Boleh jadi apa yang kita idam-idamkan adalah tidak baik untuk kita. Dan boleh jadi juga apa yang kita benci itu pula baik untuk kita. Allah telas menjelaskan tentang hal ini di dalam al Quran dalam surah al Baqarah ayat 216:
" ...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Kita sebagai manusia yang lemah, ilmu kita adalah terbatas. Kita tidak mengetahui hakikat yang terbaik untuk kita. Oleh itu, yakinlah bahawa ketetapan daripadaNya adalah yang terbaik serta mengandungi hikmah. Wajib untuk kita meredhai atas setiap mehnah dan musibah. Berfikirlah secara positif.
Adakalanya kita berjaya, dan adakalanya kita gagal.Itu adalah lumrah. Kita harus redha menerima kegagalan. Tidak bermakna kejayaan itu selama-lamanya baik untuk kita, dan tidak bermakna kegagalan itu buruk untuk kita.

Saya suka menghayati lagu- lagu nasyid sebagai hiburan di waktu lapang, dan di sini saya ingin kongsikan nasyid 'Sesekali' yang dinyanyikan oleh kumpulan Wildan. Amat sesuai untuk dihayati terutama diri sendiri ini. Inilah bait- baitnya...
Sesekali kita perlu derita
Sesekali kita perlu kecewa
Untuk kita mengenangi erti bahagia
Untuk kita mengenangi erti berjaya
Sesekali kita perlu menangis
Sesekali kita perlu terhiris
Untuk kita mensyukuri nikmat yang diberi
Untuk kita mengenali diri sendiri
Ujian yang datang menguji kesabaran
Mengukur keimanan dan ketaqwaan
Sebagai hamba kepada Tuhan
Kita harus bertahan
Jalan ke syurga penuh dengan likuannya
Penuh dugaan dan rintangannya
Hanya yang cekal dan yang tabah
Pasti kan menemuinya
Masihkah lagi mahu menghitung setitis mehnahNya
Jika dibanding dengan selaut rahmat dan nikmatNya
Seharusnya kita rasa bersyukur dan berlapang dada
Itulah tanda kasih sayang Allah kerana kita sering terlupa
Pohonkan doa kepada Tuhan agar beroleh keredhaan...
" Ya Allah, aku bermohon agar sentiasa dikuatkan hati menempuh kehidupan di dunia ini. Tiada apa yang aku harapkan melainkan keredhaanMu. Jadikan aku hamba yang sentiasa sabar dan bersyukur dengan nikmatMu yang tak mampu kuhitung. Amiinn..."