:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Thursday, December 3, 2009

Teladan Daripada Sebuah Pengorbanan

Hari raya korban telah pun berlalu. Saya telah kembali ke kampus sejak Isnin yang lepas. Kelas dan klinik telah dimulakan kembali dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Alangkah seronoknya jika cuti masih panjang dan berpeluang menghadiri program dan perjumpaan bersama teman-teman yang masih bercuti. Namun, diri ini terpaksa mengorbankan segala perasaan itu.

Saya ingin menulis tentang pengorbanan agar saya sendiri mampu mengambil istifadah daripadanya selain buat renungan rakan pembaca. Apabila berbicara tentang pengorbanan, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menjadi contoh agung buat semua umat Islam. Sehinggakan kisah mereka diabadikan di dalam kitab suci al Quran, surah as Saffaat ayat 102-111.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu." Dia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."
(As-Saffaat: 102)

** Bacalah sendiri terjemahannya sehingga ayat 111.

Gambar hiasan

Sungguh besar dugaan yang Allah hadirkan kepada para anbiya'. Bukannya Nabi Ibrahim tidak sayang kepada puteranya, namun kerana kecintaan dan ketaatan kepada Allah yang melebihi segala-galanya, Nabi Ibrahim sanggup melakukan apa sahaja. Mereka berdua benar-benar sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kita pula bagaimana?

Mereka berdua juga tidak takut dan tidak susah hati. Mereka redha menerima ketentuan Ilahi. Mereka yakin tanpa syak wasangka. Begitulah hakikatnya sebuah pengorbanan. Demi Allah tercinta, sesuatu yang berharga sanggup dilepaskan. Ya, cinta Allahlah yang mendorong sebuah pengorbanan. Marilah muhasabah diri kita. Sejauh manakah kita telah berkorban untuk Allah sepanjang hidup kita di dunia, pengukur sejauh mana kecintaan kita terhadapNya.

Setelah pengorbanan mereka berdua jelas terbukti, akhirnya Allah menebus Nabi Ismail dengan "dzibhin aziim" iaitu seekor sembelihan yang besar. Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkan Qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji @ Eidul Adha. Seterusnya Allah mengabadikan pujian yang baik kepada Nabi Ibrahim. Lihatlah, peristiwa ini benar-benar mengajar kita bahawa barangsiapa yang berjual-beli dengan Allah tidak akan sekali-kali rugi, dan langsung tidak akan dipersia-siakan.

Tidak akan rugi jika 'berbisnes' dengan Allah

Saya juga ingin mengajak kita semua menghayati terjemahan surah al Kauthar yang hanya sebanyak 3 ayat ini:

1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
2. Maka dirikanlah solat kerana TuhanMu dan berkorbanlah.
3. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Sesiapa yang sanggup berkorban menunjukkan tanda kesyukurannya. Sesiapa yang bersyukur pula akan diganda-gandakan nikmat oleh Allah.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadaMu, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu sangat pedih." (Ibrahim:7)

Allah akan membalas kebaikan hamba-hambaNya yang sanggup berkorban. Jika tidak dibalas di dunia, syurgaNya sedang menanti. Firman Allah dalam surah at Taubah ayat 111:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..." (at Taubah:111)

Pengorbanan itu banyak bentuknya. Carilah peluang untuk berkorban, usah takut dan usah berkira. Allah akan mengira setiap kebaikan walau sebesar zarrah. Syaratnya, keikhlasan mestilah hadir seiring di dalam hati.

Ya Allah, jadikanlah kami semua dalam golongan hambaMu yang rela berkorban untukMu dan perjuangan menegakkan agamaMu, serta jadikanlah kami dalam golongan yang mencintai dan dicintaiMu...
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template