:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::
Wednesday, October 29, 2008
TERIMA KASIH DIARI
Salam buat semua…
Entah mengapa malam ini saya kehilangan motivasi untuk study. Jadual study telah saya aturkan tetapi minda ini tidak mampu untuk memberi ruang kepada saya untuk melaksanakannya. Mungkinkah hari ini terlalu banyak dosa yang saya lakukan?
Saya muhasabah diri tentang perjalanan hidup hari ini. Alhamdulillah,permulaannya baik.Allah memberi peluang untuk saya bertahajjud padaNya pagi tadi. Baca Quran? Sudah. Saya telah pun mengulang al Quran pagi dan petang tadi. Apa sebenarnya yang mengganggu saya ini?
**********************************************************************************
Saya mengambil wudhu’ tetapi masih sama keadaannya. Tiba-tiba tergerak hati saya untuk membelek diari-diari lepas. Saya membuka locker.Manalah tahu,diari silam boleh menjadi penawarnya. Saya ini manusia yang gemar menulis diari. Sejak tingkatan satu hingga sekarang hidup saya tidak lengkap tanpa diari. Cuma kekerapan menulis diari sekarang tidaklah seperti dulu. Mungkin lantaran kesibukan.
Saya membelek diari tingkatan satu dan dua.Coretan yang lebih kurang sama. Ada yang mencuit hati saya. Rupa-rupanya ada juga ketika saya bergaduh dan terasa dengan kawan-kawan. Kelakar pula. Budak-budaklah katakan. Padahal sebabnya remeh sahaja.Malu pula hendak dikongsikan dengan pembaca apa sebabnya. Banyak juga coretan tentang saya homesick. Maklumlah baru berpisah dari keluarga.Antaranya, “Nak balik!!” dan “ Aku benci kena balik asrama”. Yang ini pun membuat saya tertawa. Padahal emak dan ayah memang selalu melawat saya di asrama. Adakalanya selang sehari emak dan ayah datang.
**********************************************************************************
Tapi yang membuatkan jiwa saya tersentuh ialah beberapa coretan di bawah. Coretan pada hari-hari yang berbeza dan adakalanya berulang pada hari yang lain:
“ Hari ni Jumaat.Aku baca surah Kahfi”
“Hari ni aku tidur di Musolla dan bangun pukul 4 pagi, terus mandi, sembahyang Tahajjud dan Hajat”
“ Aku puasa sunat hari ni. Pahalanya aku nak sedekah kat emak”
“ Esok aku nak puasa sunat untuk arwah Tok”
“ Aku puasa sunat Hari Putih”
“ Aku buat Solat Tasbih di Musolla”
“Aku buat kad hari ibu untuk emak”
“ Hari ni aku ajar ….dan….ngaji”
“ Aku nangis di Musolla sebab insaf”
“ Aku berjaya menguruskan masa hari ni”
“ Hari ni lepas makan, aku tak nak tidur sampai ke malam. Aku nak study”
“ Alhamdulillah, aku berjaya tak tidur siang hari ni”
“ Tadi aku tolong baiki longkang asrama tersumbat”
“ Aku tolong basuh pinggan di Dewan Makan tadi sebab ramai orang makan kuih tapi tak basuh pinggan”
“ Aku tekad akan cuba membanteras gejala dalam bilik”( ada roommate yang tidak turun berjemaah di musolla asrama)
“ Aku cadangkan agar buat ‘makanan rohani’ malam esok kat bilik”
“ Hari ni ada ujian Quran Tahriri, Tafsir dan Tauhid. Aku boleh jawab semua”
“Hari ni aku dapat banyak keputusan highest”
Asrama putera sekolah saya(saya tiada gambar asrama puteri)
**********************************************************************************
Oh, keinsafan menyelubungi diri saya. Mujurlah diari ini ada yang mengingatkan kembali keadaan saya sewaktu berumur 13 dan 14 tahun.Sekarang umur saya sudah 22 tahun. 9 tahun sudah catatan ini berlalu.
Saya muhasabah kembali, adakah saya masih istiqamah dengan amalan-amalan yang pernah saya istiqamah di waktu awal remaja dulu…
Ya Allah, saya akui, ada yang tidak lagi saya amalkannya secara istiqamah sekarang…
Tuhan, ampunkan diriku…semakin dewasa semakin teruk rasanya diri ini.
Bertaubatlah diriku. Hari-hari esok mesti saya tempuhi dengan lebih baik. Amalan ruhiyyah, amalan kebajikan, amar ma’ruf nahi mungkar, motivasi untuk belajar dan mujahadatunnafs harus saya istiqamah dengannya. Kalaulah sewaktu budak-budak saya mampu melaksanakannya,inikan pula di usia tua begini yang semakin dekat dengan saat kematian.
Ya Allah, kumohon keampunan daripadaMu. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi hari-hari seterusnya dengan kehidupan yang lebih baik dan terarah. Amiin…Terima kasih diari kerana menyedarkan aku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment