:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Wednesday, September 16, 2009

Hari-hari Terakhir...

Bismillahi wal hamdulillah...Assalamualaikum warahmatullah buat semua rakan pembaca.

Sedikit coretan di hari-hari terakhir Ramadhan...dan hari-hari terakhir posting...

Saya mencuri sedikit masa pada malam 27 Ramadhan ini untuk mencoretkan sesuatu buat peringatan diri sendiri dan semua, biarpun tuntutan-tuntutan akademik saya masih berlambak untuk diselesaikan. UIAM Kuantan telah pun sunyi. Yang masih tinggal di sini hanyalah pelajar-pelajar Perubatan, Pergigian dan sebahagian pelajar Kejururawatan. Sebenarnya hati saya telah meronta-ronta untuk pulang ke rumah. Ingin sekali meneruskan ibadat di hari-hari terakhir Ramadhan bersama keluarga tersayang. Ingin sekali berbuka dan bersahur bersama mereka. Namun, saya harus menunggu beberapa hari lagi...Perjuangan di sini masih belum selesai.

Pemandangan dari bilik saya. Lihatlah hutan di sebelah asrama yang menjadi tempat kediaman monyet yang pernah menyerang saya suatu ketika dahulu :) Namun sekarang mereka sudah tidak kelihatan kerana banyak perangkap yang telah dipasang.

Minggu ini adalah minggu terakhir posting saya di Wad Pembedahan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Jadi banyak perkara yang harus diselesaikan. Posting kali ini juga terasa sedikit meletihkan kerana keberadaannya di bulan puasa. Selepas cuti hari raya, kami akan menghadapi peperiksaan pula. Nampaknya terpaksalah saya mengulangkaji di hari raya nanti. Tetapi, jika kawan-kawan hendak datang ke rumah, janganlah terasa keberatan pula ya. Saya sangat mengalu-alukan.

Menyentuh pengalaman saya di hospital, banyak perkara baru yang saya temui dan belajar sepanjang tempoh posting ini. Ketika awal-awal posting, terasa agak kaku juga untuk menemubual pesakit bagi mendapatkan maklumat kesihatan yang dihadapi oleh mereka. Tetapi lama-kelamaan, saya rasa terbiasa. Namun, apabila bermuhasabah, saya rasa saya tidak begitu menggunakan peluang berdakwah kepada mereka. Sekadar berbual dalam ruang lingkup masalah kesihatan. Sedangkan inilah masa yang sangat sesuai untuk mengingatkan mereka kepada Allah dan Rasul. Oh, saya seringkali terlupa. Astaghfirullahal 'azim...

Selepas selesai peperiksaan untuk posting Surgery ini, saya akan kembali meneruskan posting pergigian di Poliklinik Pergigian UIAM. Saya masih mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun setengah lagi untuk bergraduasi sebagai seorang doktor gigi, insya Allah. Perjalanan yang masih panjang, kan? Seronok melihat rakan-rakan sebaya di sekolah dahulu yang telah tamat pengajian mereka di universiti. Tidak sabar menunggu giliran saya pula. Ya Allah, pemudahkanlah untukku di jalan menuntut ilmu ini.

Rasanya, sekadar ini sahajalah coretan pendek saya. Tidak ada modal lagi untuk menulis. Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin kongsikan tulisan terbaru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam blog beliau. Tajuknya: Tips Hari-hari Terakhir Ramadhan. Terima kasih Ustaz. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.
"What will you do with the remaining 10?"

* * *

Tips Hari-hari Terakhir Ramadhan
Oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt. Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

1) Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan Allah s.w.t. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun.

2) Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesali lah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya.

3) Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah dan beristighfar kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajab doa.

4) Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh.

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

5 comments:

dkama said...

Semoga kita bertemu malam seribu bulan... amin...

kurniawan.q said...

Insya ALLAH n mudah2an dengan izinNYA kita bisa mendapatkan Lailatul Qadar n jangan cm beribadah di 10 malam terakhir saja tp ada baiknya memang selalu menghidupkan Ramadhan dgn Ibadah baik pagi, siang, sore dan Malam setiap hari.

Shahibul Afzan Wahab said...

to dkama dan Kurniawan.q:

Terima kasih atas doa dan nasihatnya.

Anonymous said...

Selamat bercuti dan berhari raya...
Kullu Am Wa Antum Bikhoir..

Shahibul Afzan Wahab said...

Selamat hari raya juga buat sahabat di perantauan...

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template