 70 000 orang ini disamping syafaat Nabi s.a.w yang diberikan kepada ummatnnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir di dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.

Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud, "Peganglah dengan gigi geraham kamu."

Yakni ajaran Rasulullah saw itu bukan sahaja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.

Tidak undur walaupun sedikit dari ajaran Nabi s.a.w. Jika seseorang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah s.a.w serta mendapat rahmat yang diberi oleh Allah kepada umat Muhammad saw.

* * *

Marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat kita kepada Baginda...

Salam Maulidurrasul...

1 comment:

Jalani hidup apa adanya said...

marilah kita sama2 bersalawat kepada nabiallah msyidina muhammad solowlohuwasalimalik

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template