:: Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum ::


Friday, July 24, 2009

Harapan Ramadhan Kali Ini

Bismillahirrahmanirrahiim...

Jumaat datang lagi. Sekejap sahaja waktu berlalu. Saya rasa begitu tenang pada setiap hari Jumaat. Mungkin kerana hujung minggu akan memberi sedikit kelapangan kepada saya. Pada hujung minggu jugalah saya akan cuba menyelesaikan segala kerja yang tertangguh pada hari-hari yang biasa.

"Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad". Saya juga ingin membiasakan diri untuk memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat yang mulia ini. Sesungguhnya selawat kita akan dipersembahkan kepada Baginda.

Kalendar Hijrah telah menunjukkan 2 Sya'ban pada hari ini. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia saya sehingga saat ini, dan saya begitu berharap agar usia saya terus dipanjangkan untuk bertemu Ramadhan kali ini. Amiinn ya Allah.

Mungkin masih agak awal untuk memperkatakan tentang Ramadhan. Tetapi saya tetap ingin menuliskannya untuk tatapan diri saya. Saya benar-benar ingin menyediakan diri untuk Ramadhan kali ini. Gagal untuk bersedia adalah bersedia untuk gagal.

Saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah saya lakukan pada Ramadhan tahun lalu. Saya kurang mempersiapkan diri untuknya. Akibatnya, saya rasa telah gagal memanfaatkan kemuliaan Ramadhan 1429 H. Astaghfirullahal 'azim. Saya memohon keampunanMu wahai Tuhan.

Ramadhan, aku tidak akan mempersiakanmu lagi. Engkau tetamuku yang sungguh istimewa. Allah menjanjikan padamu pahala amalan yang berlipat ganda, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan durjana, diampunkan dosa-dosa serta diterima segala doa. Aku ingin memburu lailatul Qadr di dalammu. Aku takut, andai ini Ramadhan yang terakhir...

Justeru, saya menyeru diri saya dan pembaca yang dihormati agar kita sama-sama meningkatkan iman kita untuk menghadapi bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Bagaimana caranya? Tingkatkanlah amalan-amalan kerohanian kita kepada Allah. Banyakkan solat berjemaah, berpuasa, qiamullail, membaca al Quran, bersedekah dan sebagainya. Jika kita merasakan masih ada maksiat yang dilakukan, segeralah bertaubat dan sucikanlah hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Jika kita memulakannya daripada sekarang, insya Allah, pada bulan Ramadhan nanti kita akan terus mendapat kekuatan untuk istiqamah dengannya. Bayangkan, jika sekarang kita telah ‘menekan gear 1’ , maka di bulan Ramadhan nanti, kita telah mampu ‘menekan gear 5’ . Jika pada bulan Ramadhan baru hendak ‘menekan gear 1’, mungkin kita akan ketinggalan. Kita juga yang rugi, bukan? Hatta Rasulullah, sebaik-baik makhluk yang telah dijanjikan syurga, juga melakukan persediaan apabila hampir tiba bulan barakah ini.

عن عائشة رضي الله عنها قالت : كان رسول الله يصوم حتى نقول لا يفطر، ويفطر حتى نقول لا يصوم، وما رأيت رسول الله استكمل صيام شهر إلا رمضان وما رأيته أكثر صياماً منه في شعبان) رواه البخاري:1833، ومسلم: 1956)

Diriwayatkan dari 'Aisyah radhiallahu'anha bahawa: Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam banyak berpuasa (pada bulan Sya'ban) sehingga kita mengatakan; beliau tidak pernah berbuka, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam berpuasa sebulan penuh kecuali puasa di bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam banyak berpuasa melebihi puasa di bulan Sya'ban.

اللهم بارِكْ لنا في رجب وشعبان وبَلِّغْـنا رمضان

“ Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan...”

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui dengan sempurna...

5 comments:

kurniawan.q said...

mudah mudahan kita bisa berjumpa dengan bulan rhamadan

Unknown said...

masa sangat cepat berlalu..

harus dihargai setiap detik yg berlalu dan akan datang..

Ramadhan...

Unknown said...

terima kasih keran menyedarkan sy juga..nak pergi bersiap-siap juga lah.hehe

nurulhusnazubir said...

ingin benar ku rasai kemanisan Lailatul Qadr...


P/S:post terbaru...cinta~dilayan atau dilawan..tgglkn pndapat anda

Shahibul Afzan Wahab said...

ya Allah, anugerahkan barakah RamadhanMu kali ini buatku dan sahabat-sahabatku ini...

Kami hamba dhaif yg mengharapkan keredhaanMu.

Related Posts with Thumbnails
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template