:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Monday, March 23, 2009

PPSMI:Pandangan Saya

Melihatkan isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia, saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan, berdasarkan pemerhatian dan perbincangan dengan rakan-rakan.

Secara peribadinya saya membantah PPSMI. Lihatlah kepada kenyataan ini:

Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kerugian berganda kepada murid dan tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid.

Kajian yang diusahakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan melibatkan 53 pakar bahasa itu mendapati, pelaksanaan PPSMI hanya memberikan kesan minimum – kurang daripada 4 peratus – kepada pencapaian bahasa Inggeris secara menyeluruh.

Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang,amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan. "Ia juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri," laporan itu dipetik.

Laporan sepuluh halaman itu turut mendedahkan pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terlibat – bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

(malaysiakini)

KENAPA SAYA MEMBANTAH PPSMI?

1. PPSMI hanya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar bandar yang kebanyakannya telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di rumah. Tetapi bagaimana dengan pelajar luar bandar yang jarang sekali mempraktikkan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian? Sedangkan pasti di kalangan mereka ada yang mempunyai potensi tinggi untuk menguasai kedua-dua subjek ini.

2. Tujuan utama kerajaan mewujudkan PPSMI adalah untuk memantapkan penguasaan sains dan teknologi pada masa akan datang. Tetapi sistem ini telah menjejaskan pemahaman terhadap ilmu itu sendiri. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

3. Terlalu awal untuk diwujudkan PPSMI di peringkat sekolah rendah. Boleh memberikan psikologi negatif kepada mereka untuk belajar Sains dan Matematik. Sedangkan di peringkat sekolah rendah inilah segala konsep asas diperkenalkan. Jika semua ini gagal dikuasai sebaiknya, bagaimana pula dengan pembelajaran di peringkat lebih tinggi?

4. Tika ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa International dan kerajaan menjalankan PPSMI. Suatu hari nanti jika bahasa Mandarin atau Korea pula menjadi bahasa International, anda sanggup untuk menjalankan PPSMM @ PPSMK?

5. Memberi kesukaran kepada para guru yang dihantar untuk mengajar di pedalaman. Berdasarkan beberapa kisah yang saya baca, guru- guru yang terlatih sekalipun tidak mampu untuk mengaplikasikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris apabila berhadapan dengan para pelajar yang baru sahaja ingin mengenali perkataan Inggeris yang mudah.

6. Lambat-laun, bahasa Melayu sebagai mothertongue akan terhapus. Setiap ibu bapa akan mendidik anak mereka untuk berbahasa Inggeris sedari kecil demi kepentingan PPSMI.


Cadangan kepada kerajaan:

1. Perbaiki sistem pengajaran Bahasa Inggeris. Saya mencadangkan agar dibuat kelas berasingan untuk subjek bahasa Inggeris seperti Listening, Speaking, Writing and Reading sebagaimana subjek Bahasa Melayu yang terdiri daripada Penulisan dan Pemahaman.

2. Hapuskan PPSMI.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin menceritakan sedikit pengalaman pembelajaran sains dan matematik saya bermula di sekolah rendah hingga sekarang.

Saya memulakan sesi pendidikan sekolah rendah pada tahun 1993 dan berakhir pada tahun 1998. Matematik dan Sains ( Sains ketika tahun 4) diajar dalam bahasa Melayu. Sesi persekolahan menengah saya pula adalah pada tahun 1998-2003. Matematik dan Sains masih diajar dalam bahasa Melayu. Setelah berada di Tingkatan 4, saya mengambil aliran Sains dan mempelajari subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Matematik juga dalam bahasa Melayu. Kemudian saya meneruskan pelajaran ke Pusat Matrikulasi. Di sini segala-segalanya di 'bahasa Inggeris' kan. Buku- buku rujukan adalah di peringkat international. Pensyarah juga ada di kalangan foreigner. Jadi bermulalah proses penterjemahan segala konsep yang dipelajari di sekolah dahulu kepada bahasa Inggeris. Dan sekarang saya berada di universiti. Seratus-peratus dalam bahasa Inggeris. Majoriti pensyarah kami dari Myanmar dan Iraq. Namun alhamdulillah, saya berasa gembira dengan sistem pembelajaran yang telah saya lalui dan juga gembira kerana tidak merasai PPSMI.

Sebenarnya masih tidak terlalu lewat jika segala pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimulakan di peringkat matrikulasi atau peringkat persediaan sebelum ke universiti. Ketika itu, para pelajar telah bersedia mental dan fizikal. Bahasa Inggeris juga telah berada di tahap yang stabil. Segala konsep-konsep penting telahpun difahami dengan baik, cuma perlu dialihkan bahasa sahaja. Jangan bantutkan potensi pelajar-pelajar yang lemah bahasa Inggeris untuk memahami Sains dan Matematik. Cukuplah jika kita memantapkan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Ramai yang telah berjaya sedangkan mereka tidak pernah melalui PPSMI suatu ketika dahulu.

Anda ada sebarang komen atau pandangan? Sila kongsikan.

2 comments:

Mami Hadeef said...

betul kak shibul.. anim melihat PPSMI patut dilaksanakan bermula pada peringkat pra universiti dan ke atas.. sebabnya, pada peringkat pra-U, mereka adalah golongan2 yang terpilih untuk meneruskan pengajian.. walaupun pembelajaran itu dalam BI yang pada konsep asasnya mereka belajar dalam BM di perngkat sekolah, mereka masih lagi bersemangat utk belajar sebb mereka memang nak belajar.. berbanding dengan perlaksanaan PPSMI kat sekolah rendah n menengah.. kalangan mereka dalam golongan yang bercampur.. ada yang mau ke sekolah kerana mak ayah suruh dan dsb.. so, mmng anim sebagai bakal guru fizik memang membantah PPSMI.. belajar dlam BM lebih senang faham daripada BI.. apatah lagi menggunakan bahasa ibunda..hehe..

p/s: bayangkan andai cikgu diposting kan ke Sabah dan mengajar budak Iban, ajar dalm bahasa iban lebih difahami berbandg ajar dlm BI..

Anonymous said...

Shukran kerna anda membantah PPSMI cuma mereka di Putrajaya tu agak dangkal pemikirannya atau ada lain kepentingan.

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template