Allahu akbar!
Ramadhan sudah berada di fasa keduanya. Sepanjang berada di pasaraya pada petang tadi untuk membeli sedikit barang keperluan harian dan klinik, lagu-lagu raya sudahpun didendangkan. Mungkin strategi peniaga melariskan jualannya. Namun, hati saya terasa sedih (a.k.a tidak suka) mendengar lagu raya yang berkumandang, lantaran mengenangkan diri sendiri yang masih belum memanfaatkan bulan 'jamuan Allah' ini.
Ya Allah, moga 2/3 Ramadhan yang masih berbaki ini, masih ada peluang bagiku untuk menjadi hamba bertaqwa.
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (al Baqarah: 183)
Pakaian taqwa lebih berharga daripada pakaian baru di hari raya. Apa gunanya pakaian baru jika diriku tidak mampu menjadi hamba bertaqwa- hasil tarbiyyah Ramadhan!
Astaghfirullahal 'azim...
Saya memohon agar Allah sudi mengampunkan dosa-dosa saya yang lalu. Alangkah ruginya sesiapa yang membiarkan Ramadhan berlalu sahaja tanpa dosa-dosanya diampunkan.
Rasulullah bersabda, “Siallah (rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan”. Semoga lapar dan dahaga kita sepanjang bulan Ramadhan tidak hanya sekadar menjadi "habaan manthura"- debu-debu yang berterbangan. Oh Allah, kumohon belas kasihanMu...
"Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan. " (al Furqan: 23)
Masya Allah...
Allah menggandakan setiap amalan hambaNya pada bulan Ramadhan. Inilah bulan pelaburan yang sangat menguntungkan. Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu dan amalan fardhu pula diberi balasan 70 kali ganda.
"Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.” (petikan hadith)
Alhamdulillah...
Terlalu banyak nikmat yang Allah sediakan di bulan yang mulia ini. Marilah sama-sama kita memanfaatkan masa yang masih berbaki kerana kita tidak dapat menjamin diri sendiri akan dapat bertemu Ramadhan lagi pada tahun-tahun hadapan. Andainya ini Ramadhan terakhir, kita tidak menyesalinya kerana telah merebut segala apa yang ada di dalamnya.
Selamat beribadat.
No comments:
Post a Comment