:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Tuesday, March 24, 2009

Bilakah Suara Wanita Menjadi Aurat?

Pada prinsipnya suara wanita tidak dikira aurat. Allah tidak melarang wanita bercakap dengan lelaki selagi tidak menimbulkan fitnah bagi dirinya dan bagi lelaki itu, tetapi tidak boleh melembut-lembutkan suara dengan tujuan menggoda atau melalaikan. Firman Allah di dalam al Quran:

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik." (Al-Ahzab: 32)

Dalam ayat ini, Allah memerintahkan wanita berkata dengan ma'ruf. Ini membuktikan suara mereka bukan aurat. Demikianlah pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya “Soal Jawab Wanita Islam.” – (Yadim Kuala Lumpur, 1997).

Imam al-Ghazali juga berkata: “Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi - maka pada saat itu suaranya aurat."

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatwa Muasirah memetik dalil, suara wanita bukan aurat. Kata beliau, al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad.Pada zaman dahulu ramai kaum wanita di kalangan sahabat yang datang menemui Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam untuk bertanya dan berdialog bersama baginda. Mereka menanyakan pelbagai perkara, termasuk hukum dan didengar oleh kalangan sahabat lelaki. Mereka tidak dilarang bersuara ketika itu.

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram).Tiada khilaf dalam hal ini.(Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137;)

Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)


Walaupun begitu, wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki, tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja. Mereka juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan sembahyang.

Kesimpulan

Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :

1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam

Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ; Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan.

Ia adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)

Rujukan:
1. Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nasyid, tulisan Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman.
2. Ruangan Rencana dan Pendapat sebuah majalah on-line.

p.s: Diharap artikel ini dapat membantu adik Siti Khadijah. Nasyid wanita tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Tetapi jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita, ia adalah harus.

Wallahua' lam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template