:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Monday, November 2, 2009

Cerita Pendek Saya

Hari ini adalah hari pertama posting saya di Wad Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Dua bulan yang lepas, di Wad Pembedahan. Disebabkan hari pertama ini masih tidak terlalu sibuk, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk bercerita pendek. Beberapa hari lepas, saya agak sibuk. Baru-baru ini, kami pelajar-pelajar pergigian di sini menganjurkan program bakti siswa kepada penduduk Kampung Bukit Goh, Kuantan. Di dalam program bakti siswa tersebut, kami menjalankan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi dan juga aktiviti gotong-royong.

Sebelumnya, kami berkejar-kejar untuk menyiapkan gigi palsu untuk patient. Sehinggakan pada waktu malam pun kami harus ke lab prostetik untuk menyiapkan kerja-kerja ini. Membuat gigi palsu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah terlalu payah. Segala ukuran dan dimensi haruslah tepat supaya gigi tersebut dapat berfungsi dengan baik ketika berada di dalam mulut seperti gigi yang asal. Namun begitu, seindah mana pun gigi palsu yang terhasil, ia masih terlalu jauh untuk menandingi ciptaan gigi asal oleh Allah. Sesungguhnya Dia telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.

Sudahkah kita bersyukur kepadaNya hari ini atas kesempurnaan kejadian kita?

Gigi palsu untuk patient yang saya hasilkan bersama partner saya. Menunggu untuk dicuba oleh Makcik dahulu sebelum menukarkannya kepada acrylic.

Melihat kalendar, hari ini adalah 2 November 2009 bersamaan 14 Dzulkaedah 1430H. Nampaknya kita telah berada di pengakhiran tahun. Dua bulan sahaja lagi umur kita bakal menginjak ke tahun seterusnya. Bagaimana dengan kemajuan diri kita setakat ini? Adakah azam-azam yang kita cipta pada awal tahun lalu telah terpenuhi? Jika belum, kita masih punya 2 bulan lagi untuk berusaha merealisasikannya. Masanya masih ada. Saya cuma mengingatkan andai ada yang terlupa.

Bertambahnya usia haruslah diiringi dengan bertambahnya kematangan diri, bertambahnya ilmu di dalam dada dan bertambahnya amalan-amalan soleh. Usia yang panjang namun tiada apa-apa perkembangan dalam diri adalah tidak berguna. Kata orang bijak pandai, "It is not the length of life, but the depth of life." Maksudnya, "Bukanlah penting panjang sesebuah kehidupan, tetapi kedalamannya." Ingatlah bahawa kita adalah khalifah di muka bumi Allah. Tugas sekecil-kecil khalifah adalah mentadbir diri kita sendiri. Tugas sebesar-besar khalifah adalah mentadbir umat sejagat. Persiapkanlah diri kita sebaik-baiknya. Dan tadbirlah diri kita dan umat ini, juga dengan sebaik-baiknya.

Sekian sahaja, sekarang masanya untuk saya mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menghadapi hari-hari posting seterusnya. Mempelajari pelbagai penyakit dalam tempoh sesingkat sebulan ini adalah cukup menyakitkan. Kemudian, peperiksaan pula menjelma. Semoga Allah menghadirkan kekuatan dan keberkatan dalam ilmu yang bakal dipelajari. Doakan saya. Salam :)

3 comments:

ASYIQ said...

Salam dik...

Moga selamat semuanya.

Ya Allah, kurniakanlah kkuatan jiwa, ketabahan utk adik ini menghadapi hari2 yang agak getir dalam hidupnya. Kurniakanlah dia kemudahan dan bimbinglah dia ke jalan yang lurus....kurniakanlah dia kejayaan di dunia dan di akhirat...amiiiin.

Shahibul Afzan Wahab said...

wsalam kak...

terima kasih kak,atas doa yang sgt berharga :)

Larry said...

Nice post thanks for shariing

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template