Sudah menjadi lumrah, kehidupan ini dihiasi dengan suka dan duka. Pabila suka, hati akan menjadi bahagia dan senyum mungkin sampai ke telinga. Namun pabila duka, siapakah sahaja yang mampu mengukir senyum di mulut dan hatinya.
Siapa yang mahu untuk berduka, tiada siapa pun hakikatnya. Fitrah manusia sukakan kesenangan, dan tatkala kesukaran menerpa, hati mula gelisah dan tak tentu arah. Namun, hidup kita bukan hanya dipenuhi dengan apa yang kita suka. Terkadang, apa yang kita benci juga harus ditempuh tanpa dapat mengelak. Ia hakikat, dan lumrah kehidupan.
Boleh jadi, apa yang kita benci, baik untuk kita. Dan boleh jadi, apa yang kita suka, buruk untuk kita. Ayat ini cukup memberi motivasi. Indah kan kalam Allah pencipta kita? Ayat-ayat cintaNya...
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi
(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui,
sedang kamu tidak mengetahui."
(al Baqarah: 216)
(al Baqarah: 216)
Berada di posisi pelajar pergigian, saya banyak mengajar diri untuk menerima segala kesukaran dan kekecewaan. Ada kalanya saya tidak berjaya melaksanakan apa yang dirancang untuk patient di klinik sedangkan saya telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Oh, dalam situasi dan masa yang semakin ke penghujung ini, ia sangat menguji ketabahan...
Kecewa memang kecewa. Tetapi setakat mana kita boleh membawa kekecewaan itu. Kecewa hanya membuat diri monyok dan tak ceria. Lebih baik mendidik hati untuk terima semuanya dengan redha. Apabila hati yang seketul itu sentiasa dididik mengatakan "tentu ada hikmah", maka ia akan sentiasa menjadi lapang dan tenang.
Allah Maha Mengetahui. Allah takkan menguji kita dengan ujian yang kita tidak mampu untuk menghadapinya. Setiap manusia Allah uji dengan kesukaran yang berbeza-beza. Namun, bersama setiap kesukaran, pasti Allah akan hadirkan bersamanya kesenangan. Itu pasti, kerana ayat-ayatNya menyebut,
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
(al-Insyirah: 5&6 )
(al-Insyirah: 5&6 )
Mustahil untuk Allah menzalimi hamba-hambaNya. Allah hanya ingin menguji, untuk melihat sejauh mana kesabaran hambaNya dalam menerima takdir. Barangsiapa yang sabar, Allah akan memberi ganjaran pahala dan Allah sentiasa bersama-samanya.
Peperiksaan akhir saya insyaAllah, akan muncul dalam masa 2 bulan lebih sahaja lagi. Ya Allah, kepadaMu aku mengadukan kelemahan diri ini. Bantulah hamba untuk terus kuat melangkah dalam meneruskan sisa usia yang masih Engkau berikan ini. Amin...Doakan saya.
Akhir kata, walau berduka, senyumlah :-D
Belajar, dan terus belajar....
Belajar, dan terus belajar....
2 comments:
Dengan segala usaha dan doa...InsyaAllah dipermudahkan segalanya
amiin...
thanks ukhti
Post a Comment