:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Sunday, September 27, 2009

Catatan 'Idul Fitri 1430H

Pejam celik pejam celik...cuti 'Idul Fitri sudah pun tiba ke penghujung. Kalaulah boleh saya hentikan masa, alangkah bagusnya. Lama saya tidak menjenguk blog ini. Minta maaf ya kepada kawan-kawan, atas kelewatan membalas ucapan-ucapan raya di blog.

Seronoknya cuti pada kali ini. Tahun lepas, tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan kerana bermula hari raya kedua, saya beraya di hospital. Tetapi pada tahun ini, saya berpeluang bertemu kawan-kawan yang telah lama terpisah...Tengku Nur Azimah, Noor Shazana, Hafizah Ismail, Siti Norul Huda, Siti Samihah, Shazwani, Syuhada Ramli, Tengku Shuhaidah, Nor Azlyn, Nur Shahirah, Azlizan Adila, Noor Zanariah, Fatimah Murni, Nurul Hidayah, Hidayat dan Rosnani. Alhamdulillah, Allah temukan kita kembali setelah kita terpisah selepas habis sesi persekolahan di SMAASZA. Juga terima kasih diucapkan buat kawan-kawan yang datang beraya di rumah.

Ex-SMAASZA PMR 2001 dan SPM 2003. Semoga lebih ramai lagi kawan-kawan yang akan hadir pada perjumpaan alumni akan datang.

Saya juga berpeluang bersembang dengan Cikgu Ruzak, bekas guru Kimia yang sudah sekian lama tidak bersua. Macam biasa, nasihat tidak pernah lekang daripada mulut Cikgu. Kagumnya saya dengan beliau, beliau seorang yang berminda usahawan. Fikiran beliau jauh ke hadapan. Sekarang Cikgu telah mempunyai 7 syarikat sendiri. Tahniah Cikgu.

Saya juga berpeluang berkhidmat untuk kenduri arwah moyang. Dan yang paling istimewa, saya juga berpeluang ke majlis perkahwinan kawan-kawan. Selamat pengantin baru buat sahabat lama saya, Noor Shazana Salim dan pasangannya Arif. Baru lagi rasanya kami menjadi pelajar tingkatan 1, sekarang ini beliau sudah pun menjadi isteri orang. Juga buat senior saya di UIA Gombak, Kak Ida Rayani dan pasangannya Fadli serta kawan lama SMAASZA, Che Ku Ahmad Saufi dan Munirah Sakinah. Doa saya, semoga kalian berbahagia sehingga akhir hayat serta dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Giliran siapa pula ya akan menyusul selepas ini? Jangan lupa jemput ya.

Apa-apapun, Selamat Hari Raya Fitrah untuk semua, biarpun telah terlewat untuk mengucapkan. Juga selamat berpuasa enam.

p.s. Kawan-kawan tolonglah doakan kejayaan saya dalam exam beberapa hari lagi ye...Berdebarnya menunggu. Dahla tak habis study lagi ni...Sebab beraya sakan :)

Wednesday, September 16, 2009

Hari-hari Terakhir...

Bismillahi wal hamdulillah...Assalamualaikum warahmatullah buat semua rakan pembaca.

Sedikit coretan di hari-hari terakhir Ramadhan...dan hari-hari terakhir posting...

Saya mencuri sedikit masa pada malam 27 Ramadhan ini untuk mencoretkan sesuatu buat peringatan diri sendiri dan semua, biarpun tuntutan-tuntutan akademik saya masih berlambak untuk diselesaikan. UIAM Kuantan telah pun sunyi. Yang masih tinggal di sini hanyalah pelajar-pelajar Perubatan, Pergigian dan sebahagian pelajar Kejururawatan. Sebenarnya hati saya telah meronta-ronta untuk pulang ke rumah. Ingin sekali meneruskan ibadat di hari-hari terakhir Ramadhan bersama keluarga tersayang. Ingin sekali berbuka dan bersahur bersama mereka. Namun, saya harus menunggu beberapa hari lagi...Perjuangan di sini masih belum selesai.

Pemandangan dari bilik saya. Lihatlah hutan di sebelah asrama yang menjadi tempat kediaman monyet yang pernah menyerang saya suatu ketika dahulu :) Namun sekarang mereka sudah tidak kelihatan kerana banyak perangkap yang telah dipasang.

Minggu ini adalah minggu terakhir posting saya di Wad Pembedahan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Jadi banyak perkara yang harus diselesaikan. Posting kali ini juga terasa sedikit meletihkan kerana keberadaannya di bulan puasa. Selepas cuti hari raya, kami akan menghadapi peperiksaan pula. Nampaknya terpaksalah saya mengulangkaji di hari raya nanti. Tetapi, jika kawan-kawan hendak datang ke rumah, janganlah terasa keberatan pula ya. Saya sangat mengalu-alukan.

Menyentuh pengalaman saya di hospital, banyak perkara baru yang saya temui dan belajar sepanjang tempoh posting ini. Ketika awal-awal posting, terasa agak kaku juga untuk menemubual pesakit bagi mendapatkan maklumat kesihatan yang dihadapi oleh mereka. Tetapi lama-kelamaan, saya rasa terbiasa. Namun, apabila bermuhasabah, saya rasa saya tidak begitu menggunakan peluang berdakwah kepada mereka. Sekadar berbual dalam ruang lingkup masalah kesihatan. Sedangkan inilah masa yang sangat sesuai untuk mengingatkan mereka kepada Allah dan Rasul. Oh, saya seringkali terlupa. Astaghfirullahal 'azim...

Selepas selesai peperiksaan untuk posting Surgery ini, saya akan kembali meneruskan posting pergigian di Poliklinik Pergigian UIAM. Saya masih mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun setengah lagi untuk bergraduasi sebagai seorang doktor gigi, insya Allah. Perjalanan yang masih panjang, kan? Seronok melihat rakan-rakan sebaya di sekolah dahulu yang telah tamat pengajian mereka di universiti. Tidak sabar menunggu giliran saya pula. Ya Allah, pemudahkanlah untukku di jalan menuntut ilmu ini.

Rasanya, sekadar ini sahajalah coretan pendek saya. Tidak ada modal lagi untuk menulis. Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin kongsikan tulisan terbaru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam blog beliau. Tajuknya: Tips Hari-hari Terakhir Ramadhan. Terima kasih Ustaz. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.
"What will you do with the remaining 10?"

* * *

Tips Hari-hari Terakhir Ramadhan
Oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt. Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

1) Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan Allah s.w.t. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun.

2) Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesali lah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya.

3) Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah dan beristighfar kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajab doa.

4) Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh.

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Sunday, September 6, 2009

Petua Supaya Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullah dan salam Ramadhan.

Alangkah bahagianya hidup ini jika kita disayangi dan dicintai, apatah lagi jika yang menyayangi dan mencintai kita itu adalah Tuhan yang menciptakan kita, Raja segala Raja. Pastinya Allah akan sentiasa dekat dengan hamba yang menjadi kekasihNya dan sentiasa menolong dan membimbingnya ke arah keselamatan dan kebahagiaan, di dunia dan di akhirat.

Sebenarnya petua-petua untuk disayangi dan dicintai Allah ada di dalam al Quran. Saya akan membawakannya di sini untuk kita renungkan bersama.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri."
[al Baqarah:222]

" Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[ali Imran:31]

"Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar."
[ali Imran :146]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya."
[ali Imran: 159]

"Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan."
[al Maidah: 93]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa."
[at Taubah:7]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."
[al Mumtahanah:8]

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh." [as Saff :4]

Daripada ayat-ayat al Quran di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa untuk menjadi hamba Allah yang dicintaiNya, kita haruslah:

1. Sentiasa bertaubat dan mensucikan diri (zahir dan batin).

2. Sentiasa melakukan segala apa yang diperintahNya (melalui RasulNya) dan meninggalkan segala laranganNya.

3. Sentiasa bersabar.

4. Sentiasa bertawakkal.

5. Sentiasa berbuat kebajikan.

6. Bertaqwa.

7. Sentiasa berlaku adil.

8. Berjuang di jalan Allah dalam satu barisan.

Mudah-mudahan dalam kesempatan Ramadhan ini memberi kita lebih ruang dan peluang bagi meraih cintaNya. Sesungguhnya cinta Allah itu tiada tandingan.

Ya Allah, kami mencintaiMu...

Saturday, September 5, 2009

15 Ramadhan 1430H

Ya Allah Rabbana...
Maafkanlah kesalahan hamba...
Terimalah taubat hamba...
Perkenankanlah amalan hamba...
Hamba dambakan cinta...
Daripada Sang Pencipta...

Ibu dan ayahku...
Maafkanlah kesilapan anakmu...
Redhailah aku sebagai puterimu...
Doakanlah aku dalam hidupku...
Tanpa kalian tiadalah aku...
Sesungguhnya aku amat menyayangimu...

Sahabat seperjuangan...
Terima kasih atas ukhuwwah yang dijalinkan...
Aku bersyukur atas penerimaan kalian...
Untuk bersama-sama dalam perjuangan...
Maafkanku atas hak yang belum ditunaikan...
Lantaran kekurangan dan kelemahan...
Aku bersedia menerima teguran...

Al Quran kekasihku...
Layakkah aku mendapat syafaatmu...
Ataukah laknatmu untukku...
Maafkan aku atas kedhaifanku...
Aku akan mencari waktuku...
Untuk mendampingimu sepenuh dayaku...

Duhai diri hamba Allah...
Bersedialah untuk berubah...
Isilah dirimu dengan tarbiyyah...
Setiap masa haruslah muraqabah...
Setiap ketika wajarlah muhasabah...
Amalan yang baik perlu kau istiqamah...

Ya Allah, di pertengahan bulan Ramadhan yang masih Engkau beri peluang untukku menikmatinya, aku memohon, bimbinglah aku untuk mencari redhaMu...

15 Ramadhan 1430H.
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template