:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Sunday, November 30, 2008

ADAKAH WANITA ITU JAHAT DALAM SEGALANYA?

Ketika meneliti e-book “ FATAWA AL QARADHAWI”, saya tertarik dengan tajuk ini. Saya copy artikel tersebut untuk dikongsi dengan para pembaca. Semoga bermanfaat untuk semua muslimin dan muslimat…

ADAKAH WANITA ITU JAHAT DALAM SEGALANYA?


PERTANYAAN

Dalam buku Nahjul Balaghah karangan Amirul-Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a terdapat suatu keterangan:

"Wanita itu jahat dalam segalanya. Dan yang paling jahat dari dirinya ialah kita tidak dapat terlepas daripadanya."

Apakah erti yang sebenarnya (maksud) dari kalimat tersebut?Apakah hal itu sesuai dengan pandangan Islam terhadap wanita? Saya mohon penjelasannya. Terima kasih.

JAWAPAN DARIPADA PROF DR YUSUF AL QARADHAWI:

Ada dua hal yang nyata kebenarannya, tetapi harus dijelaskan lebih dahulu, iaitu:

Pertama, yang menjadi pegangan atau dasar dari masalah agama ialah firman Allah swt. dan sabda Nabi saw, selain dari dua ini, setiap orang kata-katanya boleh diambil dan ditinggalkan.
Maka, Al-Qur'an dan As-Sunnah, kedua-duanya adalah sumber yang kuat dan benar.

Kedua, sebagaimana telah diketahui oleh para analis dan cendekiawan Muslim, bahawa semua tulisan yang ada pada buku tersebut di atas (Nahjul Balaghah), baik yang berupa dalil-dalil atau alasan-alasan yang dikemukakan, tidak semuanya tepat. Di antara hal-hal yang ada pada buku itu ialah tidak menggambarkan masa mahupun fikiran serta cara di zaman Ali r.a. Oleh sebab itu, tidak dapat dijadikan dalil dan tidak dapat dianggap benar, kerana semua kata-kata dalam buku itu tidak ditulis oleh Al-Imam Ali r.a.

Di dalam penetapan ilmu agama, setiap ucapan atau kata-kata dari seseorang, tidak dapat dibenarkan, kecuali disertai dalil yang sahih dan bersambung, yang bersih dari kekurangan atau aib dan kelemahan kalimatnya. Maka, kata-kata itu tidak dapat disebut sebagai ucapan Ali r.a kerana tidak bersambung dan tidak mempunyai sanad yang sahih. Sekalipun kata-kata tersebut mempunyai sanad yang sahih, bersambung, riwayatnya adil dan benar, maka wajib ditolak, kerana hal itu bertentangan dengan dalil-dalil dan hukum Islam. Alasan ini terpakai di dalam segala hal (kata-kata) atau fatwa, walaupun sanadnya seterang matahari. Mustahil bagi Al-Imam Ali r.a. mengatakan hal itu, di mana beliau sering membaca ayat-ayat Al-Qur'an, di antaranya adalah:

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang, yang kemudian darinya Allah lantas menciptakan isterinya, dari keduanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan wanita yang banyak ..." (Q.s. An-Nisa': 1)

"Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan firman-Nya):Bahawa sesungguhnya Aku tiada mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki mahupun wanita, (karena) sebahagian darimu adalah keturunan dari sebahagian yang lain ..." (Q.s. Ali Imran: 195).

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Allah menjadikannya di antara kamu rasa kasih dan sayang ..." (Q.s. Ar-Ruum: 21).

Masih banyak lagi di antara ayat-ayat suci Al-Qur'an yang mengangkat dan memuji darjat kaum wanita, di samping kaum laki-laki. Sebagaimana Nabi saw. bersabda:

"Termasuk tiga sumber kebahagiaan bagi laki-laki ialah wanita solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik pula." (H.r. Ahmad dengan sanad yang sahih).

"Di dunia ini mengandung kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatan itu adalah wanita yang solehah." (H.r. Imam Muslim, Nasa'i dan Ibnu Majah).

"Barangsiapa yang dikurniai oleh Allah wanita yang solehah, maka dia telah dibantu dalam sebahagian agamanya; maka bertakwalah pula kepada Allah dalam sisanya yang sebahagian."

Banyak lagi hadis-hadis dari Nabi saw. yang memuji wanita; maka mustahil bahwa Ali r.a. berkata sebagaimana di atas.


Sifat wanita itu berbeza dengan sifat laki-laki dari segi fitrah; kedua-duanya dapat menerima kebaikan, kejahatan, hidayat. kesesatan dan sebagainya.

Firman Allah swt. dalam Al-Qur'an,

"Jiwa dan penyempurnaannya (ciptaannya); maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orangyang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (Q.s. Asy-Syams: 7-10)

Mengenai fitnah yang ada pada wanita di samping fitnah yang ada pada harta dan anak-anak, di mana hal itu telah diterangkan di dalam Al-Qur'an dan dianjurkan supaya mereka waspada dan menjaga diri dari fitnah tersebut.

Dalam sabda Rasulullah saw, diterangkan mengenai fitnahnya kaum wanita, iaitu sebagai berikut,

"Setelah aku tiada, tidak ada fitnah yang paling besar gangguannya bagi laki-laki daripada fitnahnya wanita." (H.r. Bukhari).

Erti dari hadis di atas menunjukkan bahwa wanita itu bukan jahat, tetapi mempunyai pengaruh yang besar bagi manusia, yang dikhuatirkan lupa pada kewajipannya, lupa kepada Allah dan terhadap agama.

Selain masalah wanita, Al-Qur'an juga mengingatkan manusia mengenai fitnah yang disebabkan dari harta dan anak-anak. Allah swt. berfirman dalam Al-Qur'an:

"Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah fitnah (cubaan bagimu); dan pada sisi Allahlah pahala yang besar." (Q.s. At-Taghaabun: 15)

"Hai orang-orang yang beriman!Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu mengingat kepada Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka termasuk orang-orang yang rugi." (Q.s. Al-Munaafiquun: 9).

Selain dari itu (wanita, anak-anak dan harta yang dapat mendatangkan fitnah), harta juga sebagai sesuatu yang baik.

Firman Allah swt.:

"Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dan
isteri-isterimu itu, anak-anak dan cucu; dan memberimu rezeki dari harta yang baik-baik ..." (Q.s. An-Nahl: 72)

Oleh kerana itu, dianjurkannya untuk waspada dari fitnah kaum wanita, fitnah harta dan anak-anak.Hal itu bukan bererti kesemuanya bersifat jahat, tetapi demi mencegah timbulnya fitnah yang dapat melalaikan kewajipan-kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Allah swt. tidak mungkin menciptakan suatu kejahatan, kemudian dijadikannya sebagai suatu kebutuhan dan keharusan bagi setiap makhluk-Nya.

Makna yang tersirat dari suatu kejahatan itu adalah suatu bahagian yang amat sensitif, realitinya menjadi lazim bagi kebaikan secara mutlak. Segala bentuk kebaikan dan kejahatan itu berada di tangan (kekuasaan) Allah swt.

Oleh sebab itu, Allah memberikan bimbingan bagi kaum laki-laki untuk menjaga dirinya dari bahaya dan fitnah yang dapat disebabkan dan mudah dipengaruhi oleh hal-hal tersebut.

Diwajibkan juga bagi kaum wanita, agar waspada dan berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat yang diupayakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan kaum wanita sebagai sarana perosak budi pekerti, akhlak yang luhur dan bernilai suci.

Wajib bagi para wanita Muslimat kembali pada kudratnya sebagai wanita yang solehah, wanita hakiki, isteri solehah, dan sebagai ibu teladan bagi rumah tangga, agama dan negara.

---------------------------------------------------
Fatawa Qardhawi: Permasalahan, Pemecahan dan Hikmah
Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Cetakan Kedua, 1996
Penerbit Risalah Gusti
Jln. Ikan Mungging XIII/1
Telp./Fax. (031) 339440
Surabaya 60177

Saturday, November 29, 2008

DAMBA KASIHMU TUHAN


Sesungguhnya hati ini milik Allah, diciptakan oleh Allah, untuk mencintaiNya...Ya Allah,aku damba kasihMu.

Nasyid dari kumpulan MAWADDAH yang sangat saya gemari...

ANUGERAHKAN RASA CINTA DAN TAKUTKU PADAMU

Tuhan…
Berikanlah sedikit rasa cintaMu, padaku…
Semoga seluruh cintaku untukMu…

Tuhan…
Kurniakanlah sedikit rasa takutkanMu, padaku…
Semoga ku tidak takut selainMu…

Ya Allah…
Dengan rahmatMu, kurniakanlah…

Ya Allah…
Jadikanlah air mataku di waktu takut denganMu…
Pemadam api nerakaMu…
Jatuhnya air mataku…
Menggugurkan dosa-dosaku…

Tuhan…
Kalau bukan dengan rahmatMu…
Aku tidak akan selamat…
Setidaknya jika bukan dengan rahmatMu…
Aku tidak akan terlepas dari azabMu…

Aku lemah…
Bantulah aku untuk bermujahadah selalu…
Syaitan sering menipu dayaku…
Lindunglah aku darinya…

*******************************************************

Friday, November 28, 2008

HARAPAN PADAMU SUBUR KEMBALI


Artist: Saujana

Wahai Tuhanku yang Esa
Bila kenangkan QahharMu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksaMu

HambaMu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika

Tika mengenang GhaffarMu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih semula
Harapanku subur kembali

Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
MehnahMu itu penghapus dosaku
Mengganti hukumanMu di akhirat

Di waktu mengenang rahmatMu
Terasa diri kurang bersyukur
PadaMu harusku memohon
Moga syukurku bertambah

Alangkah susahnya
Mendidik nafsuku
Yang tidak dapat melihat kebenaranMu
Ya Allah Tuhanku
Bantulah hambaMu
Dalam mendidik jiwaku ini

Thursday, November 27, 2008

HAYATI KHUTBAH WIDA' RASULULLAH S.A.W


Antara isi/kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah SAW - disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.

“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3),ayat terakhir yang diwahyukan Allah SWT ke atas Baginda Rasulullah SAW tidak lama selepas Khutbah Wida'.

dipetik dari: http://www.geocities.com/pgssajkm/khutbah.htm

Wednesday, November 26, 2008

CATATAN PERJUANGAN ZAINAB AL GHAZALI

Kenalkah anda dengan ikon mujahidah, Zainab al Ghazali ,yang subhanallah, sangat tinggi semangat perjuangannya untuk Islam. Seharusnya beliau menjadi role model kepada semua muslimah. Muslimah adalah sayap kiri perjuangan. Muslimah harus faham bahawa taklifan dan kefardhuan jihad adalah terpikul di bahu kaum lelaki dan perempuan. Pepatah Melayu ada mengatakan : “Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.”. Baki lagi pada jihad seorang muslimah itu ada pra-syaratnya yang bertujuan memelihara maruah dan aurah mereka sendiri:

1. Memastikan bahawa bidang jihad yang diceburi di bawah redha Allah iaitu tidak bertembung dengan perkara yang menyanggahi syariah secara soreh dan apatah lagi menghampiri perkara-perkara kemaksiatan.
2. Mendapat keizinan daripada wali dan jika telah berumahtangga, tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak.
3. Bidang jihad yang sesuai dengan fitrahnya sebagai muslimah.
4. Penampilannya tetap terpelihara.
5. Tidak menimbulkan fitnah.

Mari kita hayati catatan perjuangan Zainab al Ghazali…

PENGASAS JAMAAH SAIDATINA MUSLIMAH


Nama penuh beliau ialah Zainab Al Ghazali Al-Zubaili.Beliau dilahirkan pada tahun 2 Januari 1917. Zainab al Ghazali bersuami dengan seorang 'ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada beliau untuk meneruskan dakwah di tengah-tengah masyarakat Mesir. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jamaah Saidatina Muslimah, satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin dari segi method dan matlamatnya. Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dalam menyebarkan panji-panji Islam.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap dapat ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T, dengan syarat melalui satu jalan iaitu jalan ISLAM.

Semasa memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat menarik ramai wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat dengan Zainab Al-Ghazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb, Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati, Al-Waliyah, Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sifatkan sebagai anak-anaknya, adik-adiknya, kakak-kakaknya,dan ibu-ibunya.

KISAH ZAINAB AL GHAZALI DI DALAM TAHANAN

Kisah Zainab Al-Ghazali di dalam tahanan sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat daripada penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan sebelum beliau ditahan, Jamal Nasser memerintahkan agar Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan dia akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak. Kemudian beliau ditawarkan pula menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, tetapi beliau menjawab: "Dalam perjuanganku, aku tidak bercadang untuk menjadi menteri. Aku hanya mahu berdakwah."

Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, maka dia memerintahkan untuk menangkap Zainab. Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya, satu pembunuhan telah dirancang di mana sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab ditahan. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin. Namun Zainab Al-Ghazali hanya berdoa:

"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai".

Kemudian beliau terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Kuasa eletrik dihidupkan untuk menyeksa beliau. Bilik itu juga dipenuhi anjing- anjing dan dilepaskan kepada beliau. Pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Beliau merasai seluruh tubuh beliau dikerumuni dan digigit oleh anjing-anjing itu.Ketika itu beliau hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati beliau:

"Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!"

Kemudian beliau mendengar pintu dibuka dan beliau dibawa keluar. Beliau menyangka bahawa pakaiannya berlumuran darah tetapi alangkah terkejutnya beliau kerana tiada apa- apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pegawai-pegawai tahanan itu pun pelik dengan keadaannya, Kemudian beliau terus diseksa lagi. Satu ketika beliau direndam dalam air sejuk dan dilepaskan pula udara sejuk, sedangkan ketika itu musim sejuk

Pernah juga suatu ketika, beliau dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb dan bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka juga ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, untuk mencari kiranya ada sisa-sisa makanan.Mujurlah ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan. Mereka mengambilnya dan memakan kulit-kulit pisang itu kerana tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.

Menurut beliau, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempuhinya adalah benar.

Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Ogos 2005.Semoga Allah merahmati beliau.Takbir!

REDHA DAN BERSYUKURLAH…


Saya menulis entri ini hanyalah untuk memberi peringatan semata-mata dan tidak ada niat yang lain seperti ingin menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Saya menulis agar kesilapan saya tidak diulangi oleh pembaca, khususnya sahabat-sahabat saya yang dikasihi fillah ini. Sekiranya ada yang baik, maka ambillah dan sekiranya ada yang tidak baik, buangkanlah ia ke tepi. Sesungguhnya peristiwa inilah yang telah menjadi asbab saya ditarbiyah Allah supaya menjadi seorang yang redha dan bersyukur. Suatu memori yang benar-benar memberi pengajaran.

Alkisahnya bermula ketika saya mengambil keputusan SPM. Waktu itu saya telahpun sebulan lebih memulakan pengajian di bumi barakah Darul Quran dalam program Persijilan Tahfiz, kerana saya diterima masuk ke sana dengan keputusan percubaan.

Alhamdulillah, keputusan SPM saya boleh dikatakan agak memuaskan, 10 A1 dan 1A2. Walaupun begitu, ada sedikit kekesalan dan kesedihan dalam diri saya kerana saya tidak berjaya mencapai target yang diimpikan, iaitu mendapat semua A1. Saya merasakan bahawa saya telah melakukan yang terbaik dalam peperiksaan. Walaubagaimanapun, dengan keputusan yang diperolehi saya mendapat banyak hadiah daripada guru dan sanak-saudara. Ada yang memberi wang dan sebagainya. Waktu itu, jumlah wang yang saya terima daripada mereka semua adalah lebih kurang RM 300.

Dengan hati yang masih terkilan dan sedih dengan keputusan tersebut, saya pulang ke tempat pengajian,Darul Quran untuk meneruskan pengajian. Diari saya menjadi saksi perasaan saya yang masih tidak redha dengan ketentuan Ilahi. Antara ayat yang telah saya tulis:

“ Bismillahirrahmanirrahim…aku tak tahu kenapa aku masih menangis walaupun aku dah dapat result SPM 10 A1,1A2. Aku tak dapat capai target. Aku redha. Aku redha. Aku redha. Aku redha. Aku redha. Aku redha.Tapi aku tak dapat sempurnakan janji aku pada ayah,pada SMAASZA.Itulah yang buat aku terkilan sangat…Cikgu,maafkan aku…(28 Feb 2004)

“Aku dah sampai kat DQ. Kadang-kadang aku rasa aku tak boleh terima kenapa tak dapat 11A1…” (29 Feb 2004)

Waktu itu, saya menulis “ Aku redha” sebanyak 5 kali semata-mata untuk memujuk hati supaya bersangka baik dengan Allah. Tetapi di sudut hati, saya masih tidak redha. Seolah-olah saya marahkan Allah kerana tidak menyempurnakan hajat saya. Oh Tuhan, begitu jahatnya hatiku…

*************************************************************************************
ALLAH MAHA BERKUASA

Akhirnya, lebih kurang seminggu sahaja selepas itu, Allah menunjukkan kekuasaanNya. 5 Mac 2004, wang hadiah yang saya terima hasil daripada kejayaan tersebut tiba-tiba lesap dari tempat simpanannya. Saya hairan sekali kerana menurut senior, belum pernah ada kejadian curi di Darul Quran. Oh Tuhan,ketika itu saya benar-benar merasakan bahawa Allah ingin ‘mengajar’ saya yang tidak tahu redha dan bersyukur dengan pemberianNya.

Lantas ayat ini datang ke minda jahil saya…

“ Sesungguhnya jika kamu bersyukur,pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan sekiranya kamu kufur, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih…”(Ibrahim:7)

Saya berasa sangat menyesal dan memohon keampunan daripadaNya. Sesungguhnya peristiwa tersebut benar-benar mengajar saya supaya berbaik sangka dengan Allah serta menyedari kerdilnya diri ini berbanding denganNya yang Maha Agung. Itulah tarbiyyah pertama Allah untuk saya di Darul Quran. Terima kasih Allah. Sebulan selepas itu, barulah diketahui bahawa anak seorang kakitangan berumur 12 tahun yang masuk ke asrama dan mencuri wang tersebut. Namun, saya menginsafi bahawa sesungguhnya memang Allah benar-benar ingin mengajar saya kerana saya adalah ‘mangsa’ yang dipilih oleh kanak-kanak itu, dan bukannya orang lain. :)

Orang kata DQ adalah 'bumi cash',kalau buat dosa Allah terus akan balas...

Sahabatku dan para pembaca sekalian, redha dan bersyukurlah dengan pemberian Tuhan. Kita sebagai hamba hanya mampu berusaha,selebihnya Allah yang menentukan. Kejayaan itu milik Allah. Sebanyak mana yang Allah bagi kepada kita, bersyukurlah dan redhalah kerana itulah yang terbaik untuk diri kita. Sentiasa husnudzon denganNya.
Wassalam.

“ REDHALAH DENGAN KETENTUAN ALLAH SEBAGAIMANA KITA MENGHARAP REDHA DARIPADANYA”

Tuesday, November 25, 2008

TIPS MENGUBAT HATI


Assalamualaikum buat semua pembaca.

Apa khabar diri anda hari ini? Sihat? Hati anda pula bagaimana?

Sekiranya hati anda kurang baik pada hari ini, saya ingin mengongsikan tips untuk mengubat hati yang insya Allah, efektif. Semoga hati-hati kita akan kembali bersih dan tenang dalam menghadapi kehidupan sebagai hamba Allah s.w.t. Hati yang bersih akan sentiasa mendorong kita untuk melakukan kebaikan dan amal soleh dan begitulah juga sebaliknya.

Tips tersebut ialah:

1) Baca al Quran dan terjemahannya
2) Solat malam (qiamullail)
3) Perbanyakkan berpuasa
4) Bergaul dengan orang-orang soleh
5) Perbanyakkan berzikir


Jika diperhatikan, amalan-amalan ini senang untuk kita lazimi di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Sebab itulah di bulan Ramadhan hati-hati manusia akan bersih. Namun begitu,tidak sepatutnya kita hanya menjadi orang yang baik dalam bulan tersebut sahaja tetapi lalai dalam bulan-bulan lainnya. Kita tidak mengetahui bilakah ajal akan datang menjemput kita.Semoga di saat kita dibawa pulang kepada Allah, hati kita di tahap cinta maksimum kepadaNya. Ameen.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.” (ar Ra’du: 28)

“ Ya muqallibal quluub, thabbit quluubana ‘ala diinika wa ‘ala tha’atika…”

Thursday, November 20, 2008

ADIK...

Tiga hari lepas,keluarga datang melawat saya di kampus. Ya Allah gembiranya hati saya apabila diziarahi oleh orang-orang yang paling disayangi dalam hidup. Anda pun mesti paling sayang keluarga anda,bukan?Kalau anda insan yang masih bujang seperti saya,tentu sekali jawapannya ‘ya!’

Keluarga saya sebenarnya menghadiri majlis perkahwinan ex- jiran kami di Dungun. Sewaktu emak dan ayah di awal perkahwinan dulu sehingga mendapat anak kedua iaitu adik di bawah saya (Fazilah Jamiah),kami semua tinggal di Dungun. Alang-alang datang ke Dungun, baik terus melawat Along,kata ayah.

Semenjak berada di UIA Kuantan sudah kali keempat keluarga datang menjenguk saya di sini tanpa diminta. Hehe… Ini yang membuat saya sentiasa rasa bahagia jika hendak dibandingkan ketika belajar di Pusat Matrikulasi PJ dahulu. Keluarga memang tidak pernah melawat. Namun saya faham,bukannya dekat Terengganu dengan Selangor.

Adik bongsu saya semakin membesar. Arif Fitrie, satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Gigi ‘lateral incisors’ adik sudah mulai tumbuh. Sebagai dentist-to-be,insya Allah,saya memang suka memeriksa ‘oral cavity’ adik. Hehe… Sudah lama emak dan ayah menanti-nanti anak lelaki, namun 6 kali emak bersalin semuanya perempuan.Mujurlah yang ketujuh ini tercapai juga hasrat ayah. Pengubat hatinya. Ayah memang sangat sayang pada Arif.

Kehadirannya ke dunia juga membuatkan saya rasa sedikit ‘ringan’. Sebelum adik lahir, saya sering dihantui perasaan ‘beratnya menjadi anak sulung’. Bukan badan yang berat , tetapi beratnya tanggungjawab. Betulkah? Entahlah, tetapi itulah perasaan yang mengganggu jiwa saya sehingga kadang-kadang tidak dapat melelapkan mata. Mungkin kerana saya harus menjadi ‘ketua’ kepada adik-beradik yang semuanya perempuan. Ataupun mungkin itu cuma mainan perasaan saya sendiri. Saya pernah meluahkan kepada emak. Apabila emak menenangkan saya bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan, saya berasa lega. Namun selepas itu, perasaan tersebut datang kembali.


Kelahiran adik pada 28 Ogos 2007 membuatkan saya sekarang senang untuk melelapkan mata. Hehe…Terima kasih Allah, atas pemberianMu. Sekarang adik pulak yang perlu jadi ketua. Tidak mengapa, Along memang hendak mengalah.Sesungguhnya ‘ar rijalu qawwamuna ‘alan nisa’…Walaupun adik masih kecil, berbeza umur 21 tahun dengan Along, namun Along tetap mengiktiraf adik menjadi ketua kepada kita adik-beradik. Walaupun hakikatnya Along pun banyak keistimewaan sebagai anak sulung di mata emak dan ayah. Hehe…

Tetapi adik janganlah hanya menjadi permata dalam keluarga. Along juga mengharap adik dapat menjadi permata dalam agama. Menjadi mujahid,mati sebagai as-syahid. Atau sekurang-kurangnya adik dapat menjadi pendokong dalam perjuangan menegakkan Islam ini, menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah. Semoga Allah kabulkan doa Along ini…amin ya rabbal ‘alamin.

Penulis: Mungkin coretan ini kurang memberi manfaat kepada pembaca sekalian kerana ia bersifat luahan semata-mata.Semenjak mempunyai blog ini,penulis cenderung untuk menulis di blog berbanding di dalam diarinya. Hehe… Kemaafan dipohon.

Tuesday, November 18, 2008

PANDUAN UNTUK WANITA YANG BEKERJA


oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi

Pekerjaan wanita pada zatnya itu adalah harus; kadang- kadang ia menjadi harus dan kadang- kadang pula ia menjadi wajib terutamanya jika di dalam keadaan yang benar- benar memerlukan si wanita itu bekerja. Antaranya janda atau wanita- wanita yang diceraikan dalam keadaan tiada berharta dan sebatang kara, akan tetapi ia mampu untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang dapat menahannya daripada meminta- minta.

Kadang- kadang keadaan keluarga itu sendiri yang memerlukan wanita untuk bekerja seperti membantu suaminya memelihara anak-anaknya ataupun saudaranya yang kecil dan membantu bapanya yang telah tua sebagaimana kisah yang disebut di dalam surah al- Qasas mengenai dua orang anak nabi Syuaib yang telah membantu bapanya mereka memelihara kambing. Firman Allah: Maksudnya:

"Mereka menjawab: " Kami tidak memberi minum (kambing- kambing) sehingga penggembala- penggembala itu membawa balik binatang ternakan masing- masing, dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya." (Al- Qasas: 23)

Begitu juga Asma' binti Abu Bakar yang digelar " empunya dua tali pinggang" turut membantu suaminya iaitu Az- Zubair bin al- ' Awwam memelihara kudanya, menyiram tamar malah dia sendiri yang menjujung air di atas kepalanya daripada kota Madinah hinggalah sampai ke kebunnya.

Kadang- kadang masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti menjadi jururawat ataupun doktor kepada kaum sejenisnya, mendidik dan tugas- tugas lain yang khusus bagi wanita. Ketika melaksanakan tugasnya itu, adalah lebih baik jika dia hanya bergaul dengan kaum sejenisnya dan bukan dengan kaum lelaki. Ini kerana lelaki hanya dibenarkan mendapatkan khidmat daripada wanita di dalam keadaan dhorurah sahaja.

Hukum wanita bekerja adalah harus tetapi bersyarat

Kebenaran itupun adalah terhad pada perkara yang berkaitan dengan keperluan sahaja. Sekiranya kami katakan bahawa harus bagi wanita untuk bekerja, maka keharusan itu hendaklah terikat dengan beberapa syarat:

1) Pekerjaan yang halal

Pekerjaan yang hendak dilakukan itu sendiri adalah kerja yang halal. Atau dengan kata lain ia bukanlah kerja yang haram atau yang boleh menjerumuskannya ke jurang maksiat. Antaranya menjadi orang gaji kepada lelaki yang masih bujang, menjadi setiausaha kepada mana- mana Pengarah yang dalam banyak keadaan menuntutnya untuk duduk bersunyi- sunyian dengannya, menjadi penari yang kerjanya adalah membangkitkan nafsu, menjadi pelayan bar yang menghidangkan arak di mana Rasulullah (s.a.w) telah melaknat orang yang menghidang, membawa dan menjualnya, menjadi pramugari yang antara tugasnya ialah menghidangkan arak di samping terpaksa bermusafir dan menginap di negara orang yang terlalu asing tanpa di sertai dengan muhrimnya dan apa sahaja kerja yang diharamkan kepada wanita khususnya dan yang diharamkan kepada kedua- duanya; lelaki ataupun wanita.


2) Memelihara adab sebagai muslimah


Dia hendaklah memelihara adab sebagai seorang wanita Muslimah sama ada di sudut cara berpakaian, berjalan, bercakap dan sebagainya. Firman Allah: Maksudnya:
"Dan katakanlah perempuan- perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka( daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya"... " Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Al- Ahzab: 32)

3) Tidak menjejaskan kewajipan terhadap suami dan anak-anak


Kerjanya itu tidak menjejaskan kewajipan- kewajipannya yang lain. Ini termasuklah kewajipan terhadap suami dan juga anak- anak. Ini kerana tanggungjawab terhadap keduanya merupakan kerja yang utama.

Sunday, November 16, 2008

6 HAK MUSLIM TERHADAP MUSLIM YANG LAIN


Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Rasulullah saw. bahawa baginda bersabda,

"Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam:jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka tanyakanlah khabarnya, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan 'yarhamukallah', dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (kepemakaman)."

Pertama, jika bertemu maka berilah salam.


Mengucapkan salam adalah langkah pertama, akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan. Ucapan salam harus disertai dengan perasaan cinta, senang, dan wajah yang berseri agar fungsi ucapan salam itu terwujud. Setelah itu saling memperkenalkan nama, pekerjaan, dan tempat tinggal. Dengan demikian anda telah mencapai tahap awal dalam berdakwah.

Kedua, jika tidak kelihatan maka tanyakanlah khabarnya.


Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang telah anda kenal itu tidak anda lihat dalam waktu tertentu, maka anda harus mencari khabar tentang keadaannya atau menghubunginya,sama ada melalui telefon mahupun surat.

Ketiga, jika sakit maka jenguklah.


Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang, maka suatu saat dia akan merasa gembira, sedih, atau sakit; dan setiap kondisi harus dihadapi dengan sikap yang islami. Jika anda mendengar bahawa teman anda sakit, anda harus cepat-cepat menjenguknya dan mendoakan untuk kesembuhannya;sangat baik lagi jika anda membawa hadiah yang sesuai.

Rasulullah saw. bersabda,

"Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kalian saling mencintai." (HR. Malik dalam "Al-Muwatha"')

Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah saw. bersabda,

"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, 'Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'" (HR. Muslim)

Di tempat teman anda tersebut, anda pun dapat berkenalan dengan teman- temannya. Dengan demikian anda akan semakin banyak mempunyai kenalan. Jangan sampai kunjungan itu anda pergunakan untuk membaca quran, majalah, atau berbicara yang tidak ada gunanya, agar tujuan kunjungan tersebut dapat dimanfaatkan.

Keempat, jika ia mengundangmu maka penuhilah.


Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kalian akan semakin erat. Suatu saat teman anda akan menghadapi keadaan-keadaan penting, seperti berjaya dalam tugas, pernikahan, atau yang lainnya, lalu ia mengundang anda untuk menghadiri acara-acara tersebut. Anda harus memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa harus anda rencanakan sebelumnya. Begitu juga sebaliknya, anda pun harus mengundangnya dalam acara-acara penting yang anda adakan.

Kelima, jika ia bersin dan mengucapkan "hamdalah" maka jawablah (ucapkan "yarhamukallah")

Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenal di suatu tempat, baik di perjalanan, pesta, mahupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah anda itu bersin maka hendaklah anda menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, "yarhamukallah (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada anda)." Tentunya hal ini akan menjadikan dirinya
merasakan sesuatu yang baru dan setelah itu anda dapat bercakap-cakap dengannya.

Keenam, jika dia meninggal dunia maka hantarkanlah ke tempat pemakamannya.


Apa yang dapat dia lakukan setelah meninggal dunia dan dikubur? Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, di mana dia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya. Ini sebuah sunnah Rasulullah saw. yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin. Jika sebelumnya anda dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang anda dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta'ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah saw. bersabda,

"Barangsiapa menghadiri jenazah hingga mensolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath." Seorang sahabat bertanya, "Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Seperti dua gunung yang besar." (Muttafaqun 'Alaih)

Thursday, November 13, 2008

SIAPA AKU? (Sebuah Puisi Biografi Syeikh Ahmad Yasin, 1938-2004)

(Dipetik daripada Sastera Palestin,Palestinkini.info)

Lahirku di Kampung Al-Jaurah,
Selatan Tebing Gaza, 1938 Masihiah,
Tercetus perang 1948, familiku berpindah,
Mengharung kaki menuju Ghazzah. (Gaza)

Tika asyik beriadah bersama teman,
Malang menimpa, aku terhumban,
Lumpuh seluruh badan,
Namun, kutekad kekuatan,
Lumpuhku tidak bisa menghalang pergerakan,
Minda, fikiran, tadbir jua amalan...

Kutamatkan pengajian sekolah,
Kuteruskan ke Universiti Ain Syams, padah,
Setahun berlalu dan aku terpaksa berhenti,
Hati yang terhiris itulah,
Yang kubawa ke Mesir gagah,
Kukenal Ikhwan, sertai jamaah.

Di Palestin,
Akulah guru, mengajar tatatertib,
Berkhutbah di masjid, akulah khatib,
Akulah pengasas Majma' Islami,
Pada 70-an tekad bersemi.

1983, aku ditangkap dituduh,
Pengasas Majd Mujahidin pembunuh,
13 tahun penjara, mahkamah menyuruh,
Namun terbebas selepas bulan kesepuluh.

Kuasaskan lagi gerakan HAMAS,
Gerakan Penentangan Islamiah, kemas,
1987, HAMAS berdiri tegas!

Sekali lagi, ditangkap askar Yahudi,
Dihukum penjara seumur abadi,
Ditambah 15 tahun lagi,
Kerana mengasas HAMAS menggempa Yahudi!

Makin hari, kumakin lemah, di penjara,
Pandangan kananku hilang mutiara,
Mata kiriku kabur, terseksa didera,
Penyakitku kronik, dihantar ke Hospital Penjara.

Subuh 1 Oktober 1997 barakah,
Aku dibebas dengan janji payah,
Antara Jordan & Israel laknatullah,
Selepas serangan Khalid Masy'al tergagal, musnah.

Kusenyum, kulihat
Intifadah Aqsa, bangkitnya ummat,
Menentang, melawan Zionis penjajah laknat,
Hingga terbunuh jua tercedera berat.

Pagi,
Malam Isnin aku bersolat sendiri,
Munajatku mohon ke hadrat Ilahi,
Agar ganjaran Syahid diberi di sisi,
Dan kuniat puasa di pagi hari.

Masjid, 22 Mac 2004 - Fajarnya,
Usai solat Subuh, tiada lama hanya,
Tika berjalan pulang, aduh sakitnya,
Tiada rasa nyeri, pulanglah,
Pulanglah ke hadrat Tuhanku, Allah,
Haruman syurgawi, rohpun terbanglah,
Duniaku, pisahlah,
Nyata kerananya dan kerana-Nya aku lelah...

Akulah Syeikh Ahmad Ismail Yasin!
Siapa kamu?
Apa yang kamu telah sumbangkan untuk agama Allah?

BUAT PARA WANITA PEJUANG


PERANAN WANITA MUSLIMAT
(Oleh Dr.Yusuf Al-Qardhawi)

1. Wanita Muslimat mempunyai kewajipan untuk memperkuat hubungannya dengan Allah dan menyucikan fikiran serta wataknya dari sisa-sisa pengaruh fikiran Barat.

2. Harus mengetahui cara menangkis serangan-serangan kebatilan dan syubuhat terhadap Islam.

3. Harus diketahui dan disedari hal-hal yang melatarbelakanginya, mengapa dia harus menerima separuh dari bahagian yang diterima oleh kaum laki-laki dalam masalah hak waris? Mengapa saksi seorang wanita itu dianggap separuh dari laki-laki? Juga harus memahami hakikatnya, sehingga iman dan Islamnya bersih, tiada keraguan lagi yang menyelimuti benak dan fikirannya.

4. Dia harus menjalankan secara keseluruhan mengenai akhlak dan perilakunya, sesuai dengan yang dikehendaki oleh Islam. Tidak boleh terpengaruh oleh sikap dan perilaku wanita non-Muslim atau berfahaman Barat.

Peranan wanita dalam keluarganya


1. Jika dia sebagai anak, kemudian kedua orangtuanya atau salah satunya menyimpang dari batas yang telah ditentukan oleh agama, maka dengan cara yang sopan dan bijaksana, dia harus mengajak kedua orangtuanya kembali ke jalan yang baik, yang telah menjadi tujuan agama, disamping tetap menghormati kedua orangtua.

2. Wajib bagi setiap wanita (para isteri), iaitu membantu suaminya dalam menjalankan perintah agama, mencari rezeki yang halal, menerima dan mensyukuri yang dimilikinya dengan penuh kesabaran, dan sebagainya.

3. Wajib pula bagi setiap ibu, mengajar anak-anaknya taat kepada Allah, yakni dengan menjauhi larangan-Nya dan menjalankan perintah-Nya, serta taat kepada kedua orangtuanya.

4. Kewajiban bagi setiap wanita terhadap kawan-kawannya yang seagama, yaitu menganjurkan untuk membersihkan akidah dan tauhidnya dari pengaruh di luar Islam; menjauhi fahaman-fahaman yang bersifat merosak dan menghancurkan sendi-sendi Islam dan akhlak yang luhur, yang diterimanya melalui buku, majalah, filem, dan sebagainya.

Teladan daripada sirah




1. Suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad saw ialah suara Khadijah binti Khuwailid r.a. kepada Rasulullah saw.: "Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau bersilaturrahmi, menghubungi keluarga dan mengangkat beban berat,memberi kepada orang yang tidak punya, menerima dan memberi (menghormati) kepada tamu, serta menolong orang-orang yang menderita."

2. Orang pertama yang berperanan sebagai syuhada ialah Ummu Amr binti Yasir Ibnu Amar yang bernama Sumayyah, dia bersama suaminya disiksa, agar mereka keluar dari agama Islam. Tetapi mereka tetap bertahan dan sabar, sehingga dia mati syahid bersama suaminya. Ketika Rasulullah saw. melintasi mereka, dan melihat mereka dalam keadaan disiksa, lalu Rasulullah saw. berkata kepadamereka, "Sabarlah wahai Al-Yasir, sesungguhnya kita nanti akan bertemu di surga."

Sunday, November 9, 2008

TIPS MENGHAFAZ AL QURAN


Sebelum menghafaz

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafaz
2. Memilih waktu dan tempat yang sesuai untuk menghafaz.
3. Berada dalam keadaan tenang.
4. Kosongkan fikiran sebelum menghafaz.
5. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
6. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafaz.

Teknik Menghafaz

A. Teknik Memecah-mecahkan

1. Memecah-mecahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memecah-memecahkan selembar muka surat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memecah-mecahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memecah-mecahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut maqra’, surah, hizib, cerita dan sebagainya.
5. Memecah-mecahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.

B. Teknik Mengulang

1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafaznya.
2. Membaca ayat yang telah dihafaz berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafaz setiap setengah muka surat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafaz satu muka surat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafaz bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

C. Teknik Tumpu dan Ingat

1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, muka surat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau muka surat tersebut dengan mata tertutup.

D. Teknik Menghafaz Dengan Seorang Teman


1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.

E. Teknik Mendengar Kaset

1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh surah Al-Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafaz, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafaz beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafaz ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an.

F. Teknik Merakamkan Suara


1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafazan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafaznya.

G. Teknik Menulis


1. Tulis kembali muka surat yang telah dihafaz.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal muka surat, atau setiap maqra’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

H. Teknik Menghafaz Sebelum Tidur

1. Membaca atau menghafaz beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau maqra’, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafaz. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

I. Teknik Peta Minda


1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu maqra'. Tulis ayat pertama maqra' tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau maqra'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi maqra'.

Mengekalkan Hafazan

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyakkan berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
5. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
6. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau mengantuk.
7. Makan makanan yang baik seperti madu dan kismis.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template