:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Thursday, May 14, 2009

Di Sebalik As Sam'a wal Absaar

Jika anda seorang pembaca al Quran yang lazim, anda tentu perasan bahawa perkataan "as sam'a" yang membawa maksud pendengaran selalu mendahului perkataan "al absaar" yang bererti penglihatan.

Pernahkah anda terfikir kenapa Allah menyusun sedemikian di dalam kitabNya yang Maha Agung ini?

Sesungguhnya Allah jualah yang mengetahui rahsia di sebaliknya. Tetapi kita sebagai hambaNya digalakkan untuk berfikir tentang ciptaanNya kerana segalanya pasti mempunyai hikmah yang tersembunyi. Maha Suci Allah! 

Mungkin inilah rahsianya mengapa perkataan "as sam'a" didahulukan daripada "al absaar":

Yang pertama, mengikut ilmu embryology (perkembangan di dalam rahim ibu), deria pendengaran adalah deria pertama yang dijadikan Allah. Fetus sudah boleh mendengar bunyi ketika 24 minggu di dalam kandungan. Manakala deria penglihatan pula terbentuk ketika usia 28 minggu di dalam kandungan, di mana ketika itu retina menjadi sensitif kepada cahaya. 

Deria pendengaran juga adalah lebih dahulu bekerja ketika seseorang bayi lahir ke dunia. Sebab itulah bayi mudah terganggu dengan bunyi yang didengari berbanding apa yang dilihatnya. Mungkin kerana itu jugalah ibu-ibu yang mengandung digalakkan untuk banyak membaca al Quran terutamanya surah-surah pilihan seperti surah al-Fatihah, surah Yasin, surah at-Taubah, surah Yusuf, surah Luqman dan sebagainya kerana janinnya telah mampu mendengar, dan apabila dilahirkan, disunatkan pula untuk diazankan oleh bapanya. Cantiknya agama kita.


Rahsia yang kedua pula, pendengaran merupakan  satu-satunya deria yang aktif walaupun manusia itu sedang tidur, sedangkan penglihatan tidak. Sebab itu kita mampu dikejutkan dengan jam loceng untuk bangun di waktu pagi. Di dalam surah al Kahfi ayat 11, disebutkan tentang peristiwa Ashabul Kahfi yang tidur selama 309 tahun dengan ayat berikut:

"Maka Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu." (al Kahfi: 11)

Frasa "Kami tutup telinga mereka" dalam ayat ini memberikan satu signifikan tentang pendengaran, iaitu mungkin kerana telinga mereka yang ditutup itulah mereka boleh tertidur selama 309 tahun tanpa jaga.

Gambar hiasan

Buat akhirnya, peliharalah nikmat As Sam'a wal Absaar yang dipinjamkan Allah kepada kita ini dengan sebaik-baiknya, kerana kelak kita akan ditanya mengenai mereka...Wallahu a'lam.

"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya." (al Israa':36) 

Rujukan:
-Al Quranul Kareem
-Quran and Modern Science, Dr. Zakir Abdul Karim Naik
-www.harunyahya.com

6 comments:

arazma said...

perkongsian yg menarik dan bermakna... ya jugak, masa tido telinga masih blh mendengar...terutama masa tido2 ayam..

apa kaitan ayam tido plak??

seronoknya klu dpt besarkan zuriat dalam suasana paling damai bila semuanya berzikir pada Allah saja...

Shahibul Afzan Wahab said...

ayam tido kak?

hehe.ayam tido mestilah lagi alert pendengarannya berbanding manusia,sebab tulah diambil nama ayam dalm simpulan bahasa tidur-tidur ayam..(simpulan bahasa ke peribahasa?lupa dah.)

saya tak tahu kak sebenarnya.kena kaji tentang embryology and anatomy of ayam utk menjawabnya dengan tepat.yg kami belajar setakat ni ttg manusia je :)

insya Allah, akak sudah menjadi ibu yang solehah utk anak-anak akak yg comel2 tu...

toqki said...

Subhanallah!! Sungguh agung ciptaan Mu Allah

Ikan tido tak ?

Shahibul Afzan Wahab said...

soalan toqki pun gagal utk saya jawab kerana kekurangan ilmu mengenai ikan...tapi rasanya,semua binatang mestilah tidur kan.cuma ikan tidak tutup matanya kerana ia tiada kelopak mata.

dkama said...

ye la... betul... dua2 nyer sifat Allah... dalam sifat 20 pun turutannye camtuh...

Shahibul Afzan Wahab said...

a'ah la...baru saya perasan dalam sifat 20....sama' dulu kemudian basar.terima kasih kerana berkongsi.

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template