:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::

Wednesday, November 26, 2008

CATATAN PERJUANGAN ZAINAB AL GHAZALI

Kenalkah anda dengan ikon mujahidah, Zainab al Ghazali ,yang subhanallah, sangat tinggi semangat perjuangannya untuk Islam. Seharusnya beliau menjadi role model kepada semua muslimah. Muslimah adalah sayap kiri perjuangan. Muslimah harus faham bahawa taklifan dan kefardhuan jihad adalah terpikul di bahu kaum lelaki dan perempuan. Pepatah Melayu ada mengatakan : “Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.”. Baki lagi pada jihad seorang muslimah itu ada pra-syaratnya yang bertujuan memelihara maruah dan aurah mereka sendiri:

1. Memastikan bahawa bidang jihad yang diceburi di bawah redha Allah iaitu tidak bertembung dengan perkara yang menyanggahi syariah secara soreh dan apatah lagi menghampiri perkara-perkara kemaksiatan.
2. Mendapat keizinan daripada wali dan jika telah berumahtangga, tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak.
3. Bidang jihad yang sesuai dengan fitrahnya sebagai muslimah.
4. Penampilannya tetap terpelihara.
5. Tidak menimbulkan fitnah.

Mari kita hayati catatan perjuangan Zainab al Ghazali…

PENGASAS JAMAAH SAIDATINA MUSLIMAH


Nama penuh beliau ialah Zainab Al Ghazali Al-Zubaili.Beliau dilahirkan pada tahun 2 Januari 1917. Zainab al Ghazali bersuami dengan seorang 'ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada beliau untuk meneruskan dakwah di tengah-tengah masyarakat Mesir. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jamaah Saidatina Muslimah, satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin dari segi method dan matlamatnya. Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dalam menyebarkan panji-panji Islam.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap dapat ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T, dengan syarat melalui satu jalan iaitu jalan ISLAM.

Semasa memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat menarik ramai wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat dengan Zainab Al-Ghazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb, Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati, Al-Waliyah, Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sifatkan sebagai anak-anaknya, adik-adiknya, kakak-kakaknya,dan ibu-ibunya.

KISAH ZAINAB AL GHAZALI DI DALAM TAHANAN

Kisah Zainab Al-Ghazali di dalam tahanan sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat daripada penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan sebelum beliau ditahan, Jamal Nasser memerintahkan agar Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan dia akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak. Kemudian beliau ditawarkan pula menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, tetapi beliau menjawab: "Dalam perjuanganku, aku tidak bercadang untuk menjadi menteri. Aku hanya mahu berdakwah."

Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, maka dia memerintahkan untuk menangkap Zainab. Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya, satu pembunuhan telah dirancang di mana sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab ditahan. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin. Namun Zainab Al-Ghazali hanya berdoa:

"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai".

Kemudian beliau terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Kuasa eletrik dihidupkan untuk menyeksa beliau. Bilik itu juga dipenuhi anjing- anjing dan dilepaskan kepada beliau. Pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Beliau merasai seluruh tubuh beliau dikerumuni dan digigit oleh anjing-anjing itu.Ketika itu beliau hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati beliau:

"Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!"

Kemudian beliau mendengar pintu dibuka dan beliau dibawa keluar. Beliau menyangka bahawa pakaiannya berlumuran darah tetapi alangkah terkejutnya beliau kerana tiada apa- apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pegawai-pegawai tahanan itu pun pelik dengan keadaannya, Kemudian beliau terus diseksa lagi. Satu ketika beliau direndam dalam air sejuk dan dilepaskan pula udara sejuk, sedangkan ketika itu musim sejuk

Pernah juga suatu ketika, beliau dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb dan bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka juga ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, untuk mencari kiranya ada sisa-sisa makanan.Mujurlah ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan. Mereka mengambilnya dan memakan kulit-kulit pisang itu kerana tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.

Menurut beliau, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempuhinya adalah benar.

Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Ogos 2005.Semoga Allah merahmati beliau.Takbir!

4 comments:

RdhanZ said...
This comment has been removed by the author.
RdhanZ said...

Kebetulan saya terjumpa novel "Hari-hari Dalam Hidupku" karangan Zainab Al-Ghazali yang menceritakan pengalamannya sebelum bertemu Imam Hassan Al-Banna hinggalah saat kepada hari Syed Qutb menemui syahid.

Saya bawa habiskan novel tersebut di asrama (ketika itu saya belajar di SMAASZA) dan sangat terkesan dengan kisah perjalanan hidup beliau.

Antara bahagian yang paling mencetuskan rasa insaf ialah tatkala beliau bermimpi bersama-sama Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan Al-Banna di satu tempat yang hijau dan tenang.

* Bagi yang berminat untuk membaca novel tersebut, saya ada terjumpa di kedai buku Islam di Angsana, Johor. Cetakan Pustaka Salam. Mungkin ada di kedai-kedai buku Islam yang lain.

AZAN SUBUH said...
This comment has been removed by the author.
AZAN SUBUH said...

zainab al ghazali memang seorang wanita yang hebat.tengok wajahnya pun dah tahu bahawa beliau sangat berani...semoga muslimah2 diberi kekuatan oleh Allah untuk jadi seperti beliau.syukran Rdhanz kerana memberi komen anda...

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template