
* * *
Suatu ketika dahulu saya pernah bertanya kepada emak, “ Mak, antara zaman-zaman yang pernah mak lalui, zaman manakah yang paling best?”
Emak saya menjawab, “ Zaman sekarang ni la long...”
Saya menjangkakan emak akan menjawab zaman kanak-kanaknya yang paling seronok, rupanya-rupanya tidak. Emak menerangkan bahawa di zaman kanak-kanaknya, beliau terasa sunyi kerana adik-beradik emak tidak ramai dan kehidupan dahulu tidaklah selesa seperti sekarang. Bekalan elektrik ketika itu masih tiada, bekalan air terpaksa diambil di perigi dan sebagainya. Logiklah emak menyukai zaman dewasanya sekarang.
Tetapi jika ditanya soalan tersebut kepada saya pula, tentu sekali saya menjawab zaman kanak-kanak dahulu. Suatu zaman yang tidak mungkin dapat dirasai kembali. Zaman di mana diri saya tidak dibebani dengan tanggungjawab seperti sekarang. Cuma tanggungjawab yang ada ketika itu; pergi ke sekolah, kelas mengaji al Quran dan kelas fardhu ain sahaja.
Tetapi segalanya telah menjadi memori. Tidak mungkin waktu dapat diundur kembali. Semakin hari saya menuju ke alam kedewasaan,dan semakin banyaklah tanggungjawab yang terpikul...

Tentu boleh sahaja jika saya mengetepikan tanggungjawab itu semua dan menjadi mahasiswa 3K: Kelas, Katil dan Kafe. Tentu bahagia hidup ini...
Tetapi itu bukanlah pilihan hidup saya. Jika difikir secara rasional, zaman mahasiswa inilah masanya untuk melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran, kepimpinan dan sebagainya, dan semestinya dengan tanggungjawab-tanggungjawab yang terpikul tadilah yang memungkinkan kita mencapainya. Tanggungjawab menjadikan kita lebih berilmu, lebih berkemahiran, lebih matang dan lebih segala-galanya. Semua itu pula sangat penting untuk dijadikan bekalan hidup pada masa-masa mendatang yang sudah tentu lebih mencabar. Juga penting sebagai bekalan pada hari di mana tiada siapa dapat membantu...Ya, bekalan pahala. Menunaikan tanggungjawab dengan amanah sudah tentu menambah saham kita di akhirat...
Kesimpulannya, berbahagialah jika merasakan diri banyak tanggungjawab...daripada merasakan diri mempunyai banyak waktu berehat...
* * *
Lalu saya mendapat kesedaran dengan catatan sendiri...Gembiralah diriku,sesungguhnya seronok menjadi dewasa dan mempunyai banyak tanggungjawab! Tinggal nak buat atau taknak!
(( Tuhan, aku sedang mengumpulkan kekuatan untuk melangsaikan tanggungjawab-tanggungjawabku…bantulah ya Allah ))
p.s. Esok keluarga saya ingin datang melawat saya di sini.Seronoknya...Tengok wajah mak, ayah dan adik-adik tentu hilang tension ni :)