:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Monday, December 14, 2009

Impian Tahun Baru

Bismillahi wal hamdulillah...

Hari ini saya berkesempatan lagi untuk mencoret di ruang maya ini untuk berbicara tentang tahun baru yang bakal tiba. Ya Allah, sekejap sahaja masa berlalu. Bumi ini amat pantas berputar. Umur saya bakal menginjak ke 24 tahun. Mudah-mudahan di umur 24 dan seterusnya, kematangan saya dalam berfikir akan bertambah. Berbekalkan pengalaman-pengalaman hidup yang berharga yang telah dilalui. Pahit, manis, masam, masin, dan kelat, semuanya ada. Pengalaman adalah guru terbaik. Semoga ia menjadikan saya lebih dewasa.

Insya Allah, 1 Muharram 1431 Hijrah ini menjanjikan kehidupan baru yang bahagia dan berkekalan buat sahabat saya, Asiyah@ Khairul Bariyyah yang akan mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Muhammad Haziq. Selamat melangkah ke alam baru. Asiyah yang saya kenali sejak di Darul Quran sudah saya rasakan seperti adik-beradik. Ya, memang kami dahulu adik beradik seusrah. Saya memanggilnya Anjang dan dia pula memanggil saya Angah. Sedih pula apabila Anjang akan berkahwin. Terasa seperti hilang seorang lagi kawan baik saya. Ish, ada-ada sahaja saya ini. Apa-apapun, semoga Anjang berbahagia hingga ke syurga abadi. Amiinn ya Rabb!

Susunan widget-widget di blog ini juga telah saya ubah sempena masuknya tahun baru. Kadang-kadang perabot di dalam rumah atau bilik juga harus diubah untuk memberi kita semangat baru. Azam baru 1431 dan 2010 sudah saya tampal di dinding. Beginilah diri saya sejak dahulu. Tidak lengkap rasanya permulaan tahun baru tanpa saya menampalkan sesuatu pada dinding bilik. Dahulu sewaktu kecil-kecil, di penghujung tahun begini saya akan mengajak adik-adik saya menyemak azam tahun tersebut sama ada telah berjaya dicapai atau tidak. Kemudian kami akan menulis azam baru masing-masing dan ditampal pada dinding bilik tidur. Namun bagi sebahagian orang, mereka berasa segan untuk menampalkan azam masing-masing. Terpulanglah. Tetapi itulah caranya saya memotivasikan diri sendiri.



Saya berharap untuk menjadi lebih serius pada tahun hadapan. Saya juga berharap lebih banyak kemajuan diri yang mampu dicapai. Nilaian kemajuan diri bergantung kepada diri masing-masing. Tetapi nilaian saya, kemajuan diri saya adalah apabila semakin banyak ilmu dan kemahiran yang saya kuasai, semakin meningkat keyakinan diri serta semakin banyak kejayaan yang digapai dalam hidup sama ada kecil atau besar.

Cita-cita saya suatu hari nanti, ingin berjaya menjadi seorang doktor gigi yang dapat menyumbang kepada ummah. Saya ingin berganding bahu bersama golongan ulama dan golongan professional Muslim yang lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Perjuangan menegakkan Islam akan sama-sama kita julang sehingga ke akhir hayat. Juga sebagai seorang anak, saya juga menyimpan impian untuk membawa kedua ibu bapa saya beribadah di Baitullah bersama-sama saya suatu hari nanti. Mudah-mudahan...Engkau kabulkan ya Allah (",)

No comments:

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template