:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Friday, March 27, 2009

Jadilah Penuntut Ilmu dan Daie

Akademik dan dakwah adalah dua perkara yang perlu diambil berat oleh semua yang bergelar mahasiswa Islam. Kedua-duanya sama penting dan menjadi tanggungjawab yang harus ditunaikan. Suatu pepatah yang biasa disebut-sebut ialah "Akademik nombor satu, tetapi dakwah bukan nombor dua.” Kadang-kadang pula disebut “Dakwah nombor satu tetapi akademik bukan nombor dua”. Ini membuktikan bahawa mahasiswa Islam tidak boleh mengkesampingkan salah satu daripadanya.

Namun terdapat juga golongan yang tidak melaksanakan tugas berdakwah dengan pelbagai alasan. Mungkinkah disebabkan kejahilan, atau salah tanggapan tentang kefardhuannya, ataupun sengaja mencari alasan untuk tidak berdakwah kerana takut, cinta kepada dunia dan tidak yakin kepada janji Allah? Mari kita bincangkan di sini.

1. Berdakwah hanya fardhu kifayah ?
Sebahagian mereka membisu dan tidak berdakwah atau tidak membantu usaha dakwah kerana ia hanya fardhu kifayah iaitu apabila telah dilakukan oleh sebahagian muslimin, sebahagian yang lain terlepas dari tanggungjawab ini.

Jawapan:

-Para ulama’ menyatakan bahawa berdakwah hukumnya fardhu kifayah bagi sesuatu tempat yang sudah ada daie yang melaksanakan tugas ini dan ma’ruf masih dominan dalam masyarakat.

-Apabila dakwah sudah dilaksanakan oleh segolongan muslimin dan terbukti kesannya maka muslimin lain tetap digalakkan melaksanakannya.

-Apabila melihat realiti semasa, masih belum wujud bukti-bukti nyata terlaksananya ajaran Islam. Mungkar begitu banyak, ma’ruf amat sedikit dan mungkar yang paling besar pula iaitu kehidupan dan sistem kenegaraan tidak terurus secara Islam masih menjadi kebanggaan. Oleh itu, “kifayah” ini belum dicapai yang menyebabkan dakwah kini bukan lagi fardhu kifayah. Setiap muslimin mesti terlibat dengan usaha dakwah berdasarkan kebolehan dan kemampuan masing-masing.

2. Berdakwah khas untuk ulama’ sahaja ?
Mereka beranggapan dakwah ini khusus buat ulama’ kerana mereka memiliki ilmu Islam yang mendalam.

Jawapan:

- Sebenarnya ada salah faham tentang perkara ini kerana tabiat ilmu itu berjuzu’-juzu’. Sesiapa yang tahu sesuatu perkara maka berkewajipan berdakwah kepadanya dan tidak berkewajipan berdakwah kepada perkara yang tidak diketahuinya. Sesiapa yang tahu kewujudan Allah berkewajipan berdakwah ke arah itu.

3. Salah Faham Terhadap firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ

“Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu. Tidaklah akan membahayakan kamu orang yang sesat itu jika kamu menurut jalan yang benar.” (Al-Maidah:105)

Jawapan:

a. Mereka menggangap bahawa kewajipan mereka hanya menjaga diri (عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ). Tidak perlu berdakwah. Imam Ibnu Qaiyim menganggap kefahaman ini merupakan tipu daya syaitan yang terbesar.

b. Ibnu Taimiyah pula menjelaskan: Bahawasanya ayat ini tidak bermaksud menafikan kewajipan berdakwah kerana ayat ini ditafsirkan oleh hadith dari Abu Bakar yang terkenal:

Suatu hari Abu Bakar berkhutbah di atas mimbar Rasulullah. Wahai manusia, sesungguhnya kamu membaca ayat ini tetapi kamu meletakkannya tidak pada tempat yang betul (tidak perlu berdakwah). Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bila manusia melihat kemungkaran berlaku tetapi tidak berusaha mengubahnya maka hampirlah mereka ini ditimpakan azab yang menyeluruh.”

[Dirujuk daripada pengisian kuliah Ustaz Suhaimi di Pusat Rekreasi Air Balok]

Sebuah nasyid bertajuk 'Persada Perjuangan' dendangan kumpulan Zulfan ini didedikasikan buat sahabat- sahabat para daie yang sekaligus bergelar penuntut ilmu. Sesungguhnya kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan Nabi dan Rasul untuk menegakkan Islam di muka bumi.

Masih mekar kenangan indah
Zaman gemilang Islam menjulang
Ketika Rasul ada bersama
Para sahabat mentadbir dunia

Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam umpama api membara
Menerangi ummah dan juga sahabat
Bahangnya panas membakar lawan

Di celah itulah kami mengatur langkah
Membina sebuah tamadun
Satu barisan satu perjuangan
Bersama kita segera tunaikan
Amanah Rasul itu yang utama

Ayuh semua para mujahid
Ayuh semua mujahidah
Mari kita semua nyalakan bara perjuangan di dalam diri
Agar tertegak kalimah Ilahi

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar." (al Hujurat: 15)

“Manusia yang hidup untuk diri sendiri,maka usianya adalah teramat pendek. Bermula dari hari kelahirannya dan akan berakhir ketika disapa Sakaratul Maut.Akan tetapi bagi mereka yang hidupnya untuk perjuangan Islam, usianya terlalu panjang. Bermula sejak Allah menciptakan Adam dan akan berakhir ketika Allah memusnahkan alam... "- Sayyid Qutub

Semoga kita istiqamah dalam perjuangan Islam...

p.s: Kalau nak lagu ini boleh download di www.gempaq.com (tetapi mesti sign up dahulu).

Tuesday, March 24, 2009

Bilakah Suara Wanita Menjadi Aurat?

Pada prinsipnya suara wanita tidak dikira aurat. Allah tidak melarang wanita bercakap dengan lelaki selagi tidak menimbulkan fitnah bagi dirinya dan bagi lelaki itu, tetapi tidak boleh melembut-lembutkan suara dengan tujuan menggoda atau melalaikan. Firman Allah di dalam al Quran:

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik." (Al-Ahzab: 32)

Dalam ayat ini, Allah memerintahkan wanita berkata dengan ma'ruf. Ini membuktikan suara mereka bukan aurat. Demikianlah pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya “Soal Jawab Wanita Islam.” – (Yadim Kuala Lumpur, 1997).

Imam al-Ghazali juga berkata: “Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi - maka pada saat itu suaranya aurat."

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatwa Muasirah memetik dalil, suara wanita bukan aurat. Kata beliau, al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad.Pada zaman dahulu ramai kaum wanita di kalangan sahabat yang datang menemui Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam untuk bertanya dan berdialog bersama baginda. Mereka menanyakan pelbagai perkara, termasuk hukum dan didengar oleh kalangan sahabat lelaki. Mereka tidak dilarang bersuara ketika itu.

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram).Tiada khilaf dalam hal ini.(Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137;)

Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)


Walaupun begitu, wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki, tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja. Mereka juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan sembahyang.

Kesimpulan

Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :

1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam

Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ; Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan.

Ia adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)

Rujukan:
1. Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nasyid, tulisan Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman.
2. Ruangan Rencana dan Pendapat sebuah majalah on-line.

p.s: Diharap artikel ini dapat membantu adik Siti Khadijah. Nasyid wanita tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Tetapi jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita, ia adalah harus.

Wallahua' lam.

Monday, March 23, 2009

PPSMI:Pandangan Saya

Melihatkan isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia, saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan, berdasarkan pemerhatian dan perbincangan dengan rakan-rakan.

Secara peribadinya saya membantah PPSMI. Lihatlah kepada kenyataan ini:

Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kerugian berganda kepada murid dan tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid.

Kajian yang diusahakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan melibatkan 53 pakar bahasa itu mendapati, pelaksanaan PPSMI hanya memberikan kesan minimum – kurang daripada 4 peratus – kepada pencapaian bahasa Inggeris secara menyeluruh.

Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang,amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan. "Ia juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri," laporan itu dipetik.

Laporan sepuluh halaman itu turut mendedahkan pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terlibat – bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

(malaysiakini)

KENAPA SAYA MEMBANTAH PPSMI?

1. PPSMI hanya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar bandar yang kebanyakannya telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di rumah. Tetapi bagaimana dengan pelajar luar bandar yang jarang sekali mempraktikkan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian? Sedangkan pasti di kalangan mereka ada yang mempunyai potensi tinggi untuk menguasai kedua-dua subjek ini.

2. Tujuan utama kerajaan mewujudkan PPSMI adalah untuk memantapkan penguasaan sains dan teknologi pada masa akan datang. Tetapi sistem ini telah menjejaskan pemahaman terhadap ilmu itu sendiri. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

3. Terlalu awal untuk diwujudkan PPSMI di peringkat sekolah rendah. Boleh memberikan psikologi negatif kepada mereka untuk belajar Sains dan Matematik. Sedangkan di peringkat sekolah rendah inilah segala konsep asas diperkenalkan. Jika semua ini gagal dikuasai sebaiknya, bagaimana pula dengan pembelajaran di peringkat lebih tinggi?

4. Tika ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa International dan kerajaan menjalankan PPSMI. Suatu hari nanti jika bahasa Mandarin atau Korea pula menjadi bahasa International, anda sanggup untuk menjalankan PPSMM @ PPSMK?

5. Memberi kesukaran kepada para guru yang dihantar untuk mengajar di pedalaman. Berdasarkan beberapa kisah yang saya baca, guru- guru yang terlatih sekalipun tidak mampu untuk mengaplikasikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris apabila berhadapan dengan para pelajar yang baru sahaja ingin mengenali perkataan Inggeris yang mudah.

6. Lambat-laun, bahasa Melayu sebagai mothertongue akan terhapus. Setiap ibu bapa akan mendidik anak mereka untuk berbahasa Inggeris sedari kecil demi kepentingan PPSMI.


Cadangan kepada kerajaan:

1. Perbaiki sistem pengajaran Bahasa Inggeris. Saya mencadangkan agar dibuat kelas berasingan untuk subjek bahasa Inggeris seperti Listening, Speaking, Writing and Reading sebagaimana subjek Bahasa Melayu yang terdiri daripada Penulisan dan Pemahaman.

2. Hapuskan PPSMI.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin menceritakan sedikit pengalaman pembelajaran sains dan matematik saya bermula di sekolah rendah hingga sekarang.

Saya memulakan sesi pendidikan sekolah rendah pada tahun 1993 dan berakhir pada tahun 1998. Matematik dan Sains ( Sains ketika tahun 4) diajar dalam bahasa Melayu. Sesi persekolahan menengah saya pula adalah pada tahun 1998-2003. Matematik dan Sains masih diajar dalam bahasa Melayu. Setelah berada di Tingkatan 4, saya mengambil aliran Sains dan mempelajari subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Matematik juga dalam bahasa Melayu. Kemudian saya meneruskan pelajaran ke Pusat Matrikulasi. Di sini segala-segalanya di 'bahasa Inggeris' kan. Buku- buku rujukan adalah di peringkat international. Pensyarah juga ada di kalangan foreigner. Jadi bermulalah proses penterjemahan segala konsep yang dipelajari di sekolah dahulu kepada bahasa Inggeris. Dan sekarang saya berada di universiti. Seratus-peratus dalam bahasa Inggeris. Majoriti pensyarah kami dari Myanmar dan Iraq. Namun alhamdulillah, saya berasa gembira dengan sistem pembelajaran yang telah saya lalui dan juga gembira kerana tidak merasai PPSMI.

Sebenarnya masih tidak terlalu lewat jika segala pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimulakan di peringkat matrikulasi atau peringkat persediaan sebelum ke universiti. Ketika itu, para pelajar telah bersedia mental dan fizikal. Bahasa Inggeris juga telah berada di tahap yang stabil. Segala konsep-konsep penting telahpun difahami dengan baik, cuma perlu dialihkan bahasa sahaja. Jangan bantutkan potensi pelajar-pelajar yang lemah bahasa Inggeris untuk memahami Sains dan Matematik. Cukuplah jika kita memantapkan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Ramai yang telah berjaya sedangkan mereka tidak pernah melalui PPSMI suatu ketika dahulu.

Anda ada sebarang komen atau pandangan? Sila kongsikan.

Tuesday, March 17, 2009

Tag Daripada Rdhanz

1. If someone says "are you okay" you say?
Alhamdulillah ok, terima kasih...

2. What do you like in a guy/girl?
Sifat- sifat mahmudah yang ada padanya.

3. What is your life's purpose?
Menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

4. What's your motto?
Dari sekolah sampai sekarang motto saya 'Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan'.Insya Allah.

5. What do your friends think of you?
Mungkin boleh tanya mereka sendiri.

6. What do your parents think of you?
Saya rasa mereka menaruh harapan yang tinggi, kerana saya anak pertama mereka.

7. What do you think about very often?
Tanggungjawab yang harus saya tunaikan...

8. What do you think about your best friend?
Sebagai penasihat dan tempat berkongsi suka dan duka.

9. What is your life story?
Perjalanan hidup mencari keredhaan Ilahi serta kejayaan dunia akhirat.

10. What do you want to be when you grow up?
Disebabkan mengambil pergigian ni,insya Allah grad sebagai dentist la...Kalau Allah izinkan lagi, nak ambil specialist...juga ingin jadi pekerja untuk agama Allah, insya Allah.

11. What do you think when you see the person you like?
"Bagusnya dia" dan contohi aspek2 yang kita suka pada dirinya.

12. You dance at your wedding?
A'uzubillahi min zalik.Rasa macam kurang berminat.

13. What is your hobby/interest?
Reading, writing, surfing, decorating...

14. What is your biggest fear?
Setiap kali nak exam besar atau apa-apa test. Doakanlah saya untuk Professional Exam tak lama lagi.

15. What is your biggest secret?
Maafkan saya, mungkin tidak dapat dituliskan di sini.

16. What do you want right now?
Cinta, pengampunan dan petunjuk daripada Allah.Amin...

17. What do you think of your friends?
Penghibur, penguat semangat, pembimbing, pengganti keluarga dan guru saya.Thank you friends:)

18. What will you post this as?
Tag daripada Rdhanz

Saturday, March 14, 2009

Hikmah Hadis Galakan Bersiwak

Alhamdulillah, telah selesai talk 'Being Professional' pada hari ini. Terima kasih buat Dr. Norhani, seorang periodontologist yang dijemput khas untuk menyampaikan ceramah ini. Rasanya agak rugi jika saya tidak berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi daripada banyak perkara yang dikongsikan oleh beliau.

Dr. Norhani ada menyebut tentang hikmah yang terdapat dalam hadis Rasullullah Sollallahu alaihi wasallam:

"Kalaulah tidak memberatkan umatku nescaya aku menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali ingin solat."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kita harus menggosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Sebaliknya Rasulullah mengesyorkan agar kita bersiwak @ menggosok gigi setiap kali ingin solat, dengan kata lain 5 kali sehari. Tetapi sebenarnya apa yang disyorkan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam ini adalah yang terbaik.

Untuk melihat hikmahnya, mari kita lihat bagaimana plak terbentuk di permukaan gigi:


Tidak lama selepas kita menggosok gigi, permukaan gigi kita akan dihuni oleh 'primary colonizers' yang terdiri daripada bakteria gram positif seperti Streptococcus mutans, Streptococcus sanguis dan Actinomyces viscosus. Seterusnya bakteria- bakteria ini akan mengganda dengan banyaknya.


Selepas lebih kurang 4 jam berikutnya, datang pula 'secondary colonizers' yang terdiri daripada bakteria gram negatif seperti Actinobacillus, Actinomycetemcomitans, Capnocytophypa species, Eikenella corrodens dan macam-macam lagi. Bakteria ini pula akan mengganda dengan banyaknya sehingga mereka memonopoli gigi kita berbanding bakteria gram positif tadi.

Bakteria gram negatif lebih berbahaya daripada gram positif kerana mempunyai ciri-ciri tambahan tertentu. Jadi galakan baginda untuk menggosok gigi ataupun bersiwak sebelum solat adalah sangat bertepatan, di mana dengan kekerapan ini sudah pasti menyebabkan jumlah bakteria gram negatif tidaklah terlalu tinggi sehingga boleh mendatangkan apa-apa penyakit kepada kita.

Inilah satu hikmah saintifik yang terdapat dalam hadis daripada ribuan hikmah yang lain lagi.

Thursday, March 12, 2009

Kematian, Program, Tag dan Batuk

[Kematian]

"K.Af, ayah saya dah takde." Itulah sms yang Safi hantar kepada saya malam tadi. Safi adalah teman sekelas yang rapat dengan saya.Beliau biasa memanggil saya K.Af, singkatan kepada nama saya (banyak betul nama panggilan saya). Ayah beliau meninggal kerana kemalangan baru-baru ini.Baru selepas Isya' tadi kami semua mengadakan solat hajat untuk ayah beliau. Tidak lama selepas itu, Allah memanggil ayah beliau pulang. Inna lillahi wainna ilaihi raji'un...Semoga tenang, Safi.

Pada hari Ahad yang lepas juga saya menerima berita kematian. Kematian Pak Cik Hassan, jiran saya sewaktu menetap di Jalan Tekukur dahulu. Pak Cik Hassan seorang yang suka berjenaka. Juga meninggal kerana kemalangan ketika pulang daripada menghantar anak beliau ke tempat kerja.

Kematian seolah-olah bermusim. Paling lazim berita kematian didengar sepanjang Ramadhan. Insya Allah kematian yang mulia. Bilakah giliran saya pula? Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan aku beriman...Semoga Allah menempatkan ruh ayah Safi dan Pak Cik Hassan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin.

[Program]


Alhamdulillah, kerja-kerja program sudah banyak yang dibereskan. Dalam minggu ini,terdapat dua program yang perlu dikelolakan oleh Biro Dakwah dan Tarbiyyah Dental Students Society iaitu ceramah tentang 'Being Professional' dan Selawat Campaign. Ceramah yang bertajuk 'Being Professional' ini adalah bertujuan untuk mendidik bakal-bakal dentist ini (insya Allah) supaya bertindak secara professional serta mengikut panduan Islam dalam kehidupan sekarang dan akan datang. Selawat Campaign pula bertujuan untuk membudayakan selawat dalam kehidupan pelajar-pelajar pergigian serta meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam. Terima kasih buat ahli biro saya yang banyak membantu dan memberi kerjasama dalam melaksanakan tugas yang diberi.

Semoga program kita akan berjalan lancar dan berjaya mencapai objektifnya. Selesai berprogram, Professional Exam pula menanti pada 25 Mei ini. Professional Exam ini cukup menggerunkan, ibarat ingin menghadapi peperiksaan besar sewaktu di sekolah dahulu. Sebab itulah saya meletakkan widget Countdown di blog. Supaya saya beringat dan tidak membuang masa.

[Tag]

Saya bukan penggemar tag dan belum pernah mentag orang.Tag- tag yang saya terima sebelum ini telah saya minta halal untuk tidak dijawab. Tetapi disebabkan tag yang diterima daripada Rdhanz ini mengandungi soalan-soalan yang agak lain daripada tag-tag yang pernah saya jumpa,saya memilih untuk menjawabnya.

Ini adalah soalan-soalan tag tersebut.


1. Apakah nama blog anda sekarang dan kenapa anda memilih nama itu?

::Damba KasihMu Tuhan::
Ia tercetus di minda saya untuk dinamakan sebagai title blog ini semasa saya mendaftar di Blogger pada November 2007. Tetapi saya tidak menghidupkan blog saya hinggalah Oktober 2008.Saya memilih "Damba KasihMu Tuhan" kerana sangat-sangat mendambakan kasih, cinta dan redha Allah Tuhan kita (seperti anda juga).Dan semoga tika dikembalikan kepadaNya, saya berada di kemuncak cinta dan kasih kepadaNya. Dengan kata lain, mati dalam husnul khatimah dan mengecapi halawatul iman. Amiinn...Semoga kita semua memperolehinya.


2. Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?

http://azansubuhkhamis.blogspot.com/
Saya pasti anda sudah tahu kenapa saya menamakannya sedemikian kerana telah dinyatakan di profile.Sekadar berkenaan dengan diri saya.

3. Kenapa anda berblog?

Basically untuk islah dan dakwah. Islah diri sendiri dan berdakwah kepada orang lain. Jika diberi peratusan, saya rasa peratus untuk mengislahkan diri sendiri itu lebih tinggi...dan jika dapat juga mengislahkan orang lain,alhamdulillah. Amat bersyukur jika blog ini dapat berfungsi sebagai wasilah 'amar ma'ruf nahi mungkar' yang diperintahkan Allah.Selain itu sebagai wadah untuk saya mencari ilmu baru dari blog-blog asatizah serta sahabat bloggers, update isu semasa, berkongsi pengalaman serta mengeratkan ukhuwwah dengan sahabat-sahabat seIslam.

4. Apakah method penulisan dalam blog anda?

Macam-macam, biasanya mengikut mood saya ketika menulis.

5. Antara rupa dan isi, yang mana lebih anda utamakan?

Saya cuba untuk mengutamakan kedua-keduanya. Tentang isi,hanya anda yang menilai, tetapi rupa, asalkan sedap di pandangan mata saya, itu sudah memadai...Saya sukakan warna merah (merah bukan bermaksud garang ya) tetapi saya tidak memerahkan blog saya ini kerana merah bukanlah warna kesukaan ramai. Tetapi saya menghijaukannya kerana di sebalik kehijauan itu ada kesegaran serta ruh perjuangan.

6. Adakah anda meletak widget lagu di blog anda? Kenapa anda memilih lagu tersebut?

Ya, saya letak...dan nasyid yang saya letakkan pun adalah nasyid yang disukai.Saya suka banyak lagu nasyid, jadi ia sentiasa ditukar-tukar mengikut citarasa.Setakat ini, nasyid yang pernah saya letak ialah Ibu, Hayya bil jihad,Sesungguhnya dan Teman Sejati.

7. Antara banyak-banyak artikel di blog anda, yang mana paling anda suka dan kenapa?

Saya suka semuanya (supaya tiada artikel saya yang kecil hati.hehe)...Saya suka yang paling banyak memanfaatkan diri saya dan orang lain...

8. Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Sebabnya?

Setakat ni tak pernah. Sebab dah banyak berkorban masa untuk menghasilkannya.

9. Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?

Blog yang sentiasa updated. Beliau banyak memuatkan input tentang ilmu-ilmu teknologi yang bermanfaat di samping kisah kehidupan beliau.Jika selalu ke blog beliau, anda akan dapat Anugerah Buku Nota.

10. Senaraikan 5 orang yang akan anda tag.

Disebabkan ini adalah kali pertama saya mentag orang,jadi saya memilih 4 orang yang biasa memberi komen di blog saya untuk ditag (kalau sudi) dan seorang calon bebas.

1.Haniem
2.Syeikhulislami
3.KakChik
4.Najihah
5.Bebas(sesiapa yang rasa nak bercerita tentang blognya. Biasanya kalau tulis macam ni takkan ada respon)

[Batuk]

Minggu lepas dan minggu ini Allah memberikan sedikit ujian kesihatan kepada saya.Baru sembuh daripada selesema, kini peringkat batuk pula. Biasanya selepas selesema, saya akan batuk,dan selepas batuk,saya akan sembuh. Cuma dalam minggu ini, batuk saya agak teruk. Tekak terasa kering. Saya pula kurang minum air masak. Macam mana nak baik kalau kurang minum air masak ni?...'Ala kulli hal, terima kasih buat Raihan, rakan sebilik saya yang sudi berkongsi Dexxon Lozenges dan Clarytine selepas ubat yang saya ambil di klinik UIAM habis (saya malas nak pergi ambil ubat lagi selepas dia dah offer).

Sekian coretan untuk minggu ini: Kematian, program, tag dan batuk. Salam Maulidurrasul 1430H. Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad.We love you Rasulullah!

Tuesday, March 3, 2009

Mampukah Jadi Sepertimu Khadijah…

Sempena kedatangan hari bersejarah 12 Rabi’ul Awwal ini, saya ingin mengajak semua untuk menghayati kisah hidup insan mulia yang setia bersama baginda yang kita cintai... Mampukah kita jadi sepertinya... Saidatina Khadijah Radiallahu ‘Anha.

* * *

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku mendapatkan keturunan."


Begitulah Rasulullah saw berkata tentang kepribadian Khadijah, isterinya. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.

Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan.

Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW.

KESETIAAN YANG BERSEJARAH


Mari kita singkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan jantung Rasulullah SAW. Peristiwa itu ialah penerimaan wahyu yang pertama di Gua Hira. Sekembalinya ke rumah, baginda berkata kepada isterinya yang tercinta, "Aku berasa khuatir terhadap diriku."

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata,"Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?

Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan beliau merupakan wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada Rasulullah SAW sepanjang kehidupan mereka bersama. Oleh itu, kita perlu berdoa semoga Allah memberi kita kekuatan untuk membantu menguatkan semangat jihad golongan lelaki yang seangkatan dengan kita.

KESETIAAN YANG MENDORONG KEGIGIHAN



Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu' bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)


Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Wahai muslimah, sekarang adalah masa untuk kita hidupkan kembali hakikat ini dalam kehidupan kita. Semoga kekuatan Islam akan kembali mentadbir kehidupan insan.

Sunday, March 1, 2009

Amalan Menguatkan Ingatan

Assalamualaikum warahmatullah...

Alangkah beruntungnya sesiapa yang diberikan anugerah oleh Allah, senang untuk mengingati apa yang dibaca dan dihafal. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan seorang pelajar yang perlu mengingati ilmu-ilmu yang dipelajarinya. Begitu juga dengan saya. Bidang yang saya pelajari sangat-sangat menuntut kepada ingatan yang kuat,dan saya percaya bahawa keadaan pembaca juga seperti saya jika anda seorang pelajar.

Di sini saya kongsikan beberapa amalan untuk menguatkan ingatan,yang saya perolehi daripada Portal Komuniti Ukhuwah.Com setelah menjalankan proses 'Google'ing.


* * *

Soalan: Apakah amalan untuk menguatkan ingatan mengikut Al-Quran dan Sunnah?

[Jawapan kepada soalan ini dijawab oleh Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulamak, pensyarah dan penulis daripada Arab Saudi seperti yang dipetik daripada IslamOnline.net]

Jawapan: Sifat lupa ialah sesuatu yang semulajadi dalam diri manusia, lantaran itu manusia di sebut Insan, sebab sifat pelupa ini. Selalunya, ia berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain mengikut perbezaan dalam kekuatan memori yang telah diciptakan Allah untuk hambaNya.

Antara cara untuk mengatasinya ialah:

1. Jauhi daripada dosa

Dosa membawa kesan yang buruk kepada ingatan/memori dan kemampuan untuk mengingati ilmu. Kehitaman dosa tidak dapat wujud sekali dengan kecerahan ilmu. Perkataan berikut diambil daripada Imam Syafie:"Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi daripada dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa."

Al-Khateeb menulis dalam Al-Jamie yang Yahya Ibn Yahya berkata: "Seorang lelaki bertanya kepada Malik bin Anas; Wahai Abu Abdullah, apakah yang dapat memperbaiki ingatan saya? Malik berkata: "Sekiranya ada yang dapat memperbaikinya, maka ia adalah menjauhkan diri daripada dosa".

Apabila seseorang membuat satu dosa, ia akan menenggelamkan pelakunya dalam perasaan bimbang dan bersalah, dan ini akan membuatnya sentiasa sibuk memikirkan akan perbuatannya itu. Ini akan menariknya daripada banyak perkara-perkara berfaedah, termasuk mencari ilmu dan pengetahuan.

2. Selalulah mengingati Allah dengan berzikir dan membaca Al-Quran.


Allah berfirman "Dan ingatilah Tuhanmu (Allah) ketika kamu terlupa" (Al-Kahf: 24)

3. Tidak makan terlalu banyak.


Makan terlalu banyak akan membuatkan seseorang mengantuk dan malas selain menambahkan penyakit. Kebanyakan daripada penyakit datang daripada makanan dan minuman.

4. Makan kismis dan madu


Sesetengah ulama menyebut beberapa jenis makanan yang dapat menambahkan ingatan seperti madu lebah dan kismis.Imam Az-Zuhri menyebut, "Kamu patut mengambil madu sebab ia baik untuk memori.Barangsiapa ingin menghafal hadith, ia patut memakan kismis." Ada juga yang menyebut, mengambil banyak makanan yang berasid adalah penyebab kepada kemalasan dan lemah ingatan.

[ Bantulah hambaMu ya Allah, untukku mengingati ilmu-ilmu yang telah Engkau ajarkan padaku...Juga bantulah hambaMu ini ya Allah, untukku memelihara kalam-kalamMu yang agung...janganlah jadikan aku lupa padanya ya Allah...]
Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template